Memaparkan catatan dengan label Suami Isteri Bahagia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suami Isteri Bahagia. Papar semua catatan

Khamis, 12 Disember 2013

Suami - syurga dan neraka isteri

9 Safar 1435

Perkahwinan adalah satu ikatan suci antara dua insan bagi mendapatkan keberkatan Allah s.w.t. Setiap pasangan masing-masing mempunyai hak ke atas pasangannya. Hak isteri ke atas suami adalah suami menjaga segala keperluan rohani dan jasmani isteri. Suami juga perlu menjaga dan mencemburui dirinya.
     Hubungan suami isteri yang baik juga merupakan hak isteri terutama dari segi bagaimana suami menggauli isterinya dan mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi. Suami juga tidak seharusnya sengaja mencari kesalahan isterinya sebagai alasan untuk mengeruhkan hubungan. Suami juga tidak seharusnya mengkhianati hubungan suci yang terjalin.
     Bagaimanapun, suami juga mempunyai hak ke atas isterinya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa : "Lihatlah di mana kedudukanmu di sampingnya, kerana dia adalah syurgamu dan nerakamu."
     Apa yang dimaksudkan ialah sebagai isteri, muslimah perlu tahu bagaimana melayani suami kerana suami boleh diibaratkan sebagai syurga dan neraka kepada muslimah. Ini bermakna isteri selagi isteri menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri solehah, maka syurga adalah janji Allah kepadanya dan sekiranya isteri gagal  melaksanakan tanggungjawabnya kepada suami, maka neraka adalah tempat terbaik untuk isteri yang derhaka.

KEWAJIPAN ISTERI

1 Sentiasa berusaha dan mencari jalan terbaik untuk memuas dan menggembirakan hati suami. Ungkapan kata-kata lembut dan menyenangkan pasti membuatkan hati suami semakin sayang dan menghargai kehadiran anda di sisi.
2 Tahu menjaga maruah diri demi kepentingan nama suami dan keluarga. Jangan sekali-kali anda keluar tanpa meminta kebenaran dari suami. Jangan izinkan juga sebarang tetamu yang tidak dikenali masuk ke rumah tanpa izin suami.
3 Isteri juga seharusnya menghargai nikmat rezeki yang diperolehi suami dan menjaga harta sebaik mungkin serta tidak membelanjakannya sesuka hati.
4 Isteri solehah tahu menjaga dan mengurus rumah dan mengatur hidupnya tetapi bukan mengongkong.
5 Hubungan suami isteri akan lebih harmoni lagi apabila anda menghormati sanak-saudaranya. Layanan anda terhadap ibu dan bapa mertua seharusnya sama baiknya layanan anda dengan ibu kandung.
6 Jangan membocori rahsia suami atau rumahtangga kerana perbuatan itu hanya akan menjatuhkan aib anda suami isteri.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Rabu, 11 Disember 2013

Apabila Isteri Merajuk

8 Safar 1435

Jika hendak berumahtangga, bersedialah untuk menghadapi seribu macam dugaan. Baik lelaki atau perempuan, jika sebelum kahwin ada hati dan perasaaan yang perlu dijaga. Ada amalan atau hobi seperti 'melepak' atau 'merayap' yang sering anda lakukan ketika zaman bujang dulu sudah tidak sesuai dilakukan setelah anda bergelar suami. Jika tidak percaya, cubalah anda teruskan, pasti ada hati yang akan merajuk atau tarik muka seribu. Kepada muslimah yang sudah bersuami, syorkan kepadanya membaca rencana ini sehingga tamat. Mungkin ada tip yang boleh dipraktikkan tatkala anda merajuk di hari muka.
1 Masa terbaik menggunakan pancaindera
Walau zahirnya kelihatan lembut, perasaan dan tindakan wanita kadangkala sukar dijangka. Tersilap bahasa, tersalah tindakan, isteri pasti akan melayani anda dengan tidak bersungguh-sungguh jauh sekali mahu berbual mesra seperti masa bahagia. Anda mula pening kepala dan berusaha mencari jalan penyelesaian, tetapi bagaimana?
     Anda dicadangkan menggunakan semaksimum mungkin pancaindera yang dianugerahkan Tuhan. Diam diri seketika dan buka telinga untuk mendengar leteran. Sekurang-kurangnya anda memberi perhatian terhadap ketidakpuasan hatinya.
     Jangan sekali-kali mencelah dan memberi fakta-fakta bagi membuktikan kebenaran tindakan anda. Hati sedang marah walau ditunjukkan bukti sekalipun belum tentu berguna. Tuturkan kata-kata lembut dan indah bagi melembutkan hati serta jangan lupa memberikan senyuman paling manis dan ikhlas. Jangan ragu-ragu memberi belaian melalui sentuhan hangat, hatinya pasti akan cair dan hubungan akan kembali rapat. Tetapi masalah besar pasti timbul jika rajuk isteri berlandaskan bukti dan alasan kukuh. Bila ini terjadi, jangan sekali-kali anda cuba sembunyi diri dengan seribu satu alasan. Mengaku sahajalah dan katakan anda tidak akan mengulangi perkara tersebut.
2 Bertegas dalam kelembutan
Ada masanya isteri cuba menguji kesabaran dengan meminta sesuatu barang seperti intan berlian yang jauh dari kemampuan. Lebih menakutkan apabila dia cuba membuat ugutan sambil merungut tidak puas dengan apa yang telah anda sediakan. Apa yang perlu anda lakukan? Perkara ini bukan dari sesuatu yang di luar dari kebiasaaan. Cuba sedarkannya dengan memberi nasihat bahawa apa yang dipinta tidak mampu disediakan pada ketika ini dan jika ada rezeki, secara berperingkat hajat akan ditunai.
     Bagaimanapun jangan menyeksa diri. Jika tidak mampu, cukup sekadar memberi kata dua yang tegas tetapi tidak menyakitkan hati. Jika logik alasan yang diberi, isteri pasti akan sedar sendiri. Islam ada menyatakan tentang peranan isteri solehah meringankan beban perbelanjaan keluarga dengan meminta sesuatu dalam kemampuan suami.
     Allah berfirman, "Hendaklah (suami) yang berkelapangan berbelanja sesuai dengan kelapangannya dan (suami) yang kekurangan atau disempitkan rezekinya, belanja dari harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya." (Ath-Thalaaq : ayat 7)
3 Katakan anda mahu sehidup semati bersamanya
Lumrah manusia tidak berpuashati dengan apa yang diberikan oleh Tuhan. Walau sebaik mana sekalipun pasti ada yang kurang. Begitu jugalah halnya apabila usia semakin meningkat. Isteri yang dulu muda berdahi licin, berkulit halus dan berpinggang ramping dilihat seperti ada yang kurang. Namun harus diingat bahawa dialah satu-satunya wanita yang bertahta di hati, tiada lukisan yang boleh menandingi. Pujian biasa untuk membeli jiwa.
     Jika benar anda suami sejati, jangan cuba menjauhkan diri. Sentiasalah memberi dorongan dan sokongan agar isteri membuat perubahan seperti bersenam bersama atau mengesyorkan dia ke salun kecantikan jika ada kemampuan. Katakan juga kepadanya anda mahu sehidup semati bersama, walau susah dan senang. Ingat perubahan fizikal tetap berlaku pada manusia apabila usia menginjak senja. Tetapi itu juga bukan alasan untuk anda menjauhkan diri dan dingin dengan pasangan anda.
4 Bersabar sebagai langkah pertama
Isteri hanyalah wanita biasa, mempunyai hati dan perasaan yang tidak diduga. Ada masanya sungguh baik dan mesra, ada ketikanya api cemburu menguasai jiwa lantas melakukan tindakan tanpa usul periksa. Apabila menanya nada suara dan lenggok bahasa terasa janggal hingga  kadang-kadang bagai hendak jatuh jantung dibuatnya. Belum lagi sempat melabuh punggung di sofa terus ditanya yang bukan-bukan. Hendak menjamah hidangan tiada selera dirasakan. Keadaan ini jangan dibiarkan takut melarat dan menjejas hubungan.
     Sebagai suami dan ketua keluarga anda perlu memberi nasihat, tiada guna cemburu tanpa periksa. Langkah terbaik dan pertama cuba bersabar walaupun diri terasa dicabar. Bukan mudah hendak melayari bahtera apatah lagi memiliki isteri yang cemburu buta. Bagi isteri katakan padanya, agama tidak suka isteri yang gemar menyakiti hati suaminya. Dan Mu'adz bin Jabal, dan nabi s.a.w., sabdanya : "Jangan seorang isteri menyakiti hati suaminya di dunia ini. Kerana bidadari dari syurga berkata kepadanya : "Janganlah engkau sakiti dia. Semoga Allah s.w.t. membinasakanmu. Sebab dia (suamimu) hanya sebentar di sisimu. Ia segera akan berpisah dari dirimu untuk pergi kepada kami.""
5 Kad pengganti diri
Kesibukan dengan urusan kerja melalaikan anda melakukan sesuatu untuk menghiburkan hati isteri. Ramai juga isteri yang sensitif dengan perkara yang melibatkan tarikh-tarikh penting dalam hidupnya. Bagi menyatakan tanda sayang dan terima kasih kepada isteri yang selama ini sanggup berkorban untuk anda, tidak salah anda melayangkan kad pengganti diri setiap kali tarikh bersejarah itu tiba. Setiap kali menjelang tarikh hari perkahwinan, coretan kata-kata indah pasti membuatkan hatinya terhibur dan berasa dihargai.
     Sebagaimana anda menyemarakkan cinta sebelum berkahwin, begitu jugalah halnya yang perlu anda lakukan selepas perkahwinan walaupun usia perkahwinan boleh dikategorikan sebagai usia matang.
     Bagaimana sekarang? Mungkin ada yang boleh dilakukan bagi memujuk hati isteri yang sedang merajuk? Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Sebagai seorang suami yang matang dan bertanggungjawab, anda perlu melakukan sesuatu yang terbaik agar hubungan suami isteri berkekalan hingga ke akhir hayat.

Jumaat, 11 Oktober 2013

9 Cara Suami Tidak Berubah Hati

1 Melayan kehendak suami. Pastikan anda mengetahui kegemarannya sama ada dari segi pilihan makanan, minuman, pakaian atau perbuatan yang mampu menambat hatinya. Untuk mengetahuinya lebih baik anda memerhatikan tingkah laku, reaksi atau bertanya sendiri kepadanya.
2 Pastikan anda meletakkan suami di kedudukan paling atas dalam hidup anda. Ini bermakna anda perlu mengutamakan keperluan dan permintaannya, kemudian baru diikuti permintaan anak-anak dan ibu bapa.
3 Berdiam diri apabila suami dalam keadaan marah. Jangan sekali-kali anda menaikkan kemarahannya dan apabila dia bercakap jangan cuba memotong atau menyampuk percakapannya. Ini sebagai tanda hormat anda kepada suami.
4 Kesabaran tinggi. Jangan mudah menunjukkan sikap acuh tidak acuh dengan suami seterusnya merajuk atau mengeluh. Hidup berumahtangga memerlukan kesabaran yang tinggi terutama apabila ada perkataan atau perbuatan suami yang menyakiti hati. Menjadi tanggungjawab isteri membahagiakan suami dan tanggungjawab yang paling besar ialah memenuhi permintaan suami selagi permintaan tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
5 Bersikap lemah-lembut. Sifat wanita penuh dengan kelembutan baik dari segi perbuatan atau pertuturan. Oleh yang demikian, wajib ke atas isteri untuk menunjukkan sikap sopan dan lemah lembut agar tidak menyinggung perasaan suami.
6 Pendorong. Apabila suami menghadapi masalah mainkan peranan anda sebagai pendorong dengan memberi kata-kata semangat dan tunjukkan rasa simpati anda kepadanya. Kata-kata lembut yang positif pasti sedikit sebanyak membantu meringankan masalahnya.
7 Menghargai pemberian suami. Tidak kira sebesar dan semahal manapun pemberian suami, terimalah ia dengan hati dan perasaan gembira. Jangan menolak pemberian tersebut kerana ia adalah tanda ingatan suami kepada anda.
8 Wajah ceria. Tunjukkan wajah yang riang dan ceria tatkala suami pulang dari kerja. Sesungguhnya senyuman manis dapat membantu mengurangkan kepenatan suami yang seharian bekerja di pejabat.
9 Berhias secantik yang boleh untuk menghiburkan hati suami. Isteri yang menarik di mata suami akan menambahkan lagi kasih sayangnya.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Khamis, 10 Oktober 2013

Agar Cinta Suami Kekal Hangat

Perasaan sayang dan kasih antara pasangan suami isteri seharusnya berkekalan mengikut peredaran masa. Tidak kira perubahan usia ataupun fizikal. Seharusnya semakin bertambah usia perkahwinan, maka semakin teguh rasa kasih dan sayang sesama mereka. Islam menganjurkan hubungan baik antara pasangan suami isteri sehingga ke akhir hayat. Lumrah manusia ada yang mudah berubah hati tatkala melihat suami atau isteri mengalami perubahan fizikal dan biologi serta cabaran persekitaran. Mengekalkan perasaan sayang yang berputik semenjak di awal perkahwinan memerlukan usaha berterusan daripada kedua-dua belah pihak. Berikut sedikit panduan yang boleh dipraktikkan dan Insya-Allah berkat doa dna usaha anda selama ini, keharmonian rumahtangga tetap terpelihara.

1 Jangan ikutkan perasaan
 Hubungan suami isteri ada pasang dan surut. Pertelingkahan kecil adalah normal. Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi suami isteri. Ada waktu-waktu tertentu mungkin si isteri merasakan perhatian dan belaian suami tidak sehangat sebagaimana waktu baru berkahwin dulu. Perasaan sensitif terhadap perubahan ini menyebabkan isteri tertanya-tanya adakah cinta suaminya sudah berkurangan atau adakah suaminya sudah beralih kasih kepada perempuan lain?
     Sebagai seorang isteri dan muslimah yang matang, anda jangan terlalu cepat membuat kesimpulan dan mengikut perasaan. Mungkin rasa sayangnya masih kukuh malah bertambah, cuma yang kurang hanyalah tindakan atau ekspresinya sahaja.
     Anda harus sedar dan menerima hakikat, pemberian hadiah atau pelbagai kad ucapan bukan kayu pengukur terhadap hubungan tersebut. Jangan ikutkan perasaan dan bersikap positiflah terhadap perubahan tersebut. Secara perlahan anda tidak akan terlalu mendesak agar kemahuan dituruti oleh suami yang semakin sibuk dengan urusan kerja mencari nafkah keluarga. Anda perlu bersikap lebih realistik. Buang jauh-jauh segala andaian jahat yang menghantui fikiran anda. Sebaiknya cuba berbincang dan terbuka mengenainya.

2 Memberi kejutan kecil
Komunikasi dua hala adalah antara faktor wujudnya keharmonian rumahtangga. Tiada perasaan memendam rasa di hati pasangan. Keterbukaan ini bukan sahaja terhad kepada tutur bicara tetapi juga mencakupi bagaimana pasangan bertindak balas dengan melakukan beberapa perkara yang disukai oleh pasangannya. Secara fitrahnya, isteri memang sukakan kepada perhatian dan belaian suami namun ini tidak bermakna suami tidak memerlukan itu semua kerana dia juga manusia biasa dan mempunyai perasaan walaupun tidak sepeka wanita.
     Melaksanakan itu semua, anda harus memahami dan mengenali suami anda dengan mengetahui apa yang digemari dan kurang digemarinya. Sebagai contoh anda boleh membuat sedikit kejutan kecil dengan mengadakan satu jamuan makan malam yang romantis untuk anda berdua. Tampilkan suasana tenang dan aman agar dapat mengembalikan kenangan perhubungan mesra anda sewaktu di awal perkahwinan dulu. Cara ini sedikit sebanyak akan menyentuh perasaan suami dan dia pasti berasa dihargai malah kasih sayangnya kepada anda semakin menebal.

3 Sentiasa tampil cantik dan kemas
Jika sebelum berkahwin anda adalah manusia yang paling bergaya dan sentiasa tampil menawan. Pastikan anda mengekalkan keadaan itu walaupun telah berkahwin dan mempunyai anak yang ramai. Jangan jadikan kesuntukan masa untuk bersolek menghalang anda tampil menawan di mata suami. Penampilan yang tidak terurus akan mematahkan selera suami untuk bermesra dan pastinya sedikit sebanyak rasa sayang tersebut tergugat. Jika tidak kerana suami sekalipun, sekurang-kurangnya anda tampil cantik dan jelita untuk kepuasan diri. Anda boleh mencuri-curi masa dengan izinnya pergi ke pusat rawatan badan, pusat gymnasium untuk meningkatkan stamina tubuh badan. Badan yang sihat mampu merangsangkan hubungan anda sewaktu berjimak.

4 Tunjukkan kemesraan
Belaian penuh mesra yang tidak berubah semenjak berkahwin merupakan salah satu faktor membantu salah satu faktor membantu mengekalkan keharmonian rumahtangga. Setiap saat bersama perlu diisi dengan suasana dan layanan istimewa untuk suami dan begitu juga untuk isteri. Yakinkan pasangan masing-masing bahawa kehadirannya membawa makna yang besar dalam hidup dan anda sangat memerlukannya. Baik ketika melayani suami di meja makan atau melayani isteri di kamar tidur.

Tip mencari kebahagiaan di akhirat bagi isteri solehah

1 Selain dari taat kepada Allah SWT dan Rasulnya, wajib ke atas muslimah untuk mematuhi segala arahan dan larang-Nya.
2 Selagi suami tidak mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan suruhan agama, wajib bagi isteri memenuhi permintaan suami.
3 Jangan sekali-kali anda meninggikan suara di hadapan suami jauh sekali merendah-rendahkannya.
4 Bersyukur adalah satu perbuatan yang mulia. Isteri yang baik akan sentiasa memanjatkan kesyukuran ke atas apa yang dikurniakan kepadanya dan ia termasuklah menerima kekurangan suami dengan reda.
5 Hak suami harus didahulukan berbanding dengan orang lain mahupun diri anda sendiri. Sentiasa tunjukkan akhlak yang baik, penuh berhemah dan menyayangi suami dengan penuh kasih sayang tanpa berbelah-bahagi.
6 Sebaik-baiknya cuba elakkan sebarang perkara yang menyakiti hati suami, jika berlaku tanpa disengajakan, segeralah memohon maaf daripadanya.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Rabu, 17 Julai 2013

Jimak di Bulan Puasa Makanan Uji Prestasi

"Isteri itu seumpama ladang untuk bercucuk tanam. Si suami boleh mendatanginya pada bila-bila masa yang diingininya. Namun begitu terdapat juga larangan untuk melakukan hubungan seksual dengan isteri seperti di siang hari bulan Ramadan, ketika dalam ihram, di dalam rumah ibadah(masjid), ketika haid, nifas dan di tempat terbuka.."
Ada di kalangan kita tertanya-tanya sejauh mana hubungan intim suami isteri dibenarkan sepanjang bulan puasa. Ada memberi alasan bimbang mendapat kurang pahala berpuasa dan ada juga kepenatan. Hakikatnya hubungan seumpamanya tidak menimbulkan sebarang masalah. Cuma perlu tahu apa yang dibenarkan sahaja.
Kita perlu tahu membezakan antara yang wajib dan sunah agar kita dapat melakukannya dengan lebih tenang dan ikhlas. Wajar seorang isteri melayani suaminya di bulan puasa malah wajib kerana ia juga ibadah. Syak-wasangka apabila pasangan enggan mengadakan hubungan intim (jimak) seharusnya tidak berlaku. Sebaik-baiknya dan adalah sunah hubungan dilakukan sesudah berbuka puasa malah pasangan akan mendapat pahala yang besar.
Muhasabah Diri
Menurut Dr Diwana  dari Bahagian Obstetri dan Ginekologi, ramai pesakitnya mengadu gagal menikmati hubungan ini dengan baik. Antara faktor utama ialah sepanjang bulan puasa, libido akan menurun kerana perubahan hormon. Akibatnya ghairah berjimak menurun. Bagi menjalankan ibadah puasa dan hubungan suami isteri lebih bermakna setiap pasangan perlu muhasabah atau melihat kekurangan dan kekuatan diri sendiri.
Makanan Berkalori
Antara yang perlu diperhatikan ialah kaedah pengambilan makanan yang mengandungi kalori, protein dan mineral tinggi seperti ayam, daging, kerang, udang, kekacang, tauhu dan sebagainya. Mengambil makanan manis semasa berbuka juga sangat disyorkan kerana gula dapat membekalkan kalori yang diperlukan seperti kurma, kismis atau buah-buahan segar. Pengambilan makanan seumpamanya mampu memulihkan tenaga.
Makanan Pedas
Memakan ikan atau makanan yang mengandungi rempah-ratus seperti lada putih dan lada hitam mampu menambah ghairah berjimak. Apa yang penting di sini ialah makan makanan yang bergizi dan cukup agar tubuh segar bertenaga sepanjang hari. Tidur juga harus cukup iaitu lebih kurang tujuh jam sehari dan jangan lupa mengambil vitamin tambahan. Bagi yang biasa bersukan, lakukan aktiviti ringan seperti berjalan kaki di petang hari.
Membeli Makanan atau Berbuka Di Luar
Memandangkan aktiviti berjimak dilakukan pada sebelah malamnya maka lebih baik bebanan kerja dikurangkan sedikit agar waktu bermesra dapat dinikmati bersama. Apa salahnya jika sekali-sekala membeli makanan atau berbuka diluar sahaja.
Mandi Selepas Berjimak
Sepanjang berpuasa pada siang hari, anda digalakkan memakai pakaian yang sopan agar dapat mengurangkan ghairah suami. Bagaimanapun, setelah menunaikan sembahyang Tarawih dan bersiap-sedia untuk masuk tidur, tidak salah jika anda melakukan sesuatu yang dapat menaikkan semangat suami selain membantu merangsang hormonnya seperti memakai wangi-wangian atau mengenakan baju tidur bersih, halus dan menghairahkan. Sebaik-baiknya juga, sebelum dan selepas berjimak, bersihkan diri anda agar sentiasa berada dalam keadaan suci dan menyenangkan. Jangan malas mandi selepas selesai berjimak. Bagaimanapun ini tidak bermakna anda perlu mandi seumpama mandian biasa, cukup sekadar membasahi diri dari hujung rambut ke hujung kaki. Tidak perlu bersabun atau syampu kerana ini akan mengambil masa yang lama. Setelah bangun pagi untuk bersembahyang Subuh, barulah mandi junub sebagaimana yang diperintahkan agama bagi mensucikan kembali diri.

- Sumber dari NUR November 2002 -




Selasa, 2 Julai 2013

Amalan & Adab Berjimak

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajatnya kepadanya dan kemudian dia menceritakan rahsia itu."

1 Sembahyang Sunat dan Surah
Islam telah menggariskan amalan dan adab tertentu ketika pasangan suami isteri melakukan jimak. Pasangan pengantin baru contohnya digalakkan melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan kemudian si suami dianjurkan pula supaya membaca Surah al-Fatihah (3 kali), Surah al-Ikhlas (3 kali) dan memanjatkan selawat ke atas nabi Muhammad S.A.W. (3 kali). Selepas itu, si suami hendaklah berdoa kepada Allah agar hubungan mereka suami isteri diberkati dan diberikan kebahagiaaan yang berkekalan.
2 Membersihkan kemaluan dan ambil wuduk
Selepas melakukan hubungan jimak, kedua-duanya hendaklah membasuh kemaluan dan jika hendak mengulanginya, dianjurkan agar mereka mengambil wuduk terlebih dahulu bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang.
3 Pasangkan niat
Hubungan seksual memberi erti kata yang lebih bermakna daripada memuaskan nafsu ke dua belah pihak semata-mata. Sebaiknya sebelum melakukan hubungan seksual dengan pasangan, pasangkan niat di hati bahawa hubungan seksual tersebut adalah untuk memenuhi kewajiban kepada Allah S.W.T. Pasangan yang melakukan hubungan seksual mengikut adab yang ditentukan akan mendapat pahala dari Allah.
4 Bercumbu dengan sopan
Ketika melakukan hubungan seksual, keduanya digalakkan untuk bercumbu dan melakukan dengan baik dan sopan. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:"Dan pergauli isteri-isterimu dengan cara yang baik." Teknik bercumbu mampu menghilangkan rasa malu di hati isteri ketika disentuh oleh suami. Sentuhan dan cumbuan juga merupakan bukti kasih sayang si suami kepada isterinya.
5 Mencapai kepuasan bersama
Apabila menyentuh tentang soal kepuasan dalam hubungan seksual suami isteri, si suami haruslah memahami kehendak seksual isterinya. Si suami hendaklah memberi peluang kepada isterinya untuk mencapai kepuasan setanding dengan kepuasan yang dirasainya.
6 Jangan berbogel
Ketika bersama, keduanya dilarang melucutkan semua baju dari tubuh. Ini ditekankan lagi dengan hadis Nabi Muhamad S.A.W. yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah yang bermaksud : "Apabila salah seorang darimu menyetubuhi isterinya, maka janganlah mereka telanjang seperti bogelnya sepasang keldai."
7 Berhias dan memakai wangi-wangian
Sebelum melakukan hubungan seksual, baik suami mahupun isteri digalakkan untuk membersihkan diri dan memakai wangi-wangian. Isteri yang bijak seharusnya bersolek dan memakai pakaian yang indah-indah untuk menarik hati suaminya.
8 Sunat dua kali seminggu
Adalah disunatkan agar si suami melakukan hubungan seksual dengan isterinya dua kali seminggu. Bagaimanapun pasangan boleh menambah atau mengurangkannya sesuai dengan keadaan, kemampuan dan keinginan pasangan. Kerap melakukan hubungan seksual boleh menyebabkan rasa jemu. Terlalu jarang melakukannya pula boleh membuatkan isteri merasa dipinggirkan.

- Sumber dari NUR November 2002 -




Rabu, 13 Jun 2012

Jimak Untuk Kesihatan Dan Kebahagiaan

Suami akan lebih merasa dihargai jika isteri tidak menolak untuk diajak melakukan jimak. Malah jimak merupakan ibadah yang bermanfaat untuk kesihatan dan kebahagiaan manusia. Islam lebih mengutamakan layanan terhadap suami daripada ibadah sunat sendiri. Sebab itulah setiap wanita patut mendahului ajakan suaminya walau dalam keadaan apa sekalipun.

Apabila isteri sedang berpuasa sunat dan suami mengajak untuk berjimak, maka wajib baginya membatalkan puasa tersebut. Kerana itulah jika isteri ingin mengerjakan puasa sunat, wajib baginya untuk meminta izin suami terlebih dahulu. Hubungan seks akan dinikmati sepenuhnya apabila kedua-duanya saling memberi dan menerima. Tiada larangan bagi pasangan untuk melakukan jimak seberapa kerap yang mereka mahu asalkan tidak memudaratkan tubuh badan. Jimak boleh dilakukan menurut kemampuan tubuh masing-masing. Oleh kerana jimak ada pengaruhnya terhadap kesihatan, maka seseorang perlu mengatur masa dan mengikut peraturan ketika melakukannya.

Mengikut Imam Syafie ada tiga malam dalam seminggu yang hukumnya sunat melakukan jimak iaitu malam Jumaat, malam Isnin dan malam Khamis. Rasulullah s.a.w. dikatakan akan mendekati isteri-isteri baginda pada malam-malam yang disebutkan itu.

Pendapat Muhammad Ali Quth pula, batas yang paling baik bagi pasangan muda berjimak tidak melebihi dua kali seminggu, kecuali bagi mereka yang sedang berbulan madu. Bagi Ibnu Al Jauzy pula, pasangan yang baru berkahwin pula hendaklah berhati-hati jangan terlampau kerap berjimak sehingga menjejaskan kesihatan.

Bagaimanapun bagi pasangan dewasa jangan pula terlalu menjarangkan masa bagi berjimak, kerana ia akan menurunkan nafsu berahi. Sebahagian orang salaf mengatakan bahawa apabila sebuah perigi itu jarang ditimba, airnya boleh hilang dengan sendirinya.

Seni Jimak

1. Jangan memaksa menaikkan syahwat untuk berjimak kerana ia boleh merosakkan kesihatan.
2. Tidak melakukannya berlebihan kerana ia akan membuatkan badan menjadi lemah dan lesu, badan menjadi kering kerana terlampau banyak hormon yang keluar, melemahkan fikiran dan minda serta menyebabkan timbul rasa malas untuk melakukan pekerjaan.
3. Apabila keinginan syahwat timbul, usahakan tidak dalam keadaan terlalu kenyang atau terlalu lapar. Lakukan jimak ketika makanan sudah benar-benar hadam.
4. Masa yang baik untuk berjimak ialah pada waktu malam yang hening.
5. Berjimak dengan orang yang dicintai lebih nikmat dan menyenangkan.
6. Usahakan tubuh anda berada dalam keadaan bersih serta memakai wangi-wangian. Elakkan membicarakan masalah rumahtangga apabila pasangan anda menunjukkan tanda ingin melakukan jimak. InsyaAllah, hubungan anda berdua akan menghasilkan tubuh dan minda yang sihat selamanya.

Mendapat Pahala

Islam adalah agama yang sangat mudah dan sentiasa memberi kesenangan kepada penganutnya. Ramai di kalangan kita sering kali menganggap sukarnya untuk mencari pahala. Sering bermain di fikiran, untuk mendapat pahala kita perlu melakukan ibadah dan apabila disebut ibadah kita selalu menggambarkan muslim yang sedang duduk di atas sejadah sambil berzikir, berdoa dan sebagainya. Kita juga sudah terbiasa dengan anggapan ibadah itu senagai rukun yang wajib dilaksanakan seperti berpuasa, sembahyang, membayar zakat dan membantu insan lain.

Sebenarnya jauh daripada itu, ibadah dan pahala yang dijanjikan oleh Allah swt sangat mudah untuk kita laksanakan dan perolehi. Mungkin kita tidak sedar, dalam sehari banyak pahala yang boleh kita dapat dalam perbuatan seharian. Ia tidak memerlukan kita berzikir 24 jam, tidak perlu memperbanyakkan sembahyang sunat atau beriktikaf di dalam masjid sepanjang masa. Apa yang perlu ialah setiap perbuatan dan amalan seharian kita perlu dilakukan dengan ikhlas dan perlulah mendapatkan keredaan Allah. Jika ini sentiasa ada dalam ingatan kita, insyaAllah setiap masa perbuatan kita dikira ibadah.

Begitu jugalah halnya ketika kita melakukan seks antara anda dengan pasangan hanya untuk kepuasan batin dan mengecapi nikmat berumahtangga semata-mata. Tidak ramai di kalangan kita yang sedar dan tahu bahawa hubungan seks antara suami isteri itu sebenarnya adalah ibadah dan kita melakukannya. Seorang ulama pernah berkata, "Jika orang yang benar-benar hendak mendapatkan kemenangan hidup di dunia dan di akhirat, mereka hendaklah memikirkan masalah yang kecil-kecil sekalipun dalam soal bersenda gurau antara suami isteri".

Cara Jimak Mengikut Islam

1. Mengucapkan salam kepada isteri dengan menyebut; "Assalamualaikum yaa baabar Rohmaan" yang bermaksud, "Keselamatan atas kamu, hai pintu yang Maha Pengasih"
2. Dijawab oleh isteri; "Waalaikum salam ya sayyidal amiin" (Dan di atas kamu pula keselamatan, hai tuan yang dipercayai). Kemudian suami mengucup tangan isterinya sambil mengucapkan: "Rodhiitu billaahi robbaa" (Aku telah reda Allah itu Tuhanku)
3. Sambil itu suami membuka baju isterinya sambil membaca selawat sebanyak tiga kali. "Allahumma solli'alaa Muhammad wa'alaa aali Muhammad" (Ya Tuhan kami, berilah kesejahteraan atas Nabi Muhammad dan atas keluarga Nabi Muhammad)
4. Kemudian hendaklah dicium ubun-ubunnya dan dibacakan doa yang bermaksud: (Ya Maha lemah lembut cahaya Allah di atas segala cahaya. Telah menerangkan cahaya itu atas siapa yang ia kehendak). Waktu ini, seolah-olah didoakan di tempat yang paling lembut (sewaktu masih bayi) agar dimasuki cahaya yang lembut (ada juga cahaya yang terang benderang umpama cahaya matahari sehingga menyilaukan mata) semoga dengan kelembutan cahaya itu dapat menerangi hati isteri.
5. Sewaktu dikucup ubun-ubun sambil didoakan, tentu isteri akan rasa tenggelam di dalam lautan khayal dan nikmat. Diteruskan pelayaran agar sampai ke destinasinya, si suami mencium pula telinga kanan si isteri sambil melafazkan secara perlahan, yang maksudnya: "Di dalam pendengaran engkau Allah yang Maha Mendengar".
6. Walaupun isteri berada di dalam nikmat, masih diingatkan, Allah Maha Mendengar segala bisikan hambaNya.
7. Kemudian dicium pula telinga yang sebelah kiri dan ditiup ke lubang telinganya dengan nafas yang lembut sambil membaca: "Ya Tuhan kami sesungguhnya kami bukakan bagimu kemenangan yang nyata".
8. Bayangkan bertambah berdebarlah dada isteri. Nah begitulah dibangkitkan kengairahannya. Biarpun dalam nikmat masih diingatkan kehadiran Allah yang sentiasa bersama hamba-hambaNya.

Jadi sekarang bagaimana? Alangkah ruginya jika selama ini kita tidak tahu akan nikmat yang  telah Allah janjikan kepada pasangan suami isteri setiap kali mereka melakukan jimak. Namun masih belum terlambat untuk kita memulainya sekarang, selain rasa nikmat, pahala juga kita dapat.

- Sumber NUR Pengenalan -