Memaparkan catatan dengan label Hadis dan Falsafah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis dan Falsafah. Papar semua catatan

Jumaat, 13 Disember 2013

Kewajipan Bersedekah

10 Safar 1435

Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a., berkata:
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Setiap orang Islam berkewajipan untuk bersedekah." Para sahabat bertanya, "Kalau tidak ada apa-apa?" Rasulullah menjawab "Ia berusaha dengan kedua-dua tangannya, lalu ia mendapat manfaat bagi dirinya dan ia bersedekah."
     Mereka bertanya;
     "Kalau ia tidak sanggup, atau tidak melakukannya?"
     Rasulullah menjawab;
     "Ia membantu orang yang menderita dan orang
     yang memerlukan bantuan."
     Mereka bertanya;
     "Kalau tidak dilakukannya?"
     Rasulullah menjawab;
     "Ia menyuruh melakukan kebaikan."
     "Kalau ia tidak melakukannya?"
     Baginda menjawab;
     "Ia menahan diri untuk melakukan kejahatan. Itu
     bererti bersedekah baginya."

Jumaat, 6 Disember 2013

Akhlak Seorang Isteri

3 Safar 1435

     Menjaga kemuliaan dan perasaan suami dituntut dalam Islam. Penampilan seorang isteri di rumah perlulah memikat suami, berbicara dengan tutur kata yang ramah dan selalu membuat perasaan suami senang dan bahagia.
     Ketika Asma' binti Kharijah Al-Fazariyah menyerahkan anak perempuannya kepada suaminya di malam pernikahannya, ia berpesan;
"Wahai anakku, sesungguhnya engkau telah keluar dari
kehidupan yang engkau kenal, sekarang engkau
akan berada di ranjang yang belum pernah engkau ketahui,
bersama pasangan yang belum sepenuhnya engkau kenali.
Kerana itu, jadilah engkau bumi baginya dan dia akan menjadi
langit bagimu, jadilah engkau hamparan baginya dan dia akan
menjadi tiang bagimu, jadilah engkau budak baginya dan
dia akan menjadi hamba sahaya bagimu. Janganlah engkau
menentangnya, sehingga ia melupakanmu. Jika ia menjauh
darimu maka menjauh pulalah engkau darinya, dan jagalah
hidungnya, pendengarannya dan matanya; jangan sampai ia
mencium darimu kecuali yang harum, janganlah ia mendengar
kecuali yang baik dan jangan ia memandang kecuali yang
cantik."

Jumaat, 29 November 2013

Kerana Seorang Wanita

Dari Usamah bin Zaid dia berkata, Rasulullah
s.a.w. bersabda;
"Aku tidak meninggalkan cubaan sesudahku yang
lebih mendatangkan mudarat bagi kaum laki-laki
selain dari wanita"
(Ditakhrij Asy Syaikhani dan At-Tarmidzi)
Keberadaan mereka dianggap mendatangkan
mudarat, kerana berahi kaum laki-laki lebih
cenderung kepada wanita. Di samping itu,
seringkali terjadi pelanggaran yang haram,
pembunuhan dan permusuhan kerana wanita.
Namun wanita solehah itu tetap mulia di sisi
Tuhan. Banyak pengorbanan dilakukan oleh
wanita, dan secara meluasnya wanita juga
mendorong untuk kita mencintai dunia.


Jumaat, 22 November 2013

Boros

18 Muharram 1435

Dalam al-Quran juga telah menyebut agar tidak berlaku boros.
Rasulullah s.a.w. sendiri telah menganjurkan
untuk menabung selagi tidak ada yang
mendesaknya untuk berbelanja. Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud;
"Berhikmat (ekonomis) adalah separuh dari kehidupan"
Dalam hadis lain disebutkan yang bermaksud
"Tidak akan menjadi fakir (miskin) bagi
mereka yang berhikmat"
Dalam hadis lain yang bermaksud;
"Barangsiapa yang berhikmat akan dikayakan oleh
 Allah dan barangsiapa yang boros maka Allah akan
memberikan kemiskinan baginya".




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Jumaat, 15 November 2013

Memberi Nasihat

11 Muharram 1435

Berkata Rasulullah s.a.w.
"Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan tolonglah saudaramu yang dizalimi"

          Salah seorang sahabat berkata, "Kita
          boleh menolong orang yang dizalimi namun
          bagaimana mungkin menolong orang yang berbuat zalim?"
          Rasulullah saw menjawab, "Mencegahnya
          agar jangan berbuat kezaliman. Itulah
          bagaimana cara menolongnya" -
          (Diriwayat Bukhari)




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Jumaat, 8 November 2013

Berpakaian

4 Muharram 1435

Penampilan seorang wanita seringkali
   dilihat dari beberapa sudut. Selain
      kecantikan dan cara mereka berhias,
         cara berpakaian juga seringkali menjadi
           perhatian. Berpakaian bagi muslimah
               ada syariatnya. Ia tidak melanggar
                  syariat yang telah dianjurkan oleh Islam.
Diriwayatkan, beberapa orang wanita Bani Tamin datang ke rumah Aisyah RadhiyallahuAnha, berpakaian tipis semuanya. Maka berkata Aisyah kepada mereka,
"Jika kamu wanita Mukmin, tidak begini
caranya wanita-wanita Mukmin berbusana. Jika
kamu bukan wanita Mukmin, kalian boleh puas
dengan busana yang kalian pakai itu."





- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Poligami

Poligami itu seumpama kepercayaan seorang muslim pada dirinya sendiri, bahawa dia akan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Segala keperluan seperti makan, minum, pakaian, rumah, tempat tidur dan nafkahnya.
     Jika dia tidak yakin akan dapat menunaikan hak-hak yang tersebut itu dengan penuh keadilan dan persamaan, haramlah baginya untuk berkahwin lebih dari seorang isteri saja.
Sebagaimana Firman Allah bermaksud;
     Jika kamu bimbang dirimu tidak akan berlaku adil,
     maka tetaplah dengan seorang saja - (An-Nisa':3)
Bersabda pula Nabi Muhammad s.a.w.:
    "Barang siapa yang mempunyai dua orang isteri,
     lalu dia condong kepada yang satu dari yang lain,
     nanti dia datang di hari kiamat dengan menyeret
     sebelah bahunya dalam keadaan senget atau berat
     sebelah" - (Riwayat Ash - Habus - Sunan - Sunan, Ibnu Hibban dan Hakim)




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Jumaat, 1 November 2013

Adab Berbicara

"Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara, sehingga timbul keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik" - (Al-Azhab:32)

Begitulah adab berbicara yang diperintahkan Allah kepada para isteri Nabi Muhammad s.a.w. yang harus diikuti pula oleh setiap wanita muslimah. Allah memerintahkan para wanita agar tidak melembutkan dan memerdukan suaranya bila berbicara dengan laki-laki asing.

Setiap perkataan yang baik lahir dari wanita yang baik juga. Oleh itu perolehkanlah budi bicara kita sebagaimana kita menginginkan orang lain berbuat perkara yang sama kepada kita.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Galakan memenuhi undangan

Umat Islam digalakkan memenuhi undangan
rakan atau saudara ke jamuan yang diadakan
oleh mereka, selagi jamuan tersebut diadakan
tanpa melanggar syariat. Hal ini diharap dapat
mengeratkan lagi silaturrahim dan berkenal-
kenalan antara satu sama lain.
Seorang sahabat, Ibnu Umar berkata,
Rasulullah bersabda, "Apabila kamu
diundang ke suatu jamuan makan,
hendaklah kamu penuhi undangan
tersebut."
Dalam satu hadis lain, Abdullah bin
Umar berkata, dia mendengar Rasulullah
bersabda, "Penuhilah suatu undangan
apabila kamu memang diundang
menghadirinya."

Dalam hal ini, seorang lagi sahabat, Nafi' berkata bahawa Abdullah bin Umar memang selalu memenuhi setiap undangan, sama ada undangan pesta perkahwinan atau lain-lain, bahkan ketika dia sedang berpuasa sekalipun dia tetap meluangkan masa memenuhi undangan tersebut.
(Riwayat Muslim)




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Jumaat, 25 Oktober 2013

Janji

Apabila berjanji, berusahalah untuk
   menunaikannya. Ini kerana janji
      diumpamakan seperti hutang atau suatu
         pemberian.
            Sabda Rasulullah s.a.w., "Janji
               adalah sebagai suatu pemberian."
                  (Riwayat Thabarani)
                     Sabda Baginda lagi, "Janji itu
                        adalah hutang." (Riwayat Thabarani
                           dan Abu Daud)

     Malah Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan perbuatan mengengkari janji adalah termasuk dalam tindakan orang yang munafik.
     Baginda bersabda, "Tiga perkara ini apabila ada pada seseorang, akan menjadikannya seorang yang munafik walaupun dia berpuasa dan bersembahyang iaitu, apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila dipercayai dia mengkhianati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Kediaman Yang Damai Dan Tenang

Seharian penat di pejabat, alangkah
 damainya ketika melangkah masuk ke rumah
  yang kemas lagi tenang. Kediaman yang
   damai dan tenang adalah satu kenikmatan
    yang dianugerahkan Allah kepada
     manusia. Walaupun ia kebahagiaan
      duniawi tetapi tetap dituntut selaras
       fitrah Islam yang meminta umatnya
       seimbang antara dunia dan akhirat.

Sebagaimana yang difirmankan Allah, "Dan Allah menjadikan buat kamu rumah-rumah sebagai tempat ketenangan bagi kamu."(an-Nahl:80)





- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Jumaat, 18 Oktober 2013

Islam Agama Persaudaraan

Selain bersaudara dengan sahabat
   seagama, umat Islam juga digalakkan
      berbuat kebaikan kepada sahabat
         yang bukan seagama dalam
            adabnya yang tersendiri. Secara
               tidak langsung, ia menterjemahkan
                  keindahan Islam yang menyukai
                     keamanan dan toleransi sesama
                        manusia tanpa mengira
                           sempadan agama.

Firman Allah, "Katakanlah, kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada para nabi dari tuhan mereka. Kami tidak membezakan antara seorang pun daripada mereka dan kami tetap menyerah (Islam) kepada-Nya." (al-Baqarah:136)




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Jumaat, 11 Oktober 2013

Penyakit ada ubatnya

Setiap penyakit ada ubatnya. Kerana itu, umat
Islam dianjurkan menjaga kesihatan sebagai
salah satu cara mengelakkan datangnya penyakit.
Bagaimanapun sekiranya seseorang diserang
sesuatu penyakit, mereka haruslah mengambil ubat
yang sesuai untuk mengelakkan penyakit melarat.
Apa sahaja kaedahnya dibolehkan, asalkan
tidak melanggar syariat dan membawa kepada kekufuran.

Dari sudut rawatan, Jabir berkata,
Rasulullah pernah bersabda, " Setiap penyakit
ada ubatnya. Apabila tepat ubat sesuatu
penyakit, tentu penyakit itu sembuh dengan
izin Allah."

Dalam suatu kisah yang lain, Jabir bin Abdullah berkata,
dia mengunjungi al-Muqanna yang sedang sakit. Kemudian
dia berkata, "aku tidak akan meninggalkan tempat ini
sehingga engkau berbekam." Jabir mendengar Rasulullah
bersabda, "Sesungguhnya berbekam itu adalah suatu cara
pengubatan (rawatan)."
(Riwayat Muslim)




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Jumaat, 4 Oktober 2013

Ikhlas Dalam Pekerjaan

Ikhlas dalam pekerjaan merupakan antara ciri-ciri kecantikan Islam. Perbuatan yang melewati batas etika seperti rasuah haruslah dijauhi dan dibenci. Secara tidak langsung, ini boleh mendidik manusia agar menjadi lebih bertanggungjawab dan menghormati adab dalam bekerja.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Bahawa Rasulullah telah melaknati orang yang menerima rasuah serta yang menjadi orang tengah untuk rasuah."
(Riwayat Ahmad dan Hakim)



- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Jumaat, 16 Ogos 2013

Adab Mengagungkan Seseorang

Tidak salah mengagungkan seseorang tetapi
haruslah dengan adabnya yang tersendiri.
Pengagungan tersebut walaupun berniat
baik untuk mengenangkan jasa orang yang
berbakti tetapi jangan keterlaluan dan
melampaui batasan. Malah Rasulullah s.a.w.
memberikan beberapa peringatan
yang jelas mengenai hal ini.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Jangan kamu
berlebih-lebihan dalam menghormatiku,
seperti yang dilakukan kaum Nasrani
ketika menghormati Isa bin Maryam.
Tetapi memadailah kamu dengan
mengatakan bahawa Muhammad
itu hamba Allah dan RasulNya."
(Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w., "Ya Allah, ya Tuhanku! Janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai tempat sembahan (yang biasa dibuat oleh penyembah berhala)." (Riwayat Malik)


- Sumber dari NUR Disember 2002 -






Selasa, 6 Ogos 2013

Nikmatnya bersedekah ke jalan ALLAH

Setiap yang diberikan oleh Allah SWT disyukuri sepenuh hati. Rezeki yang diperolehi dibahagi sama rata dengan menyedekah atau mendermakannya kepada insan yang memerlukan.

Sebagaimana firman Allah SWT:
"Maka (bertolaklah mereka dari Mesir, dan) setelah mereka masik mengadap nabi Yusuf, berkatalah mereka: ' Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk dijadikan tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan berdermalah kepada kami. Sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma'"
Surah Yusuf :ayat 88

- Sumber dari NUR Disember 2002 -







Jumaat, 2 Ogos 2013

Masa Depan Akan Datang Dengan Sendirinya

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah An-Nahl, ayat 1:
أَتَى أَمْرُ اللهِ فَلاَ تَسْتَعْجِلُوهُ.....
Sesuatu yang telah ditentukan ALLAH pasti akan datang, maka janganlah kalian minta untuk disegerakan.....
Oleh kerana itu, janganlah anda mendahului sesuatu yang belum terjadi! Apakah anda mahu mengeluarkan kandungan sebelum waktunya dilahirkan, atau memetik buah-buahan sebelum masak? Hari esok adalah sesuatu yang belum nyata dan dapat diraba; belum berwujud, dan tidak memiliki rasa dan warna. Lalu mengapa kita harus menyibukkan diri dengan hari esok, mencemaskan kesialan-kesialan yang mungkin akan terjadi padanya, memikirkan kejadian-kejadian yang akan menimpanya, meramalkan bencana-bencana yang bakal ada di dalamnya? Bukankah kita juga tidak tahu apakah kita akan bertemu dengannya atau tidak, dan apakah hari esok kita itu akan berwujud kesenangan atau kesedihan?
Yang jelas, hari esok masih ada dalam alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi sebuah jambatan sebelum sampai di atasnya. Sebab siapa yang tahu bahawa kita akan sampai atau tidak pada jambatan itu? Boleh jadi kita akan terhenti jalan kita sebelum sampai ke di atasnya. Dan boleh jadi pula, kita akan sampai pada jambatan itu dan kemudian menyeberanginya.
Dalam syariat, memberi kesempatan kepada fikiran untuk memikirkan masa depan dan membuka-buka alam ghaib, dan kemudian terhanyut dalam kecemasan-kecemasan yang baru diduga darinya, adalah sesuatu yang tidak dibenarkan. Kerana, hal itu termasuk thulul amal (angan-angan yang terlalu jauh). Sesungguhnya tindakan itu pun tidak masuk aqal, kerana sama halnya dengan berusaha perang melawan bayang-bayang. Namun kebanyakan manusia di dunia ini justeru banyak yang termakan oleh ramalan-ramalan tentang kelaparan, kemisikinan, wabak penyakit dan krisis ekonomi yang khabarnya akan menimpa mereka. Padahal, semua itu hanyalah sebahagian dar kurikulum yang diajarkan di 'sekolah-sekolah syaitan'.
الشَّيْطَنُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَآءِ, وَاللهُ يَعِدُكُم مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلاً
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemisikinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil, kedekut); sedang Allah menjanjikan kemu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya.... (Al-Baqarah : 268)
Mereka yang menangis sedih menatap masa depan, adalah yang menyangka diri mereka akan hidup kelaparan, menderita sakit selama setahun, dan memperkirakan umur dunia ini tinggal seratus tahun lagi. Padahal, orang yang sedar bahawa usia hidupnya berada di 'genggaman yang lain' tentu tidak akan menggadaikannya untuk sesuatu yang tidak ada. Dan orang yang tidak tahu bila akan mati, tentu salah besar bila justeru menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak diketahui secara pasti hakikatnya. Biarkan hari esok itu datang dengan sendirinya; janganlah anda menanyakan khabar beritanya, dan jangan pula anda menunggu waktu itu. Sebab, hari ini anda sudah sangat sibuk.
Jika anda hairan, maka lebih menghairankan orang-orang yang berani menebus kesedihan suatu masa yang belum tentu matahari terbit di dalamnya dengan bersedih pada hari ini. Oleh kerana itu, hindarilah angan-angan yang berlebihan.


- Sumber dari لا تحزن (Jangan Bersedih) oleh Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni m.s. 10-11






Jumaat, 26 Julai 2013

Hari Ini Milik Anda

Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.
Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini saja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.
Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda, sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan, masa lalu dengan berbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi masa itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan acapkali menakutkan.
Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari ini saja. Dan pada hari inilah, anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat yang paling khusyu', membaca dan memahami Al-Quran secara mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlaq, kerelaan dengan semua yang Allah berikan, perhatian terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.
Untuk hari ini, anda harus mulai membahagi waktu dengan bijak. Jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu; memelihara indahnya kehidupan, meminta ampunan dari berbagai dosa yang telah dilakukan, mengingati Tuhan, dan mempersiapkan diri untuk jauh (mengharapNya). Dengan demikian, hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram, serta menerima rezeki isteri, suami, anak-anak, tugas-tugas, tempat tinggal dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.

فَخُذْ مَآ ءَاتَيْتُكَ وَ كُنْ مِّنَ الْشَّكِرِين
"Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur" (Al-A'raf:144)

Hidup anda pada hari ini juga tanpa kesedihan, gangguan, kemarahan, kedengkian dan kebencian atau sakit hati.
Jangan lupa, hendaklah anda mengukir sebuah tulisan dalam hati anda atau di meja tempat anda bekerja: "Hari ini adalah milikmu," Yakni; apabila hari ini anda dapat memakan nasi yang harum baunya, maka apakah anda masih berfikir tentang nasi yang basi yang telah anda makan kelmarin, yang akan membahayakan kesihatan anda? Mungkin anda masih berfikir tentang nasi yang akan anda makan esok hari, padahal nasi tersebut masih ada dalam angan-angan.
Apabila pada hari ini anda dapat minum air dingin yang menyegarkan, maka mengapa anda harus bersedih atas air masin yang anda minum kelmarin, atau menginginkan air esok yang masin dan panas?
Seandainya anda percaya akan diri sendiri dan mampu mengerjakan segala sesuatu dengan semangat dan tekad yang kuat anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip; "masa hidupku hanyalah pada hari ini." Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda.
Dan itu, akan membuat anda berkata dalam hati: "Hanya hari ini aku berkesempatan untuk mengatakan yang baik-baik saja; tidak bercakap kotor dan yang menjijikkan, tidak akan pernah mencela, mengherdik dan juga membicarakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berkesempatan mengemas rumah dan pejabat agar tidak berserabut dan berselerak. Dan kerana hanya ini saja aku akan hidup, maka aku akan memperhatikan kebersihan tubuhku, kerapian penampilanku, kebaikan tutur kata dan tindak-tandukku. Kerana hanya akan hidup hari ini, maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Tuhanku, mengerjakan solat sesempurna mungkin, membekali diri dengan solat-solat sunat nafilah, berpegang teguh pada Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang bermanfaat yang ada di dalamnya. Aku hanya akan hidup hari ini, kerana itu aku akan menanam dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan yang kutanam sampai akar-akarnya, dan mematahkan ranting-rantingnya yang berduri; seperti sifat takabur, ujub, riya' dan buruk sangka. Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan, maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapapun. Aku akan menjenguk mereka yang sakit, menghantarkan jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang sedang kesulitan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihani mereka yang menderita, menghormati orang-orang yang alim, menyayangi anak kecil, dan berbakti kepada orang tua. Aku hanya akan hidup hari ini, maka aku akan mengucapkan: " Wahai masa lalu yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi kepergianmu, dan kamnu tidak akan pernah melihatku termenung sedetik pun untuk mengingatmu. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tidak akan kembali lagi." "Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban! Maka aku tidak akan pernah bermain dengan khayalan dan menjual diri hanya untuk sebuah dugaan. Aku pun tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, kerana esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan.""
"Hari ini milik anda", adalah ungkapan yang paling indah dalam "kamus kebahagiaan", kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenangkan.


- Sumber dari لآ تَحْزَن oleh Dr 'Aidh bin Abdullah Al- Qarni -




Jumaat, 12 Julai 2013

Yang Lalu, Biarlah Berlalu

Mengingati masa lalu dan menghadirkan kembali dalam kehidupan kita sekarang, kemudian bersedih di atas kedukaan dan kegagalan di dalamnya merupakan suatu tindakan yang bodoh dan gila. Itu, sama ertinya dengan menuduh semangat, membunuh harapan dan menghalangi orang untuk menjalani kehidupan seadanya.
Bagi orang yang berfikir, peristiwa masa lalu akan dilipat dan tidak akan dilihat kembali. Kita harus mengurung dan melupakannya di dalam penjara, mengikatnya dengan tali yang sangat kuat agar tidak dapat keluar dan melihat cahaya. Kerana bagaimana[un, berbagai peristiwa tersebut hanya sebahagian dari masa lalu dan sekarang semuanya telah berakhir.
Dengan demikian, tidak akan ada lagi kesedihan, kedukaan dan kegagalan lain. Semuanya tidak akan dapat berulang dan hidup kembali, kerana ianya memang sudah tiada.
Janganlah anda hidup di dalam mimpi-mimpi buruk di masa lalu, atau di bawah bayang-bayang kesedihan masa lalu. Angkatlah diri anda dari fantasi tersebut! Apakah anda mengharapkan matahari kembali ke tempat asalnya, bayi ke perut ibunya, air susu kembali ke payu dara si ibu, dan air mata ke dalam kelopak mata, padahal semuanya hanya akan mengalirkan kembali air mata anda?
Dengan kembali ke masa lalu, bererti anda akan merasakan kembali keresahan. Masa lalu tak ubahnya api yang akan terus membakar dan melemparkan diri ke masa lalu dan hal tersebut merupakan keadaan yang sangat menyedihkan, sekaligus menakutkan.
Membuka kembali lembaran masa lalu hanya akan merosakkan suasana yang ada dan menyia-nyiakan perjuangan yang selama ini sudah dilakukan. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengingatkan kita dengan umat pada masa lalu serta apa yang telah mereka perbuat:
...تِلْكَ أٌمَّةٌ قَدْ خَلَث
"Itulah umat yang telah lalu..." (Al-Baqarah:134)
Semuanya telah berlalu dan tidak akan berulang kembali. Dan tidak ada manfaatnya memutar roda sejarah sekadar untuk melukiskan bencana pada zaman itu.
Orang yang berusaha kembali ke masa lalu, adalah tidah ubahnya seperti orang yang menggiling tepung, padahal dirinya sendiri tergiling di dalamnya. Ada ungkapan nenek-moyang kita dahulu yang patut direnungkan oleh orang yang menangisi masa lalu: " Janganlah kalian mengeluarkan mayat-mayat itu dari kuburnya."
Dalam sebuah riwayat diceritakan, bahawa terdapat segolongan orang yang mengerti bahasa binatang. Orang-orang tersebut bertanya kepada keldai: "Mengapa engkau tidak mahu merenungi apa yang telah berlaku?" Keldai itu menjawab:"Kerana aku tidak suka kebohongan."
Bencana dapat menimpa bila kita lemah menghadapi masa kini dan menyibukkan diri dengan masa lalu. Kita menyia-nyiakan keindahan istana yang kita milikki dan mempertaruhkan semuanya demi sebuah penampilan masa lalu yang telah usang. Padahal, seandainya seluruh manusia dan jin bersatu untuk mengembalikan semua hal yang telah berlalu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya, kerana pada dasarnya semua itu mustahil.
Manusia sebenarnya tidak perlu melihat masa lalu dan memalingkan wajahnya ke belakang, kerana angin akan terus berhembus ke depan; air akan mengalir ke depan; setiap kafilah akan berjalan ke depan. Oleh kerana itu, janganlah menyalahi sunnah kehidupan.


- Sumber dari لآ تَحْزَن oleh Dr 'Aidh bin Abdullah Al- Qarni -




Jumaat, 5 Julai 2013

Merenunglah dan Bersyukurlah

Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat yang Allah kurniakan kepada anda. Kerana nikmatNya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada anda.

....و إن ثعدّوأ نعمث الله لا ثحصوهآ...
"....sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya..." (Ibrahim:34)

Demikian besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada anda. Dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk anda, tetapi anda tidak pernah menyedarinya; anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

....وأسبغ عليكم نعمه ظهرة و باطنة...
"...Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin..." (Luqman:20)

Anda telah diberi sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

فبأيّ ءالآ ء ربّكما تكذّبان
"Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?" (Ar-Rahman:13)

Apakah anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah anda merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata, sementara masih banyak manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya? Pernahkah anda merasa nikmat ketika anda dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman yang dingin, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?
Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan anda dari ketulian; penglihatan anda terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikan juga fungsi otak anda! Allah telah memberikan kesihatan aqal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah anda, namun anda bisu? Apakah anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butiran-butiran pertama dan berlian, tetapi anda kudung?
Anda sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya anda tidak menyedari. Bahkan, anda hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal anda masih memilikki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nyenyak, dan kesihatan anda yang stabil.
Anda acapkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga anda lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan anda. Anda merasa sedih kerana kekurangan material, padahal anda masih memilikki kunci kebahagiaan, memilikki setumpuk kebaikan, kenikmatan, dan masih banyak yang lainnya. Oleh kerana itu, renungkanlah dan bersyukurlah!

وفى انفسكمْ أفلا تبصرون
"Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikan?" (Adz-Dzariyat:21)

Lihatlah diri anda, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat dan dunia sekeliling anda. Dan janganlah termasuk di dalam golongan:
...يعرفون نعمث ألله ثم ينكرونها
"Mereka mengetahui bahawa nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkari..." (An-Nahl:83)



- Sumber dari لآ تَحْزَن oleh Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni -