Memaparkan catatan dengan label Penampilan Diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penampilan Diri. Papar semua catatan

Khamis, 31 Oktober 2013

Sejauh mana anda kenal BEDAK ASAS ?

26 Zulhijjah 1434

Bedak asas (foundation) merupakan lapisan kosmetik asas yang utama untuk menjadikan wajah kelihatan licin, cantik dan berseri. Walaupun wajah anda dipenuhi dengan jerawat kecil, pilihan bedak asas yang betul dapat mengurangi kesan kehadiran jerawat tersebut. Selain itu ia juga mampu melembab, menyerap minyak dan melindungi kulit daripada sinaran matahari.

Pilihan bedak asas yang betul
Sewaktu membeli, pastikan anda mengenalpasti jenis kulit anda sama ada berminyak, kombinasi atau kering. Pastikan juga kulit anda tidak alah atau bermasalah apabila menggunakan bedak asas.
* Kulit berminyak : Pilih bedak asas kusam bagi mengurangkan kesan kilatan.
* Kulit kering : Gunakan bedak asas yang mengandungi pelembab agar kulit kelihatan segar sepanjang hari.
* Kulit bermasalah : Gunakan bedak asas yang mengandungi bahan berubat yang akan merawat kulit seiring dengan melindungi wajah.
* Kulit berbalam atau tompok gelap : Pastikan anda menggunakan bedak asas yang lebih pekat dan mampu memberi sapuan rata ke seluruh wajah.
     Apabila telah mengenalpasti bedak asas yang diperlukan, jangan lupa untuk mengujinya. Sapu sedikit pada rahang muka berhampiran telinga dan biarkan ianya seketika bagi membolehkan bedak asas yang baik seharusnya sama atau hampir sama dengan warna kulit leher anda.

Menyapu bedak asas
Sapu dan ratakan bedak asas pada wajah yang bersih dan telah berpelembab. Pelembab membantu mengelakkan kesan tidak sekata atau kering pada kulit kering. Anda boleh gunakn hujung jari atau span lembab bagi meratakan bedak asas tersebut. Sebelum menyapu rata, pastikan rambut anda diikat ke belakang dan sapukan bedak dengan urutan ke atas dan keluar wajah. Setelah berpuas hati dengan kesan sapuan tadi, anda boleh menyapu bedak debu dan akhir sekali, untuk sentuhan terakhir gunakan berus wajah besar bagi meratakan lagi sapuan bedak debu.

Tip bedak asas
1 Bedak asas tahan lama : Menghasilkan sapuan rata dan menakjubkan pada wajah, pastikan anda telah menyapu pelembab sebelum menggunakan bedak asas. Cara ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan bedak asas tetapi juga memberi kesan lembapan tambahan kepada kulit.
2 Melindungi kesan parut : Sapu sedikit larutan pelindung parut (concealer) di atas kulit yang telah disapu rata dengan bedak asas. Kemudian baru sapukan dengan bedak debu.
3 Kesan jeragat : Jeragat dapat dilindungi kehadirannya apabila anda menggunakan pelembab atau bedak asas yang mempunyai SPF lebih daripada 15. Cara ini juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan kehadiran jeragat baru.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Tip Mudah Hilangkan Jerawat

26 Zulhijjah 1434

1 Bersihkan wajah dengan larutan pembersih yang mengandungi benzoyl peroxide atau asid saliklik. Kemudian sapukan alfa hiroksida dan gunakan larutan toner. Setelah itu barulah letakkan sedikit ubat jerawat.

2 Untuk mengeringkan, sapukan sedikit ubat gigi tepat di jerawat pada waktu malam sebelum masuk tidur.

3 Topeng muka yang hebat ialah putih telur. Sapukan pada wajah dan biarkan sehingga 15 minit. Vitamin A yang terdapat di dalamnya sangat baik untuk kulit.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Rabu, 30 Oktober 2013

Cara Mudah Menghindari Jerawat

25 Zulhijjah 1434

Ramai muslimah bimbang wajah mereka ditumbuhi jerawat. Ia dilihat seperti musuh nombor satu kerana apabila wajah berjerawat, penampilan diri agak terjejas seterusnya mengurangkan rasa yakin untuk ke pejabat apatah lagi menghadiri mesyuarat bersama pelanggan. Tanpa penjagaan wajah yang betul masalah jerawat sukar dibendung. Ikuti langkah mudah berikut bagi menghindari jerawat.

1. Membersih
Cuci muka dengan krim pembersih muka yang sesuai, tanpa wangian dan minyak. Pilih krim pembersih yang mempunyai tahap PH stabil. Jika kulit muka dari jenis berminyak, gunakan pembersih yang mengandungi 'benzoil peroksida' atau asid saliycylic. Elakkan dari menggunakan 'toner' kecuali jika kulit anda benar benar-benar berminyak, kerana 'toner' hanya akan mengeringkan kulit muka.

2. Rawatan
Sapu rata krim rawatan yang mengandungi 'benzoyl proksida' asid glikolik atau asid salicylic pada seluruh wajah bukan pada bahagian yang berjerawat sahaja. Pada malam hari, sapu sedikit krim pengeringan atau ubat gigi pada jerawat dan pelembab tanpa minyak di kawasan kulit kering. Pada waktu pagi, sapukan jel penghalang sinaran matahari tanpa minyak di seluruh wajah.

3. Melindungi jerawat
Sebagai langkah tambahan anda boleh menggunakan produk kosmetik yang dapat melindungi jerawat agar kehadirannya tidak kelihatan ketara. Pastikan pilihan krim atau 'concealer' sama atau hampir sama dengan warna kulit anda. Gunakan berus solekan agar sapuan lebih kemas.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Selasa, 29 Oktober 2013

Santun Berperibadi

24 Zulhijjah 1434

Bersama : Faizal Hamid

Hitam & Putih Tidak Mengecewakan

Terdapat pelbagai aliran yang sentiasa dapat diterima penggemar fesyen, antara yang popular adalah kombinasi warna hitam dan putih. Sama ada dipakai pada waktu siang atau malam, majlis rasmi atau santai (kasual), hasilnya sentiasa tidak mengecewakan, ia kontemporari, moden dan senang digayakan, serta menjadikan kita nampak lebih muda.
     Perbezaan hitam dan putih (dalam rekaan fesyen) sentiasa mampu menjadikan bentuk tubuh lebih menarik, kurus dan dapat menyembunyikan kekurangan yang ada. Antara gaya yang cukup menawan adalah gabungan blaus atau kemeja putih dengan seluar hitam, pakaian hitam dipadankan aksesori putih. Kombinasi warna-warna ini juga terdapat dalam pilihan reka corak grafik, jalur, 'polka dot' dan zebra. Rekaan fesyen yang menggabungkan hitam dan putih paling sesuai digayakan dengan kasut hitam sebagai pelengkap gaya.

Pilihan Untuk Si Perut Buncit

Wanita memang sangat sensitif tentang perut mereka. Seboleh mungkin kekurangan ini ditutup. Untuk anda atau sesiapa sahaja yang mengalami masalah seperti anda, pastikan rekaan tidak memberi tumpuan yang lebih pada bahagian badan yang bermasalah (perut atau mana-mana bahagian). Kadangkala kerana terlalu mahu menyembunyikan dengan pelbagai cara, menjadikan ia lebih jelas serta menarik perhatian sinis.
     Elak berpakaian sendat di pinggang. Pilih rekaan yang tidak memberikan penumpuan pada mana-mana bahagian (contohnya punggung, paha, pinggang). Baju perlulah longgar hingga bahagian pinggang (sedikit mengikut bentuk badan) dan panjangnya hingga paras punggung. Padankan baju sebegini dengan seluar potongan tirus (slim), contohnya 'capri-pants' ataupun 'pencil skirt'. Elakkan juga bertali pinggang, 'skirt' berbutang di depan dan apa jua yang memberikan penumpuan pada bahagian perut.
     Pilihan lain adalah 'lower-waisted flat front pocketless pants' dan skirt dengan zip di sisi dan di belakang. Bagi sut (suit) dan gaun (dresses), pilihlah gaun 'sheath' potongan lurus dan longgar, jaket (sedikit berpinggang) paras punggung. Khas untuk anda terimalah rekaan baju 'tunic' dipadangkan dengan 'pencil skirt'. Kombinasi yang cukup praktikal, ringkas dan terkini.

Rekaan Jalur Sesuai Bentuk Badan

Pastikan anda memilih rekaan fesyen jalur yang sesuai dengan personaliti dan bentuk badan. Jalur serong membuatkan diri lebih menarik berbanding jalur melintang. Jalur melintang membuatkan anda lebih lebar, manakala jalur menegak secara visualnya memanjangkan badan. Jalur halus (thin stripes) pada 'skirt' atau seluar dapat memberikan ilusi ketinggian yang lebih dari realiti sebenar.

Feminin & Artistik

Antara koleksi pereka fesyen antarabangsa yang saya minati adalah rekaan feminin yang punyai ciri-ciri artistik, inspirasi daripada keindahan budaya global (seluruh dunia) yang pelbagai rencam. Antara rekaan yang menarik adalah 'peasant blouses' dihiasi dekorasi sulaman tangan dengan reka corak dan motif flora, 'skirt' cetak yang menggambarkan fiesta Mexico, juga corak grafik geometrik motif tradisi Aztec, serta celana dengan cetak teratai inspirasi tekstil India.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Khamis, 3 Oktober 2013

TIP KASUT TAHAN LAMA

Penulis : Emma Masri

Kasut merupakan aksesori keperluan asas untuk muslimah berkerjaya. Penjagaan khusus perlu bagi memastikan kasut anda berada dalam keadaan baik untuk tempoh yang lama. Tidak kira apa jenis dan harga kasut sekalipun, anda perlu memahami panduan berikut:
1. Pakai bergilir
- Anda perlu ada sekurang-kurangnya dua pasang kasut untuk ke pejabat. Pakai kasut-kasut ini secara bergilir bagi membolehkannya 'bernafas' selain menghilangkan kesan lembab dan bau dari proses perpeluhan.
2. Shoe trees
- Setiap kali kasut tidak digunakan, pastikan anda menyelipkan alat pengekal bentuk kasut (shoe trees) yang diperbuat daripada kayu atau plastik. Teknik ini sedikit sebanyak membantu mengekalkan bentuk kasut. Bagi anda yang mempunyai peruntukkan lebih, 'shoe trees' yang diperbuat daripada kayu cedar lebih baik lagi kerana kemampuannya menyerap lembapan dan meninggalkan haruman kayu semulajadi. Jika tidak pun anda boleh meletakkan gumpalan kertas kering ke dalam kasut.
3. Sapu debu kotoran
- Setelah sampai di rumah, pastikan anda membersihkan permukaan luar kasut dengan span atau kain bertekstur lembut bagi membuang kesan kotoran yang melekat.
4. Menggilap
- Bagi kasut kulit, anda perlu rajin menggilapnya dengan bahan penggilap kasut khas secara berkala agar keadaan kasut kekal cantik seperti baru selain memanjangkan 'usia' kasut itu.
5. Rak kasut
- Sediakan rak kasut terbuka atau berangin untuk meletakkan kasut-kasut anda. Pastikan kedudukannya jauh daripada tempat lembab seperti berhampiran dapur atau bilik air. Bagaimanapun jauhkan rak kasut daripada tempat yang terkena pancaran cahaya matahari bagi mengelakkan warna kasut pudar.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Rabu, 2 Oktober 2013

Maskara - apa yang perlu diketahui

Anda mungkin bersyukur dengan anugerah yang dikurniakan ke atas diri anda. Tetapi sebagai wanita berkerjaya, rasanya tidak salah jika anda ingin tampil lebih anggun dan yakin. Tidak dinafikan naluri kewanitaan kita memang mahukan yang cantik untuk kepuasan diri sendiri.
     Sepasang mata yang meyakinkan pasti sangat diingini oleh ramai eksekutif muda masa kini. Pemakaian maskara adalah satu cara untuk anda memberi kesan yang lebih di bahagian mata. Namun pemakaian maskara perlu dilakukan dengan penuh hati-hati agar ia tidak selekeh. Ketahui masalah dan cara terbaik mengatasi agar anda kelihatan lebih menawan.
1. Bulu Mata Sering Gugur
- Ini disebabkan anda menggunakan maskara lama dan kering atau menggunakan alat pelentik mata yang kotor atau rosak. Bukan itu sahaja, anda juga gagal membersihkan saki baki maskara semasa mencuci mata.
2. Kurang Kemas
- Maskara disapu terlalu tebal bagi sapuan pertama selain terlalu cepat anda menyapu untuk sapuan kedua.
3. Maskara Berkeping-keping
- Anda telah menggunakan maskara lama dan sudah kering atau keras.

CARA MENGATASINYA:

1. Gunakan maskara baru setiap dua atau tiga bulan.
2. Gunakan pencuci mekap untuk mata setiap malam.
3. Pilihan berus maskara sangat penting. Terbaik, pilih berus bulat bagi melentikkan bulu mata.
4. Untuk sapuan pertama, sapu maskara senipis mungkin kemudian biar kering dan sambung untuk sapuan kedua dan seterusnya.

TIP MATA SEGAR

Tugas-tugas di pejabat memang meletihkan. Mata antara anggota yang terkesan akibat keletihan yang anda alami. Mata akan menjadi penat dan kering apabila anda terlalu lama mengadap komputer. Panduan mudah ini mungkin boleh mengatasi masalah mata anda yang kian tidak bermaya.
Ambil sebatang daun lidah buaya (aloe vera), kemudian keluarkan lendirnya. Lendir tersebut disapu pada kelopak mata tersebut. Lembapan cecair tumbuhan ini akan menyejukkan mata yang penat.




- Sumber dari NUR Disember 2002 - 

Rabu, 10 Julai 2013

7 Tip Etika Dalam Majlis

Sepanjang bulan puasa, pastinya kita akan menerima pelbagai undangan untuk berbuka puasa sama ada majlis rasmi atau tidak. Sebagai muslimah yang mempunyai nilai pekerti tinggi, pastikan anda menjaga tertib sepanjang majlis agar tidak menjadi bahan perbualan kelak. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olek Bukhari dan Muslim : "Janganlah kamu sekali-kali mengusir orang lain dati tempat duduknya kemudian (kamu) duduk di tempatnya, tetapi berilah kelulusan dan kesempatan baginya."

Renungi tip yang diberi agar mudah anda membawa diri :

1. Ingatlah bahawa Islam mengajar penganutnya tentang norma moral, etika dan hukum. Ia merupakan tuntutan kepada umatnya melakukan sesuatu dengan sopan santun.
2. Setiap apa yang dilarang atau disuruh mempunyai kesan atau akibatnya sama ada baik atau buruk, terhormat atau tercela contohnya kaedah mengambil makanan. Seorang muslimah sebaiknya mengambil hidangan yang tidak jauh dari jangkauannya.
3. Jangan bersuara atau berbual-bual ketika mengunyah makanan. Selain itu, habiskan makanan yang ada di dalam piring anda. Oleh itu perlu diingat ambil makanan mengikut kemampuan, bukan kerana hawa nafsu.
4. Sebelum melangkah masuk ke dalam dewan makan atau ke rumah tuan rumah, ucapkan salam dengan senyuman ikhlas terukir di wajah. Jangan terus menerjah masuk ke dalam dan terus mengambil tempat duduk tetamu lain.
5. Beri laluan atau kemudahan tempat duduk kepada tetamu yang lewat tiba jika ada kekosongan berhampiran anda. Jangan biarkan tetamu tersebut berdiri sepanjang majlis diadakan. Jika anda tidak mahu duduk di hadapan maka berikanlah laluan kepada mereka yang lewat tiba untuk mengambil tempat duduk mereka.
6. Jangan lalu mencelah di antara dua orang yang sedang berbual kerana diberi laluan. Rasulullah pernah bersabda bahawa:"Seseorang tidak boleh memisahkan dua orang yang sedang berbicara tanpa izin keduanya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmidzi)
7. Berbicara dengan nada suara perlahan dengan tetamu bersebelahan atau berhampiran, jangan sehingga suara anda mengganggu perjalanan majlis.

- Sumber dari majalah NUR -


Isnin, 20 Mei 2013

8 Tip Lipstik Menawan

1. Peti sejuk - Simpan lipstik dan minyak wangi dalam peti sejuk. Himpunkan koleksi lipstik anda dalam kotak agar ia tidak bertaburan.

2. Lipstik sampel - Jangan sekali-kali menyapu lipstik sampel atau contoh di kaunter kosmetik kerana tiada jaminan kebersihannya. Uji lipstik dengan menyapunya di hujung jari bukannya di bahagian belakang tangan anda. Tekstur dan warnanya di bibir hampir sama dengan yang di hujung jari.

3. Pensel bibir - Gunakan pensel bibir untuk membentuk garisan tepi agar lebih kemas. Selepas itu barulah sapukan gincu menggunakan berus bersesuaian.

4. Bibir lembut tapi kurang kemas - Tanpa menggunakan pensel bibir, ia tampil lembut, bersahaja tetapi agak kurang kemas dan adakalanya kelihatan bertompok.

5. Melekat di gigi - Selepas mengenakan lipstik, oleskan jari telunjuk dari tengah bibir ke luar. Lebihan warna lipstik akan melekat pada jari tersebut bukan di gigi.

6. Dengan cara menekan-nekan bibir menggunakan lipstik sapuan jari, warnanya akan lebih menyerlah.

7. Muslimah berumur 50 tahun ke atas lebih sesuai menggunakan lipstik berpelembab berbanding menggunakan lipstik kusam (kering) atau glos. Pelembab terkandung di dalamnya membantu menjadikan bibir lebih segar dan basah.

8. Jika anda mendapati warna lipstik terlalu terang atau menyerlah, gunakan pensel bibir berwarna lebih gelap dari warna lipstik yang digunakan. Contohnya menggunakan pensel bibir warna coklat pada bibir warna merah atau mengenakan pengilat bibir warna gelap di atas bibir tadi.

- Sumber dari NUR NOV 2002 -



Rabu, 25 Julai 2012

Tip Kulit Berminyak

Kemuncak kulit berminyak biasanya menyerang pada usia remaja dan adakalanya pada anda yang berusia awal 20an hingga ke 30an. Banyak cara menjaga kulit ini agar kelihatan segar, bermaya dan bersih tanpa kesan kilat yang memalukan.

1) Gunakan astrigen harian untuk menyingkirkan minyak berlebihan. Jangan sekali-kali gunakan alkohol kerana ia akan menghilangkan kesan kelembapan di permukaan kulit seterusnya menggalakkan lagi pengeluaran minyak.

2) Bersihkan muka sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan pencuci muka yang lembut bagi mengelakkan liang roma tersumbat. Tetapi jangan pula anda menggosok atau menyental permukaan muka dengan kuat atau membersihkannya secara berlebihan.

3) Pelembab bukanlah sesuatu yang mesti dipakai setiap hari. Bagaimanapun jika wajah berasa tegang atau kering selepas membersihnya, maka perlulah anda menggunakan sedikit pelembab dengan menggunakan pelembab bebas minyak. Elakkan produk yang mempunyai minyak galian atau koko.

4) Apabila memilih alat solek, terutamanya alas bedak (foundation) pastikan ia bebas minyak. Kosmetik berasaskan air tidak akan menyumbatkan liang roma. Ada juga kosmetik yang mampu menyerap minyak membantu muka daripada berkilat kesan daripada minyak yang dikeluarkan oleh kulit.

5) Sapuan gel penahan cahaya matahari (sunscreen) bukan berasaskan minyak adalah digalakkan daripada penggunaan krim. Pastikan anda menggunakan gel paling minimum SPF15.

Rawatan Topeng Kulit Berminyak

Sebenarnya menyediakan sendiri topeng muka (mask) untuk kulit berminyak lebih mudah dan murah selain ia menyeronokkan. Walaupun sibuk dengan urusan kerja pejabat, kecantikan paras rupa jangan dilupa. Bergantung kepada alat solek semata-mata tidak mencukupi, oleh itu sediakan sendiri adunan topeng untuk rawatan kulit berminyak ini.

Bahan-bahan :
6 auns yogurt kosong
2 titis minyak thyme
2 titis minyak daun pudina
Perahan daripada sebiji limau nipis atau lemon
1/2 paket yis
2 camca teh isi ubi kentang (rendamkan dahulu kentang untuk beberapa jam)
2 camca teh teh air susu

Penyediaan:
Campurkan semua bahan dan kisar hingga halus. Keluarkan. Sapu dan ratakan pada seluruh wajah termasuk jerawat dan jeragat. Biarkan ia selama 10 hingga 12 minit kemudian bersihkan dengan air suam kuku.

Khasiat Bahan-bahan:
1) Minyak Thyme - Berfungsi sebagai antiseptik dan astringen
2) Minyak Pudina - Memberi kesan sejuk dan segar. Turut berfungsi sebagai astringen dan larutan pembersih
3) Jus Lemon - Sebagai antiseptik dan astringen.
4) Yis - Bertindak sebagai antiseptik dan menyelaraskan pengeluaran hormon dari kelenjar sebaceous.
5) Kanji daripada ubi kentang - Mempunyai kuasa penyerapan tinggi dan kesan sejukan.

- Sumber dari NUR November 2002 -



Rabu, 18 April 2012

Imej Hebat Dengan Gaya Memikat

Penulis : Emma Masri

1. Adakah anda berdiri dengan betul?
Segala-galanya haruslah dalam keadaan normal dan bersahaja. Pastikan kedua-dua kaki dalam keadaan yang selesa bagi menampung berat badan. Semasa berdiri, anda dinasihatkan agar sentiasa mendada dengan keadaan bahu diistirehatkan. Pastikan kepala anda tegak dengan dagu mendongak sedikit ke atas serta kedua belah lengan bergantungan di kedua-dua sisi.

2. Bagaimanakah cara duduk yang baik?
Elakkan duduk di kerusi tinggi agar kaki tidak kelihatan tergantung atau kerusi rendah bagi mengelakkan lutut lebih tinggi daripada pinggang. Labuhkan punggung anda memenuhi permukaan kerusi sehingga menyentuh penyandarnya. Rapatkan lutut dan kaki agar kelihatan sejajar. Duduk tegak dalam keadaan tubuh seperti berdiri dengan dada sedikit mendada, dagu tegak dan bahu lebih santai. Apabila ingin berdiri atau duduk kembali, seimbangkan tubuh dengan meletakkan salah satu kaki di bahagian belakang kaki lagi satu sebagai sangga. Jangan labuhkan punggung anda serta merta atau menggunakan kedua-dua tangan sebagai sangga.

3. Masih sangsi dengan cara berjalan?
Apa yang penting anda perlu berjalan tegak tapi dalam keadaan santai. Gerakkan kaki perlahan ke hadapan dalam langkah yang sederhana dan pastikan kedua-dua tapak kaki sejajar serta berdekatan dengan hujung-hujung jari. Pastikan hujung kaki menyentuh lantai sebelum tumit. Ketika menaiki tangga pastikan tapak kaki terletak pada setiap anak tangga di atasnya dan angkat badan anda.