Suami akan lebih merasa dihargai jika isteri tidak menolak untuk diajak melakukan jimak. Malah jimak merupakan ibadah yang bermanfaat untuk kesihatan dan kebahagiaan manusia. Islam lebih mengutamakan layanan terhadap suami daripada ibadah sunat sendiri. Sebab itulah setiap wanita patut mendahului ajakan suaminya walau dalam keadaan apa sekalipun.
Apabila isteri sedang berpuasa sunat dan suami mengajak untuk berjimak, maka wajib baginya membatalkan puasa tersebut. Kerana itulah jika isteri ingin mengerjakan puasa sunat, wajib baginya untuk meminta izin suami terlebih dahulu. Hubungan seks akan dinikmati sepenuhnya apabila kedua-duanya saling memberi dan menerima. Tiada larangan bagi pasangan untuk melakukan jimak seberapa kerap yang mereka mahu asalkan tidak memudaratkan tubuh badan. Jimak boleh dilakukan menurut kemampuan tubuh masing-masing. Oleh kerana jimak ada pengaruhnya terhadap kesihatan, maka seseorang perlu mengatur masa dan mengikut peraturan ketika melakukannya.
Mengikut Imam Syafie ada tiga malam dalam seminggu yang hukumnya sunat melakukan jimak iaitu malam Jumaat, malam Isnin dan malam Khamis. Rasulullah s.a.w. dikatakan akan mendekati isteri-isteri baginda pada malam-malam yang disebutkan itu.
Pendapat Muhammad Ali Quth pula, batas yang paling baik bagi pasangan muda berjimak tidak melebihi dua kali seminggu, kecuali bagi mereka yang sedang berbulan madu. Bagi Ibnu Al Jauzy pula, pasangan yang baru berkahwin pula hendaklah berhati-hati jangan terlampau kerap berjimak sehingga menjejaskan kesihatan.
Bagaimanapun bagi pasangan dewasa jangan pula terlalu menjarangkan masa bagi berjimak, kerana ia akan menurunkan nafsu berahi. Sebahagian orang salaf mengatakan bahawa apabila sebuah perigi itu jarang ditimba, airnya boleh hilang dengan sendirinya.
Seni Jimak
1. Jangan memaksa menaikkan syahwat untuk berjimak kerana ia boleh merosakkan kesihatan.
2. Tidak melakukannya berlebihan kerana ia akan membuatkan badan menjadi lemah dan lesu, badan menjadi kering kerana terlampau banyak hormon yang keluar, melemahkan fikiran dan minda serta menyebabkan timbul rasa malas untuk melakukan pekerjaan.
3. Apabila keinginan syahwat timbul, usahakan tidak dalam keadaan terlalu kenyang atau terlalu lapar. Lakukan jimak ketika makanan sudah benar-benar hadam.
4. Masa yang baik untuk berjimak ialah pada waktu malam yang hening.
5. Berjimak dengan orang yang dicintai lebih nikmat dan menyenangkan.
6. Usahakan tubuh anda berada dalam keadaan bersih serta memakai wangi-wangian. Elakkan membicarakan masalah rumahtangga apabila pasangan anda menunjukkan tanda ingin melakukan jimak. InsyaAllah, hubungan anda berdua akan menghasilkan tubuh dan minda yang sihat selamanya.
Mendapat Pahala
Islam adalah agama yang sangat mudah dan sentiasa memberi kesenangan kepada penganutnya. Ramai di kalangan kita sering kali menganggap sukarnya untuk mencari pahala. Sering bermain di fikiran, untuk mendapat pahala kita perlu melakukan ibadah dan apabila disebut ibadah kita selalu menggambarkan muslim yang sedang duduk di atas sejadah sambil berzikir, berdoa dan sebagainya. Kita juga sudah terbiasa dengan anggapan ibadah itu senagai rukun yang wajib dilaksanakan seperti berpuasa, sembahyang, membayar zakat dan membantu insan lain.
Sebenarnya jauh daripada itu, ibadah dan pahala yang dijanjikan oleh Allah swt sangat mudah untuk kita laksanakan dan perolehi. Mungkin kita tidak sedar, dalam sehari banyak pahala yang boleh kita dapat dalam perbuatan seharian. Ia tidak memerlukan kita berzikir 24 jam, tidak perlu memperbanyakkan sembahyang sunat atau beriktikaf di dalam masjid sepanjang masa. Apa yang perlu ialah setiap perbuatan dan amalan seharian kita perlu dilakukan dengan ikhlas dan perlulah mendapatkan keredaan Allah. Jika ini sentiasa ada dalam ingatan kita, insyaAllah setiap masa perbuatan kita dikira ibadah.
Begitu jugalah halnya ketika kita melakukan seks antara anda dengan pasangan hanya untuk kepuasan batin dan mengecapi nikmat berumahtangga semata-mata. Tidak ramai di kalangan kita yang sedar dan tahu bahawa hubungan seks antara suami isteri itu sebenarnya adalah ibadah dan kita melakukannya. Seorang ulama pernah berkata, "Jika orang yang benar-benar hendak mendapatkan kemenangan hidup di dunia dan di akhirat, mereka hendaklah memikirkan masalah yang kecil-kecil sekalipun dalam soal bersenda gurau antara suami isteri".
Cara Jimak Mengikut Islam
1. Mengucapkan salam kepada isteri dengan menyebut; "Assalamualaikum yaa baabar Rohmaan" yang bermaksud, "Keselamatan atas kamu, hai pintu yang Maha Pengasih"
2. Dijawab oleh isteri; "Waalaikum salam ya sayyidal amiin" (Dan di atas kamu pula keselamatan, hai tuan yang dipercayai). Kemudian suami mengucup tangan isterinya sambil mengucapkan: "Rodhiitu billaahi robbaa" (Aku telah reda Allah itu Tuhanku)
3. Sambil itu suami membuka baju isterinya sambil membaca selawat sebanyak tiga kali. "Allahumma solli'alaa Muhammad wa'alaa aali Muhammad" (Ya Tuhan kami, berilah kesejahteraan atas Nabi Muhammad dan atas keluarga Nabi Muhammad)
4. Kemudian hendaklah dicium ubun-ubunnya dan dibacakan doa yang bermaksud: (Ya Maha lemah lembut cahaya Allah di atas segala cahaya. Telah menerangkan cahaya itu atas siapa yang ia kehendak). Waktu ini, seolah-olah didoakan di tempat yang paling lembut (sewaktu masih bayi) agar dimasuki cahaya yang lembut (ada juga cahaya yang terang benderang umpama cahaya matahari sehingga menyilaukan mata) semoga dengan kelembutan cahaya itu dapat menerangi hati isteri.
5. Sewaktu dikucup ubun-ubun sambil didoakan, tentu isteri akan rasa tenggelam di dalam lautan khayal dan nikmat. Diteruskan pelayaran agar sampai ke destinasinya, si suami mencium pula telinga kanan si isteri sambil melafazkan secara perlahan, yang maksudnya: "Di dalam pendengaran engkau Allah yang Maha Mendengar".
6. Walaupun isteri berada di dalam nikmat, masih diingatkan, Allah Maha Mendengar segala bisikan hambaNya.
7. Kemudian dicium pula telinga yang sebelah kiri dan ditiup ke lubang telinganya dengan nafas yang lembut sambil membaca: "Ya Tuhan kami sesungguhnya kami bukakan bagimu kemenangan yang nyata".
8. Bayangkan bertambah berdebarlah dada isteri. Nah begitulah dibangkitkan kengairahannya. Biarpun dalam nikmat masih diingatkan kehadiran Allah yang sentiasa bersama hamba-hambaNya.
Jadi sekarang bagaimana? Alangkah ruginya jika selama ini kita tidak tahu akan nikmat yang telah Allah janjikan kepada pasangan suami isteri setiap kali mereka melakukan jimak. Namun masih belum terlambat untuk kita memulainya sekarang, selain rasa nikmat, pahala juga kita dapat.
- Sumber NUR Pengenalan -