Memaparkan catatan dengan label Tip Kerjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tip Kerjaya. Papar semua catatan

Isnin, 18 November 2013

Meraih Kejayaan Melalui 'TEAM WORK'

14 Muharram 1435

'Team Work' atau Kerja Berkumpulan merupakan perkara paling penting bagi anda yang berkerjaya. Banyak kejayaan oleh beberapa syarikat adalah hasil daripada semangat kerja berpasukan yang baik dalam satu-satu jabatan. Selain memudahkan tugas, kerja berpasukan juga berupaya menyatupadukan seluruh kakitangan jabatan dalam menjayakan peningkatan kualiti. Semangat ini dipraktikkan melalui kerjasama, komitmen dan penyertaan kakitangan secara menyeluruh di dalam program-program peningkatan kualiti atau bidang tugas yang diperkenalkan oleh jabatan.
     Peningkatan kualiti atau perlaksanaan tugas yang besar bukanlah usaha yang boleh diserahkan kepada kakitangan secara individu. Ini kerana masalah-masalah dalam premis kerja adalah terlalu kompleks dan melibatkan berbagai bahagian dan sistem yang sedia ada di dalam sesebuah organisasi. Oleh itu lazimnya masalah tersebut adalah di luar kemampuan individu. Dalam keadaan yang demikian setiap pihak dalam jabatan perlu betindak secara berpasukan supaya kekuatan dan sumber yang ada dalam jabatan dapat digembelengkan sepenuhnya.
     Satu kajian telah dijalankan dan didapati banyak manfaat yang akan diperolehi oleh jabatan dengan melaksanakan tugas secara berpasukan. Antaranya:
1 Berbagai bidang kepakaran, pengetahuan dan kemahiran dapat digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini akan melahirkan penyelesaian yang berkesan.
2 Bertindak secara berpasukan boleh membantu meningkatkan moral kakitangan dan kepuasan bekerja kerana mereka sama-sama diberi peluang menyelesaikan masalah-masalah dan melaksanakan tugas di jabatan.
3 Masalah-masalah yang dikongsi bersama oleh pelbagai kakitangan dan bahagian boleh diselesaikan dengan cepat dan berkesan.
4 Cadangan yang dibuat oleh kakitangan secara berpasukan akan lebih mudah untuk dilaksanakan berbanding dengan cadangan-cadangan yang dibuat oleh individu.

Meningkatkan kualiti
Apabila kakitangan mengamalkan semangat berpasukan, mereka akan secara langsung boleh mengukuhkan tiga aspek penting kepada proses peningkatan kualiti. Aspek-aspek ini mencakupi :
a) Pertukaran maklumat dan idea-idea dengan lebih meluas
Melalui penyertaan di dalam aktiviti-aktiviti berpasukan, anda akan mempunyai peluang yang luas untuk bertukar pengetahuan, pengalaman, maklumat dan idea dengan rakan sekerja. Proses ini akan mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif bagi mempertingkatkan kualiti kerja yang dijalankan
b) Semangat saling percaya-mempercayai di kalangan kakitangan
Dalam suasana kerja berpasukan, kakitangan mudah menjalinkan perasaan percaya-mempercayai sasama mereka. Dengan perasaan ini, individu akan merasa bebas dan lebih yakin untuk bertindak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dengan itu mereka akan dapat membuat keputusan dengan cepat, menggunakan budi bicara dengan sempurna dan mengembangkan bakat serta potensi yang ada di dalam diri masing-masing bagi menggerakkan proses peningkatan kualiti.
c) Komunikasi yang lancar di dalam organisasi
Perasaan percaya-mempercayai yang ada di kalangan kakitangan memudahkan proses komunikasi di dalam jabatan. Dengan ini bahagian-bahagian dan unit-unit di dalam jabatan bebas berhubung antara satu sama lain untuk berkongsi data dan maklumat serta sumber-sumber lain. Ini seterusnya memupuk kerjasama dan keadaan saling bergantungan di kalangan bahagian-bahagian dan unit, yang mana akhirnya boleh mambantu memantapkan prestasi jabatan.

Bagaimana mewujudkan semangat berpasukan?
Semangat berpasukan di kalangan kakitangan boleh diperkukuhkan melalui usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak pengurusan. Tindakan atau langkah-langkah yang sesuai boleh diambil bagi tujuan ini. Cuba praktikkan cara berikut :
a) Menjalankan kempen kesedaran
Kempen ini bertujuan menarik minat dan kesedaran kakitangan tentang perlunya semangat berpasukan dalam organisasi. Kempen ini boleh dilakukan melalui sesi ceramah, taklimat, tayangan video dan risalah-risalah. Aspek-aspek yang sesuai ditekankan di dalam kempen ini ialah:
- Konsep semangat berpasukan
- Faedah kepada prestasi kerja individu
- Faedah kepada organisasi
- Peranan individu untuk menjayakan semangat berpasukan
- Bentuk-bentuk sokongan yang disediakan oleh organisasi
b) Mengadakan latihan
Latihan diadakan untuk melengkapkan kakitangan dengan pengetahuan dan kemahiran asas bagi menjalankan kerja secara berpasukan. Dengan ini mereka akan dapat memberikan sumbangan dengan berkesan kepada 'Pasukan Kerja' yang mereka anggotai. Semasa latihan, pihak pengurusan boleh memberi penekanan terhadap kemahiran-kemahiran berikut :
- Kepimpinan bagi Pasukan Kerja
- Penetapan objektif dan aktiviti Pasukan
- Kemahiran berkomunikasi
- Teknik-teknik penyelesaian masalah
c) Mewujudkan struktur pasukan
Semangat berpasukan di kalangan kakitangan akan dapat dimanfaaatkan sepenuhnya apabila jabatan mewujudkan struktur-struktur seperti Pasukan Kerja, Pasukan Petugas, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) dan sebagainya. Melalui struktur ini, individu akan dapat menyalurkan sumbangan mereka secara sistematik dan berkesan. Pihak pengurusan pula boleh menggunakan pasukan-pasukan ini untuk menjelaskan dasar-dasar jabatan tentang peningkatan kualiti.
d) Memberi lebih kuasa bertindak (empowerment) kepada pasukan kerja.
Prestasi Pasukan Kerja di jabatan akan cemerlang apabila pihak pengurusan memberikan lebih kuasa bertindak (empowerment) kepada mereka. Melalui tindakan ini Pasukan Kerja mampu bertindak balas dengan cepat dan menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menyelesaikan masalah kualiti kerja. Pihak pengurusan boleh melaksanakan boleh melaksanakan empowerment di dalam berbagai bentuk seperti
- Penurunan kuasa
- Menyediakan kemudahan dan sumber yang  mencukupi untuk menjalankan kerja
- Memberi kepercayaan untuk menjalankan kerja-kerja yang lebih besar dan penting
- Memberi peluang kepada Pasukan-pasukan Kerja untuk turut serta dalam penggubalan matlamat kualiti jabatan
e) Memberi pengiktirafan
Kejayaan yang dicapai oleh Pasukan Kerja perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya oleh jabatan. Pengiktirafan yang sewajarnya oleh jabatan. Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa jabatan benar-benar menghargai sumbangan mereka dan nilai bekerja secara berpasukan. Dengan itu kakitangan akan lebih bermotivasi untuk mengamalkan semangat berpasukan dan komited terhadap nilai berkenaan.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Khamis, 14 November 2013

Memimpin & Mengawal Diri

10 Muharram 1435

Sebagai wanita bekerjaya, sangat penting untuk anda memahami apa yang dikatakan memimpin dan mengawal diri.
1. Mampu mengawal diri sendiri dan juga orang lain
Insan yang mampu memimpin diri sendiri pastinya memiliki keyakinan diri. Dia mampu menunjukkan keyakinan dalam segala perlakuannya. Dia juga mampu mengawal emosi dirinya dan memberi peluang kepada orang lain mempamerkan kebolehan. Orang yang pandai memimpin diri tidak alpa dengan kuasa yang ada padanya dari segi kedudukan malah mampu mengagih kepercayaan dan rasa hormat orang lain terhadap dirinya walaupun tanpa kuasa.
2. Berfikiran tajam dan menyelesaikan masalah dengan baik
Orang yang bijak memimpin akan membuat keputusan setelah menimbang ke semua faktor yang ada dalam kawalannya dan tidak terburu-buru membuat pilihan. Dia mampu menyelesaikan masalah dengan cara yang paling menguntungkan. Ini tidak bermakna pula orang ini boleh menyelesaikan sepenuhnya. Dia mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan sebaik-baiknya mengikut kadar kemampuannya ketika itu. Dia akan memastikan kaedah penyelesaiannya tidak menimbulkan masalah baru dan dia akan memastikan juga bahawa penyelesaiannya bukan pula menjadi masalah baru kepada orang lain.
3. Berfikiran kreatif dan enovatif
Sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan kepada dirinya dan juga orang lain. Dia akan mengerahkan otaknya untuk sentiasa berfikir mengenal pasti kekurangan di sekeliling dirinya dan mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut secara kreatif. Dia akan menganggap bahawa terdapat banyak peluang untuk kejayaan dirinya dan cuba mencari sesuatu yang baru.
4. Terbuka dari segi fikiran dan perlakuan
Tidak menghabiskan masa memikirkan cara untuk menjatuhkan orang lain, merasa iri hati dan dengki atas kejayaan orang lain malah dia akan memperakui kehebatan orang lain dan memujinya. Pada masa yang sama dia akan terus mencari kejayaan untuk dirinya. Tidak prejudis dan tidak menghukum tanpa usul periksa. Anggap dunia ini maha kaya dengan pelbagai sumber. Dan jangan sekali-kali beranggapan kejayaan orang lain bermakna penganiayaan terhadap diri anda.
5. Komunikasi yang baik
Cekap berkomunikasi dan mampu menyampaikan idea-idea bernasnya melalui saluran komunkasi yang betul. Kita perlu yakin bahawa manusia mempunyai sikap yang baik dan kebolehan diri.
6. Percaya terhadap diri dan orang lain
Sentiasa membuat perhitungan yang terbaik dalam melaksanakan segala tugas. Setelah memutuskan tindakan, percaya bahawa anda akan berjaya. Beri kepercayaan terhadap orang lain yang berinteraksi dengan anda sama ada di kalangan teman sekerja atau keluarga.
7. Mampu menangani perubahan
Sentiasa sedar bahawa hidup ini sesuatu yang berubah-ubah atau dinamik. Perubahan boleh berlaku secara disedari terlebih dahulu atau secara tiba-tiba. Terima baik perubahan kerana perubahan membolehkan diri anda mencari penyesuaian baru dengan keadaan sekitar yang berubah.
8. Menganggap masa depan cerah
Sentiasa mengadu dan menganggap masa depannya cerah. Percaya bahawa masa depan boleh dibentuk dan diusahakan supaya esok lebih baik berbanding hari ini dan lusa lebih baik berbanding esok.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Jumaat, 4 Oktober 2013

Bila anda diumpat rakan sekerja....

"Ala..aku bukannya nak mengumpat dia, tetapi dia tu macam tu suka bodek bos!". Tentu kita selalu dengar rakan kita atau kita sendiri berkata begitu dengan rakan-rakan di tempat kerja. Kita selalu berhadapan dengannya tanpa menyedari betapa besar kesilapan yang telah kita lakukan.
     Seringkali kita bercerita dengan kawan, jiran, saudara-mara malah ketua kita sendiri dengan begitu ghairah mengenai orang lain tanpa rasa berdosa sedikit pun. Dan lebih malangnya ramai di antara kita yang menafikan perbuatan sebegitu adalah perbuatan mengumpat atau 'Ghibah'.
     Susah hendak dinafikan dakwaan bahawa wanita suka mengumpat. Di tempat kerja aktiviti mengumpat ini memang berlaku setiap hari. Sebagai wanita kerjaya kita memang banyak menghabiskan masa di pejabat. Bermula dari jam 8 atau 9 pagi hingga ke jam 5 atau 6 petang, masa kita dihabiskan bersama rakan-rakan sepejabat.
     Masa kita bersama mereka sering dihabiskan dengan berbual tentang banyak perkara. Dalam banyak-banyak benda yang dibualkan itu, pasti terselit juga aktiviti mengumpat. Waktu minum pagi, makan tengahari, minum petang atau waktu balik, fenomena ini memang biasa berlaku dan ia terus berlaku.
     Isu siapa yang paling hebat mengumpat tidak perlu dipertikaikan di sini. Tapi satu hal yang mesti disedari oleh umat Islam bahawa mengumpat adalah kerja dosa yang sukar diampunkan oleh Allah. Bukankah jelas dalam peringatan-Nya, 'Selagi orang yang kena umpat itu tidak memaafkannya maka selagi itulah Allah tidak menerima taubatnya.'
     Betapa beratnya dosa orang yang mengumpat ini boleh kita lihat dari ayat Al-Quran di mana Allah telah berfirman maksudnya: "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekelian benci memakannya," (Al-Hujurat:12).
     Cuba kita bayangkan betapa jijiknya memakan daging saudara kita yang kita umpat itu. Yang paling menyedihkan ramai di antara kita yang tidak berasa berdosa malah seronok dan tertunggu-tunggu bila agaknya ada cerita 'panas' atau cerita 'baru' mengenai si polan.
     Sebagai individu tentunya kita akan berasa sedih dan kecewa apabila kita mendapat tahu diri kita menjadi bahan umpatan rakan yang lain. Mungkin sampai satu tahap kita merasa tidak selesa hingga setiap gerak geri kita diekori dengan mata oleh rakan kerja yang lain. Lebih buruk lagi jika kita tidak tahu apa sebenarnya kesalahan kita dan umpatan itu lebih berupa fitnah semata-mata!
     Orang memang suka mendengar perkara yang tidak elok daripada perkara yang elok. Jika kita dapat mengatasi mungkin kita dapat membetulkan keadaan sekaligus mengembalikan semula maruah yang hilang. Tetapi bagaimana jika kita tidak mampu berbuat apa-apa dan terus-terusan menjadi mangsa? Jangan sampai kita menarik diri menjadi 'kera sumbang'. Itu bukan jalan penyelesaian yang baik. Lantas bagaimana?
     Sebagai muslim kita perlu banyak bersabar. Berhadapan dengan kerenah di tempat kerja memang bukan mudah tetapi dalam isu mengumpat atau kita dijadikan bahan umpatan, mungkin panduan berikut dapat membantu melegakan sedikit perasaan anda.

5 Tip Untuk Mengelakkan Dari Mengumpat

1. Ketahuilah bahawa mengumpat mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah. Kita mestilah sedar yang mengumpat itu melanggar perintah larangan Allah. Yakinlah pada ayat Al-Quran dan hadis yang menegah kita dari mengumpat. Maka peliharalah lidah sebaik-baiknya dari perbuatan ini.
2. Orang yang kena umpatan orang janganlah bertindak marah. Sebaliknya buat perubahan dan bertaubat. Jika sememangnya orang yang kena umpat itu bersalah, maka langkah baiknya kalau mereka bertaubat dan membetulkan kesilapan yang lalu. Dengan sikap ini anda beroleh kemenangan.
3. Orang yang mengumpat itu sebenarnya memberi pahala percuma kepadanya secara tidak langsung. Jadi sewajarnya orang yang menjadi mangsa umpatan mengucapkan terima kasih kepada si pengumpat itu.
4. Orang yang mengumpat pula sepatutnya kena ingat, bagaimana kalau dia yang berada di tempat orang yang kena umpat itu. Kalau dia rasa menderita tentulah dia tidak sanggup mengumpat lagi.
5. Orang yang duduk bersama dengan orang yang mengumpat dikira sama seperti orang mengumpat. Walaupun ia tidak menambah kepada umpatan itu tetapi dengan kata-kata seperti 'tak sangka dia berkelakuan begitu' ataupun 'moga-moga Allah memelihara kita dari jadi seperti itu', seolah-olah membenarkan kata-kata orang yang mengumpat itu. Sedangkan orang yang 'berdiam diri' juga tanpa membuat apa-apa bantahan turut bersubahat dengan orang yang mengumpat itu!

Mengapa orang mengumpat?

1. Untuk melepaskan kemarahannya terhadap sesuatu pihak. Ia akan rasa puas apabila menyebut-nyebut keburukan orang yang dimarahinya.
2. Terikut-ikut akan orang lain. Mungkin ia merasakan jika dia tidak turut serta mengumpat ia akan dipencilkan oleh kawan-kawannya.
3. Dengan memperkecilkan orang lain, dia menganggap dirinya lebih baik daripada orang yang diumpatnya itu.
4. Rasa dengki atau iri hati terhadap sesuatu pihak dan dengan mengumpat ia mengharapkan dapat melenyapkan kenikmatan yang ada pada orang itu.
5. Sengaja menghadirkan diri dalam majlis yang dia tahu akan cenderung menjadi majlis kata mengata bila mana disebut pelbagai keburukan dan keaiban orang lain yang akan disambut dengan gelak ketawa.
6. Merasa dirinya takbur. Dengan mengejek dan menghina orang lain dia akan memandang orang lain semuanya rendah, hina, bodoh dan jahil.

Ganjaran Jika Diumpat

Untuk membendung gejala keaiban ini semua umat Islam terutamanya orang yang kena umpat, mestilah tingkatkan kesabaran kerana orang yang sabar dilindungi Allah. Di dunia mereka diberi ganjaran dan di akhirat dia dimasukkan ke dalam syurga tanpa perhitungan.
Ganjaran di dunia untuk orang yang sabar itu mengikut tahap kesabarannya:
1. Sabar melaksanakan perintah Allah diberi ganjaran 300 mata. Ini ganjaran untuk sesiapa yang boleh melaksanakan perintah Allah walaupun ada tekanan yang cuba menghalang. Mata ganjarannya sedikit kerana perintah Allah dilaksanakan tanpa bertolak ansur.
2. Sabar meninggalkan larangan Allah diberi ganjaran 600 mata. Ganjaran ini agak besar kerana hendak meninggalkan larangan Allah agak payah dan perlukan perngorbanan. Tanpa pengorbanan tentu mereka tidak boleh berbuat begitu.
3. Sabar menerima musibah dari Allah diberi ganjaran 900 mata. Ganjaran ini lebih tinggi kerana tekanan musibah ini amat berat. Jadi mereka yang boleh abaikan tekanan itu tentulah tinggi kewibawaannya. Wajarlah ganjarannya besar.
     Jadi bagaimana? Bayangkanlah kalau orang yang kena umpat itu boleh berdiam diri dan melakukan perubahan jika benar dia bersalah. Dia sabar menghadapinya tanpa bertindak balas. Tentulah mata ganjarannya besar. Tawaran ini elok direbut.

Umpat yang dibolehkan

Walaupun mengumpat itu berdosa namun ada juga keadaan di mana dibolehkan mengumpat. Contohnya bila orang yang dizalimi oleh sesuatu pihak mengadu akan kezaliman yang dilakukan terhadapnya kepada pihak-pihak tertentu  agar keadilan dapat dilakukan. Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya orang yang mempunyai hak itu, boleh mengucapkan alasan."

Antara sebab membolehkan seseeorang itu mengumpat :

1. Bila dia meminta bantuan orang lain untuk mengubah sesuatu kemungkaran atau mengembalikan seorang yang derhaka kepada Allah ke jalan kebaikan.
2. Meminta fatwa atau penerangan sesuatu hukuman dalam agama. Misalnya apabila dia memberitahu seorang ustaz atau ustazah, "rakan sekerja saya telah menganiaya saya" atau sebagainya. Dia dibolehkan berkata begitu jika orang yang ditanya itu tidak faham jika anda mengatakan secara berlapik atau berkias.
3. Mengumpat dibolehkan untuk mengingatkan seseorang muslim kepada sesuatu kejahatan, misalnya jika anda mengingatkan orang lain supaya menjauhkan diri daripada orang itu. Atau orang yang cuba membuktikan dirinya benar di dalam satu pertikaian, lalu dia menuduh saksi sebagai orang yang tidak benar. Atau orang yang meminta pandangannya sebelum dia membuat keputusan yang penting seperti mengambil individu berkenaan bekerja atau sebagainya.
4. Menceritakan hal seseorang dengan tujuan untuk memberi nasihat. Bukan untuk memburuk-buruk atau menjatuhkan namanya di hadapan orang lain.
5. Bila seseorang itu memang sengaja terang-terangan membuat kefasikan atau kejahatan dan bermegah-megahan dengan perbuatannya itu, maka tidak salah mengumpatnya disebabkan kelakuan yang menentang hukum Allah itu.

     Jika kita pernah mengumpat rakan sekerja kita atau sesiapa sahaja sebelum ini, eloklah kita menyesal dan segera bertaubat atas kesilapan itu. Sesudah itu hendaklah kita meminta maaf daripada orang yang kita umpat supaya kita terlepas dari dosa mengumpatnya. Jika dia tidak dapat memaafkan, cukuplah si pemgumpat itu beristighfar atau meminta ampun kepada Allah SWT. Semoga segala dosa-dosa kita diampunkan Allah.
     Bagi anda yang pernah menjadi mangsa umpatan, bersabarlah dan maafkan kesalahan mereka yang pernah mengumpat anda. Insafilah diri agar anda tidak terjebak ke dalam gejala mengumpat . Sesungguhnya keaiban orang terutamanya rakan yang sama-sama bekerja dengan kita mesti dipelihara dan dilindungi.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Khamis, 3 Oktober 2013

Lama berehat, produktiviti tetap meningkat

Bercuti lama sewaktu menyambut hari raya Aidilfitri adakalanya menyebabkan semangat bekerja pada hari pertama tidak serancak sebelum bercuti. Bukan sahaja semangat bekerja berkurangan, produktiviti juga terjejas jika terlalu diikutkan perasaan. Ini adalah fenomena biasa tetapi tidak wajar keadaan ini berterusan. Ikuti panduan daripada Konsultan di Perbadanan Produktiviti Negara (NPC), Nor Aishah Hassan, bagaimana untuk anda terus bersemangat di tempat kerja seterusnya meningkatkan produktiviti.
1. Rujuk Perancangan Kerja
Pastinya anda biasa mendengar dan mempraktikkan senarai kerja menurut keperluan. Jika sebelum bercuti, anda ada menyenaraikan segala bentuk kerja atau temu janji yang perlu dibuat, lihat semula senarai tersebut. Melaluinya, anda dapat menyusun semula jadual kerja mengikut kepentingan. Kaedah sistematik seumpama ini dapat membantu melancarkan perjalanan kerja hari pertama anda di pejabat. Anda tidak akan berasa tertekan malah akan lebih bersemangat untuk bekerja semula kerana segalanyatelah dirancang baik sebelum ini.
2. Betulkan Tekad Anda
Satu hakikat yang anda perlu terima ialah anda perlu bekerja semula setelah puas bercuti panjang. Tidak bersemangat bukan alasan untuk tidak pergi bekerja. Lazimnya menjelang tahun baru, anda mempunyai keazaman untuk mempertingkatkan produktiviti. Senario yang sama turut berlaku jika anda pulang bercuti. Tanamkan azam dan semangat baru di hati (affection), tindakan (behaviour/action) dan minda (cognitive) bahawa anda kini akan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik dan berdedikasi daripada sebelum ini. Keghairahan untuk melakukan pembaharuan membantu menaikkan semangat anda untuk bekerja.
3. Tetapkan Matlamat
Tanggungjawab lebih besar terpaksa anda pikul apabila memegang jawatan sebagai ketua dalam organisasi atau jabatan tertentu. Anda bukan sahaja perlu memotivasikan diri tetapi juga bertanggungjawab memberi semangat kepada pekerja lain. Perlu dan amat penting bagi anda mensasarkan matlamat jangka pendek (hasil yang boleh dicapai) dan disampaikan kepada semua. Beri galakan dan semangat untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti (P&Q) syarikat.
      Sekiranya anda seorang pekerja bawahan, anda juga perlu menetapkan sasaran atau matlamat jangka pendek atau kecemerlangan diri sendiri. Setiap yang anda lakukan adalah demi kebaikan. Syarikat akan hargai usaha anda dan anggaplah ia sebagai kejayaan peribadi apabila berjaya mencapai sasaran. Contoh: Anda akan berusaha untuk mendapatkan kontrak atau 'tender' yang anda uruskan sebelum bercuti baru-baru ini untuk syarikat anda. Dengan itu, anda akan sentiasa fokus dan bersemangat melakukannya.
4. Eratkan Hubungan
Sudah menjadi adat warga kota, rumah terbuka masih diadakan walaupun bulan Syawal sudah sampai ke penghujungnya. Memenuhi  jemputan ke rumah terbuka rakan-rakan sepejabat pada hujung minggu atau di waktu makan tengahari merupakan amalan yang baik. Ia dapat menyambung dan memperkukuhkan silatulrahim serta memberi peluang kepada anda mengenali lebih rapat dengan rakan sepejabat yang berlainan jabatan. Apabila telah saling mengenali, urusan pejabat dapat dijalankan dengan lebih mudah dan secara tidak langsung membantu anda memenuhi matlamat.
5. Tingkatkan Pengetahuan dan Kemahiran
Perasaan bosan dan malas adalah fenomena sementara dan ia biasa melanda tatkala anda baru pulang bercuti. Demam cuti raya masih terasa. Bagi mengelakkan kebosanan, pastikan anda mengikuti beberapa bengkel, kursus atau seminar jangka pendek yang diadakan oleh jabatan, menghadiri pameran atau konvensyen bagi menambahkan pengetahuan dan kemahiran. Anda pasti pulang dari program-program itu kerana banyak perkara baru yang dipelajari dan ingin dipraktikkan.
- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Isnin, 2 September 2013

Bekerja Semasa Cuti. Ketahui Hak Anda!

Pernahkah anda diminta bekerja pada hari cuti umum oleh majikan anda? Sebagai pekerja adakalanya kita dalam dilema. Dari satu sudut, sebagai pekerja kita perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh pihak majikan. Namun di satu sudut yang lain sebagai insan ada kalanya kita merasakan tindakan majikan ke atas kita seolah-olah tidak adil atau berat sebelah.
     Bersesuaian dengan musim perayaan ini, tentu ramai di antara kita yang akan bercuti dan tidak kurang juga terpaksa bekerja. Sebagai pekerja yang dilindungi di bawah Akta Buruh dan pelbagai lagi akta yang berkaitan mari kita lihat di mana hak kita sebagai pekerja di dalam hal-hal yang berkaitan dengan cuti.

Cuti Umum Berbayar

Setiap pekerja berhak mendapat 10 daripada mana-mana cuti umum berikut yang telah diwartakan dalam mana-mana satu kalendar dan juga mana-mana cuti yang diistiharkan oleh kerajaan sebagai cuti umum di dalam Seksyen 8, Akta Cuti 1951 :- Seksyen 60D(1)(a) & 60D(1)(b).

Cuti Umum Persekutuan

Hari Raya Puasa
Tahun Baru Cina
Hari Pekerja
Hari Wesak
Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong
Hari Raya Haji
Awal Muharam
Hari Kebangsaan
Hari Keputeraan Nabi Muhammad
Deepavali
Hari Krismas
Untuk Cuti Umum di peringkat negeri pula sila semak dengan kerajaan negeri masing-masing.

4 Cuti Yang Dimestikan

Ada empat hari cuti umum yang telah diwartakan dan dimestikan iaitu : Seksyen 60D(1)
1. Hari Kebangsaan
2. Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong
3. Hari Keputeraan Sultan atau Yang Dipertua Negeri atau Hari Wilayah Persekutuan
4. Hari Pekerja

     Majikan boleh dan berhak mengikut budi bicaranya untuk menentukan mana-mana enam hari sebagai baki cuti umum yang dipilih ini mestilah daripada enam hari yang diwartakan dalam mana-mana satu tahun kalendar. Cuti-cuti umum yang telah dipilih ini mestilah ditentukan dalam bentuk notis kepada pekerja dan mesti diletakkan dengan nyata di tempat kerja sebelum bermulanya setiap tahun kalendar (Seksyen 60D(1) & Seksyen 60D(1A)). Bagaimanapun seorang majikan dan pekerja, atas persetujuan bersama boleh menggantikan mana-mana hari atau hari-hari lain sebagai baki enam hari cuti umum yang diwartakan.

Mendapatkan Cuti Ganti

S Adakah terdapat cuti ganti jika mana-mana daripada cuti umum terpilih yang diwartakan jatuh pada hari-hari yang pekerja tersebut :
*Cuti sakit
*Cuti tahunan
*Hilang upaya sementara di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
*Cuti bersalin (dimansuhkan sejak 10 Februari 1989)
J Jika mana-mana cuti umum terpilih yang diwartakan jatuh dalam tempoh pekerja seperti yang dinyatakan, pekerja tersebut berhak satu hari yang lain sebagai cuti umum berkenaan. Seksyen 60D(1B)

S Perlukah diberi sebarang ganti jika cuti umum yang diwartakan jatuh pada hari rehat?
J Jika cuti umum jatuh pada hari bekerja yang berikutnya akan menjadi hari cuti berbayar bagi menggantikannya. Seksyen 60(D)(1).

S Bagaimanakah seseorang pekerja harus dibayar jika beliau dikehendaki bekerja pada mana-mana cuti umum berbayar yang diwartakan?
J Seseorang majikan boleh menghendaki seseorang pekerja bekerja pada mana-mana cuti umum berbayar yang diwartakan tetpi beliau mesti dibayar dengan cara berikut :
* Di dalam keadaan seseorang pekerja bergaji bulanan, mingguan, harian, mengikut jam atau kadar gaji seumpama itu dan dikehendaki bekerja pada mana-mana hari cuti umum berbayar yang diwartakan, beliau akan dibayar seperti berikut :
A) Gaji berganda berdasarkan kadar gaji biasa beliau, iaitu tambahan kepada gaji hari cutinya yang beliau berhak terima untuk hari tersebut. Seksyen 60D(3)(a)(i)
B) Sekurang-kurangnya tiga kali ganda kasar gajinya menurut jam jika beliau bekerja lebih daripada jumlah jam kerja biasanya (iaitu dianggap sebagai kerja lebih masa Seksyen 60D(3)(aa).
Contoh:
Suhana bekerja daripada jam 8 pagi hingga 7 malam pada hari cuti bergaji. Waktu kerja biasa ialah daripada 8 pagi hingga 5 petang. Dengan itu jam 5 petang hingga 7 malam dianggap sebagai kerja lebih masa. Kadar gaji hariannya ialah RM8. Gajinya untuk hari tersebut ialah seperti berikut:
Gaji cuti umum RM8
Gaji yang mesti dibayar kerana bekerja pada hari cuti umum RM8 X 2 = RM16
Gaji kerja lebih masa RM8/8 jam X 2 jam X 3 kali = RM6
Jumlah gaji untuk hari itu ialah RM30

Hak Terima Gaji

Jika cuti umum yang diwartakan jatuh pada hari seseorang pekerja sedang bercuti tanpa gaji, beliau tidak berhak mendapat sebarang gaji untuk cuti umum diwartakan yang jatuh pada mana-mana hari dalam tempoh beliau bercuti tanpa bayaran.

S Adakah seorang pekerja berhak menerima gaji cuti umum jika beliau tidak hadir bekerja tanpa sebab-sebab yang munasabah pada hari kerja sebelum atau sesudah cuti umum bergaji
J Jika seorang pekerja tidak menghadirkan diri tanpa sebab-sebab yang munasabah pada hari bekerja sebelum atau sesudah cuti umum yang diwartakan, beliau tidak berhak mendapat sebarang cuti umum bergaji. Seksyen 60D(2).

Bekerja Di Hari Rehat

Setiap pekerja akan dibenarkan satu hari rehat penuh dalam setiap minggu dan jika lebih daripada satu hari rehat diberi kepada seseorang pekerja dalam seminggu, hari terakhir juga adalah dianggap sebagai hari rehat. Seksyen 59(1). Bagaimanapun sesuatu hari rehat bagi pekerja-pekerja syif hanya dibenarkan selepas kerja yang berterusan selama 30 jam. (Hari rehat untuk pekerja-pekerja yang terlibat dengan kerja-kerja syif). Seksyen 59 (1A).

S Bolehkah seseorang majikan menguruskan supaya hari-hari rehat digantikan dengan hari-hari lain?
J Ya. Seseorang majikan boleh melakukan penukaran, tetapi beliau haruslah menyediakan satu jadual sebelum bermula bulan bagi hari-hari tersebut. Beliau juga haruslah memaklumkan kepada pekerja tersebut mengenai hari-hari yang telah dijadualkan sebagai hari-hari rehat mereka. Seksyen 59(2).
Apabila hari rehat telah ditetapkan untuk semua pekerja bagi setiap minggu, satu notis hendaklah diletakkan di tempat yang jelas untuk memaklumkan mereka mengenai hari rehat yang telah ditetapkan.

S Di bawah keadaan bagaimanakah seseorang pekerja boleh dipaksa bekerja pada hari rehat di atas perintah majikan.
J Tiada seorang pekerja pun boleh dipaksa bekerja pada hari rehat kecuali kerana sifat kerja tersebut menghendaki ia terus berjalan dan berterusan dengan dua syif atau lebih. Seseorang majikan juga boleh menghendaki seseorang pekerja bekerja lebih masa atau bekerja pada hari rehat di bawah keadaan yang berikut : Seksyen 60 A(2)
a) Kemalangan yang benar-benar berlaku atau diancam. Di dalam atau berhubungan dengan tempat kerja beliau atau
b) Kerja yang penting bagi kehidupan masyarakat; atau
c) Kerja penting yang harus dilakukan kepada loji dan mesin atau
d) Kerja yang penting bagi pertahanan dan keselamatan Malaysia; atau
e) Gangguan kerja yang tidak disangkakan; atau
f) Kerja di dalam sebarang bidang perindustrian yang penting kepada ekonomi Malaysia atau mana-mana perkhidmatan yang penting seperti yang ditafsirkan di dalam Akta Perhubungan Perusahaan, 1967.

     Seseorang pekerja tidak dibenarkan bekerja lebih daripada 12jam dalam mana-mana hari kecuali di bawah keadaan-keadaan yang dinyatakan dalam (a) hingga (e) di atas.

S Bolehkah hari rehat dikumpulkan
J Di bawah keadaan biasa, pengumpulan hari rehat tidak dibenarkan. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu seperti tempat kerja adalah terpencil  atau jauh dan banyak masa diperlukan bagi membolehkan pekerja pulang ke rumahnya, majikan boleh memohon kelulusan Menteri Sumber Manusia.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Ahad, 14 Julai 2013

Kerja & Persiapan Raya - biar seimbang urusannya

Kemeriahan sambutan hari raya semakin terasa terutamanya apabila masuk minggu kedua berpuasa. Seperti biasa seluruh muslimin dan muslimat mahu menyediakan persiapan terbaik dengan pakaian dan kelengkapan rumah baru.
Bagi suri rumahtangga pastinya banyak masa dapat diperuntukkan untuk memikirkan persiapan raya, namun bagi mereka yang bekerja, kesuntukan masa adalah perkara normal. Maka dengan itu mereka harus bijak membahagikan masa antara urusan kerja dan persiapan hari raya. Tidak dinafikan anda terpaksa berfikir dan bekerja lebih keras kerana melakukan dua kerja serentak. Apakah cara terbaik dapat dilakukan bagi memastikan kerja dan persiapan raya berjalan lancar?

1. Guna kemajuan teknologi
Kemajuan teknologi seperti penggunaan internet perlu digunakan sepenuhnya. Kini banyak laman web menyediakan nasihat dan membeli barang secara dalam talian (on-line) sebagai kemudahan membeli-belah. Masa untuk berbelanja dapat anda gunakan untuk menyiapkan kerja pejabat sebelum bercuti raya. Barang yang tiba ke tangan anda dijamin kualiti dan keadaannya, jika tidak anda berhak memulangkan barang yang sampai ke tangan anda.
2. Perancangan teratur
Hidup perlukan perancangan kerana ia akan memudahkan anda melakukan sesuatu mengikut tertibnya. Lebih baik jika pekerjaan anda dapat disiap dan dilakukan lebih awal. Cara ini dapat mengurangkan tekanan menjelang perayaan. Jika kerja kurang penting terlalu banyak dan anda tidak yakin dapat menyiapkannya dalam waktu terdekat, minta pertolongan ketua untuk membahagikan tugas tersebut kepada rakan setugas yang lain. Pasti dia todak menolak cadangan anda demi kepentingan syarikat. Selain itu gunakan kesempatan rehat makan tengahari untuk menyiapkan segala urusan yang perlu.
3. Memberi kepercayaan kepada pekerja
Mustahil anda mampu menyelesaikan segala urusan sendirian. Sebagai ketua, anda seharusnya memberi kepercayaan kepada pekerja bawahan untuk melakukan kerja-kerja yang mampu dilakukan mereka dari urusan perkeranian sehingga menyediakan akaun. Secara tidak langsung anda telah meringankan sedikit bebanan di bahu daripada tekanan menjelang perayaan.
4. Senaraikan perkara mustahak
Urusan seharian akan lebih senang apabila anda dapat menyenaraikan segala kerja atau urusan yang kurang mustahak. Bagaimanapun perkara atau urusan yang tertangguh seharusnya tidak menjejaskan kredibiliti anda sebagai ketua, pekerja atau menjejaskan perjalanan urusan syarikat.
5. Tempahan awal
Kerja yang banyak di pejabat adakalanya membuatkan anda tidak berkesempatan untuk menjahit baju, langsir atau membuat kuih raya sendiri. Mengatasi masalah ini anda perlu bertindak pantas membuat tempahan awal pada tukang jahit kegemaran anda atau pembuat kuih raya yang biasa selewat-lewatnya sebulan sebelum raya.
6. Perbincangan keluarga
Walau sibuk bagaimana sekalipun, waktu berbuka puasa bersama keluarga merupakan kesempatan terbaik untuk berbincang mengenai persiapan hari raya. Di sini anda sudah boleh membahagikan tugas kepada suami dan anak-anak apa yang dapat mereka lakukan untuk membantu meringankan tugas anda menjelang hari raya. Kerjasama antara ahli keluarga mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Sedikit demi sedikit perancangan terbentuk dan dapat mengelakkan keserabutan menyediakan persiapan menjelang raya.
7. Senarai barang
Mengelakkan daripada berbelanja secara berlebihan, anda dinasihatkan menyenaraikan barang keperluan yang penting sahaja untuk dibeli. Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan belanja malah menjimatkan masa ketika membeli belah. Jika bimbang kepenatan membeli-belah pada bulan puasa, sedikit sebanyak persiapan awal sebelum berpuasa dapat membantu masalah tekanan menjelang hari raya. Contohnya, menempah pakaian untuk dijahit sebelum hari raya.
8. Memohon cuti raya
Pastikan anda memohon cuti raya lebih awal agar kelulusan awal daripada pihak majikan dapat memudahkan anda membuat perancangan rapi persediaan hari raya. Bagaimanapun anda perlu memastikan segala urusan pejabat dapat disiapkan sebelum bercuti. Jika tidak sambutan hari raya akan terganggu kerana anda sering memikirkan kerja yang belum selesai di pejabat.
9. Berbelanja di hujung minggu
Sebaik-baiknya gunakan kesempatan bercuti hujung minggu untuk membeli-belah keperluan raya. Jika anda merancang membeli perabot atau sesuatu yang mempunyai nilai tinggi, pastikan anda telah menyediakan peruntukan seawal mungkin agar perbelanjaan menjelang hari raya tidak membebankan. Keluar awal untuk mengelakkan kesesakan jalanraya dan beli berdasarkan senarai yang disediakan.
10. Rumah kekal bersih
Satu perkara yang membebankan ialah apabila kediaman terpaksa dibersihkan dengan menyeluruh apabila menjelang raya. Biasanya ia timbul apabila kediaman kurang terurus kerana kesibukan bekerja. Bagaimanapun ia dapat diatasi sekiranya anda dan pasangan bekerjasama menjaga kebersihan rumah setiap hujung minggu. Jika ada peruntukan lebih, anda boleh mengupah seseorang untuk membersihkan kediaman seperti memotong rumput di halaman, membersihkan longkang dan mengecat semula rumah.

- Sumber dari NUR -



Isnin, 3 Jun 2013

Gaji anda Dipotong?

Pernahkah anda menerima gaji yang kurang daripada yang biasa anda terima? Jika pernah ini bermakna pihak majikan telah membuat beberapa pemotongan ke atas gaji anda. Jika pemotongan tersebut memang sudah anda sedia maklum, ia tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Tetapi bagi anda yang masih ragu-ragu dengan pemotongan gaji yang dilakukan oleh majikan, periksa perkara-perkara berikut!

Pemotongan Gaji
Pemotongan gaji oleh majikan hanya boleh dikuatkuasakan di bawah keadaan-keadaan berikut: Seksyen 24 (2)

1. Pembayaran berlebihan oleh majikan yang dibuat dalam tempoh tiga bulan di atas kesilapan majikan
2. Potongan-potongan untuk tanggungan rugi yang mesti dibayar seperti akibat kemungkinan kontrak perkhidmatan dan lain-lain (Seksyen 13 (1))
3. Pembayaran balik pendahuluan gaji (tetapi faedah tidak dikenakan pada pendahuluan-pendahuluan sedemikian) Seksyen 22
4. Potongan-potongan yang dibenarkan oleh sebarang undang-undang yang berkuatkuasa seperti KWSP, Perkeso, cukai pendapatan dan lain-lain.
5. Potongan yang dibuat di atas permintaan pekerja secara bertulis berhubungan dengan langganan, yuran-yuran sebagai ahli kesatuan sekerja dan lain-lain, ansuran pinjaman dan faedah atau bayaran-bayaran lain.
6. Pemotongan terhadap bayaran untuk mana-mana saham perniagaan majikan yang ditawarkan untuk jualan oleh majikan dan dibeli oleh pekerja (Seksyen 24 (3) (b)) atau
7. Pemotongan yang dibuat di atas permintaan bertulis pekerja dan dengan kebenaran terlebih dahulu dari Ketua Pengarah Buruh di bawah syarat-syarat berikut:
a) Pemotongan-pemotongan untuk bayaran yang dibuat terhadap mana-mana skim persaraan, tabung simpanan pekerja, skim kebajikan yang ditawarkan oleh pekerja, atau skim insuran yang ditubuhkan untuk faedah pekerja : Seksyen 24 (4) (a).
b) Pemotongan-pemotongan untuk bayaran ke atas wang pendahuluan ke atas gaji yang diberi kepada pekerja-pekerja di bawah Seksyen 22, di mana faedah dikenakan ke atas wang pendahuluan tersebut  dan pemotongan-pemotongan untuk bayaran faedah yang dikenakan.
c) Pemotongan-pemotongan ke atas bayaran-bayaran yang dibuat oleh pihak ketiga bagi pihak pekerja.
d) Pemotongan-pemotongan ke atas sebarang sewa untuk tempat penginapan atau perkhidmatan makanan dan minuman yang disediakan oleh majikan kepada pekerja itu di atas permintaan pekerja itu sendiri, atau dia bawah syarat-syarat kontrak perkhidmatan pekerja.
e) Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Buruh tidak akan membenarkan sebarang pemotongan ke atas bayaran-bayaran yang dibuat di bawah Seksyen kecil 4(e) melainkan beliau berpuas hati bahawa penyediaan tempat penginapan, perkhidmatan makan dan minuman tersebut adalah untuk faedah pekerja tersebut.
f) Pemotongan-pemotongan dari gaji pekerja (di atas permintaan secara bertulis dari pekerja tersebut) untuk sebarang kredit atau hutang yang ditanggung oleh pekerja tersebut untuk barang makanan; barang-barang runcit atau lain-lain barang yang diambil dari mana-mana kedai yang sah didaftarkan oleh syarikat kerjasama.

Jumlah Potongan
Jumlah maksimum potongan daripada gaji seorang pekerja dalam mana-mana 'tempoh penggajian' iaitu dalam mana-mana satu bulan, tidak seharusnya melebihi 50 peratus daripada gaji yang diperolehi pekerja dalam tempoh penggajian.
Bagaimanapun had tersebut tidak terpakai pada sebarang potongan daripada tanggungan rugi yang mesti dibayar oleh pekerja kepada majikan kerana memungkiri kontrak perkhidmatan bagi menggantikan notis. Ini termasuklah mendapatkan semula sebarang jumlah wang yang terhutang oleh pekerja kepada majikannya yang potongan daripada gaji terakhirnya melebihi 50 peratus (Seksyen 24 (8)). Jumlah potongan paling tinggi 50 peratus daripada gaji boleh ditambahkan 25 peratus lagi apabila jumlah pembayaran balik keseluruhan atau sebahagian pinjaman perumahan.

Jumlah Maksimum Pendahuluan Gaji
Jumlah maksimum pendahuluan gaji yang boleh diberikan kepada pekerja tidak harus melebihi sebulan gaji pekerja tersebut, kecuali pendahuluan berkenaan dibuat bagi membolehkan beliau : (Seksyen 22)
1. Membeli rumah atau membina atau mengubahsuai sebuah rumah atau
2. Membeli tanah atau
3. Membeli binatang ternakan atau
4. Membeli sebuah kereta, motorsikal atau basikal atau
5. Untuk tujuan-tujuan lain sepertimana yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Buruh.

- Sumber dari NUR November 2002 -


Ahad, 2 Jun 2013

Periksa Gaji Anda?

Gaji adalah perkara paling penting bagi anda yang berkerjaya. Pemberian gaji oleh majikan kebiasaannya berdasarkan kelulusan, kebolehan dan pengalaman seseorang pekerja. Walaupun banyak syarikat memberi gaji yang hampir sama dengan syarikat-syarikat lain dalam industri yang sama tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang gaji yang diterima setiap bulan. Ayuh, mari kita semak!

*Pembayaran Gaji
Cara pembayaran gaji yang dibenarkan di bawah Akta Pekerjaan 1955 adalah seperti berikut : Seksyen 25.

a. Pembayaran secara tunai ; atau (Seksyen 25(1)).
b. Dengan persetujuan bertulis pekerja,
- Pembayaran boleh dikreditkan ke dalam akaun bank atau syarikat kewangan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Kewangan 1969 di mana-mana bahagian Malaysia dan akaun di atas nama pekerja tersebut yang dikendalikan bersama dengan seorang lain atau lebih; atau
- Pembayaran melalui cek yang dibuat di atas nama pekerja (Seksyen 25 A(1)).
Bagaimanapun persetujuan bertulis sedemikian boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan memberi notis bertulis selama empat minggu terlebih dahulu (Seksyen 25A (2)).

*Penyata Gaji
Sebagai pekerja anda mestilah menerima penyata gaji yang menunjukkan butir-butir gaji yang patut diterima, potongan-potongan dan lain-lain yang dibuat dalam tempoh penggajian tersebut. (Peraturan Pekerja 1957).

* Tarikh Pembayaran Gaji
Mengikut Akta Pekerjaan 1955, tarikh akhir pembayaran gaji mesti dibuat ialah tidak lewat daripada 7 haribulan selepas tamat tempoh penggajian (Seksyen 19). Mana-mana majikan yang ingin melanjutkan tempoh berkenaan perlulah memohon kepada Ketua Pengarah Buruh.

* Berhenti Tanpa Notis
Seorang pekerja yang menamatkan kontraknya tanpa notis, gajinya (ditolak sebarang potongan sah disisi undang-undang) harus dibayar dalam tempoh tiga hari daripada penamatan itu. (Seksyen 21 (2)).

* Berhenti Dengan Notis
Dalam keadaan penamatan kontrak dengan notis oleh salah satu pihak, gaji (ditolak sebarang potongan yang sah disisi undang-undang) harus dibuat pada hujung tempoh notis tersebut. (Seksyen 20).

- Sumber dari NUR November 2002 -


Sabtu, 1 Jun 2013

Pengacau Pejabat - Bersediakah anda menghadapinya?

Ia wujud hampir di semua pejabat. Si pengacau pejabat menganggap dirinya seperti penolong bos walaupun ada orang lain yang yang melakukan kerja lebih baik daripadanya. Dia tidak pernah mempunyai idea sendiri, hobinya ialah mencuri idea anda. Kemudian anda pula akan ditohmah hingga menyebabkan anda terpaksa memencilkan diri.
Mungkin sebelum ini anda pernah berhadapan dengan masalah ini. Tetapi anda tidak tahu istilah yang tepat untuk menggelarkan mereka. Pengacau pejabat perlu dijauhi sekiranya nasihat yang anda berikan kepadanya tidak diterima pakai. Namun bagi anda yang belum tahu atau masih tertanya-tanya apakah dia si Pengacau Pejabat, cuba perhatikan beberapa jenis Pengacau Pejabat yang biasa berkeliaran di tempat kerja anda.
1. Si Peniru
Meniru barangkali kelihatan remeh saja bagi sesetengah pihak. Ia tidak ubah seperti perangai budak-budak sekolah! Tetapi mungkin anda masih tidak sedar, apabila perbuatan meniru ini berlaku di pejabat ia mungkin menyebabkan prestasi kerja anda yang baik terjejas. Sebagai contoh, Hanim yang bertugas sebagai arkitek, menghabiskan hujung minggunya dengan mengumpulkan idea-idea untuk dikemukakan pada mesyuarat pengurusan pada hari Isnin akan datang.
"Apabila mesyuarat diadakan, saya terdengar idea saya pada minggu sebelumnya disebutkan oleh seorang rakan sekerja saya dengan beberapa pengubahsuaian. Dia boleh memperkatanya dengan begitu baik, sehingga nampak bukan lagi idea saya. Lebih menyedihkan, dialah yang menerima pujian," begitulah luah Hanim yang terpaksa berhadapan dengan pengacau pejabat ini.
Seperti contoh kes Hanim, dia tidak sepatutnya terus melatah dan menuduh rakannya itu mencuri ideanya. Sebaliknya dia boleh menyebutkannya di hadapan semua orang (juga dengan sopan) rasa penghargaannya terhadap rakan sekerja yang sudah dapat meluaskan lagi skop ideanya. "Ya, anda betul, itulah yang saya perlukan untuk rekaan saya, terima kasih". Dengan cara ini ada kemungkinan rakan kerjanya itu tidak akan mengulangi perbuatannya pada masa akan datang.
Helen Wintrab, seorang ahli psikologi yang beribu pejabat di Brooklyn menawarkan panduan berikut bagi membantu anda menghindari si peniru ini. "Berwaspada dengan setiap rakan kerja yang sering datang meminta pertolongan. Jangan terlalu lurus. Lindungi diri anda. Jangan berkongsi sebagai idea. Wanita pada kebiasaannya terlalu mudah percaya kepada orang lain dan suka menolong. Biarkan mereka mencari jalan sendiri.
2. Si pengacau yang cekap
Apa juga yang anda lakukan, dia akan melakukan yang lebih baik. Anda tidak berjaya mencuri perhatian bos, kerana dia memastikan segala tumpuan diberikan kepadanya. Anda bekerja sehingga lewat malam untuk menghabiskan projek tepat pada masanya, namun dia dengan pantas memberitahu bos akan kesediaannya mengorbankan cuti tahunan untuk menghabiskan projek yang diarahkan. Anda tidak menganggap kerja yang dilakukan sebagai satu pertandingan kerana masing-masing sudah diberi tugas, namun dia bersikap seolah-olah hadiah pingat emas sedang menanti apabila kerja selesai. Berita sedih bagi anda. Dia memperolehi kenaikan pangkat. Walaupun si pengacau yang cekap tidak menyusahkan anda, mereka boleh menjadi suatu ancaman kepada anda. Hakikatnya ialah, dia berusaha sedaya upaya agar kelihatan lebih baik daripada anda. Namun dia tidak akan tahu sejauh mana dia boleh melakukannya jika anda tidak memberi sebarang petunjuk. Justeru jangan beritahunya kerja tambahan yang anda lakukan dan kata Brown, wujudkan hubungan yang lebih dengan bos anda dan mereka yang berjawatan dalam pejabat. Ingatlah kerja yang baik dan dilakukan secara jujur akan tetap menerima penghargaan.
3. Si kaki gosip
Mereka bagaikan minyak yang menunggu untuk dicurahkan di atas bara api. Anda boleh mendengar bisikan dan umpatan, nun di sana anda melihat si kaki gosip bersama rakan-rakannya. Anda mungkin ingin turut sama mendengarnya tetapi awas, jangan terperangkap. Seberapa boleh elakkan diri anda daripada terbabit. Tidak ada pembunuh kerjaya paling cepat selain mendapati diri anda dikaitkan dengan gosip pejabat dan di setiap memang ada sekurang-kurangnya seorang yang mempunyai tabiat begini. Ruang makan di pejabat sering kali menjadi tempat tumpuannya. Kalau tidak pun di bilik air. Malah lebih menyedihkan lagi ada yang menjadikan surau sebagai markas. Jadi apabila tiba waktu makan, elakkan menggunakan ruang makan dan jangan berlama-lama di dalam bilik air atau di dalam surau. Namun bagaimana jika dia masih terus mendesak untuk bercakap dengan anda?
Nasihat Wintrob ialah anda perlu mengawal tajuk perbualan. Berbincanglah mengenai soal kerja. Sebutkan dengan kuat sekira-kira boleh didengar oleh rakan lain. Nak jumpa dia selepas kerja? Lebih baik anda habiskan masa dengan mambaca buku atau beramal ibadah. Walaupun perbincangan tidak berkaitan dengan gosip, anda mungkin ditohmah ketika dilihat bersama dengannya.
4. Si manja bos
Dia sentiasa ingin tahu sama ada anda dapat menyiapkan laporan tepat pada waktunya atau sebaliknya. Dia akan bertanya kenapa anda pulang awal baru-baru ini. Dia juga meminta anda agar memberitahunya jika berhasrat berbuat begitu pada masa akan datang. Siapakah si Pengacau ini? Tidak lain dan tidak bukan dialah kesayangan bos. "Ingat si manja bos ini tidak bertindak atas kehendaknya sendiri. Dia menganggap dirinya mempunyai kelayakan itu kerana dia sudah mewujudkan satu bentuk hubungan tersendiri dengan bos. Jadi jangan tengking atau berkasar dengannya kerana jika dia mengadu kepada bos mengenai anda, maka anda akan menghadapi masalah besar. Cara mempertahankan diri yang terbaik ialah dengan bertolak ansur dengannya dan terus bertahan," kata Wintrob. Ikut segala rentaknya dan layan dia lebih kurang sama dengan cara anda melayan bos. Tanya sama ada dia hendak baca lebih dahulu laporan yang dikehendaki sebelum diserahkan kepada bos. Dia pasti tidak ingin kerja lambat. Lambat-laun dia akan biarkan anda sendirian.

- Sumber dari majalah NUR -


Selasa, 28 Mei 2013

Bersedia Hadapi Temuduga?

Temuduga merupakan langkah awal anda untuk memasukki alam pekerjaan. Ia juga langkah pertama yang akan menentukan kerjaya yang anda minati menjadi milik anda atau sebaliknya. Walaupun anda memiliki kelulusan dan kelayakan yang dikehendaki tetapi tidak semestinya anda berjaya di dalam temuduga yang dihadiri. Ramai antara kita yang gagal atau tampil kurang berkeyakinan dalam temuduga yang diadakan. Kita gagal menjual diri kita! Ketrampilan kita tidak meyakinkan. Dan yang pasti apa yang kita paparkan jauh dari jangkauan si penemuduga.
Berikan keutamaan kepada banyak perkara sebelum anda melangkah ke bilik temuduga. Wajah anda, keperibadian anda, gaya anda dan pertuturan anda di samping kelayakan, kebolehan dan latihan anda menjadi faktor-faktor penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan anda!

Persediaan
1. Selidik seberapa banyak yang anda dapat tentang pekerjaan yang anda pohon. Anda boleh merujuk melalui laman web, kaunselor kerjaya, pegawai bimbingan kerjaya di Perkhidmatan Pekerjaan, Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat, mereka yang bekerja dalam pekerjaan yang dipohon, bahan penerangan kerjaya yang boleh didapati dari pelbagai jabatan, firma dan perpustakaan dan mungkin bantuan daripada keluarga terdekat anda atau rakan-rakan karib anda.
2. Perhatikan sama ada anda mempunyai kelulusan akademik dan kelayakan lain seperti yang dikehendaki oleh pekerjaan yang anda pohon itu. Jangan bergantung kepada nasib semata-mata.
3. Jika anda ditemuduga untuk pekerjaan yang berkehendakkan pengetahuan atau latihan khas, anda mungkin disoal tentang perkara yang berkaitan ataupun diberi ujian untuk menilai pengalaman, kemahiran atau kepantasan anda. Dalam hal seperti ini, adalah berfaedah jika anda mengkaji semula perkara berkenaan sebelum menghadiri temuduga.
4. Anda hendaklah mengambil tahu tempat, tarikh dan masa temuduga akan diadakan dan hendaklah berada di tempat temuduga itu 10 minit sebelum temuduga bermula. Jangan sekali-kali datang lewat.
5. Berpakaian sesuai, kemas dan bersih. Jangan memakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, menggunakan minyak wangi dan alat solek yang berlebihan.
6. Kuku jari dan kasut yang anda pakai mestilah bersih. Gunakan beg tangan atau fail biodata yang sesuai. Jangan keterlaluan.
7. Apabila anda menjawab sesuatu iklan pastikan permohonan anda itu mengandungi segala butir-butir tertentu seperti yang dikehendaki dalam iklan itu. Bersedialah menjawab soalan-soalan berkenaan dengan iklan dan kandungan surat permohonan anda itu.
8. Bawa bersama sijil asal sekolah, dokumen-dokumen asal dan surat-surat akuan asal untuk disemak oleh majikan atau penemuduga. Susun dokumen-dokumen ini mengikut susunan yang dikehendaki dan jangan digulung.
9. Sediakan nama dan butir lain mengenai dua orang yang benar-benar mengenali anda tetapi bukan saudara-mara anda, yang akan memberi perakuan terhadap diri anda. Lebih elok jika anda mendapatkan keizinan daripada mereka terlebih dahulu.
10. Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum memasuki bilik temuduga itu. Jangan merasa gentar, masuk dengan hati yang tenang serta penuh yakin.

Tingkah Laku Semasa Temuduga
* Jangan gentar apabila hendak memasuki bilik temuduga. Bersikap seperti biasa. Ucapkan "Selamat Pagi" atau "Selamat Petang" atau "Assalamualaikum" mengikut kesesuaian waktu. Ini nanti akan memberi perasaan mesra di antara anda dan penemuduga.
* Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga itu tidak berbuat gerakan dahulu yang dia hendak berbuat demikian.
* Jangan duduk selagi tidak disuruh. Apabila anda disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan. Selesakan diri anda.
* Jangan letakkan barang, tangan atau siku anda di atas meja penemuduga.
* Jangan cuba hendak mengalih keadaan kerusi yang disediakan untuk anda.
* Jangan goyang-goyangkan kaki atau menggerakkannya ke sana sini.
* Jangan pula anda cuba hendak membaca surat dan kertas lain di atas meja penemuduga itu.
* Biarkan penemuduga itu memulakan temuduga.
* Jangan menjawab soalan yang ditanyakan dengan tergopoh-gapah. Sebaliknya jawab dengan tenang dan jelas serta mudah didengar. Jawapan yang anda beri itu hendaklah tepat. Jangan bercakap panjang lebar dan jangan gunakan bahasa kasar.
* Apabila bercakap pandang ke muka penemuduga itu. Jika ahli panel yang menemuduga itu lebih daripada seorang maka arahkan jawapan-jawapan anda kepada ketua panel.
* Gunakan perkataan seperti 'tuan' atau 'puan' pada orang yang tertentu dari masa ke semasa tetapi janganlah selalu menggunakannya.
* Jangan menyampuk semasa penemuduga itu sedang bercakap dan jangan sekali-kali berbalah dengannya.
* Jangan mengunyah apa-apa di dalam mulut semasa menghadiri temuduga.
* Jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang tidak benar semasa sesi temuduga.
* Jika anda tidak tahu jawapan kepada soalan yang disoal itu, janganlah cuba hendak berbohong ataupun mendiamkan diri sahaja kerana ini akan melemahkan peluang anda. Eloklah anda bercakap terus-terang bahawa anda tidak tahu jawapannya.
* Bersedia memberitahu penemuduga tentang keluarga anda, persekolahan, kegemaran dan aktiviti anda. Jangan bercakap terlalu banyak perkara yang tidak sepatutnya.
* Jangan berbincang apa-apa masalah peribadi anda semasa temuduga.
* Jika anda pernah bekerja dahulu, berilah keterangan dengan ringkas dan tepat berkenaan dengan pekerjaan terdahulu.
* Jangan sekali-kali anda cuba hendak mencela bekas majikan anda.
* Nyatakan kelayakan dan kelulusan anda yang benar tetapi jangan membesar-besarkan perkara itu.
* Anda hendaklah mengetahui serba sedikit akan tugas-tugas yang bersabit dengan pekerjaan itu, masa yang dijangka harus bekerja dan gaji yang akan dibayar pada permulaan.
* Bersedialah untuk memberitahu kadar gaji yang anda ingin. Walau bagaimanapun biarlah penemuduga itu mengemukakan perkara itu terlebih dahulu.
* Jika penemuduga tidak menyatakan tarikh yang sepatutnya anda mengetahui keputusan temuduga itu, eloklah anda bertanya supaya anda boleh datang lagi ke pejabatnya untuk mengetahui keputusan itu. Jika ia bersetuju tanyakan tarikh dan masa yang sesuai baginya.
* Biarkan penemuduga itu menamatkan temuduga.
* Ucapkan terima kasih kepada penemuduga  kerana memberi peluang kepada anda menyertai temuduga itu.
* Ingat sebagai muslimah, selalulah berdoa dan berserah kepada Allah. Amalkan doa yang boleh melembutkan hati penemuduga yang anda akan hadapi.

Penilaian Temuduga
Dalam temuduga lazimnya penemuduga akan menilai diri anda dalam perkara-perkara seperti yang dijadualkan di bawah:
1. Paras rupa fizikal
Kekemasan dan cara berpakaian
2. Tingkah laku
Perlakuan am, kesopanan, gaya dan ketenangan.
3. Kepetahan bertutur
Tenang, kelancaran penyampaian, perbendaharaan katadan pemilihan perkataan dan penyampaian yang jelas.
4. Keyakinan
Keyakinan diri, kematangan sikap dan pendapat, ketabahan dan kepastian.
5. Kewibawaan
Personaliti yang tegas lagi bertenaga, keupayaan untuk meyakinkan dan mempertahankan hujah.
6. Motivasi
Desakan, kesungguhan, penyertaan dalam perbualan dan perbincangan.
7. Pembawaan
Kemesraan dan kemampuan bergaul, perangai, berfikiran luas, kawalan emosi.
8. Kecerdasan
Keupayaan analitikal, kecekapan menjawab, mentaakul, membina dan berfikir logik.
9. Pengetahuan
Berhubung dengan kelayakan dan pengalaman

- Sumber dari majalah NUR -


Rabu, 9 Mei 2012

5 Cara Kurangkan Stress Di Pejabat

1. Makan Tengahari
Sebelum keluar untuk makan tengahari, duduk sebentar dengan mata terpejam sambil menarik dan menghela nafas secara perlahan-lahan. Tolak ke tepi sebarang masalah kerja yang membebani fikiran dan keluar daripada ruang pejabat yang tertutup untuk mendapatkan udara segar. Elakkan sebarang perbincangan yng berkaitan dengan pejabat sebaliknya carilah topik yang ringan serta menarik perhatian seperti bagaimana meningkatkan penampilan diri agar kelihatan cantik, bergaya dan meyakinkan.

2. Menguruskan waktu dengan bijak
Majikan yang baik akan sentiasa memastikan pekerjanya berasa senang ketika bekerja bagi memastikan kualiti dan produktiviti terus meningkat. Jika anda diberi kebebasan menguruskan masa bekerja, pastikan anda mengatur jadual kerja dengan baik agar dapat menyeimbangi tugasan yang diamanahkan. Perbincangan dengan ketua harus dilakukan agar dia faham dengan apa yang cuba anda lakukan dan pastinya tanggungjawab yang diberi dapat dilaksanakan sebagaimana yang dikehendaki.

3. Amalkan pergerakan ringan sebelum ke pejabat
Sebelum memulakan kerja di pejabat pekerja digalakkan melakukan pergerakan ringan seperti meregangkan otot tangan, kaki dan jari. Otot-otot kaki yang diregangkan akan mengarah peredaran darah ke jantung dan mengepam ke seluruh tubuh badan. Tindakan ini membolehkan badan kembali bertenaga.

4. Bergembira sepanjang cuti di hujung minggu
Cuti hujung minggu sememangnya masa yang paling sesuai  untuk kita membebaskan diri daripada memikirkan soal kerja. Selepas solat Subuh ambil kesempatan ini untuk melakukan senaman ringan seperti berjoging atau berbasikal mengelilingi kawasan perumahan atau taman berhampiran sambil menghirup udara segar. Aktiviti ringan ini mampu meningkatkan kadar pengeluaran hormon endorphin yang dapat membantu anda berasa nyaman, tenang dan bersemangat semula. Bersarapan pagi dengan hidangan yang menyelerakan dan jika boleh sediakan sendiri sarapan kerana pada hari biasa anda tidak berkesempatan untuk melakukannya kerana kesuntukan masa. Ini adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan. Anda juga boleh bermeditasi sebentar selama 15-20 minit dalam bilik yang diharumi wangian aromaterapi.

5. Kekalkan hubungan baik sesama rakan sepejabat
Atasi masalah ini dengan cara mengelak sebarang perkara yang memungkinkan hubungan anda terjejas. Berkomunikasilah dengan berhemah. Jauhkan segala sifat negatif. Islam sendiri menggalakkan umatnya melakukan kebaikan dan meninggalkan larangannya. Paling penting sentiasa ingat bahawa Allah ada bersama-sama hambanya yang dalam kesusahan. Berdoa dan bertawakal adalah jalan paling berkesan mengurangkan rasa tertekan.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Isnin, 7 Mei 2012

Tip Menjadi Pekerja Efektif

1. Fahami hasrat dan cita-cita jabatan/syarikat
Jika anda kurang faham mengenai hasrat dan cita-cita syarikat, temui ketua yang lebih kanan dalam jabatan tersebut dan bertanya kepadanya. Patuhi juga arahan dan peraturan yang ditetapkan.

2. Mengikut jadual kerja yang ditetapkan
Setiap pekerja mempunyai jadual kerja samada ditentukan oleh ketua atau diri sendiri. Jadual kerja membantu anda menyelesaikan tugas dengan lancar. Jangan menangguhkan kerja dengan alasan yang tidak sesuai.

3. Berfikir secara kritis dan positif
Fikirkan tugas yang diberi secara kritis tetapi membina. Jika tidak mahir melakukannya, jumpa dengan ketua dan jelaskan masalah anda. Anda tidak perlu berpura-pura pandai untuk melakukannya, padahal hasilnya nanti begitu mengecewakan.

4. Hormati pandangan orang bawahan
Dalam mesyuarat, terimalah pendapat orang bawahan anda jika pendapat tersebut dapat membantu meningkatkan kualiti dan produktiviti. Apabila pandangan mereka memang tidak bernas untuk diterima, tolak dengan baik, bukan mempersendakannya.

5. Tidak mencari kesalahan orang lain
Jika ditegur kerana melakukan kesilapan, jangan tudingkan jari ke arah orang lain. Terima teguran dengan hati terbuka dan berfikiran positif. Jadikan ia sebagai panduan di masa akan datang.

6. Bekerjasama dengan pekerja lain
Bimbing dan bantu pekerja baru walaupun pihak atasan tidak mengarahkan anda berbuat begitu. Hindari perasaan cemburu apabila melihat kebolehan mereka.

7. Hormati kedudukan rakan sekerja
Hormati kedudukan rakan-rakan lain mengikut jawatan dan pangkat mereka. Mereka masih sahabat anda, tetapi mungkin dia ketua atau penyelia anda.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Isnin, 30 April 2012

Menghadapi Ketua Cerewet

1. Gunakan perkataan 'kami' sebagai kata ganti diri ketika dimarahi ketua. Perkataan kami dapat meletakkan masalah yang sedang dipersoalkan menjadi masalah syarikat.

2. Tarik nafas dalam-dalam sebelum masuk ke bilik ketua tetapi jangan melakukan saat berada di hadapannya kerana hal ini boleh menyinggung perasaannya. Menarik nafas dapat membuat otak menjadi rehat dan kemudiannya mampu mempengaruhi ketenangan ketika berfikir.

3. Alihkan emosi anda ke arah sesuatu yang positif dengan kebiasaan anda. Misalnya saat anda dimarahi ketua, duduk dengan tenang. Namun untuk mengalihkan emosi marah anda, cubalah melakukan sesuatu di bawah meja misalnya bermain-main dengan pen atau menganggukkan kepala.

4. Kawal bahasa tubuh dan air muka untuk mencipta suasana positif. Maknanya anda menerima kemarahan ketua tanpa harus berkata apa-apa. Cukup dengan menganggukkan kepala. Ini merupakan bahasa tubuh yang semulajadi.

5. Jangan menyiram minyak dalam api untuk membesarkan kemarahan dengan memotong percakapan ketua. Jangan pula menjawab pertanyaan dengan meninggikan suara. Berikan jawapan dengan suara lebih rendah dari nada suara ketua anda.

6. Segera kumpulkan data yang berkaitan dengan masalah yang dipersoalkan oleh ketua lalu tulis data hasil penemuan anda melalui surat dan berikan kepada pihak atasan. Komunikasi tulisan berisi maklumat yang sebenarnya ini dapat memperbaiki hubungan peribadi antara ketua dan orang bawahannya.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Isnin, 23 April 2012

Peribadi Menarik Senangkan Rakan Sekerja

1. Gaya Bicara Positif
Untuk menjadi individu berkeyakinan, gunakan perkataan yang baik tentang diri sendiri.

2. Berani Bertanggungjawab
Anda harus berani menerima kenyataan dan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Keberanian menjadikan anda lebih yakin untuk berhadapan dengan perkara yang lebih besar.

3. Seorang Yang Dinamik
Orang ini biasanya memiliki kemahiran mengungkapkan perasaan dengan tegas dengan cara yang ramah dan lemah lembut.

4. Bicara Dengan Optimis
Elakkan daripada menggunakan kata-kata dan suara yang tidak perlu seperti e..e, ceh, amboi-amboi! Apabila diminta membuat keputusan, buatlah berdasarkan fakta bukan perasaan semata-mata. Jika anda sedang bercakap dengan orang bawahan tumpukan kepada apa yang diperkatakannya.

5. Kembangkan Pengetahuan
Pengetahuan yang luas membolehkan anda tampil lebih wibawa dan percaya diri sendiri. Anda juga digalakkan mencari alernatif-alternatif penyelesaian  untuk pelbagai permasalahan. Membuat keputusan berdasarkan fakta lebih membantu dalam mewujudkan keyakinan diri untuk tampil lebih positif. Dapatkan informasi tentang hal-hal yang sedang berlaku samada melalui televisyen, akhbar, majalah, mahupun internet.

6. Sedia Terima Perubahan
Bersikap fleksibel dan positif terhadap pelbagai perubahan. Tunjukkanlah sikap terbuka dengan perubahan yang berlaku dalam syarikat atau jabatan. Anggap perubahan yang ada dengan sikap optimis.

- Sumber dari NUR Pengenalan -