Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan

Selasa, 26 November 2013

PROSPER BUKA PELUANG PERNIAGAAN RUNCIT

22 Muharram 1435

Pada tahun baru biasanya kita menanam azam baru untuk mencapai matlamat dalam kehidupan. Kini pelbagai bidang pekerjaan dan perniagaan diceburi oleh wanita. Melangkah terus menaikkan diri dalam dunia perniagaan kerana pendapatan dari usaha ini lebih berlipat kali ganda berbanding bekerja makan gaji.
     Salah satu perniagaan yang dikenal pasti mampu dijayakan oleh muslimah ialah perniagaan runcit. Kerajaan memandang serius tentang usaha ini dan hasil dari buah fikiran YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri, lahirlah Prosper iaitu Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan. Bagi anda yang berminat untuk melibatkan diri dalam peruncitan runcit, ikuti penerangan dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), sekretariat yang menyelaraskan skim ini bersama Pasukan Petugas khas.
FUNGSI & OBJEKTIF

Kehadiran Prosper hakikatnya banyak membantu bumiputera mengorak langkah dalam dunia perniagaan. Fungsinya adalah untuk menyelaraskan dan menyatukan persoalan perniagaan untuk melancar dan memudahkan penglibatan anda dalam perniagaan runcit yang sesuai dan berdaya maju. Matlamat utama adalah bagi meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan dalam sektor ini. Selain itu, Prosper juga berhasrat menerapkan budaya keusahawanan agar penglibatan anda dapat bertahan untuk jangka masa lama dengan cara menerap dan menerangkan ilmu dan pengalaman perniagaan.

Adakah anda layak menyertai skim?
Beberapa syarat telah ditetapkan oleh jawatankuasa Prosper. Antaranya ialah :
1. Anda berumur sekurang-kurangnya 18 tahun
2. Memiliki ciri-ciri keusahawanan seperti keyakinan diri tinggi, berdaya tahan dan saing, berani mengambil risiko, berfikiran positif, kreatif dan berdisiplin.
3. Bersedia mengikuti kursus-kursus atau seminar berkaitan dengan kemajuan atau menguruskan perniagaan.
4. Mempunyai rekod yang baik dengan institusi-institusi kewangan. Contohnya, anda tidak menghadapi masalah untuk membayar pinjaman perumahan. Kemampuan membayar semula pinjaman perniagaan akan dinilai dari sini.
5. Bekerja keras tidak mengira masa.
6. Anda mempunyai kemampuan kewangan membiayai 10 peratus daripada kos perniagaan.
7. Syarikat mestilah milik penuh dan diurus oleh anda sebagai bumiputera.
8. Memikirkan satu bentuk perniagaan berdaya maju.
9. Syarikat anda tidak seharusnya mempunyai bantuan kewangan dari institusi kewangan yang mengambil cagaran ke atas sebahagian aset syarikat.
10. Penting juga anda mengenalpasti lokasi perniagaan yang strategik.

Pakej lengkap & bersepadu
Beberapa faktor teknikal turut dijelaskan melalui pakej bersepadu antaranya ialah pembiayaan modal ekuiti, khidmat nasihat premis perniagaan, kemudahan pinjaman, kemahiran keusahawanan dan sistem perakaunan serta pengurusan aliran tunai.
1 PEMBIAYAAN MODAL EKUITI
Sebanyak 30 peratus modal dari kos projek akan dibiayai oleh PUNB berdasarkan konsep pembayaran semula Islam iaitu Musyarakah Mutanaqisah (perkongsian mengurangkan pemilikan). Kos pembiayaan perniagaan runcit yang disediakan tidak melebihi RM1 juta. Selebihnya iaitu 60 peratus adalah melalui pinjaman kewangan dari institusi kewangan.
2 KHIDMAT NASIHAT PREMIS PERNIAGAAN
Sebuah syarikat kelolaan Bank Negara Malaysia iaitu TPPT Sdn Bhd akan mengenal pasti lokasi premis perniagaan dan sekiranya ia sesuai dengan jenis perniagaan, TPPT akan membeli dahulu dan menyewakannya kepada anda dengan kadar separuh (1/2) dari kadar sewa semasa untuk tempoh tiga tahun pertama. Apabila syarikat anda maju dan kukuh, anda boleh membeli premis tersebut.
3 KEMUDAHAN PINJAMAN
Kadar pinjaman kos perniagaan sebanyak 60 peratus yang dipohon akan disediakn oleh pihak bank dan dijamin sepenuhnya oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)
4 KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN
Menjamin mutu kerja yang baik untuk mengurus perniagaan, PUNB akan mengadakan kursus kemahiran keusahawanan, pembangunan pengurusan dan kemahiran memantau operasi. Rangka kursus adalah sesuatu yang perlu dipraktikkan agar perniagaan akan terus maju dan berdaya saing.
5 SISTEM PERAKAUNAN DAN PENGURUSAN ALIRAN TUNAI
Menguruskan akaun syarikat adalah antara faktor utama memastikan perjalanan keluar dan masuk modal. Jika salah pengurusan, ia akan mengakibatkan keruntuhan perniagaan. Mengelakkan ia dari berlaku, PUNB menyediakan perkhidmatan pengurusan perakaunan dan aliran tunai melalui panel-panel akauntan bumiputera bertauliah. Bagaimanapun perkhidmatan ini hanya untuk satu jangkamasa tertentu. Anda akan menguruskannya sendiri apabila telah bersedia.

Selasa, 8 Oktober 2013

10 Faktor Kejayaan Perniagaan Dari Rumah

Berniaga tidak bermakna anda perlu keluar rumah seperti mereka yang perlu keluar bekerja ke pejabat. Perniagaan dari rumah adalah satu usaha terbaik terutama bagi muslimah yang sudah berumahtangga tetapi mahu melakukan sesuatu untuk memenuhi masa yang terluang.
     Sesungguhnya mereka ini tahu bagaimana cara untuk menambahkan pendapatan keluarga dan tidak membuang masa demi kebaikan. Sebagaimana firman Allah :
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal solih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran" (Surah al-Asr:1-3)
"Tuhanlah yang menjadikan bumi itu mudah bagimu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu akan dibangkitkan." (Surah al-Mulk:16)
     Kedua-dua ayat ini menggalakkan umat Islam untuk melakukan sesuatu yang berfaedah dan berniaga adalah satu cara terbaik. Dengan perkembangan informasi teknologi seperti internet, perniagaan seumpamanya lebih mudah dijalankan. Terdapat beberapa faktor utama mendorong kejayaan perniagaan dari rumah. Perhatikan faktor-faktor berikut:

1. Latar syarikat
Cuba layari internet dan lihat mana-mana syarikat yang terlibat dalam perniagaan dari rumah. Kebiasaannya, pengunjung akan ditanya tentang penilaian mereka mengenai sesuatu perniagaan sama ada dari segi barang, kualiti, kepelbagaian pilihan, harga dan perkhidmatan. Melalui maklumat tersebut, anda dapat menilai sendiri jenid perniagaan dan cara mengatasi masalah yang biasa dihadapi oleh syarikat-syarikat ini. Secara tidak langsung, anda dapat membayangkan keadaan sebenar apabila anda memulakan perniagaan pilihan anda sendiri.
2. Produk yang unik
Adakah produk tersebut eksklusif, iaitu sukar didapati di mana-mana? Adakah produk tersebut berkualiti tinggi, dihasilkan dari penyelidikan yang sah dan dipatenkan dan bernilai untuk digunakan? Jika produk mengambil jangka masa panjang untuk digunakan, bilakah jangkaan masa produk akan menerima pesanan berikutnya? Anda perlu mengkaji setiap perkara berkenaan produk kerana ia akan menentukan peluang anda memajukan perniagaan berdasarkan tempahan.
3. Produk sendiri
Apa yang perlu anda lakukan sendiri untuk perniagaan tersebut? Adakah anda juga perlu menguruskan segala-galanya dari urusan memikirkan tempahan senarai barang-barang, penghantaran dan kutipan wang? Perlu diingat bahawa anda perlu meminimumkan penggunaan masa dari perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh orang lain. Jika tidak, anda akan kesuntukan masa memikirkan sesuatu untuk memaju dan mengembangkan perniagaan.
4. Kekuatan pengurusan
Siapakah barisan pengurus utama? Apakah rekod mereka serta bagaimana pengalaman mereka menguruskan perniagaan? Adakah mereka dapat bekerjasama dengan baik? Apakah kekuatan dan kelemahan mereka?
5. Harga kompetetif
Jika pelanggan dapat membeli produk yang sama pada harga yang lebih murah daripada syarikat lain anda seharusnya lebih bertindak segera. Anda mesti prihatin terhadap perkembangan ini. Cuba sedaya upaya untuk menandingi tawaran harga yang dibuat agar pelanggan lebih tertarik dengan produk anda. Jika sukar untuk dilakukan, pastikan anda memberi perhatian terhadap faktor-faktor lain seperti khdimat nasihat dan penghantaran segera.
6. Pesanan semula
Anda perlu melihat dan memahami pada permintaan atau pesanan pelanggan. Berapakah pukul rata jumlah pesanan serta peratusan pelanggan yang tidak memesan semula produk yang ditawarkan? Dengan ini, anda dapat mengetahui potensi produk yang dipasarkan, seterusnya menunjukkan kestabilan syarikat dan sejauh mana anda perlu berusaha memajukan perniagaan dari rumah. ini.
7. Pelaburan
Berapakah jumlah modal permulaan yang diperlukan? Adakah anda membuat senarai terperinci mengenai produk jualan dan apakah kuota jualan bulanan? Semua persoalan ini berkait rapat dengan jumlah wang pelaburan yang perlu anda keluarkan agar ia tidak melebihi peruntukan dan kemampuan anda.
8. Masa
Penting sekali anda mempertimbangkan kesesuaian masa atau sesuatu musim untuk menjual produk tertentu. Anda juga perlu bertindak segera apabila mendapati pilihan produk yang dijual adalah eksklusif. Pelanggan akan tertarik dengan tawaran yang dibuat kerana anda menjual tepat pada masanya.
9. Keuntungan dan pemasaran
Setiap perniagaan dimulakan untuk memperolehi keuntungan. Tanya pada diri sendiri berapa lamakah keuntungan dapat diperolehi? Adakah selepas sebulan, enam bulan atau setahun? Berapakah anggaran pulangan yang dapat anda perolehi selepas beberapa usaha dilakukan? Berapa lama ia memakan masa dan apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai sasaran yang telah anda gariskan?
10. Risiko
Apakah polisi pulangan barangan syarikat anda? Adakah anda akan mengenakan syarat-syarat tertentu atau tiada sebarang pertanyaan tentangnya? Secara dasarnya anda perlu tahu bahawa setiap wang yang anda laburkan mempunyai risiko tersendiri. Jika anda hanya mahu berniaga untuk jangka masa singkat sahaja lebih baik anda berfikir dua kali untuk memulakannya kerana hanya syarikat yang kuat, kukuh dan stabil sanggup menghadapi  risiko dan cabaran berniaga. Jangan disangka berniaga dari rumah semudah ABC.

Bingung Memilih Perniagaan?

Memang ramai di antara kita yang bercita-cita untuk memulakan perniagaan dari rumah. Namun sebelum memulakan langkah ada beberapa perkara yang perlu anda teliti sebelum anda bertindak lebih jauh. Perhatian persoalan-persoalan berikut:
1 Apakah jenis perniagaan atau perkhidmatan yang anda berminat untuk melaksanakannya?
2 Apakah perkara yang anda gemar lakukan dan adakah anda mempunyai jiwa niaga bagi membolehkan perniagaan tersebut dapat diperkembangkan?
3 Adakah anda menawarkan produk atau perkhidmatan untuk pengguna tempatan atau antarabangsa?
4 Apakah anda menjalankan perniagaan untuk sepenuh atau separuh masa?
5 Adakah perniagaan ini hanya memberi pendapatan tambahan atau pendapatan utama?

Soalan-soalan ini akan membantu anda memahami lebih mendalam bagi membantu anda membuat pilihan jenis perniagaan yang akan anda mulakan. Bagaimanapun, ini hanya tip permulaan bagi memahami situasi. Untuk mengetahui lebih lanjut, dapatkan buku-buku rujukan Perniagaan Dari Rumah di kedai-kedai buku utama. Mencari maklumat awal tentang perniagaan ini lebih baik bagi memberi gambaran jelas kepada anda agar perniagaan yang akan anda jalankan nanti berjalan lancar dan mendapat sambutan.

- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Selasa, 16 Julai 2013

Iklan Nadi Perniagaan

Perniagaan adalah suatu bentuk pelaburan sebagai usaha meningkat dan mengembangkan perniagaan. Pulangan besar dari pelaburan ini banyak bergantung kepada perancangan teliti, kemas dan konsisten. Keberkesanannya tidak mengira sebanyak mana jumlah wang yang dilaburkan. Ia kini dilihat sebagai nadi penggerak perniagaan dan semakin hebat menjelma dan musim perayaan seperti hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma dan musim jualan mega di seluruh negara. Kehadiran bulan Ramadan turut dilihat sebagai masa yang paling sesuai untuk syarikat perniagaan mengiklankan produk secara aktif. Bulan persiapan menyambut hari raya Aidilfitri. Gunakan kesempatan ini bagi mengiklankan produk atau perkhidmatan sebagai usaha meningkatkan pendapatan syarikat.

4 soalan utama yang perlu dijawab
1. Apakah matlamat pelaburan?
Mengenal pasti objektif pengiklanan merupakan langkah utama bagi memastikan pelaburan tersebut setimpal dengan kos. Anda perlu faham apa perlunya iklan dan apa yang hendak dicapai. Cara terbaik merealisasikannya ialah dengan cara memahami perniagaan anda, menarik perhatian pelanggan sedia ada dan meningkatkan keyakinan mereka serta menjadi peneraju jualan.
2. Siapakah kumpulan sasaran?
Setelah anda menggariskan matlamat pengiklanan, seterusnya anda boleh memilih kumpulan sasaran atau pelanggan. Iklan yang mensasarkan semua golongan pelanggan kurang berjaya mencapai matlamatnya. Perlu ada kumpulan sasaran tertentu. Kaedah terbaik membahagikan kumpulan sasaran ialah melalui:
a) Demografi : Kajian kependudukan berdasarkan jantina, umur, pendapatan, lokasi, perniagaan dan sebagainya.
b) Sikap : Kesedaran kehadiran perniagaan, seperti produk, perkhidmatan atau penjual; setia kepada anda atau beralih ke produk pesaing.
c) Keinginan dan keperluan : Apakah faedah yang pelanggan perolehi, ini adalah persoalan asas mengapa mereka patut menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Ia juga berkaitan dengan bagaimana keluaran syarikat mampu memenuhi keperluan mereka.
3. Maklumat dalam iklan?
Setelah mengenalpasti siapa, keinginan dan keperluan pelanggan, barulah anda boleh memaklumkan maklumat yang sesuai. Iklan sepatutnya ditulis atau digunakan sepenuhnya bagi menyampaikan maklumat. Iklan juga perlulah jelas dan meyakinkan bagi menjelaskan kebaikan menggunakan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Cara berkesan menonjolkan kebaikan produk atau perkhidmatan anda ialah memastikan iklan tersebut  benar-benar menarik perhatian, minat, meningkatkan keinginan dan menggalakkan tindakan menggunakan produk anda.
4. Medium pengiklanan terbaik?
Kini ada banyak pilihan medium pengiklanan boleh didapati. Tepuk dada tanya selera yang mana satu paling berkesan serta sesuai dengan produk dan kumpulan sasaran. Melangkaui kaedah pengiklanan biasa, anda juga boleh memilih tempat paling strategik seperti di lapangan terbang, skrin besar di luar bangunan komersil atau pusat beli belah. Di mana anda meletakkan iklan perlu berdasarkan prinsipal mudah iaitu memaparkan iklan di kawasan tumpuan ramai. Perlu diingati bahawa tiada satu pun medium pengiklanan pengiklanan boleh dikategorikan sebagai terbaik dan terburuk. Semasa memilih medium pastikan ia dapat mencapai kumpulan sasaran semaksimum yang mungkin secara efektif dan effisien dalam peruntukan yang ditetapkan. Berikut adalah antara beberapa medium yang seringkali digunakan:
a) Televisyen
Televisyen mampu mencapai kumpulan sasaran yang dikehendaki dalam masa singkat samada melalui rangkaian televisyen biasa atau kabel. Jumlah kumpulan sasaran yang menonton iklan bergantung kepada berapa ramai yang menonton televisyen pada masa tertentu.Kelebihan pengiklanan melalui televisyen ialah keupayaannya menyampaikan maklumat yang dapat dilihat, didengar dan bergerak. Bagaimanapun kelemahannya ialah masa ke udara yang terhad, kos tinggi dari segi produksi dan tempahan masa serta saingan dengan pengiklan lain. Produk atau perkhidmatan perlukan pelbagai sudut pendedahan supaya menarik perhatian ramai. Banyak juga iklan yang kurang menarik sehingga mengurangkan minat penonton untuk terus menonton.
b) Radio
Sebagaimana televisyen, radio juga dapat menjangkau ramai pendengar atau pengguna. Kelebihan radio ialah bagaimana ia dapat didengari oleh kumpulan sasaran yang dikenalpasti dengan lebih efisien melalui kepelbagaian segmen yang ke udara. Kebanyakan pengiklan terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana kerana kos pembikinan iklan kurang mahal. Bagaimanapun di sini anda terpaksa berhadapan dengan tempoh masa singkat iklan ke udara. Ini menyebabkan pengenalan produk terpaksa dibuat sebaik mungkin agar mudah difahami pendengar selain banyak lagi iklan lain yang bakal disiarkan. Mengatasi masalah ini, kekerapan pendedahan adalah diperlukan agar pengguna cepat dan mudah mengingati iklan anda.
c) Suratkhabar
Suratkhabar memastikan iklan anda dapat dibaca oleh pengguna dalam lingkungan kawasan pengedaran. Mencetak iklan di suratkhabar memberi kelebihan kepada anda menentukan saiz dan mukasurat pilihan. Pendedahan kepada iklan tidak terbatas, selagi mereka memegangnya selagi itu iklan anda akan kelihatan. Bagaimanapun tempoh tarikh luput singkat surat khabar selama sehari atau selang beberapa hari memaksa anda menempah ruang iklan baru.
d) Majalah
Majalah membolehkan anda mengiklankan produk atau perkhidmatan untuk kumpulan sasaran tertentu. Kebiasaannya ia berkaitan dengan kumpulan pembaca yang meminati pengisian majalah. Kelebihan mengiklan dalam majalah ialah tempoh yang lama iklan dapat dilihat oleh pembaca dengan frekuensi ulangan membaca yang kerap.
e) Papan tanda (Billboards)
Iklan luar kebiasaannya digunakan untuk menanam dan mengingatkan semula pengguna tentang iklan yang disiarkan melalui media lain. Kaedah ini mampu merangkumi keseluruhan pasaran dan frekuensi tatapan yang tinggi. Bagaimanapun perlu diingati, ia hanya dapat dilihat dalam tempoh terhad kerana kebanyakan pengguna sedang bergerak atau melintasi papantanda tersebut. Gunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat sebagai kaedah komunikasi yang dapat menangkap pemahaman pengguna yang melihatnya sepintas lalu.
f) Secara pos
Kaedah secara pos ini hanya akan sampai kepada pengguna tertentu sahaja. Iklan yang dihantar juga lebih fleksibel iaitu bergantung kepada kehendak pengiklan dan bagaimana reka letaknya. Sungguhpun begitu risiko iklan secara pos ialah anda perlu memastikan alamat penerima adalah betul ini bermakna perlu ada pengemaskinian alamat selain itu sukar juga untuk mendapat perhatian pengguna. Jika anda ingin melakukannya pastikan iklan tersebut benar-benar menarik dan unik.
g) Yellow Pages
Ini merupakan satu medium yang menghimpun kelebihan kaedah pengiklanan dari medium yang lain. Iklan dalam Yellow Pages memudahkan pengguna mencari rujukan nombor untuk dihubungi selain ia memberi kelebihan kepada anda untuk memilih kawasan di mana iklan di dalamnya juga tidak mahal namun iklan hanya boleh diubah setelah setahun dan penampilannya yang kurang menarik serta banyak iklan lain mampu menenggelamkan iklan anda sendiri.

Terbukti kini medium pengiklanan pilihan lebih terbuka luas. Bergantung kepada perbelanjaan yang ditetapkan. Apa yang penting anda perlu mengiklankan produk atau perkhidmatan anda agar diketahui umum.

- Sumber NUR November 2002 -





Isnin, 4 Jun 2012

Bersediakah Anda Memulakan Perniagaan Baru

Penyusun : Emma Masri

Persediaan sebelum memulakan perniagaan.

1. Jenis Perniagaan
Anda mempunyai dua pilihan samada mendaftar sebagai syarikat persendirian atau Sendirian Berhad. Pendaftaran hendaklah dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Setiap jenis perniagaan tertakluk dalam undang-undang berasingan.

2. Tujuan perniagaan
Anda perlu memastikan produk jualan atau perkhidmatan yang mempunyai belian daripada pasaran.

3. Analisa kemampuan menampung perbelanjaan
a) Berapa jumlah perbelanjaan atau modal yang diperlukan bagi membiayai perniagaan baru ini? Berapa banyak daripada jumlah tersebut anda terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri?
b) Adakah anda mampu untuk bertahan jika perniagaan baru itu tidak membawa sebarang keuntungan dalam masa 6 bulan atau setahun?
c) Adakah anda mempunyai sebarang sumber kewangan sokongan atau tambahan selain daripada wang anda sendiri? Jika tiada, adakah anda mempunyai aset atau harta yang boleh dicagarkan kepada pihak bank?
d) Sejauh manakah nilai penjualan dapat mengatasi modal pengeluaran dan adakah ini akan tercapai dan dalam jangka masa berapa lama?
e) Adakah anda yakin pengalaman bekerja selama ini memberi pendedahan yang cukup untuk anda menguruskan syarikat perniagaan sendiri?
f) Siapakah pelanggan semasa dan berpotensi yang dapat dikenalpasti? Adakah mereka sanggup memberikan sokongan dan adakah bilangan mereka ini akan bertambah?
g) Siapakah pesaing anda yang terdekat dan berpotensi? Adakah mereka juga akan bertindakbalas terhadap setiap langkah-langkah anda?

Memastikan Perkembangan Perniagaan

1. Pusatkan tumpuan
Tumpukan sepenuh perhatian terhadap matlamat anda sahaja. Rancang bagaimana anda boleh mendapat keuntungan maksima dengan modal yang terhad. Bayangkan sesuatu yang hebat tetapi dimulakan daripada bawah.

2. Kawal kewangan syarikat
Kebanyakan perniagaan jatuh bankrup bukan kerana kurangnya keuntungan tetapi kegagalan menguruskan pengeluaran wang. Antara punca ini berlaku ialah apabila :
a) Menambah cawangan atau anak syarikat tanpa memiliki sebarang bentuk sokongan kewangan tambahan.
b) Menjual jumlah kredit yang banyak kepada pelanggan dan tidak mengutip semula hutang.
c) Membeli saham yang tidak boleh dijual dalam masa dua atau tiga bulan dalam jumlah besar.
d) Pembekal hanya menerima bayaran tunai dalm urusan jual beli.
e) Membeli aset kurang produktif seperti kenderaan atau peralatan yang tidak diperlukan.
f) Tiada keseimbangan dalam waktu pembayaran dan penjualan.

3) Hargai pelanggan anda
Kekalkan hubungan baik antara syarikat dan pelanggan kerana mereka adalah aset utama syarikat. Syarikat berkembang dengan sokongan mereka, jika tidak perniagaan anda akan menghadapi masalah. Adalah benar bahawa lebih mudah mempengaruhi pelanggan yang sedia ada berbanding menarik perhatian pelanggan baru. Dengan itu pastikan anda menjaga kepentingan mereka.

4) Rangkaian hubungan perniagaan
Sertai organisasi berkaitan agar anda dapat manjalin hubungan dengan pihak-pihak tertentu. Mereka dapat memberi idea-idea baru, maklumat, rujukan dan lain-lain dalam mengurus dan memasarkan produk syarikat. Perniagaan jualan langsung memerlukan kaedah ini untuk berjaya.

5) Ada keinginan tinggi untuk berjaya
Kekalkan semangat dan yakin dengan perniagaan anda. Jika tiada segalanya akan hilang sedikit demi sedikit. Anda akan mengharungi banyak cabaran dan jangan terkejut jika ada ketikanya, keluarga dan kenalan rapat kurang memberi sokongan apabila melihat usaha yang dilakukan kurang menampakkan hasil. Hanya kesungguhan dan kecekalan dapat memberi semangat kepada anda. Buktikan anda mampu melakukannya kerana ia adalah milik anda.

Sumber dari NUR Pengenalan