Memaparkan catatan dengan label Sajak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sajak. Papar semua catatan

Isnin, 21 Oktober 2013

Wanita

Oleh Muhamad Lutfi Ishak

Napolean manusia kuat
depan isteri tunduk hormat
tiap arahan tidak ingkar
Di dalam sirah
harga wanita lebihi nyawa saudara
sebab ranum sengketa
pembunuhan pertama dunia.
Jangan nilai wanita dengan mata
kerana mata mudah terpana
akal kata fana
sekali pandang terpesona.
Wanita ikut peribadi
wanita suci milik lelaki mithali
wanita jual diri
milik pengkhianat negeri.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Rabu, 7 Ogos 2013

Marhaban Ya Ramadhan 3

"YA ALLAH...inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya
ENGKAU telah turunkan al-Quran. Aku berlindung
dengan kekuasaan-MU yang mulia, wahai Pemilik fajar
yang terbit dari malam-malamku dan Pemilik bulan
Ramadhan yang sudah berlalu ini.

Kepada-MU aku mengadu akan kesalahan dan
dosaku yang dengannya ENGKAU akan menyeksaku
pada hari perjumpaan dengan-MU kelak. Ya ALLAH...
janganlah ENGKAU jadikan puasa ini sebagai puasa
yang terakhir dalam hidupku. Seandainya ENGKAU
menetapkan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini
sebagai puasa yang dirahmati, bukan sia-sia.

Ya ALLAH...jadikanlah puasaku di dalamnya
mendapatkan pahala serta diterima sebagai amalan yang
mendatangkan keredhaan-MU dan daripada Rasul-MU
serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok,
dengan hak kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli
keluarga baginda s.a.w. yang suci."


- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -






Jumaat, 19 Julai 2013

Marhaban Ya Ramadhan 2

"Ya ALLAH...
perbaikilah untukku agamaku yang
merupakan penjaga urusanku.
Dan perbaikilah untukku duniaku
yang di dalamnya adalah kehidupanku dan
perbaikilah untukku akhiratku
yang kepadanya aku kembali,
dan jadikanlah kehidupan ini
untuk aku berbuat kebaikan,
dan kematian menghentikanku
daripada setiap kejahatan.

Ya ALLAH...
bebaskanlah aku daripada seksa api neraka,
dan lapangkanlah untukku rezeki yang halal,
dan palingkanlah daripadaku
kefasikan jin dan manusia,
wahai Zat Yang Hidup dan terus-menerus
mengurus makhluk-NYA."



- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -








Selasa, 9 Julai 2013

Marhaban Ya Ramadhan 1

Ya ALLAH...
berikanlah keberkatan kepada kami pada
bulan Rejab dan Syaaban
serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.

Ya ALLAH ya TUHAN kami... sesungguhnya
bulan yang berkat ini
yang diturunkan al-Quran
dan dijadikan sebagai petunjuk
kepada semua manusia
serta sebagai penerangan
kepada petunjuk dan kebenaran.

Bulan ini telah tiba
maka sejahterakanlah kami di dalamnya dan
sejahterakanlah bulan ini untuk kami.

Ya ALLAH ya TUHAN kami...
kami memohon kepada-MU
untuk memberikan kami jalan kebaikan
menghindarkan kami dari jalan keburukan
yang ENGKAU tidak suka kepadanya
wahai TUHAN yang Maha Mengasihani
dan yang Maha Pengampun.


- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -









Jumaat, 14 Jun 2013

Terima Kasih

Terima kasih kepada pagi
yang menatang angin lembut
serta nyaman

Terima kasih kepada mentari
yang membawa sinar terang
lagi indah

Terima kasih kepada sihat
yang tidak menjadikan aku sakit
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa buah puisi

Terima kasih
dan kesyukuran pada Tuhan
kerana telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini.

Nukilan
Zahari Hasib,
Teluk Intan

- Sumber dari NUR Nov 2002 -

Jumaat, 22 Jun 2012

Ketakwaan & Kesabaran

Jika kita berbalah-balahan
Carilah jalan penyelesaian
Berdasarkan Al Quran dan Hadith
Mampu kita hadapi

Jika kita dihujani dugaan dan cabaran
Hadapilah dengan hati yang tenang
Kerana pastinya dugaan dan cabaran itu
Mampu kita hadapi

Berwaspadalah kita dengan hasutan syaitan
Walau sehebat mana iman kita
Durjana itu pasti akan cuba membolosi
Keimanan kita, supaya kita mengekori jalannya

Awasilah iman kita
Siramilah ia dengan ketakwaan dan kesabaran
Supaya haruman syurga firdaus dapat kita nikmati.

Nukilan Nur Hidayah Salleh

- Sumber NUR Pengenalan -