Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Selasa, 5 November 2013

Azam...tidak semudah menyebutnya

1 Muharram 1435

Apa perkara paling lazim menjelang tahun baru? Bukan puasa atau raya, bukan juga buka sekolah, tetapi ya, tentu sekali azam baru ! Lumrahnya, apabila datangnya tahun baru, kita baca dan lihat pelbagai azam baru di televisyen, majalah atau akhbar hasil wawancara dengan sekecil-kecil anak yang sudah tahu apa itu azam sehinggalah orang dewasa. Atau dengan kata lain, itulah detik yang paling ideal untuk melihat seseorang menjadi 'orang baru'.
     Pelbagai azam yang canggih-canggih boleh kita dengar sehingga kadang kala kita tersenyum seorang diri. Ada yang mahu mengumpul wang untuk 'membina masjid', ada yang mahu 'membesarkan keluarga', ada yang berhasrat untuk menjadi insan yang lebih baik, ada yang berazam mahu tambah isteri, malah ada yang berazam untuk melangsingkan tubuh. Semua azam kedengarannya baik belaka kerana terminologi azam sendiri membawa kronotasi yang positif dan menuju ke arah budaya yang cemerlang.
     Tidak salah memasang azam kerana ia juga satu bentuk niat. Jika berazam baik, maknanya kita berniat baik. Apabila berniat baik, tetap dapat pahala. walaupun amalan yang diniatkan itu masih belum dilaksanakan. Tetapi sekurang-kurangnya, sedikit yang terdetik dalam hati itu, sudah dapat dilihat Tuhan dan diberikan ganjaran. Azam bukanlah suatu yang tersurat semata-mata. Tetapi sebenarnya ia merangkumi nilai yang bersifat universal yang dimiliki setiap manusia. Sudah tentu ia lebih bermakna jika dapat dihayati segala yang tersirat jauh di dalamnya.
     Namun untuk membikin azam agar menjadi kenyataan mungkin tidak semudah menuturkannya. Saya teringat kisah seorang teman yang berazam untuk melangsingkan badan pada satu ketika menjelang tahun baru. Kerana tidak mahu bersendirian menjalani rawatan kurus, dia berjaya mempengaruhi hampir kesemua wanita bersaiz besar di pejabatnya untuk turut serta dalam rancangan tersebut.
     Maka wujudlah 'skim kurus berkelompok' yang sangat popular pada tahun tersebut sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakan sekerja lelaki yang lebih gemarkan wanita bersaiz besar daripada yang kecil langsing. Dalam masa tiga empat bulan sahaja, sudah ramai yang menjadi langsing. Masing-masing bangga memaparkan kemajuan mereka. Terlaksanalah sudah azam mereka untuk jadi kurus! Bagaimanapun, ketika bersua semula teman ini, saya melihat saiz tubuhnya sudah hampir kembali ke bentuk asal.
     "Apa sudah jadi pada 'skim kurus berkelompok'?" Tanya saya. Dia menggeleng-geleng sambil tergelak sinis.
     "Tak boleh jalan. Ramai dah 'kecundang'. Sekarang semua dan besarkan badan semula! Simpanlah untuk azam tahun depan pula," balasnya senang hati.
     Cerita azam memang tidak habis di sini sahaja. Cerita azam tidak sepatutnya menjadi seperti 'kereta remote control' yang hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang disebabkan 'pemandu'nya cuai mengawal kereta yang kecil itu. Melaksanakan azam tidak semudah ia terdetik dalam hati, jika tidak disertakan disiplin dan komitmen. Disiplin dan komitmen pula tidak akan terjana dengan sendirinya dalam diri tanpa disertakan azam untuk menjayakannya.
     Lihat! Bukan azam sahaja perlu disiplin dan komitmen tetapi untuk membentuk disiplin dan komitmen juga memerlukan keazaman. Dengan kata lain, elemen ini saling berkait dan memerlukan satu sama lain. Ini penting untuk memastikan azam tidak hanya tercapai pada suku tahun pertama sahaja dan bertukar menjadi abu  pada setiap hujung tahun.
     Berapa ramai antara kita yang menilai (atau muhasabah, kata orang Arab) tentang pencapaiannya sendiri pada hujung tahun? Berapa ramai yang bertanya semula kepada diri sendiri, adakah azam saya untuk tahun ini sudah terlangsai? Tetapi rasa-rasanya, ramai yang sudah lupa apa yang mereka azamkan pada awal tahun dulu. Jadi tidak hairanlah jika ada yang gagal melunaskan azam tersebut.
     Berhutang dengan diri sendiri? Mungkin ya. Tetapi siapa peduli jika kita berhutang dengan diri sendiri, bukan? Jika berhutang dengan orang, lari ke hujung dunia pun, masih boleh diburu tetapi jika berhutang dengan diri sendiri, siapa yang akan memburu? Paling kurang kita akan menyedapkan hati sendiri dengan berkata,  "Tak apa. Tahun depan, aku akan buat apa yang aku tak sempat buat tahun ini." Setakat itu sahajalah!
     Mungkin tahun ini, lain pula strategi kita. Ya, cubalah. Mana tahu kalau-kalau azam yang kita azamkan tahun ini, akan berjaya ditunaikan 11 bulan dari sekarang. Berusahalah untuk menunaikan azam tetapi jangan sampai menyeksa diri dengan azam yang bukan-bukan. Selamat berazam!




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Khamis, 24 Oktober 2013

Berpoligami : Kongsi Pengalaman. Sanggup hadapi sebarang kemungkinan...

Segalanya bermula tanpa dirancang. Pertemuan lebih dua tahun di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), merupakan hari bersejarah bagi Norhani Hadi (bukan nama sebenar), 45. Bekerja sebagai kerani kanan di sebuah bank terkemuka, wanita ini menganggap perkenalannya dengan Mohamad (bukan nama sebenar) seorang pengarah dari salah sebuah jabatan kerajaan hanyalah pertemuan biasa antara saudara Islam. Tegur sapa dan berbual kosong sementara menunggu temannya bukanlah sesuatu yang aneh. Tidak terlintas di fikiran Norhani bahawa pertemuan itu akan berlanjutan sehingga ke jinjang pelamin jauh sekali untuk menjadi isteri kedua.
     "Entahlah, sudah jodoh dan suratan takdir, mustahil untuk dihindari. Bukan saya mahukan semua ini berlaku. Semenjak pertemuan itu, Mohamad mula menghubungi saya untuk bertanya khabar. Ikatan persahabatan yang terjalin baik membolehkan kami bertukar-tukar pendapat dan berkongsi masalah termasuklah masalah dengan isterinya, seorang suri rumahtangga sepenuh masa yang dominan. Mohamad ada menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita ideal sebagai isteri kedua. Dia mengaku mempunyai dua orang calon untuk dipilih isitu seorang janda dan seorang gadis berusia awal 20-an. Saya tidak menyalahi niatnya untuk berkahwin lebih kerana dia mampu dan berada dalam situasi tertekan," ceritanya sambil tersenyum mengimbas hubungan persahabatan mereka di peringkat awal.

Memberi nasihat

Menurutnya, sebagai seorang sahabat dia hanya mampu memberi nasihat dan pandangan menyelesaikan dilema yang dihadapi oleh rakannya itu. Norhani menyuarakan pendapatnya bahawa adalah lebih baik jika Mohamad memilih janda berbanding gadis yang usianya lebih kurang sama dengan anak gadis sendiri.
     Mempunyai isteri jauh lebih muda bukan sahaja perlu menghadapi sikap dan fikirannya yang belum matang malah perlu melakukan banyak pengorbanan. Persoalannya sekarang mampukah Mohamad melayani kehendak isteri yang terlalu muda? Sebaliknya apabila berkahwin dengan janda sekurang-kurangnya wanita itu faham peranan sebagai seorang isteri serta cara berfikir juga lebih matang.
     "Apabila mendengarkan pandangan tersebut, terfikir semula buruk baik tindakan yang bakal diambil. Mungkin fikiran semakin buntu dan kebetulan saya sentiasa ada untuk dihubungi, lama kelamaan hubungan kami berkembang menjadi hubungan yang lebih intim."
     "Masa bercinta bukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh anak-anak muda sekarang yang kerap berjumpa. Jika diingati semula kami hanya berjumpa waktu makan tengahari ketika dia ada urusan rasmi di Kuala Lumpur," terang Norhani anak ke enam dari lapan adik beradik ini.
     Menjelaskan perkembangan lanjut hubungannya dengan suami orang, Norhani berkata,"Lebih setahun kami berkawan rapat dan Mohamad mengambil keputusan untuk mengahwini saya. Yakin dan memahami hati budinya saya bawa dia berjumpa dengan keluarga saya. Ketika itu tiada seorangpun yang tahu status sebenarnya kecuali adik di bawah saya. Hanya pada hari pernikahan bakal suami berterus-terang tentang statusnya dan mengaku mempunyai tiga orang anak. Tetapi alhamdulillah kami tidak mendapat sebarang tentangan dari keluarga saya mahupun keluarga suami, malah ahli keluarganya amat bersyukur dengan kehadiran saya sebagai isteri kedua. Pelik tetapi itulah keadaannya. Perkahwinan itu juga tidak diketahui isteri pertama."
     Mohamad ada memberitahu bahawa walau apa yang terjadi selepas perkahwinan ini, Norhani perlu bersabar dan bersedia menghadapi risiko seperti serangan dari isteri pertama atau sindiran orang sekeliling. Lumrah dan bagaikan suatu budaya dalam masyarakat, perkahwinan kedua sering disalah anggap tanpa mengetahui faktor-faktor menyokong perkahwinan tersebut. Persepsi negatif terhadap isteri muda bagai sudah sebati dalam jiwa masyarakat walaupun agama mengizinkannya.

Tidak ambil hati

Bagi Norhani, jika hendak difikirkan risiko, setiap perkahwinan akan menghadapinya. Dia sendiri tidak menafikan pernah berfikiran negatif seperti bimbang disimbahi asid oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Bagi memberi kekuatan kepada diri sendiri, Norhani sering menguatkan semangat dengan kata-kata bahawa perkahwinan dengan lelaki bujang sekalipun tidak menjamin kebahagiaan mutlak serta lari dari risiko. Perkara yang berbeza hanyalah bentuk risiko itu dan kaedah mengatasinya.
     "Akhirnya hubungan kami diketahui oleh isteri pertamanya, tetapi alhamdulillah, setakat ini saya tidak diganggu secara fizikal olehnya. Cuma masa untuk bersama suami amat terhad iaitu sekali dalam seminggu iaitu hari bekerja. Saya tahu ketidakadilan dari segi penggiliran berlaku dalam kes saya ini, tetapi itulah salah satu risikonya. Sehingga kini saya tidak ambil hati sangat kerana yakin pasti ada hikmah semua ini berlaku. Tambahan pula saya bekerja dan masa banyak dihabiskan di pejabat. Perasaan sunyi jarang menerjah berbanding jika saya menjadi suri rumahtangga sepenuh masa."
     "Saya cuba memahami masalah yang menghantuinya semenjak dia mendirikan rumahtangga 20 tahun lalu. Mohamad dididik agar menghargai dan menghormati wanita. Sifat lembutnya telah memakan diri sendiri kerana 'malas' hendak bersuara jika berlaku perbalahan antara dia dan madu saya. Banyak perkara yang dipendamkannya dan dalam keadaan ini, dia memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan dan mengharap limpahan kasih sayang seorang isteri. Alhamdulillah kehadiran saya meringankan sedikit tekanan perasaannya itu. Bila difikirkan saya ini boleh diibaratkan seperti 'bumper' iaitu penahan agar isteri pertama tidak lepas laku. Sungguhpun begitu, suami saya seorang yang penyayang dan bertanggungjawab menyediakan semua keperluan material seperti perbelanjaan dan kediaman," ceritanya panjang lebar.
     Setelah bergelar isteri, Norhani teringin juga untuk bertemu dengan madunya. Kebetulan keluarga sebelah suami 'turun' ke Kuala Lumpur, dia berpeluang untuk bertemu dengan madunya tanpa disedari oleh madunya itu.
     "Saya menyambutnya mesra malah dia juga tidak sangsi dengan kehadiran saya. Malah sempat menanyakan sama ada saya merupakan keluarga jauh Mohamad. Pada ketika itu saya hanya mampu tersenyum dan alhamdulillah ahli keluarga lain tidak pula membuka suara memberitahu  kedudukan sebenar. Selang beberapa hari, mama sedar saya adalah isteri muda Mohamad. Mulai dari hari itu dia memberi amaran kepada Mohamad jangan sekali-kali mencuba untuk menemukannya dengan saya."
     "Di peringkat permulaan, mama kelihatan reda dengan kehadiran saya, namun tidak tahu pula semenjak kebelakangan ini sikapnya sudah berubah. Saya diganggu secara mental apabila mama menggugut Mohamad agar menghabiskan masa bersama dia sekeluarga. Ini semua kehendak Allah  dan saya terima dengan sabar," katanya.
     Menurut Norhani dia perlu bersikap positif dalam mengharungi hari mendatang. Bagi mengurangi kemelut di jiwa, dia pernah mengutus dua pucuk surat kepada madunya memohon maaf atas perkara yang berlaku. Norhani juga memberanikan diri dengan memberi nasihat agar madunya tidak mengikut perasaan dan bermuhasabah diri. Surat dikirim bukan hendak menunjuk bijak, tetapi sekadar untuk menjernihkan keadaan.
     "Sama ada dia terima baik surat saya atau tidak itu terserah kepadanya. Saya yakin bahawa saya telah menjalankan tugas saya sebaiknya. Insya-Allah. Pada ketika ini isu penggiliran yang kurang adil mungkin merupakan satu rahmat kepada saya juga. Apabila sekali-sekala bertemu, perasaan rindu dan sayang semakin menebal. Kami seperti dua insan yang sedang hangat bercinta apabila bersua. Bagi saya, ini adalah yang terbaik dan alhamdulillah kami dapat laluinya dengan penuh kebahagiaan," jelasnya dengan senyuman manis di bibir.

Anak-anak tiri

     "Menangani anak-anak tiri, saya belum pernah berjumpa dengan mereka. Mereka sudah dewasa dan boleh berfikir dengan baik. Saya cuma berharap mereka tidak menganggap saya sebagai pengganggu keharmonian keluarga mereka. Jika ada peluang saya mahu mengenali mereka dengan lebih rapat."
     Sebelum mengakhiri pertemuan penulis bersama Norhani, dia sempat memberikan sedikit nasihat kepada isteri-isteri muda dan bakal isteri muda iaitu mereka perlu sanggup menghadapi risiko berat berkahwin dengan suami orang. Selain itu jangan meminta sesuatu secara berlebihan atau membanding-bandingkan kelebihan yang diterima oleh isteri-isteri lain.
     Cuba faham kedudukan suami. Paling utama ialah wanita tersebut perlu berani dan memiliki ketahanan mental dan fizikal. Sebelum mengambil keputusan, selidik dahulu bakal suami dari sudut agama, tanggungjawabnya, kemampuan dari segi menyediakan keperluan material dan sebagainya. Ketahui juga bagaimana hubungannya dengan keluarganya.
     Siasat sama ada dia menghadapi masalah berat bersama isteri pertama. Akhir sekali jangan berkahwin kerana ghairah hendak berkahwin. Pastikan bersedia segala-galanya. Jika semua ini dapat dipenuhi, Insya-Allah tiada masalah besar yang tidak dapat diselesaikan.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Rabu, 2 Oktober 2013

Kahwin Lewat. Benarkah ia pilihan wanita kerjaya? : Risiko Pada Kesihatan

Setiap pasangan suami isteri pasti menyemat hasrat untuk mendapatkan zuriat dari ikatan perkahwinan yang suci. Secara semulajadi, tubuh wanita mampu menghasilkan zuriat pada tahap tertentu. Selain usaha berterusan, usia juga memainkan peranan utama untuk mendapatkan cahayamata.
     Menyentuh persoalan wanita lewat berkahwin, pastinya menjadi harapan untuk mendapatkan anak secepat mungkin sebelum tiba usia yang menjejaskan tahap kesihatan ibu dan kandungan. Bagi mengetahui lebih lanjut perubahan dan risiko berkahwin lewat ikuti penerangan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim, konsultan Obstetrik & Ginekologi (O&G), dari sebuah pusat perubatan swasta.
     Menurutnya, secara am gadis remaja akan didatangi haid pada usia 12 tahun namun ada juga yang lebih awal kerana pengambilan zat makanan yang sempurna. Perubahan fizikal akan dialami secara beransur-ansur. Selepas itu sehingga tempoh menapaus iaitu lebih kurang pada usia 52 tahun mengikut pukul rata rakyat Malaysia, wanita mampu melahirkan zuriat.
     "Secara teori, kemampuan seseorang wanita untuk mendapatkan zuriat boleh difahami melalui teori Survival of the fittes. Teori ini menegaskan bahawa wanita yang sihat mampu melahirkan baka yang sihat juga. Namun merujuk kepada isu lewat berkahwin, kita perlu melihat dari segi kematian ibu (MMR) dan kadar kematian bayi (PNNR). Kedua-dua ini merupakan indikasi ke atas kegagalan ibu dan bayi untuk hidup semasa atau selepas bersalin," jelasnya.
     Sambil menunjukkan carta kadar kematian, Dr Ummul menegaskan bahawa umur optimum atau terbaik untuk seseorang wanita melahirkan anak ialah pada usia sekitar 20-an. Pada usia muda, risiko kematian ibu (MMR) adalah 10 kali lebih kurang berbanding wanita berusia 40-an, dan kadar kematian bayi 3 kali lebih kurang.
     "Bagi memudahkan rujukan, secara saintifik di Malaysia, usia 37 tahun baru dikatakan agak berumur atau berisiko tinggi untuk mendapatkan anak. Bagaimanapun kita harus faham alasan wanita lewat berkahwin seterusnya lewat mendapatkan anak. Antara alasannya ialah kerjaya menuntut tumpuan lebih. Ada antaranya tidak menggalakkan wanita berkahwin dalam masa tertentu. Selain itu hasrat untuk menstabilkan ekonomi juga menyebabkan ramai wanita menunda tarikh perkahwinan jauh sekali mendapatkan anak dalam masa terdekat," terangnya panjang lebar.
     Menjelas dengan lebih lanjut dia mengatakan bahawa tidak banyak syarikat yang mahu menyediakan tempat penjagaan anak-anak. Lumrah seorang ibu mahu memberi yang terbaik kepada anaknya. Ibu akan memastikan kemudahan untuk anak-anak membesar tersedia baik. Apabila keadaan sekitar tidak mengizinkan, pastinya ramai wanita terpaksa berfikir dua kali untuk berkahwin awal.
     "Sebagai seorang doktor kami kadang-kala terperangkap dalam situasi rumit sama ada membenarkan wanita lewat usia untuk meneruskan kandungan atau menggugurkannya terutama sekali apabila ia merupakan kandungan pertamanya. Apa yang kami lakukan hanyalah memberi nasihat dan cadangan tertentu. Secara kitarannya, tahap kesihatan badan berkurangan mengikut peningkatan usia. Kadar tekanan darah tinggi akan naik dan dibimbangi serangan kencing manis yang banyak dilaporkan di kalangan lewat usia menjejaskan kandungan. Kemampuan tubuh untuk memperbaiki tisu atau sel pasti berkurangan dan ini sangat bahaya. Selain itu, kemungkinan besar, kandungan menghadapi masalah uri lekang atau 'abruptio placenta' tidak dapat dielakkan. Tumbesaran bayi mungkin akan terganggu (IUGR) kerana kegagalan rahim membekalkan zat dan oksigen. Kemungkinan kandungan gugur atau bayi mati semasa atau sebelum bersalin serta tempoh menahan kesakitan semasa proses melahirkan lebih lama adalah risiko yang terpaksa ditempuhi," tegasnya.
     Menurutnya, wanita yang lewat berkahwin atau mengandung secara tidak langsung akan membahayakan nyawa bayi. Antara risikonya ialah bayi akan menghidap sindrom Down's kerana kromosom abnormal. Semasa tempoh kandungan 8-12 minggu, doktor akan menasihati wanita tersebut untuk membuat ujian pre-natal untuk melihat sama ada kandungan normal atau tidak. Kaedah chrorionic villus sampling (CVS) akan dilakukan bagi melihat keadaan kromosom. Bagaimanapun pilihan untuk ujian terletak di tangan ibu mengandung.
     Selain itu, kemungkinan mendapat bayi kembar juga ada dan ini sangat merbahaya kerana kebiasaannya bayi kembar akan lahir lebih awal. Pendarahan yang banyak mungkin akan terjadi menyebabkan risiko kematian akan berganda.
     Merujuk kepada persoalan kesuburan, Dr Ummul menegaskan bahawa adalah sesuatu yang normal apabila kesuburan menurun mengikut peningkatan usia. Kesan ketara penurunan mendadak adalah pada usia lewat 30 dan awal 40. Bagaimanapun kesuburan boleh diatasi dengan beberapa kaedah klinikal seperti menggunakan teknik bantuan Assisted Reproductive Techniques (ART) seperti pengambilan ubat subur, IVF dan suntikan.
     "Apa salahnya mencuba. Tetapi ada juga yang berasakan apabila sudah tua, tidak perlulah untuk bersusah payah. Ada juga menganggap tahap rangsangan seks berkurang selepas empat atau lebih orang anak. Ini semuanya tanggapan salah. Fungsi rangsangan seks atau libido wanita masih baik sebelum mereka menapaus. Keperluan hubungan intim pasangan suami isteri tidak berkurangan kerana usia. Wanita yang lewat berkahwin tidak perlu bimbang tentang perkara ini. Jangan jadikan tanggapan negatif masyarakat terhadap keintiman anda menggugat hubungan. Cuma mereka perlu membuat inisiatif lebih agar hubungan sentiasa hangat," terangnya menjawab persoalan yang sering disalahtafsirkan oleh masyarakat.
     Kepada wanita yang lewat berkahwin serta mahu mendapatkan anak dalam masa terdekat, perbincangan dengan suami serta mengikut nasihat doktor adalah cara terbaik yang perlu diambil.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Selasa, 1 Oktober 2013

Kahwin Lewat. Benarkah ia pilihan wanita kerjaya? - Bukan Bermakna Tidak Laku.

Penulis : Salina Ibrahim

Jika dulu wanita yang lewat berkahwin dilabelkan sebagai 'tidak laku' tetapi tanggapan itu sudah berubah. Kini, ramai wanita yang memilih berkahwin lewat, malah fenomena ini juga melibatkan muslimah moden atas faktor-faktor luaran dan dalaman.
      Menurut Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, faktor berkahwin lewat itu lebih didorong oleh motif kewangan yang memberikan wanita kebebasan untuk menyara diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Oleh itu katanya, isu 'tidak laku' tidak sesuai lagi kerana wanita yang bekerja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada orang lain, malah boleh menyara diri sendiri dan keluarga juga.
      "Jika dulu, wanita yang tidak berkahwin dipanggil 'tidak laku' seolah-olah mereka ini untuk jualan. Mereka dianggap rendah dalam masyarakat tetapi sekarang saya tidak setuju jika tanggapan itu masih sama. Mereka bukan tidak laku tetapi mereka memilih untuk berkahwin lewat atau tidak berkahwin langsung," katanya.
      Katanya, suatu ketika dulu, perkahwinan dianggap seperti satu kerjaya kepada wanita. Ini kerana dari segi kewangan, ibu bapa boleh berlepas tangan atau kurang satu mulut untuk disuap apabila anak gadisnya berkahwin. Tetapi dengan adanya pendidikan dan wanita bekerja, mereka jadi berdikari dari segi kewangan dan tidak memerlukan suami untuk menyara kehidupan mereka.
      Tambahnya, fenomena terkini di institusi pengajian tinggi awam atau swasta pula menunjukkan pelajar wanita lebih ramai daripada lelaki. Secara tidak langsung, ia memberikan peluang yang lebih rendah kepada wanita untuk mencari jodoh yang sesuai.
      Secara kelazimannya, apabila seorang wanita memiliki ijazah pertama, calon suaminya juga mestilah sekurang-kurangnya memiliki kedudukan yang serupa.

Perkahwinan sebagai kerjaya
Beliau menambah, dahulu wanita yang tamat sekolah dan pandai selok-belok rumahtangga akan mudah dipinang, seolah-olah itu sebahagian kehidupan anak perempuan. Disebabkan itu, perkahwinan dianggap sebagai satu kerjaya, walaupun bukan dalam bentuk yang sebenar. Apatah lagi jika suami memberikan wang saku kepadanya, maka ia boleh dianggap  pekerjaan kerana terdapat nilai ekonomi dalam pekerjaannya.
      "Bagaimanapun apabila wanita menjadi surirumah (bekerja di rumah), nilai ekonominya tidak dikira sebagai 'input' kepada pembangunan keluarga dan rumahtangga, walaupun sebenarnya ia juga merupakan satu sumbangan," katanya.
      Dr Noran berkata, wanita yang memilih untuk berkahwin lewat biasanya berpendidikan tinggi dan menjawat jawatan selesa. Ini kerana mereka ingin memberikan perhatian kepada kerjaya dan menangguhkan perkahwinan.
      "Umpamanya, lulus universiti umur 23 tahun, rancangan lima tahunnya untuk bekerja terlebih dahulu dan naik pangkat. Jika ada teman lelaki, dia akan menunggu. Jika tiada, maka dia beri tumpuan kepada kerjayanya dulu. Soal jodoh sudah menjadi isu sampingan," jelasnya.
      " Katanya lagi, gaya kehidupan kini semakin berubah apabila ibu bapa kurang berminat untuk mencarikan calon suami untuk anak gadis mereka. Apatah lagi sekiranya anak gadis itu bekerja dan menyumbang kepada ibu bapanya setiap bulan. Berbanding dahulu ibu bapa akan menggunakan orang tengah untuk mencarikan jodoh anak tetapi sekarang mereka membiarkan anak membuat pilihan sendiri.

Faktor tempat tinggal
Berdasarkan teori psikologi yang dibuat di Barat, kata Dr Noran, kebanyakan pasangan yang bertemu jodoh tinggal dalam kawasan tempat tinggal yang sama. Disebabkan itu, jika pasangan itu berada dalam lokasi berjauhan atau cinta jarak jauh, lebih banyak yang kurang berjaya mengekalkan perhubungan. Kerana itu katanya, faktor lain ialah melibatkan jenis pekerjaan yang dijawat wanita, yang tidak mengizinkan dia berjumpa calon sesuai. Umpamanya, guru wanita berijazah yang dihantar bertugas di luar bandar, mempunyai peluang yang rendah untuk berjumpa calon yang sesuai di tempatnya bertugas.
     Beliau tidak menafikan, terdapat faktor dalaman yang menyebabkan wanita melewatkan perkahwinannya. Umpamanya, wanita yang pernah putus cinta berkemungkinan tidak berminat untuk memikirkan mengenai perkahwinan.
      "Bagaimanapun sejauh mana kita akan mengakui kepada orang lain? Ia tidak dapat dipastikan kerana ini rahsia peribadi," katanya.
      Tambahnya, konsep perkahwinan ada kena-mengena dengan konsep komitmen. Lazimnya, orang tidak berkahwin kerana dia tidak bersedia untuk mewujudkan perhubungan intim. Ini kerana apabila berkahwin, lelaki dan perempuan akan berkongsi ruang. Memang tedapat orang yang tidak selesa untuk memberikan ruangnya atau berkompromi dengan orang lain. Kerana itu tidak hairanlah, konflik dalam perkahwinan berlaku kerana dua pihak enggan berkompromi.
      Bagaimanapun katanya, tidak banyak faktor dalaman yang boleh dipastikan kerana ia bersifat peribadi. Tetapi beliau percaya, ia mempunyai kaitan dengan ketidaksediaan untuk menjalinkan hubungan intim, cara wanita tersebut dibesarkan atau peluang berinteraksi dengan orang lain.

Faktor zuriat
Katanya, tiada kajian untuk memastikan era wanita berkahwin lewat bermula. Namun beliau percaya, ia ada kena-mengena dengan faktor wanita berjaya melanjutkan pelajaran tinggi yang memberikan kesan kepada perubahan sosial masyarakat. Selain itu, katanya, faktor zuriat bukan lagi keutamaan orang berkahwin kerana mereka boleh mengambil anak angkat. Malah kini, bukan sahaja wanita bujang yang mengambil anak angkat tetapi juga lelaki bujang.
     "Untuk berkongsi kasih sayang, nampaknya bukan lagi melalui institusi perkahwinan. Paradigma sudah berubah. Saya rasa nilai masyarakat juga tidak sama dengan tahun 60-an dulu," katanya. Bagaimanapun katanya, wanita yang lambat berkahwin atau tidak berkahwin ini mempunyai kelebihannya tersendiri iaitu mempunyai komitmen yang sangat baik dalam kerjaya.
     "Orang yang tidak kahwin sebenarnya menguntungkan organisasi. Dia mampu bekerja sampai malam, tidak mengambil cuti bersalin dua bulan atau banyak cuti sakit. Jadi yang mana kita mahu, untuk mengimbangkan produktiviti negara atau perspektif organisasi atau sebaliknya?" katanya.
     Katanya, isu berkahwin lewat tidak boleh dikatakan sebagai fenomena yang tidak sihat. Perkahwinan juga belum tentu menjamin seseorang hidup dalam suasana yang baik. Ini kerana tambahnya, selepas berkahwin, mereka akan melalui satu lagi era kehidupan.
     "Frasa dalam kisah dongeng they lived happily ever and after, adalah kehidupan bahagian pertama. Tetapi selepas berkahwin, mereka harus menempuh bahagian kedua kehidupan. Bahagian kedua ini tidak akan dialami sekiranya anda memilih untuk tidak berkahwin," katanya.

Tip Dr Noran
1. Wanita yang berkahwin lewat tidak seharusnya berasa rendah diri kerana mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara.
2. Bagaimanapun mereka tidak harus berasa tinggi diri dengan meletakkan diri serba betul dan tidak memerlukan orang lain, atau ingin menang sahaja.
3. Lakukan kegiatan yang bermanfaat untuk menghabiskan masa lapang dan mengelak asyik memikirkan soal perkahwinan.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Kahwin Lewat. Benarkah ia pilihan wanita kerjaya? : Islam ada jalan keluar....

Sejarah Islam menceritakan bahawa Aisyah Abu Bakar berkahwin dengan Rasulullah ketika berumur 6 tahun dan mereka tinggal bersama ketika usianya mencecah 9 tahun. Kisah secara tidak langsung menunjukkan tradisi perkahwinan dalam Islam adalah ketika usia yang muda.
     Malah Rasulullah pernah bersabda, " Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka berkahwinlah. Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Sesiapa yang belum sanggup, hendaklah berpuasa kerana itu akan menundukkan nafsu." (Riwayat Muslim).
     Disebabkan itu, jika dibuat perbandingan, menurut Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan seharusnya berlangsung dalam usia yang muda. Malah jika ditinjau pada tahun 50-an lalu, jarang ada wanita yang sudah berumur 25 tahun yang belum kahwin. Bagaimanapun katanya, apabila dunia semakin sibuk, fenomena kahwin lewat terutama di kalangan wanita bekerjaya mula berlaku. Secara tidak langsung jelasnya, ini merupakan fenomena baru yang melanda masyarakat Islam sekarang.
     "Bagaimanapun disebabkan ada hadis menyebut hal tersebut, maka secara tradisinya kita mengatakan bahawa orang Islam memang digalakkan berkahwin awal. Perkahwinan itu separuh agama," katanya.
     Dr Mahmood bagaimanapun tidak menolak keadaan sesetengah wanita terpaksa melewatkan perkahwinan atas alasan yang wajar. Bagaimanapun sekiranya kelewatan itu disengajakan tanpa alasan wajar, seseorang itu boleh dianggap berdosa. Ini kerana Rasulullah pernah bersabda, " Perkahwinan itu adalah sunahku. Sesiapa yang tidak mahu berkahwin, bukan dari umatku." Keadaan ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu tidak komited dengan Islam.
     Menyentuh fenomena wanita bekerjaya berkahwin lewat, beliau berpendapat hal tersebut banyak didorong oleh faktor keadaan. Antaranya kerana kesibukan kerja, apatah lagi kerjaya yang memerlukan seseorang wanita bersendirian dalam jangka masa yang panjang. Kesibukan bekerja pada peringkat awal juga boleh menyebabkan sesetengah wanita tidak sempat untuk memikirkan perkahwinan.
     Selain itu katanya, faktor demografi di bandar menunjukkan jumlah wanita lebih ramai, yang menambahkan lagi jumlah wanita dalam pasaran kerjaya. Malah wanita yang berpangkat tinggi juga semakin ramai sehingga tidak menyediakan calon suami yang sesuai untuk mereka.

Perigi cari timba
Sehubungan itu katanya, tidak salah sekiranya wanita bersikap positif dengan mengetepikan peribahasa 'perigi mencari timba' yang merujuk kepada wanita mencari lelaki. Katanya, jika hari ini wanita berlumba-lumba mencari peluang menduduki kedudukan tertinggi termasuklah menjadi menteri, maka tidak salah sekiranya wanita yang memulakan langkah pertama.
     "Adat Melayu yang mengatakan 'perigi mencari timba' sudah lapuk. Banyak nilai dalam masyarakat kita yang patut dirombak dan ditukar", katanya.
     Beliau juga mempersoalkan mengenai beberapa nilai masyarakat yang pada hematnya tidak sesuai lagi diamalkan kini. Antaranya mengapa wanita harus rasa rendah diri apabila bersuamikan lelaki yang lebih rendah kelayakan akademik atau lebih muda daripadanya? Sedangkan mengapa mereka tidak berasa rendah diri apabila berkahwin dengan lelaki yang lebih berkedudukan daripada mereka?
     Menyentuh konsep kufu, Dr Mahmood berkata, konsep tersebut boleh diubah. Walaupun Rasulullah pernah menyebut perlunya kufu dalam perkahwinan tetapi ukuran kufu sebenarnya banyak ditentukan dalam sistem nilai masyarakat. Umpamanya beliau berkata, jika masyarakat menganggap tidak salah wanita berkahwin dengan lelaki yang lebih muda atau lebih rendah kelayakannya, maka ia tidak menjadikan hal itu satu kesalahan atau sesuatu yang mengaibkan.
     Tambahnya, Khadijah sendiri pernah memulakan langkah pertama dalam perkahwinannya dengan Rasulullah. Saidina Umar al-Khattab juga pernah menawarkan anak perempuannya, Hafsah untuk dijadikan ister kepada para sahabat seperti Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan. Akhirnya Hafsah berkahwin dengan Rasulullah.
     Beliau berkata, sekiranya kita boleh menerima kenyataan mengenai banyak jawatan penting yang disandang wanita, mengapa kita tidak boleh terima kenyataan wanita lebih berperanan dalam keluarga? Beliau tidak menafikan, lelaki adalah ketua keluarga. Bagaimanapun wanita boleh bersuamikan lelaki yang dipercayai untuk memimpinnya dan tanggungjawab memberi nafkah masih terletak pada lelaki.
     "Tapi apabila lelaki tak mampu, sesetengah mazhab mengharuskan wanita (isteri) yang mampu untuk berbelanja dan suami dianggap berhutang dengannya. Ini persoalan lain. Sebenarnya dalam segala hal, Islam menyediakan jalan keluar," tegasnya.

Prejudis poligami
Katanya, implikasi berkahwin lewat dibimbangi akan menambahkan unsur kejahatan. Selain itu katanya, ini juga boleh menyebabkan perkembangan masyarakat menjadi lambat kerana terjejasnya pertambahan zuriat. Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bagi perempuan yang agak lanjut usia, zuriat yang bakal dilahirkan dibimbangi kurang bermutu.
     Antara jalan penyelesaian kepada masalah ini, beliau mengesyorkan agar masyarakat memandangan baik kepada amalan berpoligami. Dalam masyarakat moden katanya, memang poligami dipandang prejudis. tetapi Islam sedar dan menyediakan penyelesaiannya tersendiri. Umpamanya ketika perang yang menyebabkan ramai lelaki terkorban, poligami diharuskan untuk meneruskan kesinambungan masyarakat.
     "Ertinya, dalam keadaan krisis, amalan poligami diperluaskan. Jika bimbang berlaku ketidakadilan, ambil langkah tertentu. Terutamanya bagi wanita bekerjaya, kewangan bukanlah masalah utama. Kalau dia setuju, nafkahnya boleh dikurangkan. Perjanjian boleh dibuat bahawa perkahwinan tidak melibatkan banyak nafkah daripada suami," katanya.
     Selain itu katanya, masyarakat harus menerima perbezaan umur suami isteri dan tidak memandang janggal apabila isteri jauh lebih berusia daripada suami. Secara ideal katanya, poligami patut dibenarkan supaya lelaki dapat menyumbang kepada wanita yang memerlukan. Apabila seorang lelaki muda berkahwin dengan wanita lewat usia, akan sampai satu peringkat dia boleh mengahwini seorang wanita yang lebih muda. Kepada wanita yang lebih muda pula, apabila suaminya meninggal dunia, ini memberi peluang kepadanya untuk berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Ini akan membentuk satu putaran yang saling bantu-membantu sekiranya diterima dalam masyarakat.

Jangan jadi korban pandangan masyarakat
Ketika ditanya, ada wanita yang enggan berkahwin kerana bimbang tidak bahagia atau anak tidak menjadi, beliau berkata, alasan tersebut adalah escapisme. Katanya, tiada sesiapa yang boleh menjamin anak itu baik atau tidak. Tambahnya, banyak keluarga yang berpendapatan rendah, anak ramai tetapi masih bahagia dan gembira. Ada yang bersuami buta tetapi mereka kelihatan bahagia.
     " Bahagia boleh diusahakan jika kita mahu dan individu cukup terbuka serta positif dalam hidup. Tetapi sebab kita selalu berfikiran negatif, kta sukar menemui kebahagiaan,"jelasnya.
     Kepada wanita yang serik berkahwin kerana dihantui kisah silam seperti pernah gagal bercinta, nasihatnya, mulakan hidup baru. Ini kerana kehidupan mempunyai banyak episod dan tidak semua episod akan diharungi dengan jaya. "Janganlah kehidupan dalam episod yang gagal itu mempengaruhi episod hidup yang lain. Saya berharap wanita kita lebih positif dalam segala hal, menerima apa yang dianggap kurang oleh masyarakat. Jangan jadi korban kepada pandangan masyarakat kerana mereka tidak memikul apa yang kita tanggung," katanya ketika mengakhiri perbualan.

Tip Dr Mahmood
1. Bersikap positif dalam kehidupan kerana dengan sendiri kita akan beroleh bahagia.
2. Banyak nilai lama dalam masyarakat yang perlu diubah untuk membawa kehidupan ke arah yang lebih baik.
3. Lupakan kegagalan lama, sebaliknya baiki diri sendiri untuk kehidupan masa depan.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Isnin, 15 Julai 2013

Puasa, Peluang Untuk Berjimat

Undangan ke majlis berbuka puasa mungkin banyak anda terima. Selepas berlapar pada siang hari, waktu berbuka puasa mungkin saat untuk anda menikmati pelbagai hidangan. Tapi, itu bukan cara terbaik untuk kesihatan tubuh badan anda. Lagipun bulan Ramadan sebenarnya untuk anda menguji tahap kesabaran dalam menghadapi dugaan nafsu selera makan. Selain itu, pada bulan Ramadan anda sebenarnya boleh 'menjimatkan' wang dan selera anda.

1. Kalau pada hari biasa, anda mengambil tiga atau empat kali sehari, iaitu makan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam. Pada bulan Ramadan, anda hanya perlu berbuka puasa dan bersahur sahaja. Ini bermakna anda boleh menjimatkan wang kerana tidak perlu membeli sarapan dan makan tengahari. Jadi kalau dalam sehari anda perlu memperuntukkan RM10 untuk belanja makan, bulan Ramadan ini, bolehlah anda simpan separuh duit makan anda.

2. Jangan berbuka secara berlebih-lebihan. Jangan gunakan wang itu untuk membeli kuih-muih dan lauk-pauk secara berlebihan. Ini tidak akan membawa apa-apa makna.

3. Disiplinkan diri dengan tidak membawa banyak wang setiap hari. Kalau bulan lain anda biasa membawa RM50 dalam poket, pada bulan Ramadan, kurangkan kepada RM30 sahaja. Dengan kata lain, bawa wang hanya untuk urusan seperti membeli minyak kereta, membayar duit tol, tambang bas atau teksi sahaja.

4. Selain belajar menjimatkan kewangan, ketika berbuka puasa sentiasalah belajar untuk 'menjimatkan' nafsu makan. Ada di kalangan kita tidak bangun bersahur. Mereka lebih suka makan banyak pada waktu berbuka puasa atau mengambil makanan sekali lain sebelum masuk tidur. Cara ini sebenarnya tidak betul. Makan secara sederhana ketika berbuka. Bangun pada waktu sahur. Selain beroleh pahala sunat bersahur, makanan yang anda ambil itu boleh membantu mengurangkan lapar pada siang hari. Secara sedar atau tidak, sebenarnya jika anda terlalu lapar pada waktu berbuka, ia mendorong anda membeli pelbagai jenis makanan mengikut nafsu semata-mata. Sedangkan hakikatnya anda tidak mampu untuk menghabiskan semua makanan itu. Itu pembaziran namanya.

- Sumber dari majalah NUR -



Jumaat, 6 April 2012

Warna-Warna Rahsia

Pengaruh warna amat penting dalam memberikan 'mood' dan keceriaan. Pastikan anda memilih warna yang sesuai dan dapat menampilkan wajah ceria.

MERAH

Warna ini melambangkan agresif, berkeyakinan dan berani. Anda akan kelihatan lebih ceria. Tetapi awas! warna ini juga boleh mempengaruhi 'mood' anda menjadi cepat marah.

JINGGA

Pakailah pakaian warna ini ketika anda perlu menyelesaikan beberapa tugas penting. Warna ini dapat melahirkan 'mood' yang ceria dan bertenaga. Ia juga bakal menjadikan anda tenang dan senang walau tugas yang diserahkan agak berat.

HITAM

Sofistikated dan kuat. Ia memberi impak yang kuat kepada penampilan. Lebih hebat jika ia digandingkan dengan warna merah.

MERAH JAMBU

Lembut dan feminin. Sesuai dipilih untuk majlis-majlis yang relak dan tidak rasmi.

KUNING

Hangat dan optimis. Cantik dan berseri tetapi warna ini lebih sesuai untuk majlis perkahwinan.

UNGU

Misteri dan menjadi pilihan insan kreatif. Ia tetap mampu memberikan seri kepada pemakainya. Tetapi berhati-hati kerana bukan semua orang berseri dengan warna ini.

HIJAU

Relak dan mendamaikan. Jika anda dalam keadaan 'stress', pilihan warna ini dapat menjadi penawar. Pilihlah warna ini apabila anda ingin meringankan bebanan.

BIRU

Sejuk, bersih dan tenang. Warna biru adalah warna paling sesuai untuk mengurangkan ketegangan dan kesibukan hari anda.

PUTIH

Suci, segar dan bersih. Pilihlah warna ini jika anda mahukan perhatian dan berimej progresif.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Ahad, 18 Mac 2012

Bekerja Sambil Belajar, Gaya Muslimah Moden

Anas r.a. berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda ; Tuntulah ilmu walau ke negeri China, sebab menuntut ilmu agama itu wajib ke atas setiap muslim. Sesungguhnya malaikat menghamparkan sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana redha atau senang dengan apa yang dituntut. (Riwayat Ibn Abdul Darr)

Bekerja sambil belajar memerlukan komitmen tinggi agar produktiviti, mutu kerja dan pelajaran tidak terjejas. Bukan itu sahaja, untuk mereka yang berkeluarga terutama wanita yang berkahwin, tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tidak dapat diabaikan. Di sini, pasangan suami isteri tersebut perlu memahami antara satu sama lain, toleransi dan bekerjasama. Lebih elok berbincang dahulu sebelum membuat keputusan untuk sambung belajar lagi.

Untuk mereka yang belum berkeluarga, mungkin tidak banyak cabarannya berbanding dengan mereka yang sudah berkeluarga. Bukan calang-calang wanita yang mampu untuk melakukan tiga tugasan penting serentak, pelajaran, pekerjaan dan keluarga.

Persediaan fizikal dan mental harus seiring agar kesihatan tidak terjejas dengan fikiran yang lebih tenang serta emosi terkawal. Sokongan penuh dari ahli keluarga juga memainkn peranan penting untuk melakukan semua tugasan ini dengan jayanya. Akhir sekali bertawakal kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui segalanya.

- Sumber dari NUR edisi Pengenalan -