Rabu, 11 Disember 2013

Apabila Isteri Merajuk

8 Safar 1435

Jika hendak berumahtangga, bersedialah untuk menghadapi seribu macam dugaan. Baik lelaki atau perempuan, jika sebelum kahwin ada hati dan perasaaan yang perlu dijaga. Ada amalan atau hobi seperti 'melepak' atau 'merayap' yang sering anda lakukan ketika zaman bujang dulu sudah tidak sesuai dilakukan setelah anda bergelar suami. Jika tidak percaya, cubalah anda teruskan, pasti ada hati yang akan merajuk atau tarik muka seribu. Kepada muslimah yang sudah bersuami, syorkan kepadanya membaca rencana ini sehingga tamat. Mungkin ada tip yang boleh dipraktikkan tatkala anda merajuk di hari muka.
1 Masa terbaik menggunakan pancaindera
Walau zahirnya kelihatan lembut, perasaan dan tindakan wanita kadangkala sukar dijangka. Tersilap bahasa, tersalah tindakan, isteri pasti akan melayani anda dengan tidak bersungguh-sungguh jauh sekali mahu berbual mesra seperti masa bahagia. Anda mula pening kepala dan berusaha mencari jalan penyelesaian, tetapi bagaimana?
     Anda dicadangkan menggunakan semaksimum mungkin pancaindera yang dianugerahkan Tuhan. Diam diri seketika dan buka telinga untuk mendengar leteran. Sekurang-kurangnya anda memberi perhatian terhadap ketidakpuasan hatinya.
     Jangan sekali-kali mencelah dan memberi fakta-fakta bagi membuktikan kebenaran tindakan anda. Hati sedang marah walau ditunjukkan bukti sekalipun belum tentu berguna. Tuturkan kata-kata lembut dan indah bagi melembutkan hati serta jangan lupa memberikan senyuman paling manis dan ikhlas. Jangan ragu-ragu memberi belaian melalui sentuhan hangat, hatinya pasti akan cair dan hubungan akan kembali rapat. Tetapi masalah besar pasti timbul jika rajuk isteri berlandaskan bukti dan alasan kukuh. Bila ini terjadi, jangan sekali-kali anda cuba sembunyi diri dengan seribu satu alasan. Mengaku sahajalah dan katakan anda tidak akan mengulangi perkara tersebut.
2 Bertegas dalam kelembutan
Ada masanya isteri cuba menguji kesabaran dengan meminta sesuatu barang seperti intan berlian yang jauh dari kemampuan. Lebih menakutkan apabila dia cuba membuat ugutan sambil merungut tidak puas dengan apa yang telah anda sediakan. Apa yang perlu anda lakukan? Perkara ini bukan dari sesuatu yang di luar dari kebiasaaan. Cuba sedarkannya dengan memberi nasihat bahawa apa yang dipinta tidak mampu disediakan pada ketika ini dan jika ada rezeki, secara berperingkat hajat akan ditunai.
     Bagaimanapun jangan menyeksa diri. Jika tidak mampu, cukup sekadar memberi kata dua yang tegas tetapi tidak menyakitkan hati. Jika logik alasan yang diberi, isteri pasti akan sedar sendiri. Islam ada menyatakan tentang peranan isteri solehah meringankan beban perbelanjaan keluarga dengan meminta sesuatu dalam kemampuan suami.
     Allah berfirman, "Hendaklah (suami) yang berkelapangan berbelanja sesuai dengan kelapangannya dan (suami) yang kekurangan atau disempitkan rezekinya, belanja dari harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya." (Ath-Thalaaq : ayat 7)
3 Katakan anda mahu sehidup semati bersamanya
Lumrah manusia tidak berpuashati dengan apa yang diberikan oleh Tuhan. Walau sebaik mana sekalipun pasti ada yang kurang. Begitu jugalah halnya apabila usia semakin meningkat. Isteri yang dulu muda berdahi licin, berkulit halus dan berpinggang ramping dilihat seperti ada yang kurang. Namun harus diingat bahawa dialah satu-satunya wanita yang bertahta di hati, tiada lukisan yang boleh menandingi. Pujian biasa untuk membeli jiwa.
     Jika benar anda suami sejati, jangan cuba menjauhkan diri. Sentiasalah memberi dorongan dan sokongan agar isteri membuat perubahan seperti bersenam bersama atau mengesyorkan dia ke salun kecantikan jika ada kemampuan. Katakan juga kepadanya anda mahu sehidup semati bersama, walau susah dan senang. Ingat perubahan fizikal tetap berlaku pada manusia apabila usia menginjak senja. Tetapi itu juga bukan alasan untuk anda menjauhkan diri dan dingin dengan pasangan anda.
4 Bersabar sebagai langkah pertama
Isteri hanyalah wanita biasa, mempunyai hati dan perasaan yang tidak diduga. Ada masanya sungguh baik dan mesra, ada ketikanya api cemburu menguasai jiwa lantas melakukan tindakan tanpa usul periksa. Apabila menanya nada suara dan lenggok bahasa terasa janggal hingga  kadang-kadang bagai hendak jatuh jantung dibuatnya. Belum lagi sempat melabuh punggung di sofa terus ditanya yang bukan-bukan. Hendak menjamah hidangan tiada selera dirasakan. Keadaan ini jangan dibiarkan takut melarat dan menjejas hubungan.
     Sebagai suami dan ketua keluarga anda perlu memberi nasihat, tiada guna cemburu tanpa periksa. Langkah terbaik dan pertama cuba bersabar walaupun diri terasa dicabar. Bukan mudah hendak melayari bahtera apatah lagi memiliki isteri yang cemburu buta. Bagi isteri katakan padanya, agama tidak suka isteri yang gemar menyakiti hati suaminya. Dan Mu'adz bin Jabal, dan nabi s.a.w., sabdanya : "Jangan seorang isteri menyakiti hati suaminya di dunia ini. Kerana bidadari dari syurga berkata kepadanya : "Janganlah engkau sakiti dia. Semoga Allah s.w.t. membinasakanmu. Sebab dia (suamimu) hanya sebentar di sisimu. Ia segera akan berpisah dari dirimu untuk pergi kepada kami.""
5 Kad pengganti diri
Kesibukan dengan urusan kerja melalaikan anda melakukan sesuatu untuk menghiburkan hati isteri. Ramai juga isteri yang sensitif dengan perkara yang melibatkan tarikh-tarikh penting dalam hidupnya. Bagi menyatakan tanda sayang dan terima kasih kepada isteri yang selama ini sanggup berkorban untuk anda, tidak salah anda melayangkan kad pengganti diri setiap kali tarikh bersejarah itu tiba. Setiap kali menjelang tarikh hari perkahwinan, coretan kata-kata indah pasti membuatkan hatinya terhibur dan berasa dihargai.
     Sebagaimana anda menyemarakkan cinta sebelum berkahwin, begitu jugalah halnya yang perlu anda lakukan selepas perkahwinan walaupun usia perkahwinan boleh dikategorikan sebagai usia matang.
     Bagaimana sekarang? Mungkin ada yang boleh dilakukan bagi memujuk hati isteri yang sedang merajuk? Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Sebagai seorang suami yang matang dan bertanggungjawab, anda perlu melakukan sesuatu yang terbaik agar hubungan suami isteri berkekalan hingga ke akhir hayat.