Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kesihatan. Papar semua catatan

Isnin, 4 November 2013

Rawat Sakit Belakang

30 Zulhijjah 1434

Bahagian 2

CARA MENGANGKAT
Sebenarnya bukanlah terlalu sukar untuk mengangkat bebanan dengan cara yang betul tanpa mencederakan otot pada bahagian tulang belakang anda. Elakkan daripada membongkok setiap kali anda ingin mengangkat barang terutama barang yang berat. Perbuatan membongkok seperti ini bukan sahaja membebankan berat badan anda pada bahagian belakang badan, tetapi anda turut menambah berat barang yang hendak diangkat.
Jika ingin mengangkat barang cuba tip berikut :
1. Angkat berat bebanan yang bakal diangkat perlahan-lahan  terlebih dahulu untuk mengetahui berat sebenar berkenaan. Sesuaikan keupayaan anda dengan barangan yang bakal anda angkat itu.
2. Berdiri tegak pada dasar yang stabil. Jangan sekali-kali mengangkat barang jika anda berada pada kedudukan tanah curam seperti lereng bukit ataupun kawasan yang tidak rata permukaannya.
3. Pastikan anda membengkokkan lutut, bukan pinggang.
4. Bawa bebanan hampir pada badan supaya anda tidak membongkok ketika membawanya. Perbuatan terus membongkok untuk mengangkat barang sangat tidak baik kerana ia seolah-olah memaksa tulang belakang anda dilenturkan dengan kasar.
5. Pastikan anda mengekalkan lengkuk semulajadi pada tulang belakang ketika membawa bebanan bagi memastikan anda berada dalam posisi yang betul.
6. Pakai kasut yang stabil dan selesa bukannya sandal, selipar ataupun kasut bertumit tinggi.
7. Jika barang agak berat, tampungkan dengan otot kaki.
8. Agihan berat badan. Pastikan anda mengangkatnya di tengah, dengan itu beban barangan akan sekata di kiri dan kanan.
9. Jangan angkat barang yang berat sekiranya anda pernah mengalami sakit belakang yang serius.
10. Jangan sekali-kali memusingkan pinggang ketika anda sedang membawa barang.
Sebelum mengangkat sesuatu bebanan yang berat, ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian :
1. Pastikan anda mampu mengendali bebanan tersebut sebelum cuba mengangkatnya.
2. Jika barang yang hendak diangkat terlalu besar, dapatkan rakan untuk membantu atau gunakan bantuan troli untuk mengangkatnya.
3. Pastikan tidak ada gangguan di sepanjang laluan sebelum anda membawa barang tersebut.
4. Sekiranya anda menggunakan troli atau kereta sorong, anda perlu menolak dan bukannya menarik.

GAYA TIDUR
Jika setiap kali bangun pagi, anda berasa letih, lenguh atau sukar bangun, salah satu sebabnya ialah cara dan gaya tidur yang tidak sesuai, ikuti tip berikut:
1. Tidur dengan gaya bayi dalam kandungan - anda hanya akan menambahkan tekanan pada tulang belakang.
2. Tidur meniarap - menyakitkan leher, tengah belakang dan pinggul. Cara ini amat tidak sesuai untuk mereka yang menghadapi sakit belakang.
3. Postur tidur yang selamat ialah dengan mengiring ke kiri atau ke kanan, kaki hampir lurus, paras kepala selesa dan disokong oleh bantal dan tilam yang selesa.
4. Tidur telentang juga tidak memudaratkan asalkan kepala dan bentuk badan mendapat sokongan bantal dan tilam yang sepatutnya.
5. Meletakkan bantal di bawah lutut akan memberi kelegaan pada bahagian belakang dan pinggul.
6. Dapatkan tilam yang selesa dan boleh mengikut lenturan badan anda. Tilam ini tidak semestinya mahal. Sebelum membeli dapatkan dulu nasihat dari penjual atau melalui pembacaan mengenai jenis tilam yang sesuai dan tidak menyakitkan badan.
7. Sebaik sahaja bangun dari tidur. Lakukan sedikit senaman regang. Ini bagi mengembalikan kesegaran tubuh dan melonggarkan sedikit otot-otot yang tegang akibat tidur yang lama.
     Selain gaya tidur, anda yang mengalami kecederaan seperti jatuh dari tempat yang tinggi juga berisiko mengalami sakit belakang. Ini disebabkan kecederaan pada tulang belakang. Salah satu kesan kecederaan ini amat merbahaya adalah kemungkinan kerosakan pada saraf tunjang. Sakit belakang yang disebabkan oleh radang, jangkitan kuman, dan barah jarang ditemui di negara kita. Tetapi ia tetap boleh berlaku.

RAWATAN
Sekiranya kesakitan ini lebih merupakan kesan mekanikal, rehat yang secukupnya disamping ubat tahan sakit dan fisioterapi adalah mujarab. Pembedahan hanya dilakukan sekiranya kesemua cara konservatif lain gagal. Pemeriksaan radiologi amat penting terutama sekali sekiranya terdapat sejarah kecederaan untuk memastikan tiada kesan pada saraf tunjang dan untuk mengenalpasti cara yang paling sesuai untuk merawat. Sakit yang disebabkan oleh jangkitan, barah dan radang memerlukan siasatan yang lebih mendalam.
     Apapun jika kesakitan ini berlaku pada anda tanpa diduga, anda juga boleh melakukan rawatan awal. Cuba praktikkan langkah-langkah berikut :
1. Hentikan segera tugas yang sedang dilakukan.
2. Baring dan tuam kawasan yang sakit dengan air batu (pastikan anda melapikkan sehelai kain atau tuala sebelum menuam)
3. Biarkan antara 20 hingga 30 minit sehingga sakit berkurangan.
4. Selepas 20 minit, alihkan dan biarkan sehingga 1 jam dan kemudian letakkan semula bungkusan air batu tersebut.
Langkah ini akan memberikan kelegaan sementara anda mendapat rawatan.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Isnin, 7 Oktober 2013

Panduan Elak Sakit Belakang

Kelolaan : Laila Halilah Nasir
Bahagian Pertama

Kebanyakan daripada kita sering 'mendera' bahagian tulang belakang kita tanpa disedari. Setiap hari, setiap masa kita membeban dan menggunakan sepenuhnya tulang utama sokongan badan dengan tidak memberi perhatian atau memberi peluang ia berehat dengan betul.
     Cara kita duduk, berdiri, mengangkat barang, memandu atau menjalankan tugas harian memberi kesan kepada bentuk tubuh terutamanya kesihatan tulang belakang dalam jangka panjang. Dan kebiasaannya apabila kita berasa lenguh atau sakit pada bahagian belakang badan, kita akan mencari tukang urut untuk memulihkannya. Tidak kurang juga yang menemui doktor untuk mendapatkan ubat bagi mengurangkan sakit tersebut. Tetapi jangan terkejut sekiranya masalah yang sama akan berulang dan terus berulang.
     Tulang belakang terdiri daripada 24 ruas tulang atau vertebra yang tersusun rapi. Di antara setiap tulang ini terdapat ceper daripada tisu lembut yang bertindak sebagai penyerap hentak dan tekanan.
     Manakala di setiap tulang belakang ini mempunyai rongga atau ruang di tengah-tengah. Di dalam rongga inilah letaknya saraf tunjang. Saraf tunjang belakang bersambung pada saraf tunjang dan terletak di antara vertebra dan saraf inilah yang kemudiannya menjalar ke seluruh tubuh. Tekanan yang berlebihan pada tulang belakang akan memberi kesan berpanjangan. Cara kita berdiri, duduk, berjalan atau melakukan sebarang kerja sebenarnya memberikan tekanan kuat kepada sendi dan saraf tulang belakang.
     Di antara tulang-tulang belakang ini terdapat ceper yang terdiri daripada tisu dan fiber lembut yang memastikan kedudukan tulang berada di tempat sepatutnya. Setiap kali kita membongkok, bahagian ceper inilah yang menerima tekanan dan jika tekanan ini berterusan dalam jangka masa yang panjang ia akan menekan saraf pada tunjang dan saraf ini pula akan menghantarkan mesej memberitahu bahawa bahagian tersebut bermasalah apabila timbul rasa sakit atau kurang selesa.
     Samada saraf pada tengkuk atau tulang belakang, kesan yang akan dihadapi disebarkan pada seluruh tubuh dari kepala hingga ke kaki. Mungkin kita tidak sedar bahawa kesakitan yang kita alami pada sendi tangan atau kaki itu berpunca daripada saraf pada bahagian tengkuk dan tulang belakang.
     Tulang belakang merupakan tunjang pembentukan tubuh. Masalah pada tulang belakang akan menjejaskan kesihatan kesihatan anda selagi anda tidak mengambil langkah segera memulihkan. Mungkin panduan mudah ini dapat membantu anda memulihkan postur badan dan menghindari masalah berkaitan tulang belakang.

BERDIRI
1. Pastikan cara berdiri yang betul. Untuk memastikannya, berdiri dengan menyandarkan kepala, tengah belakang, punggung dan tumit rapat pada dinding. Anda sepatutnya boleh memasukkan tangan di antara bahagian bawah tulang belakang (lumbar) dengan dinding jika anda sedang berdiri dalam posisi yang betul. Satu lagi cara ialah dengan memastikan telinga, bahu dan paha anda berada dalam garisan lurus.
2. Elakkan daripada berdiri dalam posisi yang sama dalam jangka masa yang lama. Bebankan berat badan anda berselang seli pada kaki kanan dan kiri.
3. Pastikan aras tempat anda melakukan tugas adalah selesa, barang keperluan mudah dicapai, jadi anda tidak perlu membongkok untuk mengambil barang.

DUDUK
1. Kedudukan lutut dan paha perlu selesa.
2. Duduk hampir dengan meja tempat anda melakukan tugas
3. Elakkan duduk dalam jangka masa lama. Sesekali bangun untuk melonggarkan otot-otot yang mungkin tegang
4. Sekiranya anda duduk di kerusi yang boleh dilaraskan, paras meja sepatutnya tinggi sedikit daripada pinggang anda ketika duduk.
5. Jika boleh gunakan kerusi yang mempunyai tempat letak tangan untuk membantu menyokong berat badan anda
6. Anda juga boleh menggunakan penyokong bahagian lumbar (tulang belakang yang melengkung) bagi memberikan keselesaan ketika duduk
7. Berdiri setiap kali anda telah duduk selama 10 atau 15 minit. Ini bertujuan memberi peluang kepada sendi-sendi penyambung tulang belakang berehat sementara. Jika duduk terlalu lama, sendi pada tulang belakang di bahagian bawah akan tertekan dan lama kelamaan akan mengakibatkan radang pada sendi dan kita akan rasa sakit dan lenguh.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Sabtu, 13 Julai 2013

Puasa Bagi Penghidap Kencing Manis

Selain wajib ke atas semua umat Islam, berpuasa di bulan Ramadhan mampu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Jadi, bukan alasan bagi mereka yang menghidap penyakit tertentu untuk tidak menjalankan ibadah yang dituntut ini, kecualilah mereka yang dilarang doktor atas sebab ia boleh memudaratkan kesihatan khususnya penyakit yang memerlukan panjagan rapi dari segi pemakanan.
Kencing manis atau diabetes dikenalpasti sebagai salah satu penyakit yang serius dan memerlukan penjagaan rapi dari segi pemakanan. Berdasarkan kajian Second National Health and Morbidity Survey pada 1996, kira-kira 8.3 peratus atau lebih 1.5 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis atau diabetes mellitus. Peratus ini dikatakan kian meningkat dari tahun ke tahun.
Diabetes terjadi disebabkan gangguan metalbolisme karbohidrat apabila gula dalam tubuh tidak dioksida untuk menghasilkan tenaga kerana kekurangan hormon pankreas insulin. Kehadiran gula yang tidak dioksida itu semakin berkumpul menyebabkan kandungan gula dalam darah dan air kencing tinggi atau berlebihan.
Rawatan untuk penghidap diabetes ini adalah dengan mengambil pemakanan yang dikawal rapi iaitu cukup karbohidrat untuk keperluan tubuh bersama suntikan insulin atau ubat yang diambil secara oral untuk menurunkan aras glukosa dalam darah atau membantu penkreas mengeluarkan insulin secara semulajadi.

Keliru & Bimbang
Kerana inilah ramai pesakit diabetes yang keliru dengan kedudukan mereka ketika tiba Ramadan kerana bimbang puasa boleh menjejaskan kesihatan mereka. Dalam satu ceramah, Penjagaan Diabetes Mellitus di Bulan Ramadan, seorang pakar klinikal (Diabetes dan Endokrinologi), Dr Siti Harnida Md Isa, berkata pada dasarnya pesakit diabetes dibenarkan berpuasa tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian pada jadual pemakanan dan pengambilan ubat.
"Pesakit yang diabetesnya stabil, iaitu tidak memerlukan insulin serta mempunyai berat badan berlebihan digalakkan berpuasa. Berat berlebihan ialah berat yang melebihi 20 peratus berat badan yang sepatutnya (berat badan ideal). Begitu pun, jika mereka menunjukkan tanda hipoglisemia, hiperglisemia atau kekurangan air (dehidrasi) adalah digalakkan terus berbuka puasa dan haram untuknya meneruskan puasa untuknya kerana boleh memudaratkan kesihatan." katanya.

Antara Peraturan Penting Yang Perlu Diikuti Bagi Pesakit Yang Hendak Berpuasa:
*Mesti bersahur seperti biasa, melengahkan sahur dan makan dengan cukup (bukan berlebihan)
* Tidak dibenarkan dan melambatkan berbuka puasa.
* Minum cukup air, dinasihatkan jika bangun pada waktu malam untuk buang air, minum air.
* Mengambil ubat dan insulin seperti disyorkan doktor ketika Ramadhan.
* Tidak makan berlebihan ketika berbuka puasa. Kurangkan makanan bergula seperti kuih-muih, manakala buah kurma adalah sekadar mengambil barakah atau mengikut sunnah
* Harus berusaha untuk mengawasi penyakit mereka dan menjaga kesihatan secara amnya.
* Harus mengenali tanda hipoglisemia, hiperglisemia dan kekurangan air. Apabila mengalami tanda berkenaan, segeralah berbuka. Membuat perubahan kepada jadual pengambilan kepada jadual pengambilan ubat atau insulin kerana apabila berpuasa, pesakit tidak makan atau minum untuk satu jangka masa yang panjang iaitu hampir 14 jam. Ubat dan insulin yang bertindak dalam jangka masa lama mungkin perlu ditukar kepada yang bertindak segera untuk mengelakkan hipoglisemia. Ada juga ubat dan insulin yang perlu ditukar kepada yang bertindak dalam jangka masa panjang untuk mengelakkan tahap gula atau glukos tinggi pada waktu petang sebelum berbuka puasa.
* Mengenai senaman dan kegiatan harian boleh dijalankan seperti biasa. Pesakit diabetes sering berhadapan dengan risiko diserang beberapa masalah seperti hipoglisemia, hiperglisemia dan kekurangan air. Bagaimanapun, pesakit tidak perlu bimbang kerana terdapat beberapa tanda bagi memudahkan pesakit ataupun ahli keluarga untuk mengenali tanda serangan.

Siapa yang tidak boleh berpuasa?
1. Pesakit diabetes yang pada pendapat doktor tidak terkawal. Penyakit diabetes yang tidak terkawal akan menyebabkan kekurangan air dan mendedahkan pesakit kepada kompilkasi lain seperti jangkitan kuman, koma dan sebagainya.
2. Pesakit yang tidak mengikut nasihat penjagaan makanan, ubat dan insulin.
3. Pesakit yang mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung yang tidak stabil (unstable angina) dan tekanan darah tinggi tidak terkawal. Biasanya pesakit diabetes mempunyai tekanan darah tinggi.
4. Pesakit yang kerap mendapat koma diabetik ketoacidosis. Masalah ini biasanya disebabkan hipoglisemia.
5. Pesakit yang kerap mengalami koma hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah) terutama mereka yang pernah mendapat dua atau lebih koma hipoglisemia pada Ramadan sebelumnya. Penyakit yang sampai ke tahap serius boleh merosakkan otak.
6. Pesakit yang sedang mengalami sebarang jangkitan kuman. Tanda awal yang penting ialah suhu badan tinggi atau demam.
7. Pesakit yang berumur dan tinggal bersendirian.
8. Pesakit yang mengandung dan memerlukan insulin.
9. Pesakit kanak-kanak yang berusia 12 tahun.

- Sumber dari NUR November 2002 -


Rabu, 4 April 2012

Melawan Bau Mulut

Pakar pergigian, Dr Louis Malcmacher daripada American Dental Association berkata, bau mulut tidak semestinya akibat daripada gigi yang tidak bersih. Ada pesakitnya yang menderita gangguan bau mulut dan gigi paling bersih yang pernah ditemuinya.

Yang Perlu Anda Tahu

1. Sisa makanan, penyakit gusi dan gigi berlubang, mulut kering, tembakau atau beberapa gangguan ubat yang lain boleh memberi masalah kepada nafas seseorang sehingga menyebabkan ia berbau tidak segar.

2. Jauhkan daripada mengambil makanan yang berbau kuat seperti bawang putih, petai dan sebagainya.

3. Penderita bau mulut memerlukan perawatan secara khusus dan berterusan.

4. Bau mulut disebabkan adanya bakteria tertentu pada mulut yang menghasilkan persenyawaan sulfur yang mencerna partikel makanan. Sulfur adalah substansi yang membuat telur berbau busuk. Begitu jugalah halnya dengan setiap orang. Manusia juga memiliki bakteria ini, tetapi ia boleh dikawal. Bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai bakteria ini dalam jumlah yang berlebihan, ia boleh menyebabkan nafas mereka mudah berbau.

5. Minum banyak air supaya mulut tidak kekeringan. Selain boleh membantu mencuci bakteria yang berlebihan dalam mulut.

6. Membersihkan lidah ketika memberus gigi juga dapat membantu mengurangkan bau mulut.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Isnin, 2 April 2012

Panduan Penjagaan Rambut Yang Sihat

1. Sebelum membeli syampu kenal pasti jenis rambut anda.
2. Sebelum memakai tudung, pastikan rambut dalam keadaan kering. Rambut yang lembab atau basah boleh menyebabkan masalah kelemumur, berbau hapak dan kepala terasa pening.
3. Dengan bertudung, rambut anda akan lebih terpelihara dan terlindung daripada habuk yang beterbangan.
4. Keringkan rambut dengan tuala dengan cara menggosoknya secara lembut. Lurutkan kepala secara perlahan-lahan dari atas hingga ke hujung rambut secara berulangkali dan biarkan ia kering.
5. Apabila memakai tudung kepala, rambut kurang mendapat vitamin C daripada sinaran matahari menyebabkan rambut kusam dan tidak hitam. Mengembalikan kesegarannya, cara tradisional yang digalakkan ialah dengan meletakkan santan kelapa pada rambut. Biarkan ia seketika atau membalutnya dengan tuala. Kemudian bilas dengan air biasa dan akhir sekali dicuci dengan syampu yang sesuai. Amalkan seminggu sekali.
6. Sikat rambut semasa tidak memakai tudung (di rumah) agar akar rambut dan kulit kepala mendapat udara yang secukupnya.
7. Untuk kulit kepala sentiasa segar, gunakan air sejuk sewaktu membasah rambut.
8. Amalkan pengambilan vitamin khusus untuk menstabilkan hormon dan membaiki akar rambut.
9. Rambut yang berkelemumur boleh diatasi dengan cara menggosok kulit kepala dengan limau purut yang telah dihangatkan. Setelah kelemumur gugur, bersihkan rambut dan kulit kepala dengan syampu yang mengandungi bahan anti kelemumur ataupun syampu yang mempunyai campuran limau purut.
10. Bagi rambut berminyak, gunakan syampu yang boleh digunakan untuk cucian setiap hari. Rambut berminyak disebabkan oleh ketidakstabilan hormon yang mengakibatkan sebum dikeluarkan secara berlebihan, tekanan cuaca panas atau banyak mengambil makanan berlemak.
11. Sikat rambut dengan perlahan dan lembut bagi mengelakkan kulit kepala menjadi panas dan boleh menyebabkan penghasilan minyak berlebihan.
12. Elakkan daripada menggunakan alat pengering rambut kerana rambut mudah menjadi kusam. Tetapi jika perlu, sebelum melakukan 'blow', letakkan 'foam', 'setting lotion' atau 'volumizer' pada rambut terlebih dahulu bagi memudahkan ia didandan. Bahan-bahan tersebut dapat menjadi penghadang antara rambut dan alat pengering rambut.
13. Untuk mendapat rambut yang halus, gunakan sikat bergigi penuh dan rapat.
14. Pastikan anak tudung atau cekak rambut yang anda pakai tidak terlalu ketat yang membenarkan aliran udara masuk agar rambut tidak terlalu terperap.
15. Pakailah tudung yang diperbuat daripada kain lembut dan tidak terlalu tebal seperti kain kapas.
16. Syampu rambut secara komsisten sekurang-kurangnya dua hari sekali.

- Sumber dari NUR Pengenalan -