Oleh : Ummu Shafiqah Abd Jalil
Ini bukan tohmahan. Bukan fitnah. Bukan umpatan atau cakap-cakap belakang yang tidak berasas. Ini kenyataan, yang terbias dari pengamatan yang dalam dan mata fikir yang waras.
Kenyataan yang diperteguhkan oleh pandangan mata sendiri, setelah berbulan-bulan lamanya aku mendengar dari mulut orang lain. Aku bukan jenis yang cepat terpukau oleh sesuatu yang tidak pasti. Kepastian mesti kudapatkan. Jee mesti kutemui.
"Aku cuma nak tahu. Betulkah apa yang orang cakap pasal kau, Jee."
"Orang? Siapa? Kin? Apa katanya? Aku sesat? Aku rosak? Aku kepit perempuan sana sini? Macam tu?"
Aku terkedu. Tidak berupaya menafikan. Memang Kin yang bawa cerita. Tetapi aku pun pernah melihat dengan mata kepala sendiri.
"Jee, kita dah lama kawan. Kau kenal aku kan? Kau tentu tahu aku tak mudah dengar cakap orang kan?"
"Baguslah begitu, Mar. Aku tak minta kau percaya aku. Aku tak minta kau percaya orang. Cukuplah kau percaya diri sendiri."
Jee masih tak berubah. Bicaranya masih jitu seperti selalu. Cakapnya selalu terus kepada isi. Tetapi itu bukan kepastian. Nada itu membuatkan aku terus diburu tanda tanya. Membuatkan aku terus dihimpit prasangka dan persoalan buruk. wajarkah aku percaya cakap Kin tanpa menyiasat benar tidaknya cakap-cakap itu? Mungkin wanita yang bernama Jee itu sahabat baiknya, seperti aku dan Kin juga.
Diam-diam aku rangka rancangan sendiri. Jauh dari pengetahuan Kin, apa lagi Jee. Selama beberapa hari, aku bertindak sebagai penyiasat persendirian. Langkah Jee kujejaki. Dia masuk pejabat, dia keluar pejabat, dengan siapa dia keluar, ke mana dia keluar - semuanya kuperhatikan. Gila! Memang ini kerja gila dan membuang masa. Tetapi ia perlu untuk kebaikan seorang sahabat. Kalau betul dia tersilau dan rosak seperti kata Kin, kerja gila dan membuang masa ini dapat menyelamatkan seorang sahabat yang sudah terlungkah dari kulit iman.
"Hei Mar!" Terkejut aku apabila Jee menyergahku. "Buat apa kau kat sini?"
"Err..." Aku terpinga-pinga. Aku memerhatikan Jee tetapi Jee terlebih dahulu sedar akan kehadiranku. Langkah awalku sebagai penyiasat persendirian sudah gagal!
"Kenalkan, ini kawanku, Rina." Jee memperkenalkan wanita jelita di sisinya. Aku tersentak. Bukankah wanita ini yang pernah kulihat bersama Jee dulu? Bukankah wanita ini yang menepati ciri-ciri gambaran teman wanita Jee seperti yang diberitahu Kin?
"Terlanjur dah jumpa, ikutlah kami. Aku nak beli hadiah," pelawa Jee. Aku tidak menolak. Ini peluang untuk mengorek rahsia peribadi Jee yang sudah 10 tahun kukenali.
Teman wanita
Beberapa buah kedai emas kami singgahi. Hanya di kedai keempat, kami mendarat agak lama. Aku lihat Jee leka memilih cincin bertatah permata yang bersilau, mencuba memakai-makaikannya ke jari Rina sambil bercakap dengan patah-patah kata yang amat sukar kudengar. Selepas setengah jam, kami keluar menuju ke restoran. Di jari wanita kawan Jee itu, tersarung cincin tebal bertatah permata merah yang kudengar harganya mencecah ribuan ringgit juga.
"Aku sengaja hadiahkan untuk dia. Aku pernah janji sempena harijadi dia," terang Jee, mungkin kerana terperasan mataku sesekali menjeling jari wanita itu yang kini berhias cincin mewah. Wanita itu pula lebih banyak tersenyum. Payah benar mahu mendengar suaranya dan kalau bercakap pun, hanya Jee yang mendengar suaranya.
Sekali lagi aku bingung. Siapa sebenarnya Rina itu pada Jee? Temannya? Teman wanitanya? Begitu? Jika benar Rina itu teman wanitanya seperti dakwaan Kin, apa yang patut kulakukan? Wajarkah kubiarkan dia terus tenggelam timbul dalam lautan kesesatan itu? Patutkah sekadar kupejamkan mata, sedangkan sahabat sendiri terlonta-lonta dalam gelombang nafsu?
Mustahil Jee tidak sedar akan dosa pahala dan halal haram. Ibu bapanya bijak agama. Dia khatam al-Quran ketika berumur 10 tahun. Kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah agama selama 5 tahun. Tidak cukupkah ilmu yang ditimbanya itu untuk dijadikan asas pedoman dalam menghadapi cabaran dunia?
"Aku nak kepastian, Jee!"
Jee terbeliak. Matanya besar dan menggerunkan. Tadi dia menyambut kedatanganku ke pejabatnya dengan senyuman, tetapi kini kemesraannya sudah teragas pergi.
"Apa lagi? Kan aku dah beritahu kau?"
"Memang kau dah cakap. Tapi aku tak puas hati. Aku sahabat kau. Beritahu aku kalau kau ada masalah." Desakku, tidak puas hati.
"Aku tak ada masalah. Kau yang ada masalah. Kau yang cari masalah. Kau pun nak jadi busy body macam Kin juga?"
"Aku busy body sebab aku sabahat kau. Kita berkawan sejak kecil, Jee. Sama-sama mengaji al-Quran, masuk sekolah rendah, masuk sekolah agama. Aku bertanggungjawab, Jee. Aku tak mahu terus bermimpi kau digantung dalam api, terjerit-jerit minta tolong dari aku!"
Jee terpempan, terkejut. Dia terduduk.
"Jee.."
"Entahlah, Mar..." tiba-tiba dia mengeluh.
"Agaknya memang betul aku dah sesat, Mar..." luahnya. Aku terlopong.
Memang kami berkawan sejak kecil. Dulu aku belajar mengaji di rumahnya, bergurukan Haji Imam, ayah Jee. Jee juga mengajarku kerana dia khatam al-Quran lebih dulu daripadaku. Kemudian kami melangkah ke sekolah agama menengah perempuan yang agak terkenal di Ipoh. Penampilan Jee memang kelelakian. Dia pernah ditegur kerana rambutnya yang ditarah terlalu nipis. Kerap ditegur ustaz kerana bertudung hanging. Dia pemain hoki sekolah, terkenal juga di sekolah jiran kerana terlalu cepat naik angin jika kalah bertanding. Maka keraplah dia keluar masuk mengadap guru disiplin.
Terpenjara lagi
Disebabkan itu, Jee selalu menyuarakan hasratnya untuk berpindah sekolah. Dia berharap benar dapat bertukar sekolah selepas tingkatan tiga. Keputusan peperiksaannya cemerlang. Dia ditawarkan tempat di tingkatan empat di sekolah yang sama. Dia terpaksa menerima kerana dipaksa oleh orang tuanya. Jee memberontak tetapi dia terpaksa menurut dengan berat hati. Dia terpenjara lagi selama dua tahun. Cita-citanya hanya satu - belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dengan keputusan paling cemerlang dalam SPM.
"Kalau aku berjaya dalam SPM, aku boleh buat keputusan sendiri. Bapa janji akan benarkan aku pergi ke mana saja untuk belajar. Aku nak pergi AS. Aku tak akan terkongkong lagi," katanya selalu.
Ternyata dia bersemangat kental. Dia mengotakan janji-janjinya. Ibu bapanya pula terpaksa mengotakan janji mereka. Haji Imam enggan melepaskan anak perempuannya pergi jauh tetapi kerana janji, dia terpaksa menurut. Jee sudah mendapat kebebasan yang diimpikannya sejak sekian lama. Dia jauh dari mata orang tuanya. Dia jauh dari mata masyarakat timur. Lantas dia bagai mendapat tiket untuk melepaskan segala yang terpendam dalam hatinya tanpa ada yang melihat, mengambil tahu, jauh sekali untuk menegur atau melarang.
Dia melakukan apa saja menurut kata hatinya. Akhirnya dia terjerumus dalam kancah lesbian. Dia mahukan kasih sayang kerana kasih sayang yang dicurahkan ibu bapanya adalah kasih sayang yang berasaskan balasan, bukan kasih sayang ikhlas.
"Salah ke aku berkasih sayang? Salah ke, Mar?"
"Tak salah, Jee. Tapi cara kau yang salah."
Jee menung berjurus-jurus lamanya. Melihat dia begitu, aku angkat kaki. Selalunya kalau Jee termenung lama begitu, dia sedang berfikir panjang. Dia sedang berfikir perkara yang berat-berat. Dan dia tidak harus diganggu.
Tiba-tiba Jee menghilangkan diri. Aku telefon ke pejabatnya, kata rakan sepejabatnya, Jee bercuti. Telefon ke rumahnya, tidak diangkat. Cuba hubungi telefon bimbitnya, ia dimatikan. Mahu cari Rina, aku tidak kenal perempuan itu. Seminggu kemudian, aku dikejutkan dengan satu lagi berita.
"Aku sendiri nampak, Mar. Dia dah berubah. Totally hundred-percent! Dia buang tabiat apa?"
"Hissy, jangan celupar!" Ingin aku menyanggah tetapi suaraku tersangga di halkum.
"Keliru juga aku. Dia tu kenapa? Aku takut dia sesat. Manalah tahu, salah menuntut ilmu!" Ujat Kin lagi. Terpanggung kepalaku mendengarnya.
"Kau ni kenapa? Dulu masa Jee berperangai macam jantan, kau kutuk dia. Sekarang dia dah berubah, dah pakai tudung, kau kutuk dia lagi. Apa jenis kawan kau ni?" Aku terlancar di bawah sedar. Mahu rasanya kukerunyas-kerunyas mulut Kin dengan jelabas.
Tiga serangkai
Sahabat itu kutinggalkan. Hatiku menangis. Antara gembira dan pilu. Gembira sekiranya benar Jee sudah berubah. Sedih kerana sikap Kin yang tidak habis-habis memandang serong terhadap Jee, sedangkan ketika di sekolah menengah dulu, aku, Jee dan Kin dikenali sebagai tiga serangkai yang akrab. Secara peribadi, Jee memang tidak menyenangi Kin, tetapi tidak keberatan menerima kerana aku yang membawa Kin dalam persahabatan kami.
Aku cuba menghubungi Jee lagi. Telefon di rumah tidak berangkat terus-terusan. Kawan di pejabatnya memberitahu Jee bercuti dan pulang ke kampung. Aku kira, ini satu lagi keanehan. Setahuku, sudah dua tahun Jee tidak pulang ke kampung. Khabarnya, Haji Imam mengamuk besar kerana Jee menolak lamaran sahabat baiknya, Syed Salim untuk menjodohkan Jee dengan anak bujangnya yang baru kembali dari Mesir. Sejak itu, Jee memboikot ibu bapanya dan merajuk enggan balik kampung.
Aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Tidak sabar-sabar mahu menatap wajah Jee. Aku dapat bayangkan keayuan wajah Jee dilitupi tudung. Dulu dia memang bertudung tetapi sejak meninggalkan tanahair untuk belajar di Amerika Syarikat, dia turut meninggalkan tudungnya. Malah semasa pulang ke tanahair, Haji Imam hampir pengsan melihat Jee sudah menjadi 'lelaki'.
"Saya nak jumpa Jee. Saya dengar dia dah pulang..."
"Memang Jee dah pulang, Mardhiah," kata ibunya dengan wajah yang agak bakup.
"Jee ada di dalam?"
"Jee dah pulang, nak."
"Saya tahu. Saya pun pulang ke kampung sebab nak jumpa Jee."
"Jee dah pulang. Dah pulang ke rahmatullah."
Aku tercengang. Ibu Jee masuk ke dalam dan keluar semula menemuiku beberapa minit kemudian.
"Jee dah tinggalkan kita semua, Mardhiah. Lepas subuh semalam. Dia mengadu sakit kepala, hendak dibawa ke klinik dia tak mahu. Kemudian dia tidur dan lepas tu, tak bangun-bangun..." menggigil suara ibu Jee.
"Dia tinggalkan ni untuk Mardhiah." Ibunya memberikan sebuah diari biru kepadaku. Halaman terakhir, bertarikh kelmarin, kuselak. Hanya ada catatan pendek.
Sahabatku yang paling setia,
Aku telah temui diriku yang sebenar.
Aku terduduk. Tiada yang mustahil dalam dunia ini. Air mata ingin mengalir tetapi kutahankan sekuat dayaku.
- Sumber dari NUR Disember 2002 -