Memaparkan catatan dengan label Diet dan Pemakanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diet dan Pemakanan. Papar semua catatan

Rabu, 6 November 2013

Resolusi Diet Tahun Baru

2 Muharram 1435

Tahun baru menjelang lagi. Bagaimana dengan azam anda tahun lepas? Masih adakah yang belum dipenuhi? Mungkinkah anda termasuk di antara mereka yang menyimpan azam untuk menurunkan 5 kg dari berat badan anda, namun sehingga masuk tahun baru, berat anda tetap ataupun lebih memburukkan keadaan ia  semakin meningkat.
     Jangan putus asa, mungkin selama ini anda tidak ada pembimbing. Program diet yang anda lakukan hanya sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'. Bersama saya apa kata kali ini tetapkan pendirian dan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi resolusi diet anda pada tahun ini.
     Berdiet tidak semudah menyebutnya. Ramai di antara kita yang berkobar-kobar untuk menurunkan berat badan pada awal tahun namun amat sedikit yang berjaya mencapai matlamat mereka. Majoriti yang lain terkandas di tengah jalan. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh sebuah agensi pemasaran menunjukkan 38 peratus daripada populasi di Amerika berazam untuk berdiet tetapi hanya seorang daripada 5 orang sahaja yang akan berjaya untuk jangka masa panjang.
     Semangat yang berkobar-kobar untuk menurunkan berat badan tidak perlu ditunggu hingga menjelangnya tahun baru. Ini kerana masuk sahaja bulan seterusnya, semangat itu menjadi semakin pudar. Keazaman untuk menurunkan berat badan sebenarnya perlu datang dari dalam diri individu itu sendiri. Seorang pakar psikologi klinikal mencadangkan agar kita meluangkan masa antara 2 hingga 3 minit sehari menilai matlamat dan sebab untuk menurunkan berat badan.
     Apakah motivasi yang mendorong kita untuk menurunkan berat badan? Adakah untuk meningkatkan taraf kesihatan atau menambah stamina atau meningkatkan keyakinan diri? Fikirkan dengan tenang dan kemudian bayangkan anda berjaya... Wajah anda yang penuh ceria dengan berat badan yang ideal.
     Antara kesilapan yang sering kita lakukan ialah menganggap usaha kita hanya untuk satu jangka masa yang tertentu sahaja iaitu sehingga kita berjaya mencapai sasaran. Untuk itu, kita selalu menyatakan bahawa kita sedang berdiet.
     Apabila kita menyebut perkataan diet, di minda kita hanya untuk satu tempoh yang singkat. Jika kita tidak berjaya mencapai sasaran, kita akan mudah berputus asa. Yang terbaik ialah dengan menganggap bahawa sudah sampai masanya untuk kita berubah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Dengan ini, kita akan sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan secara berterusan. Penurunan berat badan seterusnya dianggap sebagai satu faedah bag mereka yang mengamalkan cara hidup sihat.

10 Tip Mencapai Resolusi

1 Ketahui sebab sebenar mengapa anda ingin menurunkan berat badan.
Sentiasa mengingati apakah sebenarnya motivasi anda untuk menurunkan berat badan. Tentunya bukan sekadar untuk melihat jarum alat penimbang menunjukkan angka yang semakin kurang. Pasti ada yang lebih utama seperti meningkatkan keyakinan diri.

2 Sentiasa beringat
Peruntukan sedikit masa setiap hari untuk mengukuhkan resolusi anda. Fokuskan kepada apa yang anda lakukan pada hari itu untuk mencapai matlamat anda. Misalnya jika anda perlu menghadiri kenduri perkahwinan rakan baik anda hari ini. Rancangkan agar anda tidak makan dengan keterlaluan dengan memastikan anda tidak menghadiri kenduri itu dengan perut yang kosong.

3 Memahami bahawa motivasi ada pasang surutnya
Pastinya anda pernah mengalami keadaan yang mana anda rasakan sudah bosan untuk mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Terima hakikat tersebut. Aturkan aktiviti lain bersama rakan anda. Mungkin dengan menonton wayang atau melakukan aktiviti riadah. Elakkan daripada merasa bosan dan tinggal sendirian kerana ini mungkin menyebabkan anda makan makanan yang tidak sepatutnya.

4 Menghadapi hari yang tidak baik (bad day) secara positif
Sekiranya anda tidak dapat mengawal selera anda pada satu hari, jangan putus asa dan terus mengabaikan rancangan anda untuk mengabaikan pemakanan sihat. Sebaliknya terima hakikat itu dan kembali mengikut rancangan asal anda.

5 Menerima kenyataan bahawa ia merupakan satu rancangan jangka panjang bukan tempoh yang singkat.
Bersabar agar anda mampu meneruskan azam dan memenuhi matlamat anda.

6 Menetapkan matlamat yang realistik.
Berat badan anda tidak akan turun semalaman. Jadi tetapkan matlamat yang realistik dan mampu dicapai. Misalnya, berat badan anda 64kg. Berat badan yang bersesuaian pula ialah 56 kg. Jika matlamat anda untuk mencapai 56 kg, bermakna anda perlu menghilangkan sebanyak 8 kg. Hmm... agak sukar dan anda tidak pasti bila boleh mencapainya. Oleh itu adalah lebih realistik untuk menurunkan berat kepada 60 kg dalam jangka masa 2 bulan. Sekiranya anda berjaya, tentunya ia membuatkan anda lebih bersemangat untuk mengurangkan berat yang berlebihan.

7 Cari rakan yang boleh memberikan sokongan
Kajian terbaru menunjukkan dengan adanya sokongan rakan dan keluarga, peluang anda untuk berjaya adalah lebih besar.

8 Jangan endahkan apa orang kata
Sebenarnya, mereka yang mempersendakan anda iri hati dengan keazaman anda meneruskan resolusi diet tahun baru. Oleh kerana mereka tidak berupaya untuk turut serta, mereka memperkecilkan usaha anda. Maklumlah, jika anda telah berjaya langsing, mereka akan terasa ketinggalan.

9 Anda perlukan masa untuk diri anda
Wanita masa kini memegang banyak peranan. Sebagai wanita muda yang bekerjaya, kita juga berperanan sebagai anak, isteri dan ibu. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan tugas sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Masanya telah tiba untuk meletakkan diri anda sebagai priority utama. Peruntukkan masa untuk bersenam dan beriadah. Jadikan kesihatan sebagai salah satu objektif penting. Jika anda tidak mengambil berat tentang diri anda, anda tidak akan dapat mengambil berat tentang orang lain.

10 Raikan kejayaan anda
Jangan teragak-agak untuk meraikan kejayaan anda mencapai matlamat jangka pendek. Biarpun anda baru berjaya menurunkan 2kg dalam masa sebulan, tiada salahnya untuk anda raikan kejayaan anda. Mungkin hadiahkan diri anda dengan haruman baru, atau baju yang telah lama anda inginkan atau memanjakan diri anda di pusat kecantikan untuk rawatan wajah.

Jadi sekarang bagaimana? Saya harap anda dapat menghasilkan sesuatu yang positif untuk diri anda sepanjang tahun baru ini.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Isnin, 2 September 2013

Kembali Kurus Selepas Raya

Bersama : Pn Norhaslina Othman
Pakar Pemakanan Kanan,
Pusat Perubatan Pantai.
Kelolaan : Laila Halilah Nasir

Ungkapan yang biasa kita dengar, "puasa sebulan, raya pun sebulan". Lazimnya hakikat itu ternyata ada benarnya. Di negara kita khasnya pada hari ke-30 Syawal pun masih ada lagi yang menganjurkan majlis rumah terbuka. Bahkan setiap hujung minggu pasti ada undangan jamuan raya, kadang-kadang lebih dari satu undangan dipenuhi. Segan untuk menolak, maka jadual yang rapi disusun agar semua undangan dipenuhi. Habis sahaja Syawal, mulalah ada yang mengeluh, baju raya dipakai kini tidak muat lagi!
     Secara puratanya kebanyakan individu akan mengalami penurunan berat badan semasa bulan puasa, biasanya antara 2 kg hingga 5 kg. Namun kajian mendapati 80 peratus akan kembali pada berat badan asal pada bulan Syawal. Ramai antara kita mungkin tahu apa sebabnya. Dengan hidangan ketupat, rendang, lemang, nasi dagang, sate, nasi impit ditambah lagi dengan almond london, chocolate cookies, tart nenas, biskut cornflakes dan bermacam lagi, bukanlah rahsia punca berat badan kita naik selepas bulan puasa.

6 Soalan untuk Dijawab!

Kenaikan berat badan yang begini merungsingkan ramai wanita. Bukan sahaja baju raya yang digayakan dulu sudah tidak selesa dipakai, pakaian ke pejabat pun ada yang tidak muat. Lalua ramai yang berusaha untuk kembali kurus. Persoalannya bagaimana?
     Sebenarnya, petua yang diamalkan sejak sekian lama iaitu dengan menjaga pemakanan di samping melakukan aktiviti fizikal adalah satu-satunya jalan untuk mencapai berat badan yang ideal. Malangnya, masyarakat kita lebih gemar dan terpengaruh dengan cara yang mudah dan pantas. Sebab itulah terdapat banyak ubat pelangsing badan, krim mengempiskan perut serta salun yang menawarkan pakej melangsingkan badan. Walaupun kita lihat ia nampak berkesan tetapi cuba tanyakan pada mereka yang pernah mengikuti dan mengamalkan cara ini. Rata-rata akan menjawab tiada kesan yang drastik.
      Bagi wanita bekerjaya yang inginkan tubuh kembali langsing, perhatikan semula cara pemakanan anda. Tanyakan soalan-soalan ini untuk menilai tabiat pemakanan anda.
* Adakah anda makan mengikut waktu yang tetap atau sebaliknya?
* Adakah anda mengamalkan cara pemakanan yang seimbang atau hanya makan apa yang ada sahaja?
* Selalukah anda menghadiri majlis atau 'function' atau keluar makan bersama pelanggan?
* Apakah pilihan makanan yang menjadi kegemaran anda?
* Berapa kerap anda makan buah-buahan?
* Bilakah kali terakhir anda bersenam?
     Soalan-soalan ini sebenarnya boleh memberi gambaran kasar tentang corak pemakanan anda. Mungkin benar anda terlupa diri apabila makan ketika musim perayaan. Dengan kemeriahan rakan dan sahabat-taulan melayan anda serta hidangan yang istimewa tentunya tanpa sedar anda sudah makan tiga kali ganda dari yang sepatutnya. Sekarang, lupakan soal itu. Ia telah terjadi. Apa yang penting, anda perlu tetapkan azam baru. Adakah anda ingin menurunkan berat badan atau sekadar ingin mengekalkan berat badan sedia ada.

6 Tip Turunkan Berat Badan

1. Tentukan matlamat anda
Matlamat haruslah realistik dan mudah dicapai. Contohnya untuk mengurangkan 3 kg berat dalam masa 2 bulan. Oleh kerana ia mudah dicapai, anda akan menjadi lebih bersemangat dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh.

2. Jangan abaikan sarapan pagi
Ramai antara kita yang tidak mengambil berat tentang sarapan pagi. Sebenarnya sarapan merupakan hidangan harian yang paling penting. Setelah tubuh berehat sepanjang malam, ia memerlukan tenaga untuk memulakan hari baru. Mereka yang tidak bersarapan akan berasa sangat lapar apabila tiba waktu untuk makan tangahari, ia membuatkan mereka cenderung untuk mengambil makanan dengan jumlah yang banyak.

3. Makan mengikut jadual
Jangan amalkan tabiat 'skipping meals'. Ini akan membuatkan anda lapar pada waktu makan berikutnya dan makan lebih banyak.

4. Diari makanan
Cuba catatkan apa yang anda makan setiap hari. Nyatakan jenis makanan, jumlah yang dimakan serta waktu makan. Walaupun ia agak cerewet, tetapi kajian menunjukkan cara ini memang membantu anda memantau pengambilan makanan. Jangan terkejut sekiranya anda dapati jumlah makanan yang anda ambil seharian sebenarnya lebih banyak dari apa yang anda jangkakan.

5. Ayuh bersenam
Semua orang tahu pentingnya senaman untuk menjaga kesihatan. Tetapi alasan yang sering kita dengar ialah tiada masa. Untuk mencari setengah jam dari masa anda untuk senaman memang sukar. Mulakan dengan 10 minit senaman setiap hari sama ada berjalan kaki atau membuat senamrobik. Banyak pita senamrobik  yang berada di pasaran. Anda mungkin ingin membeli alat senaman tetapi sekiranya alat itu akan mengumpul debu dan habuk, lupakan sahaja. Jika anda pasti akan menggunakannya maka teruskan. Sebaik-baiknya mesin senaman seperti basikal atau berjalan kaki (Threadmill).

6. Insan cergas
Sekiranya pejabat anda di tingkat 2, tidak perlulah menggunakan lif. Cuba gunakan tangga yang disediakan. Aktiviti menaiki tangga merupakan satu aktiviti fizikal yang baik. Walaupun kesannya tidak nampak pada waktu yang singkat tetapi mampu meningkatkan stamina. Dengan mengamalkan tabiat naik tangga sahaja (dalam 5 tingkat) dan mengawal pemakanan, salah seorang peserta yang pernah mengikuti program penurunan berat badan mampu menurunkan 5kg dalam masa 3 bulan.

Tip Makanan Sihat & Mudah

1. Sarapan pagi
* Sandwich daripada roti mil penuh dengan tuna dan sayur.
* Sayuran (kurangkan atau elakkan daripada mengambil marjerin)
* Bijirin sarapan yang tidak bersalut gula atau madu seperti oat bran dan buah-buahan kering
* Bijirin oat dengan susu rendah lemak
* Mi/Mihun sup/soto

2. Makan tengahari / malam
* Tosai, capati dan dhall
* Roti naan dan ayam tandoori
* Bubur nasi
* Nasi campur dan lauk (kurangkan yang bersantan dan bergoreng

3. Buah-buahan
Amalkan mengambil buah-buahan setiap hari terutamanya di antara waktu makan. Ia lebih berkhasiat dan kurang kandungan kalori berbanding kerepek, keropok, kacang dan coklat.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Khamis, 11 Julai 2013

Memilih Makanan Sihat Pada Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan bagi umat Islam menunaikan ibadah puasa. Ramai di antara kita yang mengganggap bulan inilah masa paling baik untuk mengurangkan berat badan. Dalam erti kata lain, bulan untuk melihat lebih ramai wanita kurus!
Sebenarnya jika mahu kurus tidak semestinya berpuasa. Memang puasa salah satu cara yang secara tidak langsung boleh membantu kita mengurangkan timbunan lemak dalam tubuh badan. Tetapi ingat ia tetap bergantung kepada cara mana kita menjaga pemakanan kita sepanjang bulan berkenaan.
Sepanjang siang hari kita berpuasa maka apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita kerapkali akan membeli atau memasak apa sahaja makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan. Jika ini berlaku ke atas anda, sudah pasti bukan tubuh yang langsing anda miliki sebaliknya, tidak mustahil kalau berat badan anda juga kian bertambah terutamanya bagi anda yang kerap berbuka puasa di hotel.
Adalah penting untuk kita memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa supaya di samping dapat menikmati rasa yang sedap, berkhasiat dan memperolehi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita juga dapat berjimat.

1. Makan secara berperingkat
Pada bulan puasa ini sebaik-baiknya membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut di samping tubuh kita mendapat cukup kalori untuk keperluan seharian. Jika pada hari-hari biasa kita mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, begitu juga di bulan puasa. Cuba amalkan makan secara berperingkat seperti pada waktu berbuka, mulakan dengan minuman, kuih-muih atau buah-buahan. Ini sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada perut kita yang kosong. Kita memberi rehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib. Selepas ini barulah perut kita akan lebih bersedia menerima makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.
2. Makanan seimbang
Di samping kuantitinya, kualiti pemakanan juga perlu dititikberatkan. Ini untuk memastikan tubuh kita kembali menerima tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh terkandung di dalamnya. Amalkan pemakanan seimbang di mana kita perlu memastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air diambil dalam jumlah yang sesuai dan mencukupi.
3. Memodifikasikan Diet
Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannyaadalah mengikut resepi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba memodifikasikan diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.

Tip

1. Kurangkan pengambilan lemak
Cuba kurangkan pengambilan lemak tepu seperti sumber-sumber lemak dari binatang seperti mentega dan keju kerana lemak jenis ini mengandungi paras kolesterol yang tinggi. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan lebih sihat di samping berjimat cermat
2. Tingkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran segar
Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah menyumbangkan serat (fiber) yang sangat baik untuk sistem pencernaan.
3. Lebihkan pengambilan air
Waktu berbuka atau bersahur anda disarankan minum jus buah-buahan (tanpa gula) dan elakkan dari minuman yang manis seperti minuman kordial atau minuman berperisa. Minuman yang berkafein seperti kopi tulen juga tidak digalakkan.
4. Kurangkan pengambilan makanan yang masin terutamanya ketika bersahur
Di samping kita dapat mengelakkan bahaya penyakit seperti serangan darah tinggi, ia juga dapat mengelakkan kita daripada rasa dahaga yang keterlaluan pada siang harinya.
5. Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang manis
Mengurangkan penggunaaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukan.

- Sumber dari NUR -


Isnin, 28 Mei 2012

Keistimewaan Kurma

Daripada Anas r.a., katanya, "Rasulullah s.a.w. berbuka sebelum melakukan solat Maghrib dengan beberapa buah kurma basah, tetapi apabila tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka berbuka dengan kurma biasa, tetapi apabila tidak ada kurma, maka baginda minum beberapa teguk air."

Khasiat yang terkandung di dalam buah kurma termasuk :
1. Kandungan anti oksidan di dalam kurma adalah dua kali ganda berbanding kismis, aprikot kering dan blueberry.
2. Kurma memberi tenaga serta-merta menerusi kandungan gulanya sebanyak 50 hingga 57 peratus glukosa. Orang berpuasa yang berbuka dengan kurma akan berasa segar dan bertenaga dan dapat beramal tanpa rasa letih dan mengantuk.
3. Potasium yang diperlukan oleh tubuh badan untuk sistem saraf terkandung di dalam kurma. Potasium jika diambil berlebihan tidak memudaratkan tubuh badan, sebaliknya sangat baik untuk mengatasi masalah sembelit, lemah otot, letih, stres, sengal-sengal badan dan untuk menguatkan daya ingatan.
4. Sekiranya dimakan tanpa membuang kulitnya, kurma dikatakan dapat melawaskan pembuangan najis dan mencegah daripada masalah barah usus.
5. Kurma juga sesuai untuk dimakan oleh wanita yang kekurangan susu badan kerana kandungan zat besi dan kalsium di dalam kurma dapat menambahkan air susu.
6. Kurma turut membantu dalam tumbesaran kanak-kanak yang berperanan dalam pembentukan darah dan sumsum tulang.
7. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus dan dijadikan serbuk seperti teh. Serbuk ini kemudian direndam dan diminum untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kurma juga digunakan dalam perawatan sufi.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Isnin, 21 Mei 2012

Manfaat Jus Oren

Menikmati segelas air limau atau jus oren yang segar terutamanya jika dihidangkan dalm keadaan dingin ketika cuaca panas terik memang enak dan segar rasanya. Tahukah anda selain sebagai penghilang dahaga, 1 gelas minuman air bersari ini rata-ratanya mengandungi 60mg vitamin C. Selain itu ia juga memiliki banyak manfaat lain yang baik untuk kesihatan tubuh seperti :

1. Menjaga daya tahan dan kekebalan tubuh (system immune)

2. Menghalang penyakit influenza

3. Mempercepatkan sembuhnya luka atau luka akibat pembedahan

4. Memberi sejumlah kolagen pada tubuh, yang akan memelihara kesihatan tulang dan gigi.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Isnin, 14 Mei 2012

Menyingkap Rahsia Di Sebalik Manisnya Madu

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Hendaklah kamu selalu berubat dengan dua penyembuh iaitu madu dan Al-Quran." Penjelasannya: Al-Quran adalah penyembuh utama bagi penyakit yang ada dalam hati manakala madu ialah penyembuh bagi setiap penyakit.

Sejak berkurun lamanya madu merupakan sumber makanan dan tenaga bagi manusia. Madu sangat membantu di dalam pembinaan dan merangsang tubuh badan yang sihat.

Bagaimana Terhasilnya Madu

Lebah merupakan sejenis haiwan yang menakjubkan. Di dalam kelompok lebah terdapat lebah pekerja, lebah jantan dan lebah permaisuri. Lebah pekerja mengutip madu, debunga dan air setiap hari untuk di bawa pulang ke sarang. Madu mentah datangnya daripada manisan bunga-bungaan. Manisan berbentuk cecair dihisap dan kemudian disimpan dalam karungnya (comb) sebelum matang menjadi madu.

Lebah menghasilkan :
Madu - simpanan makanan bagi keperluan kependudukan dalam sarang
Lilin Lebah - untuk membuat sarang lebah
Debunga - Untuk memberi makan anak-anak lebah. Apabila debunga ini kering ia merupakan makanan yang berkhasiat.
Propolis - Bertujuan untuk menyelaputi sarang dan hujan (juga boleh dijadikan sebagai bahan antiseptic)
Racun sengatan - Baik untuk merawat sakit sendi, sengal-sengal dan sakit dalam tulang.

Untuk mendapatkan 100 gram madu, lebah perlu hinggap dan menghisap manisan lebih sejuta pokok bunga. Rutin pencarian makanan akan berulangan di mana manisan akan disimpan di dalam karungan dan debunga melekat di rerambut kakinya. Cairan manisan bunga tadi kemudiannya dipindahkan pula ke lebah yang akan memproses manisan bunga ini hingga menghasilkan titisan madu yang kemudiannya disimpan di dalam bekas madu (di dalam sarang).

Mengenal Madu Asli

Selain menguji dengan peralatan saintifik moden, keaslian madu boleh dikesan dengan membelinya terus daripada pencari atau penjual-penjual madu tanpa orang tengah.

Tanda-tanda seperti bila dititis dari kuku, madu tidak jatuh ke bawah, menyala apabila dibakar, meletup sebab gas yang terkumpul ialah tanda madu itu adalah madu asli.

Cara lain yang lebih mudah ialah dengan menguji beberapa perkara berikut :
1. Kemanisannya - Madu perlu dirasa. Madu yang baik, manisnya menyengat dan perit.
2. Bau - Bila tudung botol dibuka, bau madu asli adalah wangi dan kuat.
3. Madu - Yang dititikkan di dalam air kosong akan jatuh ke dasar gelas tanpa berselerakkan sebab sifat gulanya yang likat dan bercantum.
4. Isi telur ayam - akan mengeras apabila dicampurkan dengan madu yang asli, telur akan menjadi seperti telur yang separuh masak

Madu yang tidak asli kemungkinan dicampur dengan bahan-bahan berikut :
1. Air
2. Manisan kelapa
3. Pisang yang telah dimasamkan
4. Gula tebu
5. Gula batu (untuk memaniskan)

Pada hakikatnya, madu sahaja sudah memadai untuk menyembuh dan memulihkan kebanyakan daripada penyakit yang kita alami hampir setiap hari. Namun terdapat penyakit tertentu yang memerlukan ubat tambahan untuk menambah kemujarabannya seperti akar-akar kayu, daun-daun atau lain-lain ubat tradisional.

Apa yang lebih penting ialah keikhlasan berubat kerana Allah dan mengharapkan kesembuhan daripadaNya sahaja. Sikap harap kepadaNya dan berserah diri kepadaNya di mana Dialah yang menurunkan penyakit dan Dia pulalah yang menghendaki kesembuhan bagi hamba-hambaNya, tetap menjadi syarat utama kesembuhan.

Ali Abu Talib pernah berkata, "Semulia-mulia pakaian anak Adam ialah air liur ulat peliharaannya (sutera), sedang minuman yang lebih mulia ialah keluaran lebahnya (madu)."

Menurut hadis Nabi s.a.w. : "Lima perkara yang membasmi kelupaan, menambah ingatan dan menghilangkan lendir ialah dengan bersugi, berpuasa, membaca al-Quran, madu dan kemenyan."

Nabi juga dikatakan tegas menyarankan kepada para sahabatnya agar diberi minuman madu kepada orang yang sakit di dalam perut.

Khasiat Untuk Tubuh

Terdapat 70 bahan dalam setiap komposisi madu. 75 peratus daripadanya adalah gula ringkas, 20 peratus air dan 5 peratus lebihnya terbentuk daripada pelbagai kuantiti vitamin termasuk kumpulan antibiotik yang membentuk keunikan madu yang bukan sahaja sebagai makanan kepada manusia dan lebah malah sebagai bahan pemulihan dalaman tubuh badan manusia.

Gula yang ada di dalam madu selain membantu badan memberi tenaga, juga memudahkan penghadaman dan membantu badan menyimpan tenaga dalam bentuk glukos untuk digunakan apabila perlu. Bukti di bidang perubatan mendapati madu bukan sahaja baik sebagai makanan yang menyihatkan malah madu juga adalah bahan penting untuk merawat berbagai penyakit antaranya:
* Cirit-birit/barah dalam perut
* Kencing tidak lawas
* Sakit gigi/sakit mata/sakit kepala
* Luka/kudis/kulit kering/gatal-gatal
* Masalah penghadaman tidak sempurna/kegemukan
* Ibu bersalin/berpantang/sakit pinggang
* Pelupa/sakit mata/sakit kepala
* Kurang tenaga/cergas/sesak nafas/keletihan/susah tidur/lelah/asma
* Menambah nafsu syahwat
* Dan banyak lagi

- Sumber dari NUR Pengenalan -