Rabu, 17 Julai 2013

Jimak di Bulan Puasa Makanan Uji Prestasi

"Isteri itu seumpama ladang untuk bercucuk tanam. Si suami boleh mendatanginya pada bila-bila masa yang diingininya. Namun begitu terdapat juga larangan untuk melakukan hubungan seksual dengan isteri seperti di siang hari bulan Ramadan, ketika dalam ihram, di dalam rumah ibadah(masjid), ketika haid, nifas dan di tempat terbuka.."
Ada di kalangan kita tertanya-tanya sejauh mana hubungan intim suami isteri dibenarkan sepanjang bulan puasa. Ada memberi alasan bimbang mendapat kurang pahala berpuasa dan ada juga kepenatan. Hakikatnya hubungan seumpamanya tidak menimbulkan sebarang masalah. Cuma perlu tahu apa yang dibenarkan sahaja.
Kita perlu tahu membezakan antara yang wajib dan sunah agar kita dapat melakukannya dengan lebih tenang dan ikhlas. Wajar seorang isteri melayani suaminya di bulan puasa malah wajib kerana ia juga ibadah. Syak-wasangka apabila pasangan enggan mengadakan hubungan intim (jimak) seharusnya tidak berlaku. Sebaik-baiknya dan adalah sunah hubungan dilakukan sesudah berbuka puasa malah pasangan akan mendapat pahala yang besar.
Muhasabah Diri
Menurut Dr Diwana  dari Bahagian Obstetri dan Ginekologi, ramai pesakitnya mengadu gagal menikmati hubungan ini dengan baik. Antara faktor utama ialah sepanjang bulan puasa, libido akan menurun kerana perubahan hormon. Akibatnya ghairah berjimak menurun. Bagi menjalankan ibadah puasa dan hubungan suami isteri lebih bermakna setiap pasangan perlu muhasabah atau melihat kekurangan dan kekuatan diri sendiri.
Makanan Berkalori
Antara yang perlu diperhatikan ialah kaedah pengambilan makanan yang mengandungi kalori, protein dan mineral tinggi seperti ayam, daging, kerang, udang, kekacang, tauhu dan sebagainya. Mengambil makanan manis semasa berbuka juga sangat disyorkan kerana gula dapat membekalkan kalori yang diperlukan seperti kurma, kismis atau buah-buahan segar. Pengambilan makanan seumpamanya mampu memulihkan tenaga.
Makanan Pedas
Memakan ikan atau makanan yang mengandungi rempah-ratus seperti lada putih dan lada hitam mampu menambah ghairah berjimak. Apa yang penting di sini ialah makan makanan yang bergizi dan cukup agar tubuh segar bertenaga sepanjang hari. Tidur juga harus cukup iaitu lebih kurang tujuh jam sehari dan jangan lupa mengambil vitamin tambahan. Bagi yang biasa bersukan, lakukan aktiviti ringan seperti berjalan kaki di petang hari.
Membeli Makanan atau Berbuka Di Luar
Memandangkan aktiviti berjimak dilakukan pada sebelah malamnya maka lebih baik bebanan kerja dikurangkan sedikit agar waktu bermesra dapat dinikmati bersama. Apa salahnya jika sekali-sekala membeli makanan atau berbuka diluar sahaja.
Mandi Selepas Berjimak
Sepanjang berpuasa pada siang hari, anda digalakkan memakai pakaian yang sopan agar dapat mengurangkan ghairah suami. Bagaimanapun, setelah menunaikan sembahyang Tarawih dan bersiap-sedia untuk masuk tidur, tidak salah jika anda melakukan sesuatu yang dapat menaikkan semangat suami selain membantu merangsang hormonnya seperti memakai wangi-wangian atau mengenakan baju tidur bersih, halus dan menghairahkan. Sebaik-baiknya juga, sebelum dan selepas berjimak, bersihkan diri anda agar sentiasa berada dalam keadaan suci dan menyenangkan. Jangan malas mandi selepas selesai berjimak. Bagaimanapun ini tidak bermakna anda perlu mandi seumpama mandian biasa, cukup sekadar membasahi diri dari hujung rambut ke hujung kaki. Tidak perlu bersabun atau syampu kerana ini akan mengambil masa yang lama. Setelah bangun pagi untuk bersembahyang Subuh, barulah mandi junub sebagaimana yang diperintahkan agama bagi mensucikan kembali diri.

- Sumber dari NUR November 2002 -