Memaparkan catatan dengan label Tip Deko. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tip Deko. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Ogos 2013

Rancang pejabat mini di kediaman?

Sebahagian daripada kita diberi kelonggaran oleh majikan untuk melakukan kerja dari rumah atau ada juga yang suka membawa pulang kerja pejabat ke rumah untuk disiapkan. Apa sahaja alasannya, bagi anda yang masih kurang pasti di ruang mana ianya sesuai diwujudkan, kaji satu persatu ruang yang ada. Keselesaan dan praktikaliti ruang pilihan perlu diambil perhatian.

1. Bilik tidur tambahan
Bilik tidur adalah ruang paling mudah untuk diubah suai menjadi sebuah pejabat mini. kelebihannya ialah ia terletak berasingan daripada ruang-ruang aktiviti keluarga lain. Ruang yang mencukupi memberi kepuasan maksima kepada anda untuk menyusun atur kelengkapan pejabat yang diingini. Kehadiran kabinet pakaian binaan dalam yang sedia ada meminimumkan penggunaan ruang. Namun tidak semua orang memiliki bilik tidur tambahan yang tidak digunakan seperti ini.

2. Bilik tidur utama
Pilihan ruang yang lebih 'privacy' dan tenang. Tetapi ia bukanlah satu pilihan yang terbaik. Penggunaan cahaya lampu meja sekalipun akan mengganggu pasangan anda yang sedang nyenyak tidur, jauh sekali jika anda terfikir menggunakan lilin! Gunakan lampu meja yang boleh dikawal kecerahannya agar aktiviti kerja tidak terganggu.

3. Loteng
Tidak banyak kediaman mempunyai loteng, kecuali jika pemilik melakukan pengubaisuaian terhadap kediaman dengan menambah satu ruang kecil di tingkat teratas. Bagaimanapun ini hanya dapat dilakukan jika kediaman mempunyai ketinggian yang mencukupi. Kos mewujudkan loteng juga agak mahal kerana memerlukan satu sistem pengudaraan yang baik agar ruang tidak terlalu panas atau sejuk.

4. Ruang makan
Mewujudkan ruang pejabat mini di sini perlukan perhitungan yang panjang. Mungkin sebahagian kita tidak akan berasa terganggu apabila ruang makan terpaksa berkongsi dengan pejabat mini. Namun mampukah anda sendiri bekerja dan memberi perhatian penuh pada kertas kerja dalam ruang yang riuh dengan bunyi garpu, sudu, pinggan dan gelas? Suasana sekeliling tidak sesuai lebih-lebih lagi jika anda mempunyai keluarga besar.

5. Ruang keluarga
Ruang ini biasanya digunakan sebagai tempat seisi keluarga berehat sambil menonton televisyen atau melakukan aktiviti sampingan dalam rumah. Jika masih ada ruang untuk meletak kabinet fail dan meja bekerja, tiada salahnya anda memilih ruang ini. Cuma anda perlu bersabar kerana mungkin sedikit gangguan sampingan terpaksa ditempuhi seperti suasana bising dengan gelak-ketawa atau perbualan ahli keluarga lain.

6. Dapur
Untuk apartmen mungkin ruang ini tidak sesuai langsung kerana kebanyakannya mempunyai ruang yang agak terhad. Keadaan trafik yang cukup sibuk dengan bau makanan yang sedang dimasak jelas menggangu konsentrasi anda. Kurang praktikal tetapi mungkin boleh dilakukan bagi mereka yang masih bujang dan jarang menggunakan dapur. Cari sudut yang agak jauh daripada dapur dan agak terpencil.

- Sumber dari NUR November 2002 -






Isnin, 9 Julai 2012

Membaiki Paip Air Sinki Rosak

Oleh : Emma Masri

1) Hentikan sementara bekalan air ke kediaman anda dengan menutup kepala injap pada bahagian yang biasanya terletak di laman belakang.

2) Buka kepala paip bagi membenarkan sebahagian air yang ada keluar. Sebelum itu pastikan anda menyumbat lubang saluran dalam sinki bagi memastikan peralatan yang hilang atau masuk ke saluran sinki sewaktu kerja membaiki nanti.

3) Longgarkan skru yang terletak pada kepala paip untuk menanggalkannya daripada sinki. Ada sebahagian skru ditutupi dengan butang dan anda perlu membukanya dengan pemutar skru. Pastikan anda mengalas butang tersebut dengan sehelai kain bagi mengelakkannya bercalar.

4) Dengan menggunakan pemutar skru yang boleh diubahsuai, longgarkan skru-skru kecil dan alihkan tangkai paip di bawahnya. Anda akan nampak getah pembersih yang diskrukan. Alihkan skru tersebut dan getah pembersih kemudian gantikan dengan getah baru bersaiz sama.

5) Lincirkan getah dengan sedikit gris atau minyak yang biasa digunakan oleh pembaik paip air dan letakkan kembali ke tempat asalnya kemudian diketatkan dengan skru.

6) Pasangkan setiap peralatan yang dibuka tadi mengikut aturannya iaitu pasangkan tangkai, skru-skru kecil atau nat dan kepala paip. Setelah selesai, sambungkan kembali bekalan air anda.

- Sumber dari NUR Pengenalan -





Rabu, 4 Julai 2012

Panduan Penjagaan Lantai Kayu Agar Tahan Lama

1) Lantai kayu mudah longgar jika kerap terdedah kepada air. Lebih banyak masalah akan timbul seperti reput dan berkulat. Lap segera sebarang larutan atau cecair yang tertumpah di atasnya dengan kain kering telap air. Mula dari tepi cecair yang tumpah dan dengan cara putaran lap keseluruhan tumpahan.

2) Bersihkan lantai daripada habuk kotoran dan debu kerana ia mudah melekat di celah-celah ira kayu seterusnya menjadikan lantai kelihatan kusam.

3) Letak pengalas kaki perabot daripada getah. Ia melindungi lantai dari mudah tercalar atau tergores kesan daripada peralihan kedudukan perabot. Pastikan anda mengangkat perabot bukan diseret.

4) Pastikan bahagian bawah karpet tidak lembab dan jangan lupa untuk menyapu bahagian bawahnya bagi membuang habuk yang terperangkap.

5) Pancaran cahaya matahari yang kuat dan berterusan akan memudarkan warna lantai kayu. Gunakan langsir atau bidai bagi mengurangkan kadar kemasukan cahaya.

6) Pastikan tapak kasut tidak dilekati sebarang benda kecil dan tajam seperti pasir, batu atau paku payung untuk mengelakkan lantai tercalar. Berhati-hati ketika menggunakan kasut tumit tinggi kerana ia juga mampu merosakkan permukaan lantai.

- Sumber dari NUR Pengenalan -