Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

Rabu, 27 November 2013

Usah Bertengkar Soal Duit

23 Muharran 1435

Meneliti perbelanjaan harian seringkali memeningkan kepala. Jadual perbelanjaan telah tersedia, buku catitan juga telah dibuat dan anda telah mengikut landasan berbelanja mengikut pendapatan. Tetapi hairan, anda masih juga dibelenggu dengan masalah kewangan yang semakin meruncing. Puas mencari penyelesaian akhirnya anda menemui jalan buntu, Lebih buruk lagi pertengkaran antara suami atau isteri terjadi. Lantas bagaimana?
     Jika keadaan kewangan anda berada di tahap yang kritikal, cuba semak jadual perbelanjaan yang anda praktikkan selama ini. Anda mungkin lupa corak perbelanjaan harian akan berubah dengan pantas dari semasa ke semasa. Penambahan ahli keluarga, kenaikan harga barangan, peningkatan tahap ekonomi, perubahan polisi pemerintah dan perbelanjaan yang tidak dikawal sebenarnya menyumbang kepada masalah kewangan yang anda alami ini.
     Oleh itu cuba anda perhati dan cuba ingatkan semula, bila jadual perbelanjaan anda itu dibuat. Mungkin tahun lalu atau mungkin juga enam bulan yang lalu. Sekarang sudah masuk tahun baru dan banyak barangan yang sering anda beli sudah tidak sama harganya. Mungkin juga ada pertambahan dalam jumlah ahli keluarga anda.
     Jadual perbelanjaan anda seharusnya diubah mengikut kadar waktu tertentu dan dari semasa ke semasa dan apabila berlaku sebarang perubahan dalam keluarga anda, jadual perbelanjaan anda juga perlu diselaraskan. Jika anda masih keliru dengan perkara-perkara yang boleh mendorong kepada perubahan jadual perbelanjaan ini, cuba semak perkara berikut:
1 Pertumbuhan ekonomi negara
Peningkatan ekonomi negara turut melibatkan peningkatan ekonomi anda dan keluarga. Taraf hidup semakin tinggi dan perbelanjaan keluarga anda juga akan meningkat. Ini perlu disedari sejak awal. Langkah berjimat cermat perlu diambil segera. Jangan merungut jika anda terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang sama.
2 Kenaikan harga barangan
Ini merupakan elemen penting untuk diberi perhatian. Jika ia melibatkan barang utama, anda mesti mengurangkan penggunaan wang kepada barang-barang sampingan. Jika barangan sampingan itu dirasakan tidak perlu, keluarkan terus dari senarai barangan harian anda.
3 Pertambahan bilangan ahli keluarga
Kelahiran anak baru juga akan mengubah corak perbelanjaan. Penggunaan susu tepung setiap bulan akan melibatkan perbelanjaan yang besar. Begitu juga dengan kos perubatan. Namun jika anda telah membuat pengurangan pada keperluan yang kurang perlu dan persediaan sebelum kelahiran, ini tidak menjadi masalah. Atau jika mahu lebih jimat dan menyenangkan beri sahaja anak anda susu badan.
4 Perbelanjaan persekolahan
Jika anda mempunyai anak yang sedang bersekolah dan juga akan bersekolah, ini akan mengubah jadual perbelanjaan harian dan bulanan anda. Perbezaan ketara akan berlaku kerana anda kini mempunyai tanggungjawab menyediakan perbelanjaan yuran, buku, peralatan sekolah, tambang bas dan duit saku setiap hari ke sekolah.
5 Mendirikan rumahtangga
Perubahan jadual perbelanjaan akan lebih ketara jika anda baru mendirikan rumahtangga. Penggunaan wang ketika masih hidup sendiri mempunyai jurang yang besar apabila anda telah berkeluarga. Anda perlu memasukkan banyak perkara dalam jadual baru ini dengan merujuk jadual yang ada sekarang.
6 Peningkatan kos keperluan asas
Dulu mungkin anda menyewa rumah yang sederhana dan sewanya juga tidak mahal. Begitu juga dengan kenderaan. Mungkin anda sudah bertukar kenderaan yang lebih baik dan terpaksa membayar lebih. Begitu juga dengan lain-lain bil yang terpaksa anda bayar. Tentunya ia membabitkan jumlah kewangan yang besar juga. Di sini anda perlu bijak mengagih-agihkan wang anda agar tidak berlaku sebarang kesulitan.

Selasa, 8 Oktober 2013

Lebih Jimat Lebih Selamat

Sememangnya menguruskan belanjawan bulanan agak sukar tetapi mahu atau tidak, kita perlu menghadapinya setiap hari. Jadi langkah terbaik ialah berjimat cermat dan bijak menyimpan. Empat perkara berikut perlu diambil kira:
1. Mempunyai wang yang cukup untuk membayar bil-bil yang mesti setiap bulan seperti bil elektrik, air, telefon, gas, sewa rumah, duit kereta dan sebagainya.
2. Mempunyai wang simpanan tambahan yang boleh diperolehi dengan segera di waktu kecemasan.
3. Mempunyai wang yang dilaburkan yang memberikan pulangan yang berpatutan.
4. Fikirkan mengenai masa depan dan buat persediaan yang praktis untuk diri sendiri dan tanggungan.

4 akaun untuk atur perbelanjaan
Seringkali pembaziran berlaku akibat faedah, caj bank, caj kad kredit dan sebagainya. Oleh itu adalah perlu meluangkan masa untuk menyemak jumlah simpanan dan perbelanjaan anda bagi mengelakkan pembaziran.
     Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan menggunakan akaun yang sesuai. Bank dan organisasi kewangan selalunya menawarkan rangkaian akaun yang luas dan boleh membantu anda menguruskan kewangan harian.
1. Ada yang mengenakan faedah dan membenarkan anda mengeluarkan simpanan dan ada sebaliknya pula.
2. Terdapat juga organisasi yang mengenakan caj tertentu jika anda menyimpan sejumlah simpanan yang telah ditetapkan.
     Terdapat empat jenis akaun yang sering digunakan untuk tujuan mengatur kewangan iaitu :
i.   Akaun Semasa
ii.  Akaun Simpanan Tetap
iii. Akaun Kad Kredit
iv. Akaun Simpanan Biasa
    Bagi tujuan perbelanjaan rumahtangga, rangkaian Akaun Simpanan dan Semasa mampu menawarkan kombinasi yang boleh memenuhi kehendak anda.
1. Akaun bank semasa dengan buku cek
2. Arahan mendebitkan terus akaun untuk pembayaran bil biasa.
3. Akaun Simpanan dengan kadar faedah yang berpatutan, untuk tabung kecemasan, simpanan dan wang yang tidak diperlukan segera.
4. Sebarang caj tidak dikenakan selagi anda masih menyimpan dalam akaun ini.
5. Tidak perlu bimbang tentang pemindahan wang dari satu akaun ke akaun yang lain kerana semua wang anda tetap disimpan dalam akaun simpanan dan faedahnya akan dipindahkan terus ke akaun semasa.
6. Kemudahan untuk mengeluarkan wang menerusi kad kredit, overdraf atau pinjaman peribadi jika akan memerlukannya.

Selagi boleh berjimat

Membeli-belah
1. Jangan beli makanan ringan atau makanan segera yang kurang diperlukan. Ia selalunya lebih mahal dan kurang berkhasiat berbanding makanan asas.
2. Pilih daging potong atau cincang kerana anda boleh menyediakan pelbagai hidangan berbanding daging ketul.
3. Jadikan aktiviti berkebun sebagai satu hobi. Selain mendapat sayuran segar ia boleh menjimatkan belanja dan menyihatkan badan.
4. Apabila membeli-belah ikut senarai barangan yang telah anda tuliskan. Jangan sekali-kali menambah barangan hanya kerana anda tertarik dengan potongan harga atau ada wang lebih.
5. Buat senarai barangan dalam tempoh seminggu. Sesekali kunjungi pasaraya untuk melihat senarai harga. Mungkin terdapat barangan murah yang boleh disimpan lama.
Jimat Tenaga
1. Jangan simpan makanan panas dalam peti sejuk. Ia akan merosakkan peti sejuk dan mengambil masa yang lama untuk menyejukkan makanan lain. Apabila rosak anda terpaksa mengeluarkan kos untuk membaikinya.
2. Apabila merebus tutuplah periuk untuk menjimatkan masa memasak dan mengurangkan penggunaan gas dan elektrik.
3. Bersihkan dapur dan oven selalu. Ini bukan sahaja melicinkan fungsinya, malah makanan akan cepat masak. Jadi tidaklah terus membazir gas.
4. Apabila membasuh, jangan gunakan terlalu banyak serbuk pencuci kerana ia pasti menggunakan banyak air untuk membilasnya.
5. Jangan biarkan air mendidih terlalu lama. Air terbuang, juga membazir gas.
6. Jangan gunakan lampu mentol kerana lampu ini memberi tiga kali kuasa, 10 kali lebih kuasa daripada lampu kalimatang.
7. Jangan gosok baju setiap hari. Cuba kumpulkan lima atau enam helai atau pakaian untuk seminggu baru menggosoknya. Ia menjimatkan elektrik.
Kenderaan
1. Gunakan tayar kereta untuk tempoh dua tahun sahaja. atau untuk 30,000 batu. Ia boleh menjimatkan penggunaan petrol.
2. Periksa brek selalu. Jika anda tidak tidak mengambil berat mengenainya, ia boleh mengakibatkan kerosakan di bahagian lain. Akibatnya, anda mungkin terpaksa mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk kos membaiki.
3. Guna petrol paling murah tetapi pastikan sesuai dengan kenderaan anda.
4. Teliti harga sebaiknya apabila membeli aksesori kereta. Jangan hanya membeli sahaja tanpa membuat 'survey'.
Kewangan
1. Jika membeli rumah pada masa kadar bunga tinggi, ambil kira adakah ia dapat dicagarkan semula pada kadar cagaran yang berpatutan.
2. Jika anda membeli insuran, periksa dengan betul polisi yang ditawarkan.
3. Periksa muka surat kewangan di akhbar untuk memperolehi maklumat mengenai kad kredit yang menawarkan kadar bunga paling rendah. Jika tidak terlalu memerlukan, elakkan daripada menggunakannya.
4. Hubungi bank tempatan untuk melihat kadar bunga yang paling sesuai dengan simpanan anda.
Sihat & Cantik
1. Tidak perlu membazir wang mengunjungi salun kecantikan kerana anda boleh membuat perawatan sendiri. Anda juga boleh mendapatkan krim atau rempah-rempah perawatan dengan harga yang lebih rendah.
2. Untuk mendapatkan stamina, anda tidak perlu membeli mesin senaman atau mengunjungi gimnasium. Mendaki dan menuruni tangga rumah atau luangkan sedikit waktu berjogging bersama keluarga atau rakan-rakan.
3. Beli vitamin dan ubat-ubat yang diperlukan oleh keluarga di gudang ubat yang menawarkan harga yang rendah. Tetapi berhati-hati. Pastikan setiap ubat yang dibeli terjamin. Nanti kalau dapat sakit lain, lebih rugi lagi kerana perlu keluarkan kos yang lebih tinggi.
4. Beli syampu, perapi dan losen dengan saiz yang lebih besar. Ia lebih murah dalam kuantiti yang besar.
Kebiasaan
1. Punya sahabat dan keluarga di luar negara? Kurangkan kegemaran membuat panggilan jauh. Daripada membayar berpuluh-puluh ringgit, lebih baik kirimkan sekeping poskad atau email kepada rakan anda itu.
2. Baiki kerosakan kecil di rumah dengan segera. Jangan biarkan kerosakan menjadi teruk sehingga terpaksa memerlukan jumlah wang yang lebih besar.
3. Beli pakaian yang boleh digunakan sepanjang masa. Bukan ikut musim kemudian simpan dalam almari.
4. Kurangkan minat yang merugikan seperti menjadi anggota kelab kesihatan atau sebagainya, apalagi jika anda cuma datang setahun sekali.
5. Beli buku-buku terpakai kerana anda boleh mengurangkan 50 peratus daripada harga asal.

Anda Adalah Bos!

1. Membuat anggaran belanjawan
Setiap hari kita akan berhadapan dengan mana-mana bentuk jual beli yang melibatkan wang. Tidak kira di mana dan apa juga pekerjaan yang dilakukan, bentuk transaksi ini pasti akan berlaku. Jadi, bagi memastikan perbelanjaan anda terkawal, adalah lebih baik jika anda membuat anggaran perbelanjaan terlebih dahulu agar anda tidak 'over expense' daripada apa yang telah anda rancangkan. Sebagai contoh, jika anda ingin mengawal perbelanjaan belanja makan di luar. Kurangkan membeli pakaian yang tidak diperlukan, bersikap ekonomi ketika membeli barangan harian, belanja dapur dan sebagainya.
2. Membuat catatan
Perbelanjaan akan berjalan lancar jika catatan dibuat pada setiap pengeluaran yang anda lakukan. Ia akan memberi gambaran yang jelas ke mana wang telah anda habiskan. Dari sekecil-kecil perkara seperti bayaran api dan air, membaiki kereta yang rosak, perbelanjaan anak ke sekolah dan sebagainya hendaklah dicatat dengan teliti bagi memastikan anda sentiasa berhati-hati.
3. Pengeluaran wang tunai
Berhati-hati dengan wang tunai yang terdapat di dalam dompet anda. Wang tersebut akan mengalir seperti air walau berapa jumlah yang ada di dalam dompet anda.
4. Imbangan yang stabil
Di dalam mengawal perbelanjaan, adalah perlu untuk mencatat kepada segala aset yang anda miliki agar hutang anda tidak melebihi aset yang ada. Jika hutang melebihi aset, ia memberi petanda buruk kepada kewangan anda. Sentiasa kemaskinikan catatan agar anda berusaha untuk menambahkan hutang yang ditanggung.
5. Kesan hutang
Anda boleh jatuh bankrap bergantung bagaimana pengurusan kewangan dikendalikan. Anda harus mengambil kira adakah kewangan anda mampu membayar hutang pada masa yang ditetapkan dan adakah pengeluaran mengikut bajet. Jika tersilap langkah, tidak mustahil perkara yang tidak diingini berlaku ke atas anda. Berhati-hatilah!




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Khamis, 6 Jun 2013

Mengapa kita gagal merancang kewangan?

Bersama : Pn Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir (Hijrah Strategic Advisory Group Sdn Bhd)

Mengapa ramai di antara kita yang tidak mengecapi kejayaan di dalam mengurus kewangan? Kita selalu mengeluh bila berbicara soal duit - sentiasa tidak cukup dan bagaimana hendak jadi kaya. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kita gagal dalam merancang kewangan kita.

1. Tiada Ilmu Pengetahuan
Tiada ilmu pengetahuan atau dengan lebih tepat lagi tiada daya untuk mencari ilmu. Ramai di antara kita (terutamanya wanita) yang malas untuk membaca terutamanya tentang kewangan. Maka kita seharusnya menimba seberapa banyak ilmu kewangan dan cara terbaik adalah dengan banyak membaca mengenai ilmu tersebut. Cari bahan bacaan yang sesuai dan mudah untuk anda fahami.
2. Gagal Untuk Merancang
Berapa ramai yang menulis goal atau objektif hidup masing-masing? Orang yang menulis objektif mereka adalah orang mempunyai arah tuju, mereka mahukan keputusan (result orientated), bermotivasi dan mereka adalah orang yang berfikir positif. Mereka inilah orang yang berjaya. Tanpa perancangan amatlah mudah untuk kita terumbang ambing mengikut arus. Jika kita menulis objektif kita terutamanya mengenai ke mana arah tuju kewangan kita, ia dapat menolong kita memberi penumpuan ke arah hala tuju  kita dan apa yang sepatutnya kita capai.
3. Gagal Menggunakan Masa Secara Efisien (poor work habits).
Masa sebenarnya adalah seperti duit - di mana kita boleh membelanjakannya atau melaburkannya untuk memperbaiki diri kita. Apabila kita membazirkan masa sebenarnya kita membazirkan diri kita sendiri. Buatlah perancangan apa yang harus kita capai hari ini dan seterusnya.
4. Gagal Melihat Masa Hadapan (lack of foresight).
Seorang yang berjaya akan dapat melihat apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Ada di antara kita yang melihat visi sebagai satu mimpi atau angan-angan. Tanpa angan-angan tidak mungkin kita mengecapi apa yang kita idamkan. Lainlah jika kita mendapat 'durian runtuh' atau 'duit yang jatuh dari langit'. Maka orang biasa seperti saya ini hanya akan mendapat duit dengan bekerja. Orang yang berjaya akan cuba untuk mendapatkan pendapatan yang berganda dengan melaburkan duit mereka di dalam pelaburan seperti amanah saham, akaun pelaburan mudharabah atau melabur terus di pasaran saham.
5. Tidak Berani Melakukan Perubahan.
Ramai di antara kita yang tidak berani untuk melakukan perubahan. Kita harus berani untuk berubah dan mengambil risiko. Berani untuk membuat yang lain dari yang lain. Orang Melayu terutamanya sentiasa dibelenggu dengan perasaan takut dan tidak berani mencuba mengambil risiko terutamanya dalam hal kewangan mereka.
6. Pengurusan Wang Yang Lemah.
Ramai di antara kita terlalu banyak meminjam duit. Dan ramai juga di antara kita yang berbelanja mengikut nafsu. Sikap ini sangat tidak baik dan anda perlu mengawal perbelanjaan dan kawal nafsu. Belanjalah wang hanya untuk membeli barang yang perlu sahaja.
7. Sikap Malas dan Pesimis.
Orang yang berjaya juga adalah seorang yang optimis. Seorang yang pesimis susah hendak berjaya kerana sentiasa ada alasan bila membuat sesuatu.
8. Tidak Mengambil Perlindungan Atau Insurans.
Ramai juga di antara kita terutamanya orang Melayu yang tidak mengambil perlindungan atau insurans untuk mengatasi keadaan yang tidak dijangkakan. Malahan di dalam Al-Quran, Surah Yusuf, ayat 67:"Nabi Ya'qub berkata:"Hai anak-anakku janganlah kamu(bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada daripada (takdir) Allah."
9. Tidak Ada Disiplin
Menabung atau melabur memerlukan disiplin yang tinggi. Janganlah bila kita lihat ada duit sikit dalam akaun pelaburan atau simpanan terus mahu pergi 'shopping' pula, tambahan pada masa sekarang terlalu banyak gedung membeli-belah dan kedai-kedai yang menawarkan jualan murah.
10. Suka Bertangguh.
Sikap suka bertangguh apabila membuat sesuatu menjadikan seseorang itu sukar untuk menabung. Orang mula akan berkata "Aah..banyak masa lagi. Nanti dululah, nak enjoy". Yang berumur 30an akan berkata "Nanti dululah, ni banyak nak pakai duit, anak kecil lagi, nak bayar duit rumah lagi." Dan yang berumur 40an berkata, "Susahlah, tak cukup nanti, ni anak-anak nak masuk universiti. Nak pakai duit." Dan bila menjangkau 50an mereka berkata "Sudah terlambat..sudah tiada masa lagi untuk menabung dan melabur di dalam simpanan dan pelaburan untuk jangka panjang". Masa yang sesuai tidak akan kunjung tiba. Rasulullah SAW di dalam sabdanya:
"Demi masa gunakan lima sebelum lima. Masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati."

Maka hari ini adalah masa yang paling sesuai untuk merubah dan memulakan tabungan atau pelaburan anda. Mulakan sekarang!

- Sumber dari NUR November 2002 -



Rabu, 30 Mei 2012

Panduan Hemat Berbelanja

Oleh : Hajah Rohani Dato' Hj Mohd Shahir
Pengerusi Eksekutif Hijrah Strategic Advisory Group Sdn Bhd

1. Catat segala perbelanjaan
Catat segala perbelanjaan mengikut tempoh tertentu, misalnya, perbelanjaan untuk seminggu,sebulan atau setahun. Dengan cara ini anda boleh tahu ke mana wang anda mengalir dalam tempoh tersebut dan memudahkan anda membuat simpanan.

2. Sediakan Senarai Beli Belah
Senarai beli belah ialah barang-barang yang telah dirancang untuk dibeli dan ditulis di atas kertas, sebagai panduan untuk membeli barang-barang keperluan keluarga. Tujuannya sebagai peringatan apa yang perlu dibeli, bahkan juga untuk memastikan bahawa anda tidak membeli barangan yang tidak perlu.

3. Hadkan Wang Yang Dibawa
Congak terlebih dahulu jumlah wang yang anda perlukan untuk berbelanja untuk mengelakkan anda berbelanja secara berlebihan. Sekiranya terdapat tawaran menarik mengenai sesuatu barangan, cuba buat perbandingan dengan beberapa tempat berlainan sebelum membuat keputusan.

4. Jangan Gunakan Kad Kredit
Kad kredit mendorong anda membuat pembelian secara tidak terancang dan berbelanja berlebihan. Keadaan begini boleh mendorong ke arah berlakunya inflasi.

5. Jangan Terpedaya
Pengeluar barangan mengiklankan produk keluaran mereka dengan pelbagai gaya dan bentuk. Sebagai pengguna, jangan cepat terpengaruh dengan iklan-iklan ini. Buat keputusan dan berbelanjalah dengan bijak.

6. Berhati-hati Dengan Jualan Murah
Jualan murah turut menarik dan mendorong anda berbelanja lebih. Apa yang perlu anda lakukan, berbelanjalah dengan cermat. Beli hanya jika anda memerlukan barangan berkenaan.

7. Selidik sebelum membeli
Selidik harga pasaran sebenar sebelum membuat keputusan membeli. Pastikan barangan yang dibeli adalah barangan asli.

8. Pilih kenderaan awam
Dengan cara ini menghalang anda membeli barang melebihi had, luar dari senarai.

9. Pilih waktu yang sesuai
Pilih waktu lapang yang sesuai, di mana anda mempunyai masa untuk memilih barang-barang yang dikehendaki dan tak perlu tergesa-gesa.

10. Bawa bakul kecil, bukan troli
Jangan bawa bakul yang lebih besar atau troli. Ruang yang kosong akan memberi ruang kepada anda untuk membeli barang secara berlebihan.

11. Beli ikut keperluan dan kemampuan
Jangan sesekali terpengaruh dengan cara jiran atau kawan-kawan anda berbelanja. Anda mestilah tahu kenapa dan untuk apa anda berbelanja.

12. Ketahui hak sebagai pengguna
Anda perlu faham hak anda sebagai pengguna untuk mengelakkan diri anda dari menjadi mangsa kepada peniaga-peniaga yang kurang bertanggungjawab.

Berbelanja dengan berhemat dan berkesan bukan sahaja dapat membantu anda meningkatkan nilai pendapatan malah memberi peluang kepada anda untuk merancang kehidupan yang lebih cemerlang. Berbelanjalah dengan bijak untuk kebaikan bersama.

10 Tabiat Wanita Sebagai Pembeli

1. Wanita lebih terpengaruh dengan pancaindera mereka ketika membeli barangan.
2. Wanita lebih peka pada paras dan penampilan, juga kepada keselesaan dan kemudahan yang disediakan dan ditawarkan.
3. Wanita lebih mudah terpedaya dengan muslihat jualan. Misalnya promosi jualan murah dan 'beli dua percuma satu'.
4. Wanita lebih suka dibimbing untuk membuat sesuatu keputusan belian. Mereka sering rasa tidak puas hati dengan keputusan sendiri.
5. Wanita sering menghadapi kesukaran untuk menolak sebarang tawaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga kepada mereka.
6. Wanita lebih cenderung untuk mengikuti secara dekat pembelian kumpulan-kumpulan sosial di atas taraf mereka.
7. Wanita lebih suka memiliki barangan yang berlainan daripada jiran atau rakan mereka.
8. Wanita lebih suka 'hidup mewah'.
9. Wanita lebih mudah percaya bahawa "harga yang mahal bermakna bermutu tinggi".
10. Wanita lebih baik daripada kaum lelaki dalam membuat perbandingan harga dan mutu antara kedai-kedai.