Memaparkan catatan dengan label Perspektif Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perspektif Islam. Papar semua catatan

Rabu, 4 Disember 2013

Berhias bagi Wanita Muslimah

1 Safar 1435

Fitrah wanita memang sukakan yang cantik dan mahu sentiasa dilihat menarik. Kemajuan teknologi dan industri kosmetik juga telah menyaksikan pelbagai perkara telah dilakukan untuk mengubah dan mencantikkan lagi penampilan seseorang. Namun di dalam Islam, masih ada garis panduan dan halal-haramnya bagi seorang muslimah itu untuk memperhiaskan dirinya.

BERHIAS YANG DIANJURKAN
1. Siwak
Bersiwak merupakan amalan yang sangat bermanfaat terutamanya untuk menjaga kebersihan. Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Andaikata tidak kerana aku memberatkan umatku, tentu aku memerintahkan untuk bersiwak bersama setiap solat".
2. Istinsyaq
Maksudnya memasukkan air ke dalam hidung yang bererti membersihkan hidung.
3. Memotong kuku
Wanita muslimah dianjurkan memotong kuku untuk menjaga kebersihan. Ini kerana tugas wanita seperti memasak dan menjaga anak kecil memerlukan tangan dan kuku mereka sentiasa bersih dan selamat.
4. Mencuci ruas-ruas jari tangan dan kaki
5. Mencabut atau mencukur bulu ketiak
6. Mencukur rambut di bawah perut
7. Mencuci pakaian yang kotor
Ini bagi memastikan pakaian yang dipakai seorang wanita itu sentiasa bersih dan kemas
8. Bersisir atau merapikan rambut.
9. Mengecat rambut uban
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata:
"Ada seseorang yang datang di hadapan Rasulullah s.a.w. yang rambutnya dicat dengan inai. Baginda bersabda, "Alangkah baiknya rambut itu". Kemudian datang orang lain yang mengecat rambutnya dengan inai dan katim (nama pepohonan). Baginda bersabda; "Ini lebih baik dari yang tadi". Kemudian datang orang lain yang mengecat rambutnya dengan shufrah, baginda bersabda, "Ini lebih baik dari keduanya tadi".
10. Bercelak
11. Mencuci bekas darah haid dan nifas dengan air yang dicampurkan dengan minyak wangi
Dalam hal ini terutamanya membasuh kemaluannya, sehingga tidak meninggalkan kesan ataupun bau yang tidak sedap.
12. Mandi dan bersabun

BERHIAS YANG DIPERBOLEHKAN
* Mengenakan sutera dan emas. Dari Abu Musa Al-Asy'ari, dari Rasulullah s.a.w., baginda bersabda; "Dihalalkan emas dan sutera bagi kaum wanita dari umatku dan hal ini diharamkan bagi kaum laki-laki" - (Diriwayatkan At-Tarmidzi dan An-Nasa'i)
* Mutiara dan berbagai jenis batu-batu permata.
* Pewarna untuk memerahkan pipi dan memutihkan wajah. Hal ini dikiaskan dengan riwayat dari Anas r.a. dia berkata, "Nabi s.a.w. melarang laki-laki berhias dengan kunyit."

BERHIAS YANG DIHARAMKAN
1. Menyambung rambut
Hal ini diharamkan sebagaimana yang diriwayatkan dari Asma' binti Abu Bakar r.a. ia berkata; "Wahai Rasulullah, saya mempunyai anak puteri yang akan menjadi pengantin dan ia terkena penyakit campak lalu ia membakar rambutnya. Apakah aku boleh menyambung rambutnya?". Rasulullah s.a.w. bersabda; "Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya (dengan rambut lain) dan meminta untuk disambungkan."
2. Bertatoo
Perbuatan seperti menusuk jarum atau sejenisnya ke belakang tangan, lengan atau di bahagian lain di tubuh dengan diberi dakwat. Perbuatan ini tidak diperbolehkan. Hal ini dilandaskan pada riwayat dari Abdullah bin Umar r.a. dia berkata, Allah melaknat wanita yang bertatoo dan yang meminta agar rambutnya dicabuti, yang merenggangkan giginya untuk keindahan serta wanita yang merubah ciptaan Allah."
3. An-Namishah
Yang bermaksud wanita yang mencabut rambutnya dari wajah. Atau mutanammishah, wanita yang meminta orang lain agar rambutnya dicabuti, ini semua diharamkan.
4. Al-wasyr
Mengikir gigi. Yang dimaksudkan di sini adalah mengikir gigi atau menggeriggi gigi supaya lancip atau biar tipis. Hal ini biasa dilakukan oleh wanita yang sudah dewasa. Hal ini haram atas dasar riwayat dari Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata; "Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. melarang wanita untuk mencabuti rambutnya, mengikir giginya, menyambung rambutnya dan bertatoo, kecuali kerana suatu penyakit." (Diriwayatkan Ahmad)
5. Pembedahan kecantikan yang mengubah ciptaan Allah
Seperti memancungkan hidung, merampingkan pinggang, memotong tulang rahang dan lainnya yang sejenis.

WANGIAN WANITA
Dari Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Wangian orang laki-laki adalah yang tercium baunya dan tidak nampak warnanya. Sedangkan wangi-wangian wanita adalah yang tampak warnanya dan tidak tercium baunya." (At-Tarmidzi dan An-Nasa'i)
     Dari Abu Musa dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Setiap mata adalah penzina dan sesungguhnya apabila wanita itu kemudian dia berlalu di hadapan majlis, maka dia adalah penzina" - (Ditakhrij Ashhabus-sunan).
     Dari hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa perbuatan-perbuatan tersebut boleh menjurus ke dosa besar. Sebab mengenakan wangi-wangian agar baunya boleh dicium oleh kaum laki-laki, sama dengan menampakkan dirinya di hadapan mereka dan membangkitkan berahi mereka. Maka tidak hairan jika wanita semacam ini dianggap sebagai wanita penzina.

GELANG KAKI WANITA
Allah swt berfirman, maksudnya, "Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan" (An-Nur:31). Maksudnya, janganlah kaum wanita memukulkan/menghentakkan kakinya ke tanah apabila berjalan supaya didengar orang bunyi gelang kakinya. Kerana, memperdengarkan suara perhiasan sama dengan menampakkan perhiasan itu sendiri, atau lebih dari itu. Sedangkan yang dinginkan ialah menutupnya.

MENGECAT KUKU
Mengecat kuku terdiri dari dua jenis:
1. Cat kuku yang zat pewarnanya tidak lengket, seperti daun inai atau daun pacar, tidak membatalkan air sembahyang dan mandi sekalipun warnanya masih tetap membekas.
2. Cat kuku yang zat pewarnanya berbobot seperti cairan kimia yang banyak dijual di pasaran dengan bermacam-macam warna jika dipakai sesudah mengambil air sembahyang, sembahyangnya sah. Jika dipakai sebelum mengambil air sembahyang atau mandi, cat itu haruslah dihapuskan terlebih dahulu ketika hendak mengambil air sembahyang atau mandi supaya air dapat mengenai kulit. Biasanya wanita yang mengecat kukunya rajin pula memanjangkannya. Hal ini jelas sekali bertentangan dengan fitrah manusia dan merosakkan kesihatan sebagaimana yang ditekankan dengan fitrah manusia dan merosakkan kesihatan sebagaimana yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Selasa, 5 November 2013

Doa-Doa Pilihan

1 Muharram 1435

Oleh : Zuhriah Mohamad Juol

1 DOA TAHUN BARU
"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini daripada syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu. Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."
     Sempena menyambut tahun baru, jangan lupa untuk membaca doa ini. Sebaik-baiknya selepas waktu asar pada hari terakhir tahun tersebut. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang sangat nyata kepada manusia. Justeru, pada awal-awal tahunlagi, kita memohon agar diberi kekuatan oleh Allah agar tidak mudah terpedaya dengan bisikan dan pujuk rayu syaitan yang sangat halus ini. Semoga dengan membaca doa ini kita terpelihara dari segala kejahatan di sepanjang tahun baru yang akan menjelang.

2 DOA MENGHADAP CERMIN
"Ya Allah, Engkau telah mencipta tubuhku sedemikian indah, maka perindahkanlah pula moral dan akhlakku."
     Ketika melihat wajah di cermin, jangan lupa untuk membaca wajah, begitu jugalah hendaknya akhlak yang kita milik. Secantik wajah dan seindah budi pekertinya

3 DOA BANGUN TIDUR
"Segala pujian adalah tertentu bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya tempat kembali."
     Doa ini dibaca sebaik sahaja kita bangun dari tidur sebagai tanda rasa syukur atas kurniaan Allah yang masih memberikan nafas menghirup udara bagi meneruskan kehidupan ini. Hati akan menjadi tenang apabila menyebut nama Allah sebaik sahaja dari tidur.

4 DOA MASUK TIDUR
"Dengan nama Engkaulah ya Allah aku hidup dan aku mati."
     Doa ini dibaca ketika hendak tidur. Sesungguhnya hidup dan mati hanyalah kerana Allah. Begitulah keazaman yang sepatutnya ditanam di dalam hati ketika hendak tidur. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa mengingati Allah dan mengikut segala perintah-perintah-Nya.

5 DOA MEMULAKAN PERJALANAN
"Segala pujian bagi Allah yang mempermudahkan kenderaan ini untuk kita, pada hal kita tidak ada kekuatan (kesanggupan) untuk menundukkannya (mengendalikan) dan bahawasanya kita pasti kembali kepada Tuhan kita."
     Doa ini hendaklah dibaca ketika kita hendak memulan perjalanan ataupun ketika kita hendak memasuki atau menaiki kenderaan. Sesungguhnya, pergantungan yang kuat kepada Allah adalah perlu, kerana manusia tidak mampu untuk mengagak apa-apa bencana yang akan berlaku. Di sinilah pertolongan dari Allah amat diharapkan, agar kita terselamat jika ada bencana yang akan menimpa.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Khamis, 24 Oktober 2013

Tinjauan : Benarkah Wanita Bekerja jadi pilihan?

19 Zulhijjah 1434

Bermadu memang pahit bagi wanita, tetapi manis bagi lelaki. Demikianlah kata-kata klise yang selalu didengar mengenai poligami. Tetapi bukan semua poligami buruk walaupun memang ada poligami yang memberikan kesan negatif kepada ramai wanita. Bagaimanapun jika ia buruk, sudah tentu Islam tidak mensyariatkannya. Malah lebih daripada itu, pensyariatan poligami juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Beberapa wanita berpengalaman dalam hal ini memberikan pandangan.

Saya Perlukan Teman
Hafiza Ahmad, 32
Pembantu perubatan hospital kerajaan
Memang saya tidak perlu berpoligami. Dengan pendapatan sendiri dan wang pampasan tentera yang diterima selepas allahyarham suami meninggal dunia, saya ada peruntukan yang cukup untuk diri sendiri dan dua anak. Tetapi saya perlukan seorang teman dan bapa kepada anak-anak saya. Saya tahu dia suami orang.
     Saya terima keadaan itu seadanya. Saya tidak mahu wangnya, malah saya tahu dia bukanlah orang yang berduit sangat. Saya faham tanggungannya kerana dia ada lima orang anak dengan isteri pertama. Memang tidak mudah berkahwin dengan suami orang. Perkahwinan kami mendapat keizinan isteri pertama. Dia mendatangani tetapi tidak lama selepas itu, dia 'menyerang' saya melalui telefon. Tetapi saya enggan mengambil remeh hal itu. Yang penting, suami menyayangi saya dan anak-anak.

Terlanjur menyintainya
Afikah Saari, 29
Eksekutif kewangan
Tidak terniat langsung untuk mengahwininya kerana saya tahu statusnya yang sudah berkahwin. Mula-mula kami berkawan tetapi sudah-sudahnya kami jatuh cinta. Saya cuba membunuh perasan itu tetapi gagal. Si dia pula nampak begitu bersedia untuk memikul tanggungjawab dan berkali-kali ajak berkahwin. Semuanya cinta punya pasal! Bersalah terhadap isterinya? Tidak ada perasaan itu dalam hati saya. Saya mncintainya. Isterinya tahu tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan. Saya bersyukur. Kerana itu, saya tidak mahu timbulkan apa-apa masalah dengan isterinya. Asal dia tidak ganggu saya, sudahlah! Suami pulang ikut giliran. Dia bagi duit, saya ambil. Kalau tidak beri, saya juga berduit. Buat sementara ini sebelum kami ada anak sendiri, kewangan bukan masalah besar. Tetapi saya akan rancang sesuatu untuk masa depan saya dan anak-anak.

Sukar mencari lelaki bujang
Hamisah Kasim, 34
Akauntan
Dalam usia menjangkau 30-an, sukar mencari lelaki bujang. Kalau ada pun, kebanyakkannya 'budak bawah umur' yang asyik minta 'ditaja' dan berperangai kebudak-budakan. Saya pernah berkawan dengan beberapa lelaki lebih muda tetapi tidak kekal lama. Tak tahan perangai mereka - ada yang kuat cemburu dan 'angin' semacam, ada yang asyik nak kita layan dia saja, ada pula yang suka pinjam duit. Maaflah kalau begitu! Kemudian saya berkenalan dengan suami saya sekarang. Memang dia suami orang tapi saya selesa berkawan dengannya. Berkawan dengan 'lelaki berpengalaman' buat kita rasa dihormati kerana mereka memahami dan tidak mengongkong. Sudah jodoh barangkali. Mulanya saya pun tak mahu berpoligami tetapi sudah dapat yang baik, rugi pula kalau dilepaskan! Dia boleh berlaku adil, jadi apa salahnya beri peluang.

Masa untuk diri sendiri
Fadzilah Fadzil Arif, 35
Jurutera Perunding
Apa salahnya poligami jika hati berkenan. Suami pulang sekali-sekala tak mengapa kerana saya sendiri selalu sibuk dan tiada masa melayannya. Kadang-kadang kalau dia asyik berkepit dengan saya, terasa rimas juga. Saya senang kalau dia balik makan rumah isteri pertama sebab saya tak perlu masak untuknya. Saya tahu isteri pertama pun suka sebab suami selalu ada depan matanya. Saya tidak kisah dia ke sana sebab saya selalu bertugas luar daerah. Ketika mula-mula kahwin dulu, dia terpaksa buat temu janji untuk jumpa saya. Dia bising katanya, saya seperti tidak memerlukannya. Mak pun marah kerana katanya buat apa saya kahwin, kalau tak peduli suami. Saya ubah cara hidup, kurangkan kesibukan untuk luangkan masa bersama suami. Selepas dapat anak seorang, banyak masa dilebihkan untuk anak berbanding suami. Anak yang lebih penting daripada segala-galanya.

Saya "Isteri Misteri"
Rafiah Hasan, 33
Usahawan
Saya berkahwin dengan suami di selatan Thailand. Kahwin sulit-sulit, jadi tak ramai yang tahu mengenai hal kami berdua kecuali abang yang menjadi wali dan beberapa saudara mara rapat. Sudah 12 tahun kami kahwin, tapi percaya tak, kami tak pernah beraya sama. Hari raya pertama dan kedua, mesti bersama isteri pertama. Hari ketiga, baru curi-curi ke rumah saya. Malah sebenarnya perkahwinan kami belum didaftarkan di sini! Sebabnya suami yang tidak mahu. Dia perpangkat besar dalam perkhidmatan awam, bimbang perkara tersebut akan menjejaskan nama baiknya. Kalau nak mendaftar, katanya tunggulah sehingga dia bersara dua tahun lagi. Maknanya selama 14 tahunlah saya jadi 'isteri misteri'. Menyesal? Nak menyesal pun tak guna lagi sebab perkara ini dah lama berlaku. Tapi mungkin juga sampai sekarang, saya tak kahwin-kahwin juga.

Lebih baik diamkan diri
Fairuz Famee, 41
Ahli perniagaan
Menjadi isteri bukan perkara mudah, apatah lagi jika bukan yang pertama. Kalau kita buat baik, orang kata kita jahat. Kita buat jahat, lagilah orang kata. Memang serba-salah dibuatnya Saya sendiri  ambil pendekatan mendiamkan diri. Masa mula-mula kahwin dengan suami 10 tahun lalu, memang dengar orang kata macam-macam. Tapi kami pekakkan telinga dan buat tak tahu saja. Sudah jodoh kami kami berdua. Lama-lama apabila kami bahagia, orang dengan sendirinya diam. Hubungan saya dengan isteri pertama tiada masalah, cuma kami tidak begitu mesra. Biasalah begitu. Tapi anak isteri pertama macam anak saya juga, begitu jugalah sebaliknya. Anak-anak diajar hormat-menghormati satu sama lain. saya kira dalam hal ini suami yang berperanan penting. Jika suami tahu mengendalikan kedua-dua isteri, masalah tentu dapat diatasi.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Rabu, 23 Oktober 2013

Berpoligami - Semua isteri punya hak yang sama

18 Zulhijjah 1434

Setiap insan dilahirkan berpasangan. Ketentuan jodoh adalah urusan Tuhan cuma lambat dan cepat menjadi persoalan. Namun apabila sudah bertemu pilihan hati dan terasa serasi di jiwa sendiri, maka digalakkan pasangan yang sedang hangat bercinta mengikat hubungan dengan ikatan yang lebih suci dan halal iaitu ikatan perkahwinan. Keinginan untuk berkahwin dan mendapat zuriat adalah fitrah manusia. Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT:
"Perkahwinan merupakan landasan membina kasih sayang (mawaddah) dan ketenteraman kepada seorang manusia (rahmah) setiap manusia termasuklah golongan rasul dan nabi dapat membebaskan diri mereka daripada keperluan  asasi naluri ini." Surah al-Rum : ayat 21
Rasulullah bersabda: "Tidak ada hidup membujang dalam Islam."
     Dalam satu kertas kerja yang dibentangkan dalam bengkel hak isteri kedua, Wan Mohd Nazri Wan Hassan, Peguam Syarie menyebut bahawa secara rasionalnya, isteri-isteri yang dikahwini adalah sah menerusi akad nikah mengikut hukum syarak. Dalam Islam tiada dijelaskan bahawa terdapat perbezaan hak ke atas setiap isteri berpoligami. Semuanya adalah sama di bawah hukum Allah, tiada isteri kelas pertama, kedua atau seterusnya. Sebutan nombor sebenarnya hanyalah untuk mengidentifikasikan bilangan, bukan menggambarkan kedudukan keistimewaan masing-masing.
     "Salah anggap yang berlaku dalam masyarakat pada kedudukan isteri kedua dan seterusnya dipandang serong sepatutnya tidak berlaku. Sikap negatif ini banyak menimbulkan masalah dari menyelesaikannya. Perlu ada sifat jujur dalam diri kita untuk membincangkan perkara ini secara telus tanpa ada niat buruk lain. Bukan kehendak atau niat wanita tersebut untuk berpoligami tetapi mungkin itu sudah suratan takdir. Fikirkan juga ada sebahagian wanita yang menerima sepenuh hati konsep poligami ini. Islam ada menerima keperluan yang perlu dipenuhi sebelum akad nikah dijalankan. Perasaan terlalu bimbang hanya akan memakan diri sendiri," jelasnya memberi pandangan.
     Pengalaman mengendalikan kes-kes rumahtangga termasuklah isu poligami, banyak memberi gambaran sebenar dilema yang dihadapi oleh wanita yang menjadi isteri kedua dan seterusnya. Ramai di antara lelaki yang mahu berkahwin lebih dari seorang kurang faham dengan hak-hak bakal isteri yang dikahwini. Kepentingan diri sendiri biasanya mengatasi semua hingga mereka terlupa tanggungjawab besar di sebalik perkahwinan.

Zalim dan aniaya jika salah konsep

     Apabila masalah timbul, peguam syarie merupakan tempat rujukan yang paling wajar. Bertindak sendiri dan mendengar 'apa kata orang' biasanya hanya akan merumitkan lagi keadaan. Keinginan berkahwin lebih yang sebati dalam naluri lelaki kini menjadi budaya dan ritual dalam agama.
     "Masyarakat perlu menerima poligami dengan syarat beberapa kriteria perlu dipenuhi. Ini bagi memastikan tiada berlaku penganiayaan terhadap para isteri. Hakikatnya apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah ada hikmah dan rahmatnya. Ketidakadilan dan kecuaian perlaksanaan berpoligami harus ditangani segera," katanya tegas.
     Menjelaskan lagi, "Poligami adalah satu pilihan dan bukannya satu kewajipan malah Islam tidak pernah mewajibkan ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang telah beristeri satu atau lebih. Jika seseorang lelaki itu tidak mampu berlaku adil, maka dia tidak layak berpoligami dan tidak harus berpoligami. Jika lelaki tersebut masih mahu meneruskan niatnya itu, bermakna dia telah melakukan kezaliman dan berdosa terhadap Allah s.w.t. dan isteri-isterinya."
     Bagi wanita yang telah nekad untuk menjadi isteri kedua atau seterusnya, keputusan yang diambil harus dibuat berdasarkan pertimbangan rasional. Mengikut Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia, terdapat dua hak berbeza yang harus difahami sedalam-dalamnya. Hak-hak tersebut ialah hak semasa perkahwinan dan hak selepas perkahwinan (bercerai).

Hak semasa perkahwinan

1 Pengesahan pernikahan di luar negara: Timbulnya masalah tertentu mendorong perkahwinan dilangsungkan di luar negara. Biasanya ia disebabkan oleh kegagalan pihak lelaki mendapatkan kebenaran isteri pertama, keengganan wali dan keengganan melalui prosedur poligami mengikut seksyen 23, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 yang dianggap rumit. Walaupun sah mengikut hukum syarak, isteri akan menerima risiko tinggi tidak diiktiraf dan status anak yang dilahirkan juga dicurigai.
2 Tuntutan nafkah: Seorang lelaki digalakkan berkahwin apabila mampu memberikan nafkah dan isteri pula berhak memperolehi nafkah tersebut iaitu zahir dan batin.
3 Tuntutan hidup bersama: Isteri yang ditinggalkan suami berhak memperolehi perintah mahkamah agar suami kembali hidup bersamanya. Jika gagal, suami akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
4 Perlindungan keselamatan diri: Kemungkinan isteri dicederakan ketika ketegangan rumahtangga berlaku tidak harus dipandang ringan. Ada sesetengah suami melakukan penderaan fizikal. Sebagai langkah keselamatan, isteri boleh memohon perlindungan di bawah seksyen 107 enakmen yang sama dalam bentuk perintah injuksi.
5 Tuntutan keadilan layanan: Ada suami yang tidak berlaku adil dan sabit kesalahan akan dikenakan hukuman sebagaimana dalam tuntutan hidup bersama. Ketidakadilan akan membawa tuntutan fasakh.
6 Perlindungan harta isteri : Desakan hidup menyebabkan suami bertindak menggunakan harta isterinya bagi menyara isteri-isteri yang lain. Isteri teraniaya tersebut boleh mengambil tindakan segera melindungi hartanya melalui perintah injuksi.
7 Tuntutan nafkah anak-anak: Anak-anak adalah amanah Allah dan menjadi tanggungjawab seorang bapa memastikan keperluan mereka dipenuhi. Kegagalan suami memberi nafkah dalam bentuk perbelanjaan dan kasih-sayang menjadikan anak mangsa keadaan. Terdapat beberapa seksyen diperuntukkan bagi menangani masalah ini.

Hak selepas perkahwinan

Tuntutan nafkah iddah : Nafkah iddah ialah hak mutlak isteri yang diceraikan dan jika tidak dibayar ia boleh dituntut sebagai hutang suami kepada bekas isterinya.
Tempat tinggal semasa iddah : Isteri yang diceraikan berhak mendiami terus rumah yang didiami semasa perkahwinan sehingga bekas suami mampu menyediakan kediaman baru yang sesuai.
Mutaah : Wanita yang diceraikan berhak menerima atau menuntut mutaah atau saguhati dari bekas suami dengan syarat perceraian bukan kerana kesalahan wanita tersebut.
Harta sepencarian : Apabila berlaku penipuan atau pembelotan harta oleh suami ke atas harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan, isteri berhak membuat tuntutan hak harta sepencarian menggunakan seksyen 106 enakmen yang sama.
Melindungi keselamatan diri : Bagi mengelakkan kecederaan fizikal kerana ketegangan hubungan suami isteri, wanita tersebut boleh memohon perintah injuksi terhadap bekas suami.
Tuntutan penjagaan anak : hak penjagaan anak-anak merupakan antara isu yang rumit diatasi. Namun kebiasaannya ibu lebih berhak menjaga anak-anak tersebut tertakluk kepada beberapa seksyen.
     Kesimpulannya, peruntukan-peruntukan menuntut hak harus digunakan sepenuhnya agar kebajikan dan maruah para isteri terus terpelihara.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Selasa, 22 Oktober 2013

Berpoligami - Ketahui hak anda

Tarikh Hijrah : 17 Zulhijjah 1434

Berpoligami merujuk kepada suami yang beristeri lebih daripada seorang. Isu ini dilihat sebagai sesuatu yang amat sensitif dibicarakan secara terbuka. Alasan longgar dan sering diberikan ialah takut menyinggung perasaan mereka yang terlibat. Bagaimanapun persoalan ini tetap diperkatakan dan ia timbul dan tenggelam begitu sahaja.
     Walau apapun pendekatan mengatasinya, kerjasama dari semua pihak terutama suami dan isteri-isteri amat penting bagi memastikan ikatan perhubungan terus berjalan lancar tanpa masalah. Suami harus bersedia untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya memandangkan berpoligami adalah sesuatu yang harus di segi syarak.
     Bukan semua wanita sanggup dimadukan dan bermadu tetapi jika sudah suratan takdir yang Maha Esa, ia perlu dihadapi dengan reda dan penuh takwa. Mengupas hak-hak yang perlu diketahui oleh isteri dalam isu ini, berikut penerangan mengenai hak-hak isteri kedua dari hakim mahkamah Syariah, peguam syariah melalui pembentangan kertas kerja hak isteri kedua dan temubual bersama beberapa individu yang terlibat. Semoga banyak manfaat dan teladan dapat diketahui dari kupasan ini.

Hak sebelum berkahwin

Apabila berlaku perkahwinan maka telah sempurnalah separuh dari iman seorang muslim tidak mengira sama ada ia perkahwinan pertama ataupun kedua. Niat baik untuk mendirikan rumahtangga dapat membendung kegiatan maksiat dan melahirkan zuriat yang diberkati. Perkahwinan yang terbaik di sisi Tuhan ialah perkahwinan yang harmoni di mana pasangan mengamalkan ajaran Islam dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Ini termasuklah persoalan suami berlaku adil dengan isteri atau isteri-isterinya.
     Dalam Islam, berpoligami adalah dibenarkan dan ramai di kalangan lelaki sangat berminat untuk menambah 'kuota' bilangan isteri yang dibenarkan Islam. Ada alasan sebahagian lelaki berkahwin lebih kerana mengikut sunnah nabi tetapi harus diingat sunnah yang dituruti  perlu seiring dengan kemampuan diri. Bagi muslimah pula mereka perlu berhati-hati dan mendalami sebanyak mungkin ilmu berumahtangga agar hak-hak mereka tidak hilang begitu sahaja. Mengupas hak-hak isteri kedua dalam tempoh dan selepas perceraian serta masalah biasa yang difailkan ke mahkamah syariah, ikuti penjelasan hakim mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Yang Arif Abas Nordin, untuk renungan bersama.

Peruntukan undang-undang kekeluargaan Islam

Menurut Yang Arif Abas, Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam mempunyai peruntukan undang-undang kekeluargaan Islam dirujuk. Bagaimanapun dalam peruntukan tersebut, hak-hak isteri kedua tiada diperbincangkan secara mendalam. Perkara ini berlaku kerana melihat pada asas bahawa hak setiap isteri adalah sama tanpa membezakan kedudukannya sebagai isteri pertama, kedua dan seterusnya.
     Perkara utama yang harus diberi perhatian oleh setiap oleh setiap isteri ialah tentang hak mereka bagi mendapatkan nafkah daripada suami. Manakala suami pula wajib memberi nafkah menurut kemampuannya. Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT :
     "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemmapuannya; dan siapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberi Allah kepadanya (sekadar yang mampu);..." (at-Talaq:ayat 7)
     "Apabila nafkah diberi sama rata di antara isteri-isterinya, ini bermakna si suami telah melaksanakan apa yang dituntut Islam. Namun tanggungjawab tidak terhenti di situ kerana suami perlu berlaku adil kepada semua walaupun mungkin ada yang kurang tetapi seboleh-bolehnya lakukan yang terbaik."

Adil dan hutang

Yang Arif Abas menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan adil di antara isteri-isteri ialah keadilan dalam penggiliran untuk bermalam, nafkah dan tempat tinggal. Sebagai contoh, jika seorang suami mempunyai dua orang isteri, wajib ke atasnya menyamakan pemberian dan penggiliran di antara keduanya seperti makan, minum, pakaian, kediaman dan perhiasan. Bagaimanapun tidak dinafikan timbul kesukaran bagi suami untuk menimbang kecenderungan hati dan pemberian kasih sayang. Dalam soal ini Imam Al-Syaukani memberi pendapat bahawa perkara ini tidaklah terlalu diwajibkan, cuma lakukan yang sebaik mungkin.
     Suami yang gagal menunaikan kewajipan tersebut sepanjang tempoh perkahwinan, harus ada kesedaran dalam diri bahawa dia sedang berhutang sesuatu dengan isterinya. Hutang tersebut harus ditunaikan tanpa memerlukan perintah rasmi dari pihak kadi atau berkuasa. Bagaimanapun hutang tersebut dianggap lenyap setelah isteri meredhai segala apa yang disumbangkannya. Suami pula seharusnya tidak mengambil kesempatan atas kebaikan isteri dengan terus melalaikan tanggungjawabnya memberi nafkah.
     "Ada juga suami yang mahu isteri-isterinya tinggal sebumbung. Dalam hal ini Imam Ibn Qudamah mempersoalkan kewajaran ia dilakukan. Baginya itu adalah sesuatu yang kurang baik melainkan mendapat persetujuan kedua-kedua isteri," terangnya ringkas.

Hak selepas BERCERAI

Menyentuh tentang hak selepas bercerai, Yang Arif menjelaskan bahawa perceraian adalah sesuatu yang halal tetapi tidak digalakkan dalam Islam. Dalam peruntukan undang-undang keluarga Islam, sekiranya rumah tangga tidak boleh diselamatkan dan isteri diceraikan tanpa melibatkan kes nusyuz atau derhaka, maka pihak isteri diberi nafkah eddah. Dalam tempoh eddah, isteri berhak menerima semua jenis nafkah ketika tempoh perkahwinan termasuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggal.
     "Selain itu, isteri tersebut juga berhak mendapat mutaah iaitu saguhati perceraian dengan syarat, ia berlaku bukan berpunca dari pihak isteri. Jika sebaliknya berlaku seperti apabila perkahwinan dibubarkan keran isteri tidak mampu melakukan hubungan suami isteri dan sebagainya, maka isteri tidak layak mendapat mutaah. Selepas diceraikan, isteri berhak menuntut hak sepencarian di mahkamah. Banyak perkara yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah tentang perkara ini dan biasanya mahkamah akan melihat setakat mana sumbangan isteri secara langsung atau tidak. Jika bercerai kerana kematian pula, isteri berhak mendapat sebahagian harta pusaka peninggalan suaminya," terangnya panjang lebar.

Ambil ringan dan denda

Menjawab persoalan masalah yang biasa timbul dalam berpoligami, Yang Arif menegaskan bahawa mahkamah terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang kebanyakannya timbul kerana kurangnya pemahaman pasangan atau sikap ambil ringan terhadap perkara-perkara penting yang bersangkutan. Kesedaran di kedua-dua  belah pihak harus ada agar tiada masalah besar timbul di kemudian hari di mana kesannya akan dirasai bukan sahaja oleh pasangan tetapi anak-anak yang lahir dari perkahwinan tersebut.
     "Kami banyak mengendalikan kes pengesahan nikah. Hampir 90% pengendalian kes tersebut melibatkan akad nikah tanpa kebenaran sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 19 Akta Undang-undang pengantin perlu mendapatkan kebenaran pendaftar di tempat dia bermastautin. Di bawah Seksyen 19(1) akta yang sama, akad nikah tidak boleh dilakukan kecuali di dalam kariah masjid di mana bakal pengantin perempuan bermastautin. Jika tidak, akad nikah perlu didaftarkan dengan pendaftar nikah."
     "Hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali akan dikenakan jika disabitkan kesalahan. Oleh itu lebih baik sekiranya seseorang wanita yang berhasrat menjadi isteri kedua, saya nasihatkan pastikan bakal suami telah mendapat kebenaran bertulis untuk berpoligami dari mahkamah syariah," terangnya.

Tambahkan ilmu pengetahuan

     Menjelaskan kemelut yang berlaku, mahkamah turut berhadapan dengan masalah pendaftaran nikah yang tidak dapat diterima kerana gagal mengikuti Undang-undang Keluarga Islam. Kes seumpamanya ialah apabila tidak sah dari segi hukum syarak. Ini hanya menyulitkan keadaan di mana isteri kedua akan berada dalam dilema. Pernikahan tersebut akan difaraqkan, dan status wanita tersebut masih kurang jelas. Jika wanita tersebut mengandung, status anak dalam kandungan juga tidak pasti untuk dibin atau dibintikan kepada siapa. Dibimbangi jika tiada sebarang dokumen pendaftaran nikah, pasangan akan menghadapi risiko ditangkap khalwat atau bersekedudukan.
     "Sebenarnya banyak lagi kes yang terpaksa dikendalikan oleh mahkamah. Cuma saya nasihatkan agar para isteri dan bakal isteri perlulah menambah ilmu pengetahuan berkaitan hak-hak mereka menurut Undang-undang Keluarga Islam. Jangan ikutkan perasaan. Jika ada sebarang seminar, kursus, bengkel dan sebagainya yang berkaitan perlulah dihadiri. Saya juga suka mengingatkan di sini bahawa masyarakat kita perlu dididik dan diberi kesedaran bahawa amalan berpoligami yang sihat boleh diwujudkan sekiranya pihak-pihak terlibat mengikut saluran undang-undang," jelasnya memberi nasihat untuk kebaikan semua.




- Sumber daru NUR Januari 2003 -

Berpoligami - Tidak semudah menyebutnya

Tarikh Hijrah : 17 Zulhijjah 1434

Sistem poligami sudah berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi, antaranya diamalkan oleh bangsa Ibrani dan Arab Jahiliah yang melahirkan sebahagian besar penduduk negara Rusia, Lithuania, Yusgoslavia dan sebahagian orang Jerman yang menghuni Belanda, Denmark dan negara Inggeris pada hari ini. Malah poligami juga tersebar ke negara bukan berpenduduk Islam seperti India, China dan Jepun, sekaligus memecahkan tanggapan bahawa poligami amalan orang Islam sahaja.
     Walaupun berpoligami dibolehkan dalam Islam tetapi ia bukanlah wajib atau sunnah. Bagaimanapun poligami dihadkan kepada empat orang sahaja kerana angka itu rasionalnya dianggap memadai kepada orang seorang lelaki.
     Firman Allah dalam Surah an-Nisa:3, "Jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain - dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah seorang sahaja atau pakailah hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.  Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat zalim."
     Poligami menuntut keadilan yang nyata kerana Rasulullah pernah bersabda, dalam hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah, "Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri lalu memberatkan salah satunya, maka dia akan datang pada hari kiamat dengan bahu senget."
     Adil yang dimaksudkan adalah dalam bentuk kemampuan mengadakan keperluan fizikal, tidak termasuk dalam hal cinta atau kasih sayang. Ini kerana masalah kasih sayang, terletak di luar kemampuan seseorang. Muhammad bin Sirin berkata, "Saya bertanya mengenai ayat ini kepada Ubaidah." Jawabnya, "iaitu dalam soal cinta dan bersetubuh."
     Abu Bakar bin Arabiy pernah berkata, "Memang benar adil dalam cinta di luar kemampuan seseorang. Ia dalam genggaman Tuhan yang boleh membolak-balikkan mengikut kehendak-Nya. Begitu juag dalam soal persetubuhan, kadang-kadang dia ghairah dengan isteri yang satu, tapi tidak dengan isteri yang lain. Asalkan perbuatan itu tidak disengajakan, dia tidak berdosa kerana ia di luar kemampuan."
     Saidatina Aisyah pernah berkata, "Rasulullah selalu membahagikan giliran antara isterinya dengan adil. Baginda selalu berdoa, Ya Allah, ini bahagianku yang dapat kukerjakan. Kerana itu, janganlah Engkau mencelaku tentang apa yang Engkau kuasai, sedangkan aku tidak menguasainya." Dalam konteks ayat ini, 'Engkau kuasai tetapi aku tidak menguasai' merujuk kepada hati. (Rujukan:Fikh Sunnah oleh Sayid Sabiq, Jilid 5-8).




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Khamis, 8 Ogos 2013

Amalan Menyambut Aidilfitri

1 Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
2 Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya.
3 Memastikan penyempurnaan zakat fitrah bagi diri sendiri dan ahli keluarga.
4 Mengelakkan pembaziran ketika menyambut hari raya dengan persiapan yang sederhana.
5 Mandi sunat di pagi hari raya.
6 Memakai pakaian baru/bersih sebagai melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah s.a.w.
7 Memakai wangi-wangian pada pagi hari raya.
8 Memohon keampunan dan bermaaf-maafan dengan ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak
9 Makan sedikit sebelum ke masjid dan mengambil laluan yang berbeza untuk pergi dan balik.
10 Solat sunat hari raya dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
11 Ziarah-menziarahi kaum keluarga, sahabat-handai, jiran tetangga dan sebagainya.
12 Tidak lupa bersedekah kepada mereka yang memerlukan
13 Mengelakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah oleh syarak.

ZAKAT FITRAH - SATU KEWAJIPAN

Zakat fitrah ialah "zakat peribadi", "zakat badan" yang wajib dikeluarkan oleh orang yang mempunyai cukup syarat-syaratnya pada hari raya Aidilfitri.

Syarat-Syarat Wajib Zakat Fitrah
* Mestilah dia seorang Islam
* Mempunyai harta lebih daripada keperluan perbelanjaan untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya pada hari Aidilfitri dan malamnya.
* Bahawa seseorang hendaklah di bawah tanggungannya seperti isteri di bawah saraan suami dan anak dibawah saraan bapa. Maka yang wajib mengeluarkan zakat ialah suami atau bapa.
* Ia masih hidup di kala matahari terbenam pada hari akhir Ramadhan.

Waktu-waktu Bagi Mengeluarkan Fitrah
* Fitrah bolehlah dikeluarkan bermula dari awal Ramadhan sehingga hari akhir bulan Ramadhan
* Waktu wajib iaitu selepas terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan.
* Waktu yang afdhal iaitu selepas sembahyang subuh pada hari akhir Ramadhan.
* Waktu makruh iaitu selepas sembahyang hari raya Aidilfitri sehingga tibanya waktu.
* Waktu haram iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri itu.

Bentuk Bayaran
* Benda yang dikeluarkan untuk zakat fitrah ialah makanan asasi bagi orang yang berfitrah itu. Kalau makanan asasi hariannya beras, maka beraslah digunakan untuk fitrahnya. Jika roti maka gandumlah untuk fitrahnya.
* Hukum asalnya, hendaklah dibayar dengan beras pada kadar timbangan 2 kilo 250 gram (3 kati 12 tahil) tetapi untuk memudahkan, bolehlah dibayar dengan wang mengikut nilai harga atas kadar tersebut seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Niat Mengeluarkan Zakat Fitrah
* Waktu berniat boleh dilakukan sebelum menyerahkan kepada amil atau penerima zakat ataupun dilakukan semasa penyerahan.
* Niatnya ialah (di dalam hati) "ini zakat fitrah saya yang wajib dikeluarkan."

SUNAT PUASA ENAM

Sabda Rasulullah s.a.w. "Barang siapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia berpuasa pula enam hari pada bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang masa."
     Satu keistimewaan yang difahami dari sabda baginda ialah kebaikan dan peluang yang paling berharga disediakan kepada orang-orang yang mengejar nikmat dan kemurahan Allah Subhanahu Wataala sepanjang hidup juga terdapat di bulan Syawal iaitu puasa enam hari di dalamnya.
     Ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa enam di bulan Syawal ini ialah seperti ganjaran pahala kepada yang berpuasa sepanjang tahun. Satu ganjaran yang begitu tinggi nilainya. Puasa enam tinggi nilai ganjarannya disebabkan keadaan keliling yang lebih mencabar keimanan seseorang. Ketika inilah kemeriahan hari raya disambut dengan pelbagai juadah yang menyelerakan. Dengan ini seseorang yang berpuasa enam akan menghadapi persaingan hebat dengan suasana dan keadaan di masa itu yang benar-benar mencabar keimanannya dalam menahan hawa nafsu.
     Oleh yang demikian, sudah sewajarnya puasa enam ini mendapat pahala yang besar dan tinggi di sisi Allah Subhanahu Wataala bagi mereka yang berjaya menyahut cabaran ini. Menjalani ibadah puasa sunat enam di bulan Syawal ini sebaik-baiknya dimulakan pada hari raya kedua dan berturut-turut, tetapi jika tidak dapat berbuat demikian, boleh dilakukan bila-bila masa asalkan masih dalam bulan Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan berjumlah enam hari.

Di antara kelebihan puasa enam di bulan Syawal ialah :
1 Puasa enam umpama sunat rawatib sesudah solat fardhu bagi menampung kekurangan puasa fardhu.
2 Mengulangi puasa sesudah Ramadhan menjadi tanda diterima puasa Ramadhan yang kita kerjakan.
3 Sebagai tanda bersyukur kepada nikmat yang diberikan di bulan Ramadhan seperti nikmat kesihatan tubuh badan yang baik, ganjaran pahala yang berlipat ganda, malam lailatulqadar, ganjaran bersahur, berbuka puasa dan banyak lagi.
4 Mendapat kebaikan berlipat-ganda serta diangkat darjatnya.
5 Memudahkan Malaikat Izrail mencabut nyawa.

     Oleh yang demikian marilah kita merebut peluang yang ada dan mengerjakan puasa enam demi mendapatkan fadhilat-fadhilat yang ditetapkan Allah padanya serta inginkan keredhaan-Nya jua. Firman Allah dalam surah Al-An'aam ayat 16 yang bermaksud:
"Barang siapa membawa amal yang baik maka baginya pahala sepuluh kali ganda amalnya dan barang siapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang denga kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)."




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Ahad, 21 Julai 2013

Hikmah Tarawih

Ramadhan adalah bulan untuk umat Islam mencari pahala sebanyak mungkin. Bermula dari terbit fajar, segala amalan yang dilakukan pada bulan ini walaupun hanya berselawat namun pahalanya diberikan berlipat ganda. Salah satu amalan yang sinonim dengan bulan yang mulia ini ialah Sembahyang Sunat Tarawih. Sembahyang Sunat Tarawih yang biasa dilakukan selepas wakyu isya' ini adalah satu cara menambah pahala sebagai bekalan di akhirat kelak. Bagi anda yang belum pernah atau jarang melakukan Sembahyang Sunat Tarawih ini alangkah ruginya anda. Ini adalah kerana diriwayatkan Saidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah SAW tentang fadilat ibadah ini.
Malam 1 : Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah SWT
Malam 2 : Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang bersembahyang tarawih serta kedua ibu-bapanya (sekiranya mereka orang beriman)
Malam 3 : Berseru malaikat di bawah Arasy supaya 'kami meneruskan bersembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau'
Malam 4 : Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5 : Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang bersembahyang di Masjidharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6 : Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (70 ribu malaikat sekali tawaf) serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang yang tarawih pada malam ini.
Malam 7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi Alaihissalam menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.
Malam 8 : Allah mengurniakan pahala orang bersembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim.
Malam 9 : Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad SAW.
Malam 10 : Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11 : Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12 : Datang ia pada hari kiamat dengan muka bercahaya (cahaya ibadatnya)
Malam 13 : Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14 : Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang tarawih serta Allah tidak menyesatkannya pada hari kiamat.
Malam 15 : Semua malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 : Allah tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam 17 : Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala nabi-nabi.
Malam 18 : Seru Malaikat; "Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah reda kepada engkau dan ibu-bapa engkau (yang masih hidup atau mati)"
Malam 19 : Allah tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus
Malam 20 : Allah kurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21 : Allah binakan sebuah istana dalam syurga daripada Nur
Malam 22 : Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di padang mahsyar)
Malam 23 : Allah binakan padanya sebuah bandar dalam syurga daripada Nur
Malam 24 : Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud)
Malam 25 : Allah angkatkan daripadanya siksa kubur
Malam 26 : Allah kurniakan orang bertarawih pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat
Malam 27 : Allah kurniakan orang bertarawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian siratulmustaqim seperti tikar menyambar.
Malam 28 : Allah kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat
Malam 29 : Allah kurniakan kepadanya pahala 100 kali haji yang mabrur.
Malam 30 : Allah beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali lalu berfirman : "Hai hambaku, makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama Al-Kauthar."

- Sumber dari NUR November 2002 -





Sabtu, 20 Julai 2013

Jadual Harian Seorang Muslim Di Bulan Ramadan

04.00 pagi   Bangun. Berdoa kepada Allah dengan doa:
Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepada-Nyalah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-bayak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wuduk dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

04.20 pagi    Solat sunat Taubat.
Niatnya: Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca Al-Kaafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.
                           Solat sunat Tahajjud.
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surat Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.
                           Solat sunat Hajat
Niatnya: Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua surat Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.
                           Solat sunat Witir
Niatnya: Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakanlah berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.

05.00 pagi    Makan sahur
Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.

05.30 pagi    Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat
Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari. Elakkan tidur selepas Subuh, kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.

07.00 pagi    Membuat persiapan ke tempat kerja
Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan dengan berniat dengan niat yang baik-baik. Mulakan kerja dengan Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkati-Nya. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati. Banyakkan istighfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang dilakukan dan yakinlah Dia akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 pagi    Sembahyang sunat Dhuha
Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan. Niatnya: Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
Contoh dosa-dosa: Mengumpat, mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa perkara yang tida sangkut paut dengan kerja.

12.45 tgh     Bersiap untuk solat Zuhur
Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Rawatib. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembah-Nya.

04.15 ptg     Bersedia untuk solat Asar
Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan witir sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembah-Nya.

05.30 ptg    Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur
Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!!!

06.30 ptg     Memperbanyakkan doa sebelum berbuka
Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.
                           Apabila masuk waktu Maghrib
Bacalah doa berbuka: Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan denga rezeki engkaulah aku berbuka. Seeloknya setelah memakan kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan yang berat.

08.00 mlm     Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Tarawih
Cuba pertahankan solat tarawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang Ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan).

11.00 mlm     Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur
Berniatlah untuk puasa esok hari dengan berniat: Sahaja aku berpuasa hari esok, untuk menunaikan Puasa Ramadhan yang wajib ke atasku, tahun ini kerana ALLAH Taala. (JANGAN LUPA!!!)
Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
Bacalah doa tidur: Ertinya: Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.


- Sumber dari NUR November 2002 -






Rabu, 23 Mei 2012

Berhadapan Dengan Makanan

Islam mengajar umatnya cara berhadapan dengan makanan. Beberapa perkara berikut mungkin tidak pernah kita fikirkan sebelum ini. Mari kita semak!

1. Tujuan kita makan
Mendapatkan kesihatan yang baik dan tenaga untuk bekerja dan beramal ibadah dengan selesa.

2. Tatacara makan
- Makanlah benda-benda yang baik serta dihalalkan sama ada berkaitan dengan sumber mendapatkannya dan juga kaedah pemprosesannya.
- Makan apabila berasa lapar dan berhenti sebelum kenyang
- Makan dengan penuh adan sopan

3. Pengambilan makanan
- Makanlah makanan yang mengandungi pelbagai jenis nutrien yang berfungsi untuk membekalkan tenaga. Tenaga ini digunakan untuk melaksanakan semua kerja elektrikal saraf, mekanikal otot, pengekalan haba badan selain menyempurnakan keseimbangan dan tindakan kimia tubuh badan.
- Kekurangan atau pengambilan makanan yang berlebihan akan mendatangkan keburukan kepada kesihatan tubuh. Pengambilan makanan harus mengikut sajian seimbang yang diperlukan oleh setiap hari.
- Makanan yang tercemar dan tidak diambil perhatian mengenai kebersihannya serta kesilapan dalam memprosesnya boleh mendatangkan bahaya. Sesetengah pencemaran menyebabkan kesan mutasi kepada sel dan punca kepada penyakit kanser.

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Rabu, 16 Mei 2012

Larangan Minum Cara Keldai

Minum adalah perkara yang selalu dipandang remeh. Umat Islam kelihatan bersahaja ketika minum. Seperti gaya orang-orang barat, minum sambil berdiri dan memegang gelas atau cawan dengan tangan kiri. Minum berdiri agak boleh diterima kalau sekiranya di sekitar tempat jamuan itu tiada kerusi atau tempat duduk atau kawasan itu tidak sesuai untuk duduk. Tapi apa halnya dengan tangan kiri? Bukankah sesuatu yang baik itu diminta dilakukan dengan tangan kanan. Minum tentulah kerja baik maka wajarlah menggunakan tangan kanan.

Selain itu ada satu lagi budaya yang tidak seharusnya ada pada umat Islam iaitu minum secara sekali gus atau sekali hirupan. Sebenarnya, Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam agar tidak bernafas di dalam cawan atau gelas air. Maknanya, Islam menganjurkan umatnya minum dengan berdikit-dikit. Apabila hendak bernafas hentikan minuman. Setelah itu minum lagi sehingga selesai.

Larangan ini adalah untuk menjamin kesihatan umat Islam agar terus selamat. Sesungguhnya pernafasan di dalam air mengeluarkan karbon, maka jadilah air itu bercampur dengan karbon. Ini bermakna air yang diminum telah bercampur karbon. Kalau ini terjadi maka kesihatan umat Islam akan terjejas.

Selain dua perbuatan tadi ada satu lagi perbuatan yang tidak disukai oleh Islam iaitu makan dan minum bersendirian. Keadaan ini tidak digalakkan. Hatta apabila hendak minum air pun diminta bersama yang lain iaitu secara berjemaah.

Daripada Ibnu Abbas r.a., katanya Rasulullah bersabda : "Janganlah kamu minum seorang diri seperti minum keldai tetapi minumlah berdua dan bertiga. Dan bacalah Bismillah apabila kamu minum dan ucaplah Alhamdulillah apabila kamu selesai minum" (Riwayat At-Tarmizi)

Minum cara keldai ini boleh dilihat pada banyak sudut. Ia minum berdiri, menyedut tanpa henti dan minum bersendiri. Inilah yang tidak seharusnya dilakukan oleh orang Islam sebagaimana yang dijelaskan di atas. Tetapi yang lebih penting dari itu ialah keldai sudah pastinya tidak membaca doa ketika hendak makan dan begitu juga setelah selesai minum. Inilah yang membezakan umat Islam dengan orang lain. Adab yang dianjurkan oleh Islam itu sudah cantik dan ia mesti terus dihayati. Didiklah anak-anak sejak kecil agar tidak meniru gaya minum seperti keldai ini!

- Sumber dari NUR Pengenalan -

Rabu, 2 Mei 2012

Syarat Muslimah Bekerja Di Luar Rumah

Katakan kepada para wanita yang beriman : Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kehormatannya (kemaluan) mereka; dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan tudungnya ke dadanya..
(Surah An-Nur - ayat 31)

9 Larangan Kepada Isteri Bekerja

1. Membawa pekerjaan ke rumah sehingga bercampur aduk dengan tugas melayan suami dan rumahtangga hingga menyebabkan suami berasa bosan.

2. Sikap membezakan suami dengan teman sekerja (Perihal kaum lelaki sehingga suami tersinggung)

3. Melayani lelaki lain melebihi suami sendiri semasa di dalam perjalanan atau di pejabat.

4. Turut serta di dalam kegiatan berunsur maksiat seperti menyertai kumpulan muzik dan berbual-bual mengenai perkara yang berunsurkan nafsu.

5. Sombong dengan pangkat dan bangga dengan kedudukan sehingga menyebabkan suami rasa terpinggir. Ego yang memusnahkan kemesraan.

6. Kedekut untuk membantu suami dengan alasan semua tanggungjawab nafkah diwajibkan ke atas suami sahaja.

7. Mengabaikan peraturan agama

8. Tidak mengambil berat dalam mendidik anak-anak kerana alasan bekerja seperti tidak mahu menyusukan anak dan lain-lain. Tugas itu diberikan kepada pengasuh menyebabkan suami dan anak-anak lebih menyayangi dan rapat dengan pengasuh.

9. Tidak dapat melayan ibu bapa suami kerana alasan kerja.

Bekerja, Anda Perlu....

1. Pastikan anda mendapat keizinan ibu bapa atau suami sebelum berhasrat untuk bekerja. Pekerjaan itu haruslah halal di sisi agama agar pendapatan yang diperolehi mendapat keberkatan Allah s.w.t.

2. Tidak bercampur dengan kaum lelaki atau bukan muhrim kecuali atas urusan kerja bagi mengelakkan difitnah.

3. Tidak bersolek berlebihan dan memperlihatkan perhiasan yang dapat mengundang fitnah dan sifat sombong.

4. Kurangkan pemakaian wangi-wangian kerana ia membangkitkan berahi seseorang.

5. Menutup aurat sebagaimana yang diamanahkan.

Perkara Yang Baik Apabila Isteri Keluar Bekerja

1. Isteri mungkin sentiasa menjaga kekemasan diri kerana dalam persekitaran tempat kerja.

2. Pendapatan seisi keluarga bertambah dan boleh membahagiakan rumahtangga.

3. Mendapat pandangan dan pengetahuan yang luas dalam memperbaiki urusan agama seperti mendengar ceramah di tempat kerja atau di jabatan.

4. Bijak mengatur masa dan membahagikan masa untuk mematuhi keperluan rumahtangga dan tempat kerja.

5. Bersikap pro aktif dan berpandangan jauh serta mampu berdikari yang diharuskan oleh agama.

6. Dapat berbelanja dengan selesa untuk kepentingan diri di luar daripada tanggungjawab suami seperti berpakaian mahal dan membeli keperluan diri sendiri dengan wang sendiri.

7. Dapat mengemas atau menghias rumah mengikut kemampuan dalam urusan memperindahkan kebahagiaan berumahtangga.

8. Ramai kawan yang boleh memberi bantuan buah fikiran dan pertolongan pada waktu-waktu tertentu.

9. Menimbulkan banyak ilham untuk kelancaran pergaulan dengan suami dan anak-anak serta keluarga terdekat.

10. Dapat membantu keluarga serta sahabat dalam bidang yang berkaitan dengan kerjayanya.

11. Menaikkan nama atau taraf suami dalam keadaan yang tertentu.

12. Menjamin keselesaan di hari tua dengan adanya simpanan terkumpul kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri.

- Sumber dari NUR Pengenalan -