Memaparkan catatan dengan label Personaliti Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personaliti Islam. Papar semua catatan

Selasa, 3 Disember 2013

Tinggal di Masjid untuk Dalami ISLAM

29 Muharram 1435

Penulis : Salina Ibrahim
  

Sebagai seorang muslim, apa perasaan anda apabila orang Islam dikatakan tidak menunjukkan contoh yang baik, sekaligus tidak berupaya menterjemahkan keindahan Islam melalui tindakan zahir mereka? Memang ia kedengaran sakit dan melukakan tetapi itu adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan.
     Pendakwah yang tidak asing lagi, Ustaz Hussain Yee Abdullah ketika menceritakan saat-saat beliau tertarik kepada Islam lebih 30 tahun lalu, mengakui beliau tidak melihat keindahan Islam melalui amalan zahir penganut Islam. Ini kerana katanya, rata-rata orang Islam bersikap pasif dan menganggap agama milik mereka sahaja dan tiada kena-mengena dengan orang lain. Kerana tanggapan itu katanya, mereka tidak menganggap Islam penting untuk disebarkan, sebaliknya di kalangan mereka sendiri.
     "Kalau orang tanya, siapa yang menarik saya kepada Islam, jawapannya tiada siapa. Saya berkawan  dengan orang Melayu sejak sekolah. Tetapi tiada siapa yang memberitahu saya mengenai Islam, mendekatkan saya kepada Islam. Ikhlas saya katakan, secara zahir memang tidak nampak keindahan Islam. Keindahannya hanya dapat dirasai apabila kita membaca dan mengkaji agama itu sendiri. Disebabkan itu, ada ulama berkata, keindahan Islam tertutup oleh orang Islam sendiri kerana mereka tidak menghayati Islam. Dengan kata lain, orang Islam lebih mementingkan adat daripada agama," katanya.
     Hussain mengenali Islam melalui pembacaan. Ketika zaman remajanya di Kampung Makam, Pulau Pinang, beliau selalu ke kedai buku. Membaca buku-buku sejarah Islam menjadi kegemarannya. Kisah perjuangan Saidina Umar al-Khatab antara yang kuat terkesan di hatinya dan menarik beliau untuk memeluk Islam.

Masuk Melayu - Hati emak terguris
Di Masjid Pakistan, Pulau Pinang, beliau diislamkan oleh imam (allahyarham) Maulana Hafiz Yaakub al-Ansari dan turut mendapat bimbingan mengenai Islam. Selama empat tahun, Hussain menetap di masjid sekitar Pulau Pinang semata-mata untuk mendalami Islam dengan lebih baik. Ketika itu beliau juga agak bimbang dengan penerimaan ibu mengenai pengislamannya.
     "Saya anak lelaki bongsu dalam keluarga. Bapa sudah meninggal ketika itu. Adik-beradik lain tidak kisah, tapi emak agak terguris dengan keputusan saya. Dia salah faham, bimbang saya masuk Melayu kerana dia melihat Islam seolah-olah milik orang Melayu. Kerana itu saya fikir, lebih baik menjauhkan diri buat sementara waktu," ujarnya.
     Untuk menampung kehidupan ketika itu, Hussain bekerja di bahagian keselamatan sebuah syarikat perkapalan bersama seorang rakan. Beliau bersyukur kerana rakannya itu sangat memahami keinginannya untuk belajar agama. Apabila cukup sejumlah wang yang dikumpulnya, beliau akan bercuti lama untuk membolehkannya belajar.
     Katanya, beliau berbuat begitu semata-mata untuk memberikan komitmen dalam menuntut ilmu. Mengenali Islam yang sebelum ini agak asing kepadanya, beliau harus banyak berkorban masa dan tenaga. Beliau berpendirian, mahu memberikan tumpuan belajar secara sepenuh masa dan tidak mahu belajar 'separuh-separuh' sahaja.
     Hasil kerja keras dan minat untuk belajar agama telah membawa Hussain ke Universiti Islam Madinah untuk mendalami pengajian dakwah dan hadis dari tahun 1972 sehingga 1978. Selama enam tahun beliau disara oleh biasiswa universiti tersebut. Selain sedikit asas agama yang diperolehi di Pulau Pinang, beliau memulakan pengajian dari titik kosong untuk mendalami ilmu agama.
     "Yang penting niat. Saya yakin itu. Jika ada niat untuk mencari keredhaan Allah, insyaa-Allah segala dugaan dapat diatasi," ujarnya.

Hijrah ke Kuala Lumpur
Hussain mendirikan rumahtangga dengan Nariman Ahmad yang berasal dari Johor pada tahun 1978. Mereka beroleh tiga orang anak iaitu Muhammad Imtiaz,23, pelajar Kejuruteraan Elektronik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wafa, 22, pelajar aliran agama di Umul Qura Mekah, dan Ahmad Basil, 17, pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Damansara.
     Selepas beberapa tahun berdakwah di Pulau Pinang, Hussain dan keluarga berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 80-an untuk menjadi pendakwah di Perkim. Hijrahnya itu sebagai memenuhi undangan Setiausaha Agung Perkim ketika itu, Datuk Ahmad Nordin, yang pernah mendengar ceramahnya di Kedah.
     Hussain juga adalah pengasas Pertubuhan al-Khadeem, yang didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan tumpuan khusus kepada aspek kebajikan tanpa mengira kaum. Al-Khadeem bermaksud 'yang berkhidmat' besar ertinya kepada Hussain kerana beliau berhasrat untuk menonjolkan keindahan Islam. Melalui al-Khadeem, beliau berjaya mewujudkan satu sukarelawan yang komited dalam hal-ehwal kebajikan masyarakat.
     Antara kegiatan mereka ialah mengadakan kelas agama untuk anak yatim, anak terbiar dan golongan miskin. Di rumah aktiviti al-Khadeem di Taman Maluri, mereka membuka rumah perlindungan kanak-kanak sepenuh masa yang memberikan keutamaan kepada kanak-kanak yatim, anak ibu tunggal dan miskin.
     Selepas 30 tahun menjadi muslim, Hussain bersyukur kerana berjaya mengislamkan ratusan saudara baru serta memberikan bimbingan kepada mereka. Ramai juga 'anak angkat'nya yang berjaya dibimbing sehingga berjaya mengenali Islam dengan baik. Menyentuh hubungan dengan anggota keluarga yang lain, beliau mengakui masih mengekalkan hubungan akrab dengan mereka walaupun berlainan kepercayaan. Setiap tahun, mereka sekeluarga akan bertemu dan bercuti untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Malah katanya, setiap kali berkumpul, mereka lebih senang bertutur dalam bahasa Inggeris dan Hokkien.

Usaha ditentang
"Adik-beradik saya sangat menyokong usaha saya. Mereka bangga dengan pencapaian saya dan saya juga berbangga dengan mereka," ujarnya yang merupakan anak keempat dari enam beradik.
     Beliau tidak menafikan dalam usaha dakwahnya, memang ada cabaran yang harus didepani. Antaranya beliau agak terluka apabila usaha dakwahnya tidak disenangi oleh orang Islam sendiri. Namun Hussain enggan meremehkan hal tersebut kerana katanya masyarakat sangat dahagakan Islam dan mereka mahukan kebenaran.
     "Apabila cabaran itu datang daripada orang Islam sendiri, ia agak menyedihkan. Kadangkala sikap mereka tidak menampakkan keikhlasan. Sikap mereka very judgmental," katanya.
     Dalam pada itu beliau meletakkan harapan tinggi untuk melihat kerja-kerja dakwahnya dikembangkan oleh anak-anaknya dan rakan-rakannya. Sehingga kini, beliau bangga kerana anak-anaknya sangat mencintai kerja-kerja berbentuk kesukarelaan dan kebajikan.
     "Mereka terdedah dengan kerja kebajikan sejak kecil. Anak sulung saya umpamanya, selalu mengadakan lawatan ke rumah orang tua dan anak yatim. Anak yang kedua juga begitu. Biasanya dia suka masak makanan untuk disedekahkan kepada anak-anak miskin di Masjidil Haram. Mudah-mudahan mereka dapat meneruskan usaha saya," katanya.




Rabu, 9 Oktober 2013

Yvonne Ridley : Hayati Islam ketika dalam tahanan


Bekas wartawan Daily Express British, Yvonne Ridley menjadi tajuk akhbar seluruh dunia penghujung September tahun 2001 apabila dia ditangkap di bandar Dour Baba, Jalalabad oleh puak Taliban kerana memasuki Afghanistan secara haram. Penangkapannya mencetuskan pelbagai kontroversi sehingga memaksa banyak pihak campur tangan termasuk Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair, sehinggalah dia dibebaskan selepas 10 hari dalam tahanan.
     Pengalaman Ridley sebagai tahanan dicurahkan dalam buku yang ditulisnya sendiri, berjudul In The Hands Of The Taliban terbitan Robson Books di United Kingdom yang mendapat sambutan hangat. Tidak lama selepas kejadian yang menakutkan itu, wanita ini kembali mendapat perhatian media, berikutan tersiar berita bahawa dia bercadang untuk memeluk agama Islam. Malah ada laporan akhbar, termasuk yang disiarkan di Malaysia menyatakan bahawa dia sudah memeluk Islam.
     Ridley dalam wawancara dengan Islam Online Ogos 2002, bagaimanapun berkata, dia kini 'dalam perjalanan ke arah itu'. Dengan kata lain, dia masih belajar mendalami selok-belok agama Islam sebelum rasmi menerima agama Allah itu.
     "Laporan akhbar yang menyebut saya sudah menjadi muslim adalah premature atau belum sampai masanya," kata Ridley.
      Bagaimanapun dia mengakui sedang giat mengkaji dan mengenali Islam sebagai memenuhi janji terhadap imam Taliban yang menahannya satu ketika dahulu. Jika dulu dia mempunyai tanggapan negatif terhadap golongan muslimah, dan begitu terpengaruh dengan segala mitos yang menyatakan bahawa Islam menindas golongan wanita, Islam agama taksub dan ganas, kini Ridley berpendapat, Islam menarik dan memberikan inspirasi apabila dapat mengenali semua saudara Islam yang lain.
     "Saya dapati wanita Islam sangat bijak, berpandangan luas, berani, bermotivasi, berpandangan global, mempunyai pengetahuan politik antarabangsa dan sangat memberikan perangsang. Sudah tentu ini menghapuskan mitos mengenai wanita Islam yang dikatakan pemalu, membosankan dan makhluk pendiam yang sukar dilihat dan didengar suara mereka,"katanya.
     Perkara pertama yang disemak ketika dia membaca al-Quran ialah mengenai harta dan undang-undang perceraian. Malah dia begitu takjub kerana kitab itu memberikan penekanan kepada hak wanita untuk mendapatkan pendidikan dan semangat. Malah lebih daripada itu, al-Quran turut mengiktiraf beban tambahan mengenai kelahiran anak dan penyusuan yang dilakukan oleh wanita.
     Ridley yang dibesarkan dalam lingkungan Kristian Protestan di England merupakan anggota koir gereja, selain pernah menjadi guru pada hari Ahad di kampungnya di utara England. Dia pernah bertugas di News Of The World, Daily Mirror, The Sunday Times, The Observer dan Independent sebelum menyertai Daily Express tahun 1999. Dia sebenarnya bukanlah wartawan yang dikenali sehinggalah kejadian yang menimpanya di Afghanistan.
     Menceritakan pengalamannya dalam tahanan Taliban, Ridley mengakui berasa sangat takut. Meminjam jolokan Presiden Amerika Syarikat(AS) ketika itu, George W.Bush terhadap puak Taliban sebagai 'regim paling ganas, zalim dan pembenci wanita', katanya, dia menyangka tidak akan dapat melihat matahari terbit pada hari pertama ditahan.
     "Banyak kali saya terfikir, saya akan disebat atau dipancung. Pernah sekali saya hilang sabar dan meludah serta menyumpah orang yang menangkap saya semasa dalam tahanan di Penjara Kabul. Saya fikir itu dapat mencetuskan perasaan permusuhan tetapi mereka nampak seperti terluka dan memberitahu saya bahawa saya adalah 'tetamu' dan 'saudara' mereka,"katanya.
Dilayan Dengan Sopan dan Hormat
     Selepas beberapa hari ditahan dan disoal siasat di ibu pejabat Perisik Jalalabad, Ridley diberitahu dia disyaki sebagai perisik AS. Berita itu melemahkan semangatnya. Malah katanya, mereka juga menyerahkan kepadanya busana pengantin sebelum imam Taliban bertanya kesediaannya untuk memeluk Islam. Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan, dia dilayan dengan sopan dan hormat walaupun dirinya dipenjarakan.
     "Saya memasuki negara mereka tanpa pasport dan visa, jadi ya, salah bersalah untuk ditangkap dan dibicarakan," katanya. Di penjara, Ridley pernah bertemu beberapa orang wanita. Enam daripadanya merupakan pekerja sosial beragama Kristian, tiga orang adalah pegawai penjara wanita di samping terdapat dua orang Afghanistan yang ditahan kerana cuba menjual karpet kepada lelaki asing.
     Namun katanya, selain wanita Kristian, dua orang Amerika, dan tiga warga Jerman serta seorang Australia, tiada seorang yang boleh berbahasa Inggeris dan dia tidak berpeluang berkomunikasi dengan mereka. Bagaimanapun, dia masih ingat, penguasa penjara yang berwajah bengis dan menakutkan itu pernah merujuk isterinya di rumah sebagai 'bos'.
     Selepas meninggalkan Afghanistan, Ridley berkata, dia pernah pergi ke sana sekali lagi untuk bercuti bersama anak perempuannya, Daisy yang berumur 9 tahun. Di sebuah kedai makan, dia bertembung dengan beberapa orang Taliban dan al-Qaeda, malah tiga daripadanya adalah lelaki yang menculiknya dulu.
     "Salah seorangnya datang bertemu dan bercakap dengan penterjemah saya, mengapa saya datang semula ke Afghanistan. Dia bertanya adakah saya mengenali sesiapa, dan saya menjawab jika mereka mahu dikenali, itu bukan urusan saya. Mereka nampak gementar. Dia pergi dan datang semula beberapa minit kemudian lalu berkata,"Kami suka apa yang kamu katakan mengenai kami selepas kamu kembali ke London. Terima kasih kerana bercakap benar," ujarnya.
     Ridley segera bersiap untuk meninggalkan tempat itu. Bagaimanapun dia diberitahu, bahawa keselamatannya dijamin jika dia bertemu mereka lain kali. Katanya lagi, orang yang paling ingin ditemui ialah Mullah Omar, Taliban Bermata Satu, yang bersemangat kepimpinan yang mengarahkan pembebasannya dan dia ingin bertanya mengapa puak Taliban melayan wanita dengan teruk sekali.
     Mengulas peristiwa serangan ke atas World Trade Centre (WTC), New York pada 11 September tahun 2001, dia berkata, itu adalah peristiwa terbaik, juga yang terburuk, yang pernah menimpa dunia Islam. Katanya, walaupun ada umat Islam yang tercalar keyakinan mereka berikutan peristiwa itu, tetapi mereka harus berbangga menjadi diri sendiri dan berpegang kepada pendirian yang jitu.
     "Yang menarik mengenai Islam, ialah anda mempunyai hubungan secara langsung dengan Tuhan. Anda tidak perlukan orang tengah. Salam keamanan untuk semua," katanya.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -