Memaparkan catatan dengan label Srikandi Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Srikandi Islam. Papar semua catatan

Khamis, 28 November 2013

Zainab Berkorban Demi Islam

24 Muharram 1435

Kisah Zainab binti Muhammad adalah contoh terbaik dalam memperkatakan kesetiaan seorang isteri, keikhlasan cinta dan ketulusan iman. Zainab merupakan puteri sulung Muhammad bin Abdullah dan Khadijah binti Khuwailid, yang dilahirkan selepas dua tahun perkahwinan ibu bapanya. Ketika itu Muhammad berusia 27 tahun, sementara Khadijah 42 tahun.
     Kelahiran Zainab memberikan kegembiraan yang tidak terhingga kepada ibu bapanya walaupun masyarakat jahiliah ketika itu tidak menyukai anak perempuan. Zainab menjadi remaja yang tertib hasil didikan orang tuanya. Dia dikagumi kerana cekal menguruskan adik-adiknya disebabkan usia Khadijah ketika itu agak lanjut. Ketika tiba usia perkahwinan, ibu saudaranya, Halah binti Khuwailid, telah melamar gadis itu untuk puteranya, Abu al-'Ash bin Rabi'. Perkahwinan Zainab dilangsungkan meriah dan ibunya memberikan seutas kalung sebagai hadiah perkahwinan. Pasangan ini dianggap ideal dan mereka hidup aman bahagia.
     Ketika Muhammad berusia 40 tahun, baginda diangkat sebagai Rasulullah. Zainab antara orang yang terawal mengikut jejak langkah bapanya menerima Islam. Bagaimanapun Abu al-'Ash enggan memeluk Islam dengan pelbagai alasan. Sebagai isteri, Zainab tidak dapat berbuat apa-apa tetapi dia masih tinggal serumah dengan suaminya. Lagipun ketika itu belum ada wahyu yang melarang suami isteri tidak seagama tinggal serumah. Ketika bapanya berhijrah ke Madinah, Zainab tidak turut serta kerana masih setia dengan suaminya.

Cinta Zainab
     Perang Badar meletus pada tahun ke-2 Hijrah/624 Masihi. Kaum musyrikin kalah teruk dalam pertempuran itu dan ramai yang menjadi tawanan di Madinah. Salah seorangnya adalah Abu al-'Ash, suami Zainab, menantu Rasulullah. Ketika mendengar suaminya menjadi tawanan bapanya di Madinah, Zainab telah mengirimkan kalung hadiah ibunya sebagai bayaran tebusan suaminya. Menitis air mata Rasulullah kerana baginda mengenali pemilik kalung itu dan memahami cinta Zainab terhadap suaminya.
     Kaum muslimin bersetuju memulangkan kalung itu kepada Zainab dan membebaskan Abu al-'Ash. Kepulangan suaminya disambut gembira. Bagaimanapun dia amat terkejut apabila Abu al-'Ash menceraikannya. Abu al-'Ash memberitahu perceraian itu atas arahan Rasulullah berikutan turun wahyu yang melarang suami isteri tinggal bersama selepas salah seorangnya memeluk Islam. Kerana itu Abu al-'Ash mesti menceraikan Zainab dan memulangkan isterinya kepada bapanya di Madinah.
     Kedua-dua suami isteri ini tidak dapat menahan kesedihan masing-masing apatah lagi kerana Zainab sedang hamil empat bulan. Abu al-'Ash tidak tergamak untuk mengiringi Zainab keluar Mekah, lantas mengamanahkan adiknya Kinanah menghantar Zainab ke sana. Dia berpesan supaya melindungi Zainab dan mempertahankan wanita itu dengan nyawa. Sementara di luar kota Mekah, Zaid bin Harisah dan seorang lelaki Ansar menjadi wakil Rasulullah untuk membawa puteri baginda ke Madinah.

Masih merindui
Kaum Quraisy mendapat tahu mengenai keberangkatan itu. Mereka keluar mencari Zainab dan bertembung dengannya di Dzi Thuwa. Untanya ditombak menyebabkan Zainab terjatuh dan mengalami keguguran. Abu Sufyan yang turut serta dalam kumpulan lelaki Quraisy itu memberitahu Kinanah bahawa tindakannya membawa Zainab keluar pada waktu siang adalah tidak tepat kerana ia akan menambahkan lagi malu mereka selepas kekalahan Perang Badar. Zainab pun dibawa balik ke Mekah untuk dirawat dan diserahkan kepada wakil Rasulullah pada sebelah malam.
     Kedatangan Zainab ke Madinah disambut penuh gembira oleh masyarakat Madinah. Bagaimanapun Zainab dan Abu al-'Ash masih merindui antara satu sama lain dan sentiasa berharap untuk bersama semula. Pada tahun ke-6H, Abu al-'Ash mengikut satu rombongan dagang ke Syam. Dalam perjalanan pulang, rombongan mereka ditahan orang Islam dan semua hasil dagangannya dirampas. Dia tidak berani pulang ke Mekah dengan tangan kosong kerana dia tahu ramai yang sedang menanti untuk mendapatkan wang masing-masing.
     Abu al-'Ash teringat bekas isterinya dan cuba meminta pertolongan. Dia menyusup masuk ke Madinah pada waktu malam dan meminta Zainab melindungi serta mendapatkan hartanya yang dirampas. Kerana cinta, Zainab berikrar membantu Abu al-'Ash. Rasulullah mendapat tahu hal itu dan menasihatkan puterinya bahawa Abu al-'Ash haramnya baginya sebelum dia memeluk Islam.
     Bagaimanapun baginda faham bahawa puterinya itu masih mempunyai perasaan terhadap bekas suaminya dan pengorbanan besar Zainab terhadap Islam. Zainab akur dengan arahan bapanya dan menyerahkan Abu al-'Ash kepada orang Islam untuk dihukum.

Dikahwinkan semula
Abu al-'Ash ditanya kesediaannya untuk memeluk Islam tetapi katanya, dia perlu memulangkan hasil dagangan itu kepada rakyat Mekah terlebih dahulu supaya tidak digelar pengkhianat. Jika dia memeluk Islam dahulu, imej Islam pasti akan tercemar. Harta itu dipulangkan kepada Abu al-'Ash. Dia kembali ke Mekah membahagikan hasilnya kepada rakyat dan dipuji kerana amanahnya. Selesai tugasnya, Abu al-'Ash mengumumkan pengislamannya dan berhijrah ke Madinah.
     Pasangan itu dikahwinkan semula mengikut syarak dan hidup bahagia. Kesan keguguran yang pernah dialami Zainab menyebabkan kesihatannya terganggu. Dia meninggal dunia pada tahun ke-8H, diikuti suaminya empat tahun kemudiannya. Sehingga kini Zainab dikenang sebagai seorang isteri yang setia, juga taat kepada Islam.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Rabu, 9 Oktober 2013

Rumaysa - muslimah, isteri & ibu unggul

Selepas kedatangan Islam ke Yathrib (nama lama Madinah), Rumaysa yang juga dikenali sebagai Ummu Sulaym, wanita berperwatakan cemerlang, intelektual dan punyai sifat berdikari yang tinggi, berkahwin dengan Malik ibn an-Nadr, dan dikurniakan menjadi antara sahabat Rasulullah yang akrab. Rumaysa antara wanita Yathrib pertama yang memeluk Islam, hasil dakwah Mus'ab ibn Umayr yang dihantar Rasulullah ke sana.
     Siri dakwah ke Yathrib itu berlaku selepas Perjanjian Aqabah Pertama, apabila 12 orang lelaki Yathrib pergi ke Aqabah yang terletak di luar Mekah untuk menyatakan kesetiaan kepada Rasulullah. Peristiwa ini juga dianggap kemajuan kepada dakwah baginda yang tidak mendapat tempat di negeri sendiri (Mekah).
     Keputusan Rumaysa untuk memeluk Islam dibuat tanpa pengetahuan suaminya yang ketika itu berada di luar Yathrib. Selepas Malik kembali, dia mendapati suasana amat berlainan. Dia tidak gembira apabila Rumaysa mengumumkan keislamannya di khalayak ramai dan mengarahkan anaknya Anas supaya mengucap syahadah.
     Malik meninggalkan rumah dan mati dibunuh oleh musuhnya. Berita itu mengejutkan tetapi tidak menyedihkan Rumaysa. Dia memberikan sepenuh tumpuan untuk belajar dan mengajar Islam kepada anaknya. Malah dia pernah berkata, tidak akan berkahwin lagi tanpa kebenaran Anas.

Terima tanpa emas dan perak
Selepas Rumaysa menjanda, Zayd ibn Sahl yang dikenali sebagai Abu Talhah melamarnya. Dia sangat yakin wanita itu tidak akan menolaknya. Abu Talhah lelaki hebat, kaya, memiliki banyak rumah, penunggang kuda dan pemanah yang cekap. Lagipun dia dari suku kaum yang sama dengan Rumaysa iaitu Banu Najjar.
     "Lelaki seperti kamu sukar ditolak. Tapi saya tidak akan mengahwini kamu selagi kamu belum Islam," kata Rumaysa.
     Abu Talhah menyangka Rumaysa mempunyai calon lain yang lebih kaya dan berpengaruh daripadanya. Sinisnya, "Apa yang sebenarnya menghalang kamu daripada menerima saya? Adakah emas atau perak?"
     "Saya bersumpah dengan nama Allah dan Rasulullah, jika kamu menerima Islam, saya akan menerima kamu sebagai suami tanpa emas dan perak. Keislaman kamu itu akan menjadi mahar saya."
     Abu Talhah terdiam terdiam memikirkan kata-kata itu. Dia teringat berhala yang diperbuat daripada kayu yang disembah dan diagungkan selama ini. Rumaysa mengambil kesempatan itu untuk berdakwah kepada Abu Talhah.
     "Tidakkah kamu tahu tuhan yang kamu sembah itu datang dari bumi?" "Saya tahu," balas Abu Talhah. "Jadi tidakkah kamu rasa bodoh menyembah kayu sedangkan kamu juga menggunakannya untuk membakar roti dan memanaskan tubuh? Kalau kamu dapat meninggalkan kepercayaan tersebut dan muslim, saya akan menerima kamu sebagai suami dan saya tidak akan minta apa-apa selain keislaman kamu."
     "Siapa yang akan mengajar saya mengenai Islam?" tanya Abu Talhah. "Saya!" "Bagaimana?" "Ucapkan pengakuan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Kemudian pulang ke rumah dan musnahkan semua berhala yang ada di sana."
     Abu Talhah pergi. Hatinya terkesan kuat kata-kata wanita itu. Kemudian dia datang semula dengan wajah berseri-seri. "Saya terima nasihat kamu. Saya mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan mengakui Muhammad pesuruh Allah."

Menyapu peluh di dahi
Selepas itu mereka berkahwin. Masyarakat Islam mengagumi perkahwinan tersebut kerana mereka tidak pernah mendengar mahar yang sebegitu berharga daripada mahar yang diletakkan Rumaysa.
     Abu Talhah banyak menyumbang kepada Islam. Dia salah seorang daripada 73 lelaki yang menyatakan kesetiaan kepada Rasulullah dalam Perjanjian Aqabah Kedua yang turut disertai Rumaysa.
     Dia hidup zuhud dan selalu berpuasa walaupun kaya dan punya dusun yang luas di Madinah. Suatu hari, ketika sedang bersolat di dusunnya, seekor burung berbulu warna-warni terbang rendah di hadapannya. Dia leka menyaksikan burung tersebut sehingga terlupa rakaat solatnya. Selesai solat, dia bertemu Rasulullah dan menceritakan hal itu. Di hadapan Rasulullah, akhirnya dia mengambil keputusan untuk mewakafkan dusunnya yang luas itu.
     Abu Talhah dan Rumaysa menjadi keluarga muslim yang dicontohi kerana taat setia dan khidmat mereka kepada Islam. Rasulullah sendiri pernah mengunjungi dan bersolat di rumah mereka. Kadangkala Rasulullah tidur di sana. Ketika baginda tidur, Rumaysa akan menyapu peluh di dahi baginda. Suatu ketika baginda terbangun dan bertanya apa yang dilakukannya. Kaya Rumaysa, "Saya mengambil peluh tuan sebagai berkat."

Memandikan jenazah
Rumaysa wanita hebat dan berani. Semasa perang Uhud, dia membawa badik di dalam bajunya. Dia memberi air, mententeramkan tentera yang cedera dan cuba menyelamatkan Rasulullah ketika tentera Islam diserang. Semasa peperangan Khanda', Rasulullah ternampak badik yang dibawanya dan bertanya. Katanya, "Senjata ini untuk berperang."
     Peranan Rumaysa membayangkan kekuatan dan kesabarannya yang unik. Ketika anak kecilnya, Umayr meninggal dunia dan suaminya berada di dusun, dia memandikan jenazah dan mengafankannya sendiri. Dia tidak mengizinkan suaminya kerana mahu memberitahunya sendiri akan berita yang sedih itu.
     Rumaysa adalah model muslimah, isteri dan ibu. Kepercayaannya kepada Allah kuat dan meyakinkan. Dia tidak bersedia untuk membahayakan kepercayaan dan membesarkan anaknya dalam kemewahan. Dia cintakan Rasulullah dan menghantar anaknya untuk berkhidmat kepada baginda. Dia bertanggungjawab mendidik sendiri anaknya dan memainkan peranan aktif dalam masyarakat, berkongsi kegembiraan dan kekuatan Islam.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -

Isnin, 1 Julai 2013

Barakah mulia di sisi Rasulullah

Barakah, gadis Abbysinia yang tidak dikenali asal-usulnya kerana sejak kecil dia dijual sebagai hamba di pasar Mekah. Namun tidak seperti hamba kanak-kanak lain, nasibnya lebih baik daripada mereka. Gadis bertuah itu dibeli oleh Abdullah Abdul Mutalib, dijadikan pembantu rumah dan selepas Abdullah berkahwin dengan Aminah Wahab, Barakah tinggal bersama mereka.
Dua minggu selepas Abdullah-Aminah berkahwin, Abdul Mutalib mengarahkan anaknya mengikut rombongan perniagaan ke Syria. Mendengarnya Aminah sangat sedih kerana terpaksa berpisah sedangkan mereka masih bergelar pengantin baru. Setiap hari Barakah memujuk puannya yang tidak mahu bercakap dan enggan bertemu sesiapapun kecuali bapa mertuanya.
Dua bulan selepas pemergian Abdullah, suatu pagi Aminah memberitahu Barakah dengan wajah riang. "Saya mengalami mimpi aneh. Saya nampak cahaya datang dari perut saya, menyinari gunung, bukit dan seluruh Mekah." "Barangkali puan hamil,"balas Barakah. "Ya, tetapi saya tidak terasa apa-apa seperti yang dirasakan wanita hamil lain," kata Aminah. "Puan akan melahirkan seorang bayi istimewa," kata Barakah lagi.
Tidak lama kemudian sampai berita bahawa pemerintah Yaman, Abrahah akan menyerang Kaabah. Aminah tertekan apabila diperintahkan Abdul Mutalib berpindah ke kawasan pergunungan untuk mengelak serangan itu. Aminah enggan. Dia yakin Abrahah tidak akan menyerang Kaabah kerana tempat tersebut akan dilindungi Tuhan. Keyakinannya menjadi nyata apabila tentera bergajah Abrahah gagal menawan Mekah sebaliknya hancur dengan serangan burung Ababil seperti yang dikisahkan dalam surah al-Fiil 1-5.
Aminah kerap memanggil-manggil suaminya dalam tidur. Dan Barakah pasti akan bangun mententeramkannya. Kepulangan rombongan perniagaan dari Syria disambut meriah oleh orang Mekah. Barakah senyap-senyap ke rumah Abdul Mutalib untuk mengintai  kelibat Abdullah tetapi hampa. Sehingga datang berita dari Yathrib mengkhabarkan Abdullah telah meninggal dunia.
Abdullah meninggal dunia
Aminah pengsan mendengarnya. Barakah setia menemani puannya, merawat dan mententeramkan Aminah sehingga wanita itu selamat melahirkan bayinya, Muhammad. Barakah orang pertama yang memeluk bayi mulia itu. Kemudian datuknya datang mengambil bayi tersebut, membawa ke Kaabah dan meraikan bersama orang Mekah. Sepanjang lima tahun, Muhammad dihantar ke luar bandar untuk dipelihara oleh Halimah. Barakah tinggal bersama Aminah. Muhammad kemudiannya dipulangkan dan Barakah orang paling gembira menyambutnya. Ketika Muhammad 6 tahun, Aminah berhasrat menziarahi pusara suaminya di Yathrib. Mereka bertiga berangkat bersama tetapi Aminah tidak memberitahu Muhammad tujuan keberangkatan mereka. Selepas merentasi perjalanan selama 10 hari, mereka sampai di Yathrib. Muhammad ditinggalkan di kediaman bapa saudara sebelah ibunya di perkampungan Banu Najjar sementara Aminah melawat pusara suaminya. Setiap hari selama beberapa minggu dia akan berada di pusara tersebut dan melayan kesedihannya.
Aminah Jatuh Sakit
Dalam perjalanan pulang, Aminah jatuh sakit. Di al-Abwa' iaitu pertengahan jalan antara Yathrib dan Mekah, mereka berhenti rehat. Demam Aminah semakin teruk dan dia memanggil Barakah. Dia merasakan ajalnya semakin hampir. Kepada Barakah, dia berpesan supaya menjaga Muhammad, jadikan dia sebagai anak dan jangan abaikannya yang telah kehilangan kasih ibu bapa.
Aminah meninggal di sana. Dengan tangannya sendiri, Barakah menguburkan Aminah. Kemudian dia membawa Muhammad kembali ke Mekah dan menempatkan kanak-kanak itu di bawah jagaan datuknya. Selepas Abdul Mutalib meninggal dunia dua tahun kemudian, Muhammad dipelihara bapa saudaranya Abu Talib dan Barakah tetap menjaga kebajikan Muhammad sehinggalah dewasa.
Muhammad memanggil Barakah sebagai ibu. Sehingga saat perkahwinannya dengan Khadijah, Muhammad memanggil Barakah. "Ibu, sekarang saya sudah berkahwin tetapi ibu masih belum berkahwin. Apa pendapat ibu sekiranya ada lelaki yang mengajak ibu berkahwin?" Barakah memandang Muhammad. "Ibu tidak akan meninggalkan kamu. Adakah seorang ibu yang mengabaikan anaknya?" Muhammad tersenyum dan mengucup dahinya. Dia memandang isterinya.
"Ini Barakah. Dia ibu saya selepas ibu kandung saya. Dia keluarga saya." Khadijah berkata,"Ibu telah mengorbankan usia remaja ibu untuk Muhammad. Sekarang dia mahu membayar pengorbanan ibu. Demi kami berdua, berkahwinlah sebelum usia tua mengambil ibu."
"Siapa yang akan mengahwini saya, puan?" tanya Barakah. "Seorang lelaki bani Khazraj Yathrib datang bertemu kami untuk melamar ibu. Demi saya, terimalah dia," kata Khadijah.
Berkahwin dengan Zayd
Barakah bersetuju. Dia mengahwini Ubayd ibnu Zayd dan tinggal di Yathrib. Hasil perkahwinannya, mereka beroleh anak lelaki, Ayman dan sejak itu ia dikenali sebagai Ummu Ayman yang bermaksud ibu kepada Ayman. Selepas suaminya meninggal dunia, dia kembali ke rumah Muhammad dan Khadijah. Tinggal bersama mereka ialah Ali ibn Abi Talib, Hind (anak perempuan Khadijah dengan suami pertama) dan Zayd ibn Harithah.
Zayd merupakan lelaki Arab dari bani Kalb yang diculik semasa kecil dan dijual sebagai hamba. Ia dihadiahkan oleh anak saudara Khadijah dan sangat akrab dengan Muhammad. Malah semasa bapa Zayd datang ke Mekah mencarinya, dia diberi pilihan untuk kembali kepada bapanya atau tinggal bersama Muhammad. Zayd membuat pilihan untuk tinggal bersama Muhammad dan kemudian dia dibebaskan. Barakah dan Zayd antara orang pertama yang menerima syahadah selepas Muhammad diangkat sebagai Rasulullah s.a.w. Suatu malam, kaum musyrikin menghalang laluan ke rumah Al-Arqam yang menjadi tempat Rasulullah menyampaikan kuliah agamanya. Barakah membawa pesanan Khadijah untuk disampaikan kepada Muhammad. Dia mempertaruhkan nyawanya untuk sampai ke rumah Al-Arqam. Selepas mendapat pesanan tersebut, Rasulullah mengumumkan kepada para sahabat. "Jika ada antara kamu yang ingin mengahwini wanita dari syurga, maka kahwinilah Ummu Ayman (Barakah)." Semua sahabat terdiam. Barakah bukan wanita yang cantik dan menawan. Usia sudah 50 tahun dan dia sudah tua. Berkata Zayd kepada Rasulullah, "Saya akan mengahwini Ummu Ayman. Demi Allah, dia lebih baik daripada wanita yang cantik." Mereka berkahwin dan dikurniakan anak lelaki, Usamah. Rasulullah sangat menyayangi Usamah bagai anaknya sendiri.
Merentasi padang pasir
Apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, Barakah ditinggalkan di Mekah untuk tujuan tertentu. Wanita itu kemudian berpindah sendirian ke Madinah merentasi padang pasir dalam panas terik dan ribut pasir. Kakinya pecah-pecah dan luka-luka dengan muka penuh berdebu. Rasulullah menyambut dan menyapu mukanya sambil mengurut kaki Barakah dengan penuh kasih sayang. Barakah melakukan peranan besar di Madinah. Dalam perang Uhud, dia bertugas memberi minuman kepada tentera yang cedera. Dia menemani Rasulullah dalam ekspedisi Khaibar dan Hunayn. Anaknya, Ayman mati shahid dalam perang Hunayn. Suaminya, Zayd terkorban dalam perang Mut'ah di Syria. Barakah dianggap unik kerana dia satu-satunya yang paling rapat dengan Rasulullah. Dia meninggal semasa zaman khalifah Uthman. Asal-usulnya tidak diketahui tetapi kesudahannya sudah pasti berada di syurga.

- Sumber dari NUR November 2002 -



Isnin, 11 Jun 2012

Aisyah Ummul Mukminin

Selain menjadi isteri kepada Rasulullah, Aisyah binti Abu Bakar merupakan seorang wanita yang memiliki pelbagai kepakaran dan ilmu pengetahuan. Sejarah Islam tidak pernah melupakan wanita agung ini kerana beliau merupakan idola wanita yang hidup sezaman dengannya dan juga sesudah itu.

Sebagai muslimah, wajar kita menjadikan Aisyah idola dalam mencari kehidupan yang syumul di dunia dan di akhirat. Sewaktu hayatnya, Aisyah telah memperlihatkan pencapaian tinggi dalam bidang ilmu dan pemikiran. Beliau menjadi pakar rujuk dalam bidang hadis dan sunnah, menjadi pedoman kepada muslimin dalam menyempurnakan urusan agamanya. Aisyah dikatakan mewarisi keperibadian ayahandanya Syaidina Abu Bakar As Siddiq, beliau juga merupakan isteri Rasulullah yang paling dicintai baginda.

Aisyah memasuki Madrasah Nabawiyah ketika berumur sembilan tahun apabila berkahwin dengan Rasulullah. Hidup bersama Rasulullah selama sembilan tahun, Aisyah banyak meriwayatkan ilmu dari baginda.

Aisyah lahir sebagai Islam, beliau muda lapan tahun dari puteri kedua Rasulullah, Fatimah. Aisyah digelar Al Humaira (mawar merah) kerana memiliki wajah yang begitu cantik. Beliau satu-satunya isteri Rasulullah yang masih gadis ketika berkahwin dengan baginda. Baginda sangat mencintai Aisyah. Ia pernah diriwayatkan oleh Imam Az Zahabi ketika Amr bin Al Ash bertanya baginda: "Siapakah orang yang paling baginda cintai?" Baginda menjawab: "Aisyah". Kemudian Amr bertanya lagi: "Siapakah di kalangan lelaki yang paling baginda cintai?" Baginda menjawab: "Ayah Aisyah".

Imam Az Zahabi juga meriwayatkan ramai orang memilihkan hadiah pada hari khusus untuk Aisyah. Keistimewaan lain yang dimiliki Aisyah ialah sembilan perkara yang telah diberikan kepada Maryam binti Imran, ibunda Nabi Isa. Keistimewaan dan keutamaan tersebut disebutkan Aisyah sebagai:
1. "Malaikat Jibril pernah turun dengan membawa berita tentang diriku, dan Rasulullah s.a.w. disuruh mengahwiniku"
2. "Rasulullah s.a.w. berkahwin denganku ketika aku masih gadis dan baginda tidak pernah kahwin dengan perawan selain aku"
3. "Ketika Rasulullah s.a.w. meninggal dunia, kepala baginda berada di pangkuanku."
4. " Sesungguhnya aku mengubur baginda dalam rumahku"
5. "Wahyu diturunkan kepada baginda ketika baginda sedang berselimut bersamaku"
6. "Aku adalah puteri khalifah dan orang kepercayaan baginda"
7. "Diturunkan wahyu untuk menyelesaikan perkara aku iaitu membela aku dari tuduhan munafik"
8. "Aku diciptakan sebagai wanita yang baik bagi lelaki yang baik"
9. "Aku diberi janji untuk memperolehi keampunan dan rezeki yang baik"

Dengan sembilan keistimewaan itu, sudah pasti Aisyah merupakan wanita yang paling beruntung kerana mempunyai suami yang mulia di dunia dan di akhirat. Hubungan Aisyah dengan Rasulullah sangat intim dan mesra, sehingga sebagai muslim kita patut mencontohi bagaimana layanan yang diberikan Rasulullah kepada Aisyah.

Aisyah berkata : "Saya pernah bermain dengan bermacam-macam anak patung, lalu datang beberapa orang sahabat wanita saya dan mereka menjauhkan diri dan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda keluar dan menyuruh mereka masuk, merekapun bermain-main dengan saya". Aisyah berkata lagi: "Rasulullah s.a.w. pernah masuk ke tempat saya ketika saya sedang bermain-main dengan beberapa anak patung, lalu baginda bertanya: "Apakah ini wahai Aisyah?", saya menjawab, "Ini kuda Salman yang mempunyai beberapa sayap" Lalu baginda pun tertawa" Demikianlah betapa mesranya baginda melayani Aisyah, lebih-lebih lagi ketika memperisterikannya, Aisyah masih terlalu mentah dan keanak-anakkan. Namun baginda tetap bersabar dengan kerenah isterinya.

Imam Az Zuhri meriwayatkan dari Urwah, dari Aisyah dia berkata: " Rasulullah s.a.w. pernah berdiri di depan pintu kamarku ketika orang-orang Habsyah sedang bermain anggar di masjid. Baginda melindungi saya dengan selendang baginda agar saya tidak dapat menyaksikan permainan mereka. Baginda terus sahaja melindungi saya sehingga akhirnya saya menjauh. Mereka bermain seperti wanita-wanita muda yang suka bermain."

Kecintaan Aisyah terhadap baginda Rasul menyebabkan Aisyah berasa cemburu terhadap isteri pertama Rasulullah Siti Khadijah. Aisyah pernah berkata, "Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti cemburu kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebutnya."

Imam Az Zahabi memberi penjelasan tentang hadis ini sebagaimana berikut: "Ini merupakan satu kecemburuan yang aneh, kerana Aisyah cemburu kepada seorang wanita tua yang sudah meninggal dunia beberapa waktu lamanya sebelum Rasulullah s.a.w. mengahwininya. Kemudian Allah SWT melindungi Aisyah daripada perasaan cemburu kepada wanita-wanita lain yang hidup bersamanya di sisi Rasulullah s.a.w. Ini merupakan bukti kasih sayang Allah kepada Rasulullah s.a.w., agar tidak terjadi pergaduhan dalam rumahtangga baginda. Mungkin juga yang meringankan kecemburuannya ini adalah kecintaan baginda yang begitu mendalam terhadapnya, kemudian Allah meredainya."

Bagaimanapun perasaan cemburu Aisyah dapat ditangani Rasulullah dengan caranya yang tersendiri. Selain kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah, Aisyah begitu gigih membela wanita dan mengangkat martabat mereka. Beliau tidak suka wanita yang melanggar hukum syarak.

Beliau pernah menghadapi wanita-wanita Himsh sambil membaca sabda Rasulullah s.a.w.: "Siapapun wanita yang melepaskan pakaiannya di luar rumah suaminya, bererti dia telah merosak tabir antara dia dengan Allah" (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Di dalam kitab Shahih Muslim disebutkan satu riwayat dari Aisyah r.a. beliau berkata: "Saya pernah dikunjungi seseorang, tetapi saya hanya mempunyai sebiji kurma. Lalu saya berikan kepadanya, kemudian dibahagikannya kepada kedua anaknya itu. Sedangkan dia sendiri tidak dapat sama sekali. Kemudian dia keluar bersama anaknya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. datang ke rumah saya. Kemudian saya ceritakan kepada baginda tentang wanita itu. Baginda bersabda: "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu mengenai anak-anak perempuannya, kemudian dia berbuat baik kepada mereka, maka kelak mereka akan menjadi penghalang baginya dari seksaan neraka."

Abu Salamah bin Abd Rahman mengatakan: "Aku tidak mengetahui seorangpun yang lebih mengerti tentang sunnah Rasulullah s.a.w. selain daripada Aisyah."

Aisyah juga sangat bagus tentang kefahamannya tentang al-Quran. Perkara ini hanya diketahui oleh beberapa orang sahabat sahaja. Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain membantu Aisyah dalam menyebarkan ilmu agama kepada kaum muslimin. Al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, anak saudara Aisyah mempunyai fatwa tersendiri pada zaman Abu Bakar, Umar dan Usman hinggalah beliau meninggal dunia. Semoga Allah merahmatinya.

Ibnu Abdil Barr mengatakan: "Sesungguhnya Aisyah memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bidang tafsir, hadis dan fekah, juga dalam bidang perubatan, syair dan sebagainya."

Demikianlah antara ilmu dan kebijaksanaan Aisyah, penghulu sekalian wanita muslim di dunia dan di akhirat. Semoga keperibadian indah yang dimiliki Aisyah menjadi ikutan kita semua, InsyaAllah.

- Sumber NUR Pengenalan -