Selasa, 23 Julai 2013

Petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. Ketika Berpuasa

Petunjuk puasa daripada Nabi Muhammad s.a.w. adalah yang paling sempurna, menepati maksud serta mudah penerapannya ke dalam setiap jiwa. Di antara petunjuk puasa daripada Rasulullah s.a.w. pada bulan Ramadhan adalah:

  1. Meningkatkan dan mempelbagaikan amal ibadat sama ada yang wajib atau sunat.
  2. Memperbanyakkan sedekah, membaca al-Quran, solat, zikir, iktikaf dan mengkhususkan beberapa jenis ibadah yang tidak baginda lakukan pada bulan-bulan lain.
  3. Menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktunya dan disunatkan dengan mendahului kurma atau air.
  4. Baginda bersahur pada waktu imsak di samping memberi semangat kepada sahabat serta umatnya untuk melakukan hal yang sama.
  5. Rasulullah s.a.w. melarang orang yang berpuasa mengucapkan kata-kata keji atau caci maki.
  6. Jika baginda bermusafir pada bulan Ramadhan, adakalanya baginda meneruskan puasa dan kadangkala berbuka.
  7. Baginda pernah dalam keadaan junub (selepas menggauli isterinya) ketika fajar, lalu segera mandi junub walaupun telah fajar dan tetap berpuasa pada siang hari itu.
  8. Rasulullah s.a.w. juga membebaskan daripada qada puasa bagi sesiapa yang termakan atau terminum kerana terlupa dan tidak sengaja.
  9. Dalam riwayat yang sahih ada disebutkan bahawa baginda pernah bersiwak (menggosok gigi) ketika berpuasa.
  10. Imam Ahmad juga pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menuangkan air di atas kepala dalam kadaan dirinya berpuasa.
  11. Semasa berpuasa juga baginda pernah melakukan istinsyaq (menyedut air ke dalam hidung) serta berkumur. Tetapi baginda melarang orang yang berpuasa melakukan istinsyaq secara berlebih-lebihan.
- Rujuk Kitab Zaadul Ma'ad fi Hadyi Khairil 'Ibaad, I/320-338


- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -