رمضان سيد الشهور
Maksudnya: "Ramadhan adalah penghulu segala bulan."
- Hadis riwayat al-Dailami bin Bizar
Sebagaimana yang diriwayatkan Talhah bin Ubaidullah r.a. bahawa seorang lelaki Badwi telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang Islam. Lalu baginda menjawab:
و صيام رمضان, قال: هل علي غيره؟ قال: لا, إلا أنه تطوع...
Maksudnya: "...Dan puasa Ramadhan. Lelaki itu bertanya: Adakah bagiku selainnya (puasa itu)? Rasulullah s.a.w. menjawab: Tidak, melainkan ia dilakukan secara kerelaan hati."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
Bilakah Diwajibkan Berpuasa?
Selepas peristiwa Hijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w. berpuasa selama tiga hari pada setiap bulan dan juga pada Hari Asyura. Hakikatnya, puasa telah diamalkan oleh umat-umat terdahulu dan ahli kitab.
Sehinggalah pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah, Allah S.W.T. telah menurunkan ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam wajib berpuasa pada bulan Ramadhan seperti firman-NYA:
يَآأَيُّهَا اَلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامَ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."
- Surah al-Baqarah:183
Maka Rasulullah s.a.w. pun mula berpuasa pada bulan Ramadhan dan berkesempatan menunaikannya selama sembilan tahun sehingga baginda wafat pada bulan Rabiulawal ke-11 Hijrah.
Pensyariatan Puasa
Berdasarkan tiga sumber hukum utama dalam Islam iaitu:
* Al-Quran:
Asal pensyariatan puasa adalah sebagaimana disebutkan oleh ALLAH SWT:
يَآأَيُّهَا اَلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامَ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."
- Surah al-Baqarah:183
Pada ketika itu, ALLAH SWT hanya mewajibkan puasa pada bulan Ramadhan tanpa menentukan jumlah harinya. Kemudian ALLAH SWT berfirman lagi:
اَيَّامًا مَّعْدُودَتٍ
"(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu."
- Surah al-Baqarah:ayat 184
Di dalam ayat ini, ALLAH SWT telah menentukan jumlah hari yang perlu dihabiskan untuk berpuasa tetapi belum menjelaskan bilakah bermulanya puasa Ramadhan itu. Maka ALLAH SWT menyambung firman-NYA:
شَهْرُ رَمَضَانَ اَلَّذِى أُنزِلَ فِيهِ اَلْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ . فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara kamu yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahui), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu." - Surah al-Baqarah:185
Akhirnya, ALLAH SWT telah menjelaskan masa permulaan puasa Ramadhan itu selepas menyebutnya secara samar-samar sebelumnya.
* Hadis
Sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
بني السلام على خمس : شهادة أن لآ إله إلا الله , وأن محمدا رسول الله, و إقام الصلاة, و إيتاء الزكاة, و حج البيت, و صوم رمضان
Maksudnya: "Islam itu terbina di atas lima perkara: Persaksian bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad pesuruh ALLAH, mengerjakan solat, membayar zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan." - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
*Ijmak:
Ulama bersepakat mengenai kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan dan ia amat diketahui sebagai salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.
- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -