Isnin, 22 Julai 2013

Pengertian Puasa Ramadhan

Takrif Puasa

Bahasa: Menahan diri daripada makan, minum dan percakapan. Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH S.W.T. yang menceritakan perihal Maryam iaitu:

إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَن صَوْمًا
Maksudnya : "Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana ALLAH yang bersifat ar-Rahman." - Surah Maryam:26

Syarak : Menahan diri daripada berbuka pada masa yang tertentu (iaitu bermula daripada terbit fajar sehingga terbenamnya matahari), untuk orang yang tertentu (seorang mukalaf dan disertakan dengan niat).

Takrif Ramadhan

Ramadhan menurut bahasa bermaksud kepanasan atau batu-batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Islam yang berada di antara Syaaban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan atau diamanahkan kepada umat Islam untuk berpuasa.
Al-Qurtubi berkata : Dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan yang soleh. Ini kerana ia diambil daripada kalimah الإرماض yang bermaksud membakar.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa simbolik panasnya Ramadhan itu bertujuan untuk memberi kesan kepada hati orang yang berpuasa mengingati pembalasan hari akhirat. Ini menunjukkan bahawa nama Ramadhan diberi bertepatan dengan cuaca yang panas terik pada ketika itu. Lazimnya, orang Arab memberi nama bulan-bulan Islam berdasarkan sifat bulan tersebut.


- Sumber dari TAZKIRAH oleh Karangkraf -