Segalanya bermula tanpa dirancang. Pertemuan lebih dua tahun di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), merupakan hari bersejarah bagi Norhani Hadi (bukan nama sebenar), 45. Bekerja sebagai kerani kanan di sebuah bank terkemuka, wanita ini menganggap perkenalannya dengan Mohamad (bukan nama sebenar) seorang pengarah dari salah sebuah jabatan kerajaan hanyalah pertemuan biasa antara saudara Islam. Tegur sapa dan berbual kosong sementara menunggu temannya bukanlah sesuatu yang aneh. Tidak terlintas di fikiran Norhani bahawa pertemuan itu akan berlanjutan sehingga ke jinjang pelamin jauh sekali untuk menjadi isteri kedua.
"Entahlah, sudah jodoh dan suratan takdir, mustahil untuk dihindari. Bukan saya mahukan semua ini berlaku. Semenjak pertemuan itu, Mohamad mula menghubungi saya untuk bertanya khabar. Ikatan persahabatan yang terjalin baik membolehkan kami bertukar-tukar pendapat dan berkongsi masalah termasuklah masalah dengan isterinya, seorang suri rumahtangga sepenuh masa yang dominan. Mohamad ada menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita ideal sebagai isteri kedua. Dia mengaku mempunyai dua orang calon untuk dipilih isitu seorang janda dan seorang gadis berusia awal 20-an. Saya tidak menyalahi niatnya untuk berkahwin lebih kerana dia mampu dan berada dalam situasi tertekan," ceritanya sambil tersenyum mengimbas hubungan persahabatan mereka di peringkat awal.
Memberi nasihat
Menurutnya, sebagai seorang sahabat dia hanya mampu memberi nasihat dan pandangan menyelesaikan dilema yang dihadapi oleh rakannya itu. Norhani menyuarakan pendapatnya bahawa adalah lebih baik jika Mohamad memilih janda berbanding gadis yang usianya lebih kurang sama dengan anak gadis sendiri.
Mempunyai isteri jauh lebih muda bukan sahaja perlu menghadapi sikap dan fikirannya yang belum matang malah perlu melakukan banyak pengorbanan. Persoalannya sekarang mampukah Mohamad melayani kehendak isteri yang terlalu muda? Sebaliknya apabila berkahwin dengan janda sekurang-kurangnya wanita itu faham peranan sebagai seorang isteri serta cara berfikir juga lebih matang.
"Apabila mendengarkan pandangan tersebut, terfikir semula buruk baik tindakan yang bakal diambil. Mungkin fikiran semakin buntu dan kebetulan saya sentiasa ada untuk dihubungi, lama kelamaan hubungan kami berkembang menjadi hubungan yang lebih intim."
"Masa bercinta bukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh anak-anak muda sekarang yang kerap berjumpa. Jika diingati semula kami hanya berjumpa waktu makan tengahari ketika dia ada urusan rasmi di Kuala Lumpur," terang Norhani anak ke enam dari lapan adik beradik ini.
Menjelaskan perkembangan lanjut hubungannya dengan suami orang, Norhani berkata,"Lebih setahun kami berkawan rapat dan Mohamad mengambil keputusan untuk mengahwini saya. Yakin dan memahami hati budinya saya bawa dia berjumpa dengan keluarga saya. Ketika itu tiada seorangpun yang tahu status sebenarnya kecuali adik di bawah saya. Hanya pada hari pernikahan bakal suami berterus-terang tentang statusnya dan mengaku mempunyai tiga orang anak. Tetapi alhamdulillah kami tidak mendapat sebarang tentangan dari keluarga saya mahupun keluarga suami, malah ahli keluarganya amat bersyukur dengan kehadiran saya sebagai isteri kedua. Pelik tetapi itulah keadaannya. Perkahwinan itu juga tidak diketahui isteri pertama."
Mohamad ada memberitahu bahawa walau apa yang terjadi selepas perkahwinan ini, Norhani perlu bersabar dan bersedia menghadapi risiko seperti serangan dari isteri pertama atau sindiran orang sekeliling. Lumrah dan bagaikan suatu budaya dalam masyarakat, perkahwinan kedua sering disalah anggap tanpa mengetahui faktor-faktor menyokong perkahwinan tersebut. Persepsi negatif terhadap isteri muda bagai sudah sebati dalam jiwa masyarakat walaupun agama mengizinkannya.
Tidak ambil hati
Bagi Norhani, jika hendak difikirkan risiko, setiap perkahwinan akan menghadapinya. Dia sendiri tidak menafikan pernah berfikiran negatif seperti bimbang disimbahi asid oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Bagi memberi kekuatan kepada diri sendiri, Norhani sering menguatkan semangat dengan kata-kata bahawa perkahwinan dengan lelaki bujang sekalipun tidak menjamin kebahagiaan mutlak serta lari dari risiko. Perkara yang berbeza hanyalah bentuk risiko itu dan kaedah mengatasinya.
"Akhirnya hubungan kami diketahui oleh isteri pertamanya, tetapi alhamdulillah, setakat ini saya tidak diganggu secara fizikal olehnya. Cuma masa untuk bersama suami amat terhad iaitu sekali dalam seminggu iaitu hari bekerja. Saya tahu ketidakadilan dari segi penggiliran berlaku dalam kes saya ini, tetapi itulah salah satu risikonya. Sehingga kini saya tidak ambil hati sangat kerana yakin pasti ada hikmah semua ini berlaku. Tambahan pula saya bekerja dan masa banyak dihabiskan di pejabat. Perasaan sunyi jarang menerjah berbanding jika saya menjadi suri rumahtangga sepenuh masa."
"Saya cuba memahami masalah yang menghantuinya semenjak dia mendirikan rumahtangga 20 tahun lalu. Mohamad dididik agar menghargai dan menghormati wanita. Sifat lembutnya telah memakan diri sendiri kerana 'malas' hendak bersuara jika berlaku perbalahan antara dia dan madu saya. Banyak perkara yang dipendamkannya dan dalam keadaan ini, dia memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan dan mengharap limpahan kasih sayang seorang isteri. Alhamdulillah kehadiran saya meringankan sedikit tekanan perasaannya itu. Bila difikirkan saya ini boleh diibaratkan seperti 'bumper' iaitu penahan agar isteri pertama tidak lepas laku. Sungguhpun begitu, suami saya seorang yang penyayang dan bertanggungjawab menyediakan semua keperluan material seperti perbelanjaan dan kediaman," ceritanya panjang lebar.
Setelah bergelar isteri, Norhani teringin juga untuk bertemu dengan madunya. Kebetulan keluarga sebelah suami 'turun' ke Kuala Lumpur, dia berpeluang untuk bertemu dengan madunya tanpa disedari oleh madunya itu.
"Saya menyambutnya mesra malah dia juga tidak sangsi dengan kehadiran saya. Malah sempat menanyakan sama ada saya merupakan keluarga jauh Mohamad. Pada ketika itu saya hanya mampu tersenyum dan alhamdulillah ahli keluarga lain tidak pula membuka suara memberitahu kedudukan sebenar. Selang beberapa hari, mama sedar saya adalah isteri muda Mohamad. Mulai dari hari itu dia memberi amaran kepada Mohamad jangan sekali-kali mencuba untuk menemukannya dengan saya."
"Di peringkat permulaan, mama kelihatan reda dengan kehadiran saya, namun tidak tahu pula semenjak kebelakangan ini sikapnya sudah berubah. Saya diganggu secara mental apabila mama menggugut Mohamad agar menghabiskan masa bersama dia sekeluarga. Ini semua kehendak Allah dan saya terima dengan sabar," katanya.
Menurut Norhani dia perlu bersikap positif dalam mengharungi hari mendatang. Bagi mengurangi kemelut di jiwa, dia pernah mengutus dua pucuk surat kepada madunya memohon maaf atas perkara yang berlaku. Norhani juga memberanikan diri dengan memberi nasihat agar madunya tidak mengikut perasaan dan bermuhasabah diri. Surat dikirim bukan hendak menunjuk bijak, tetapi sekadar untuk menjernihkan keadaan.
"Sama ada dia terima baik surat saya atau tidak itu terserah kepadanya. Saya yakin bahawa saya telah menjalankan tugas saya sebaiknya. Insya-Allah. Pada ketika ini isu penggiliran yang kurang adil mungkin merupakan satu rahmat kepada saya juga. Apabila sekali-sekala bertemu, perasaan rindu dan sayang semakin menebal. Kami seperti dua insan yang sedang hangat bercinta apabila bersua. Bagi saya, ini adalah yang terbaik dan alhamdulillah kami dapat laluinya dengan penuh kebahagiaan," jelasnya dengan senyuman manis di bibir.
Anak-anak tiri
"Menangani anak-anak tiri, saya belum pernah berjumpa dengan mereka. Mereka sudah dewasa dan boleh berfikir dengan baik. Saya cuma berharap mereka tidak menganggap saya sebagai pengganggu keharmonian keluarga mereka. Jika ada peluang saya mahu mengenali mereka dengan lebih rapat."
Sebelum mengakhiri pertemuan penulis bersama Norhani, dia sempat memberikan sedikit nasihat kepada isteri-isteri muda dan bakal isteri muda iaitu mereka perlu sanggup menghadapi risiko berat berkahwin dengan suami orang. Selain itu jangan meminta sesuatu secara berlebihan atau membanding-bandingkan kelebihan yang diterima oleh isteri-isteri lain.
Cuba faham kedudukan suami. Paling utama ialah wanita tersebut perlu berani dan memiliki ketahanan mental dan fizikal. Sebelum mengambil keputusan, selidik dahulu bakal suami dari sudut agama, tanggungjawabnya, kemampuan dari segi menyediakan keperluan material dan sebagainya. Ketahui juga bagaimana hubungannya dengan keluarganya.
Siasat sama ada dia menghadapi masalah berat bersama isteri pertama. Akhir sekali jangan berkahwin kerana ghairah hendak berkahwin. Pastikan bersedia segala-galanya. Jika semua ini dapat dipenuhi, Insya-Allah tiada masalah besar yang tidak dapat diselesaikan.
- Sumber dari NUR Januari 2003 -