Isnin, 15 Julai 2013

Puasa, Peluang Untuk Berjimat

Undangan ke majlis berbuka puasa mungkin banyak anda terima. Selepas berlapar pada siang hari, waktu berbuka puasa mungkin saat untuk anda menikmati pelbagai hidangan. Tapi, itu bukan cara terbaik untuk kesihatan tubuh badan anda. Lagipun bulan Ramadan sebenarnya untuk anda menguji tahap kesabaran dalam menghadapi dugaan nafsu selera makan. Selain itu, pada bulan Ramadan anda sebenarnya boleh 'menjimatkan' wang dan selera anda.

1. Kalau pada hari biasa, anda mengambil tiga atau empat kali sehari, iaitu makan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam. Pada bulan Ramadan, anda hanya perlu berbuka puasa dan bersahur sahaja. Ini bermakna anda boleh menjimatkan wang kerana tidak perlu membeli sarapan dan makan tengahari. Jadi kalau dalam sehari anda perlu memperuntukkan RM10 untuk belanja makan, bulan Ramadan ini, bolehlah anda simpan separuh duit makan anda.

2. Jangan berbuka secara berlebih-lebihan. Jangan gunakan wang itu untuk membeli kuih-muih dan lauk-pauk secara berlebihan. Ini tidak akan membawa apa-apa makna.

3. Disiplinkan diri dengan tidak membawa banyak wang setiap hari. Kalau bulan lain anda biasa membawa RM50 dalam poket, pada bulan Ramadan, kurangkan kepada RM30 sahaja. Dengan kata lain, bawa wang hanya untuk urusan seperti membeli minyak kereta, membayar duit tol, tambang bas atau teksi sahaja.

4. Selain belajar menjimatkan kewangan, ketika berbuka puasa sentiasalah belajar untuk 'menjimatkan' nafsu makan. Ada di kalangan kita tidak bangun bersahur. Mereka lebih suka makan banyak pada waktu berbuka puasa atau mengambil makanan sekali lain sebelum masuk tidur. Cara ini sebenarnya tidak betul. Makan secara sederhana ketika berbuka. Bangun pada waktu sahur. Selain beroleh pahala sunat bersahur, makanan yang anda ambil itu boleh membantu mengurangkan lapar pada siang hari. Secara sedar atau tidak, sebenarnya jika anda terlalu lapar pada waktu berbuka, ia mendorong anda membeli pelbagai jenis makanan mengikut nafsu semata-mata. Sedangkan hakikatnya anda tidak mampu untuk menghabiskan semua makanan itu. Itu pembaziran namanya.

- Sumber dari majalah NUR -