Selasa, 17 Disember 2013

Kesakitan Waktu Melahirkan

14 Safar 1435

Apabila tiba hari untuk melahirkan, ramai ibu yang bimbang akan merasa sakit yang teramat sangat. Justeru, pelbagai petua diamalkan untuk mengurangkan rasa sakit ini dan memudahkan proses kelahiran.
     Selama si ibu mengandung, otot rahim seringkali berkontraksi disertai dengan rahim yang mengeras. Kejadian ini tidak begitu terasa sehingga adakalanya tidak disedari, kontraksi semakin kerap dan kuat sehingga si ibu mulai terasa sakit. Gejala ini disebut 'persalinan samar' dan biasanya terjadi pada mereka yang mengandung anak kedua dan seterusnya.
     Saat kelahiran sebenarnya bermula pada saat kontraksi semakin kerap dan berlaku secara teratur. Semakin dekat proses kelahiran semakin kerap terjadinya kontraksi iaitu setiap tiga hingga lima minit sekali serta berlangsung lebih lama, sekitar 30-90 saat. Tanda lain ialah keluarnya lendir bercampur darah melalui vagina. Lendir ini mulanya menyumbat leher rahim dan terdorong keluar oleh kontraksi yang membuka pintu rahim. Setelah itu kontraksi yang membuka pintu rahim. Setelah itu kontraksi semakin kerap terjadi dan selaput ketuban akan pecah di mana air ketuban akan keluar dalam jumlah yang banyak.
     Pada masa kini, apabila kita mengambil keputusan untuk melahirkan di hospital, berbagai cara dan ubatan boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit bersalin. Sokongan moral suami, ibu atau saudara juga sangat penting. Sebagai seorang Muslim, amalan doa dan zikir, kawalan pernafasan, berjalan-jalan, membaca, menonton televisyen di peringkat awal boleh membantu.

Ubat Penahan Sakit
Terdapat beberapa jenis ubat yang diberikan oleh doktor kepada ibu yang merasakan kesakitan yang amat sangat sewaktu melahirkan. Ubat-ubat ini diberi sama ada secara suntikan, ubat gas yang disedut ataupun bius saraf 'Epidural'.
     Ubat penawar secara suntikan boleh menahan sakit sehingga empat jam. Tetapi kadangkala ia kurang berkesan. Ubat gas sedut sesuai untuk digunakan apabila masa hendak bersalin sudah terlalu hampir manakala bius saraf epidural biasanya menghilangkan kesakitan dan kuncupan rahim tidak dapat dirasai langsung. Mungkin kaedah ini terus menghapuskan satu nikmat Allah iaitu 'sakit bersalin'. Bagaimanapun ia amat berguna bagi kehamilan sulong dan bagi mereka yang tidak tahan sakit. Kebanyakan dari mereka ini memerlukan kelahiran forsep atau sedutan vakum.

Proses Kelahiran
Apabila pintu rahim terbuka sepenuhnya (fully dialted), ibu akan merasa seolah-olah hendak buang air besar dan secara otomatik ia akan meneran seperti kena sembelit. Ini disebabkan kepala bayi telah menekan pada usus besar dan dubur.
     Ketika ini si ibu memerlukan tenaga yang kuat untuk menolak keluar kepala bayi. Apabila sakit kuncupan rahim mula dirasai, sedut nafas berpanjangan, tahan dan teran sekuat-kuatnya untuk menolak bayi keluar. Baca 'Subhanallah' sebanyak yang boleh. Di dalam hati tetapkan iman dan berserahkan kepada kekuasaan Allah. Doktor atau bidan akan menyambut kelahiran.
     Ketika proses kelahiran ini, biasanya doktor akan melakukan 'Episiotomy' atau gunting pintu faraj. Ini bertujuan mengelakkan rahim daripada terkoyak yang mungkin sukar untuk dijahit. Sesetengah bidan amat mahir  menyambut kelahiran bayi tanpa berlakunya koyakkan pada faraj.

PERINGKAT MENYAMBUT KELAHIRAN
1. Belakang faraj dipertahan untuk mencegah koyak ketika kepala bayi hendak keluar.
2. Dengan tangan kanan menjaga belakang faraj, tangan kiri bidan mengawal kepala bayi keluar.
3. Segala lendir dan cecair perlu dikeluarkan dari mulut bayi yang baru lahir untuk mencecah ia daripada masuk ke paru-paru.
4. Uri ditarik keluar, manakala tangan kiri bidan mengawal rahim pada bawah perut.
5. Uri diperiksa, lengkap atau tidak. Kemudian dibersihkan, dibungkus kain putih dan seterusnya ditanam.
6. Azankan telinga kanan dan aqamah pada telinga kiri. Bacakan mana-mana surah al-Quran yang dihafal bapanya.

AMALAN MEMASUKI BULAN KELAHIRAN
Apabila tiba bulan untuk melahirkan, sepatutnyalah para ibu mengikuti nasihat-nasihat seperti berikut, iaitu ketika menuju ke hospital maka hendaklah anda mengikuti petunjuk di bawah ini.
1. Bertawakallah kepada Allah s.w.t.
2. Berkomunikasilah dengan Allah s.w.t. dengan perantaraan doa serta bermohonlah kepada-Nya agar (dimudahkan ketika melahirkan). Tentulah Allah swt mengabulkan permohonan hamba-Nya, sebagaimana tersebut dalam firman-Nya yang berbunyi;
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah :186)
3. Sebutlah nama Allah sebanyak mungkin dan jangan lupa membaca doa keluar rumah, iaitu:
"Dengan nama Allah aku berserah diri kepada Allah yang maha kuasa dan tidak daya upaya kecuali atas pertolongan Allah."
4. Perbanyaklah istighfar
5. Setelah selesai melahirkan, sangat ditekankan sekali membaca doa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari seperti berikut :
"Aku berlindung dengan kalimah Allah yang amat sempurna dari segala gangguan syaitan dan juga dari segala haiwan yang berbisa, dan juga dari pandangan mata yang jahat."
6. Namun apabila ditakdirkan bayi yang dilahirkan meninggal dunia, maka hendaklah bersabar dan tidak melunturkan keikhlasan atas ketetapan Allah yang berlaku. Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, dari Ummu Salamah, agar sebaiknya keluarga yang terkena musibah mengucapkan doa tawakal dan penuh harapan;
"Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya Kami akan kembali kepada-Nya, Ya...Allah, berilah kami ganjaran dalam musibah ini, lalu berilah aku gantinya dengan yang lebih baik lagi."
7. Lakukanlah semua itu dengan lapang dada dan ingatlah sesungguhnya Allah telah menjadikanmu seorang wanita yang tetap dalam garis fitrahnya, dengan meringankan apa-apa yang tidak dibebankan keadaanmu apa-apa yang telah diamanatkan kepada laki-laki.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -