Isnin, 16 Disember 2013

10 Panduan Mendidik Anak

13 Safar 1435

Dari Abu Hurairah r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Setiap anak dilahirkan berdasarkan fitrah, lalu kedua orang tuanyalah yang membuatnya memeluk agama Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana haiwan yang juga melahirkan haiwan, semuanya. Apakah kalian boleh merasakan di antara haiwan itu ada yang buruk makanannya?"
     Anak adalah amanat dari Allah swt. Pembentukan sahsiah anak bergantung pada cara didikan yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaganya. Pada waktu-waktu awal daripada kehidupannya, anak akan menerima pengarahan atau ajaran dari kedua orang tuanya. Maka tanggungjawab untuk mendidik anak ke arah kebaikan berada di atas bahu orang tuanya.
     Masa kini dunia semakin maju. Ramai di kalangan ibu bapa yang mempunyai masa yang begitu terhad untuk bersama anak-anak. Tuntutan hidup memaksa ibu bapa moden masa kini keluar bekerja. Justeru cara dalam membimbing dan mendidik anak merupakan masalah yang sangat penting dan menonjol.
     Anak-anak sejak dari kecil perlu dibiasakan dan diajar hal-hal yang baik agar ia akan membesar dan menjadi insan yang bahagia di dunia dan akhirat. Jika dia dibiasakan dan diajar hal-hal yang buruk dan diabaikan seumpama binatang, tentu dia akan menderita dan rosak. Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk membentuk anak-anak ini, mereka akan turut berdosa kerana membiarkan anak-anak hidup tanpa pegangan dan haluan yang betul. Allah berfirman; "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka," (At-Tahrim : 6).
     Sekalipun ibu bapanya memeliharanya dari api neraka dunia, tapi memeliharanya dari api neraka jauh lebih baik. Bapa juga berkewajipan memeliharanya dengan mendidik, membimbing, mengajarnya akhlak yang baik dan menjauhkannya dari teman-teman yang buruk.
     Islam menganjurkan beberapa garis panduan yang berguna dan baik bagi ibu bapa membentuk dan mendidik anak-anak mereka selari dengan tuntutan agama yang suci ini.
1. Hidup Mewah
Tidak boleh membiasakannya hidup mewah, tidak boleh membuatkannya menyenangi hiasan dan kesenangan sehingga si anak akan menghabiskan usianya untuk mendapatkan kesenangan dan kemewahan tersebut setelah besar nanti yang akhirnya akan menyeretnya kepada kehancuran.
2. Awasi sepanjang masa
Sebagai ibu bapa kita perlu mengawasi anak kita sepanjang masa. Tidak boleh mengambil pembantu sepanjang masa. Tidak boleh mengambil pembantu atau orang yang menyusui kecuali wanita solehah, berpegang kepada agama dan hanya memakan yang halal-halal.
3. Anak yang pemalu
Pengawasan terhadap anak juga harus dilakukan dengan anak-anak yang baik. Jika anak merasa malu dan tidak mahu melakukan sebahagian perbuatan, maka hal itu tidak dilakukan kecuali kerana kemuliaan akalnya. Anak pemalu juga tidak boleh diremehkan, tetapi dia harus dididik sesuai dengan keadaannya yang pemalu.
4. Bersopan ketika makan
Jika ada sifat anak yang menjurus kepada keburukan tatkala makan, maka ibu bapa harus segera menegurnya, seperti nasihat supaya makan dengan menggunakan tangan kanan, membaca bismillah sebelum makan, mengambil makanan yang dekat dengan tempatnya terlebih dahulu. Tidak boleh meninggalkan tempat makan lebih awal dari yang lain, tidak boleh memandang dengan pandangan yang tajam kepada orang lain yang makan dengannya, tidak terlalu cepat ketika mengunyah, tidak boleh bercakap-cakap ketika mulut penuh dengan makanan atau ketika mengunyah, tidak menyuap secara terus menerus tanpa ada jaraknya, tidak boleh mengotori bajunya, sesekali mengajarnya agar memakan roti tawar bagi menginsafi dan bersyukur dengan apa yang ada dan melarangnya makan dengan terlalu banyak.
5. Pakaian
Membiasakan mengenakan pakaian tidak berwarna-warni dan sutera atau yang mahal-mahal. Jangan biasakan anak berpakaian untuk menunjuk-nunjuk dengan orang lain atau untuk bermegah-megah. Kebiasaan hidup mewah dan bersenang-senang akan mendatangkan bahaya yang sangat menakutkan pada diri anak di kemudian hari. Setelah dewasa, dia akan cenderung enggan bekerja, malas dan takut bekerja keras sehingga dia menjadi beban orang lain. Rasulullah saw melarang hidup bersenang-senang dalam sabdanya; " Jauhilah hidup bersenang-senang, kerana hamba-hamba Allah itu bukanlah orang yang hidup bersenang-senang" - (Diriwayatkan Ahmad)
6. Beri perhatian
Anak yang tidak mendapat perhatian dan diabaikan pada awal masa pertumbuhannya, majoriti akhlaknya buruk, pendusta, pendengki, suka mengadu, suka mencuri, memaksa, berbual kosong dan bercanda ria. Semua kelakuan ini boleh dihindarkan dengan bimbingan dan ajaran. Banyakkan aktiviti anak-anak dengan mempelajari al-Quran, hadis, kisah para pejuang Islam dan keadaan mereka serta kisah-kisah dan tauladan yang berguna agar di dalam jiwanya tertanam kecintaan kepada orang-orang soleh dan menebal kekuatan imannya.
7. Menegur
Jika anak memperlihatkan akhlak yang baik, maka mereka perlu mendapat pujian atau hadiah yang menyenangkan hatinya atau dipuji di hadapan orang lain. Jika sesekali dia melakukan yang buruk, maka keburukannya tidak perlu diungkap secara langsung. apabila jika dia sendiri berusaha untuk menutupi dan menampakkannya. Kecuali, jika perbuatannya ini akan menjurus kepada kebiasaan. Sebab, jika sekali dia tidak ditegur kerana melakukan keburukan pada masa lain dikhuatiri dia akan mengulangi lagi. Dalam keadaan seperti ini dia akan mengulanginya lagi. Dalam keadaan seperti ini dia boleh diperingatkan secara halus, "Janganlah kamu mengulangi lagi. Jika tidak semua orang akan tahu apa yang kamu lakukan."
     Anak tidak boleh terlalu sering diherdik dan dicela. Perbuatan ini lama kelamaan akan menjadikan dia kebal dan lali dengan celaan dan herdikan serta tidak ada yang membekas di dalam hatinya. Sebagai ibu bapa kita harus  mempertimbangkan apa yang akan diucapkan di hadapan anak-anak kita.
8. Tawaduk
Ajar anak agar tidak membanggakan diri di hadapan teman-temannya. Tetapi dia harus dibiasakan tawadhu' dan menghormati setiap orang yang bergaul dengannya serta berkata secara lemah lembut dan penuh hikmah. Cuba jangan biasakan anak mengambil apa juga benda yang ada di hadapannya, sebaliknya latihlah anak bersedekah dan menghulurkannya bantuan, samada bentuk kebendaan dan pertolongan kepada orang lain.
9. Bersopan dengan tetamu
Biasakan anak agar tidak meludah di tempat duduknya dan membuang hingus di hadapan tetamu atau sesiapa sahaja yang berada di hadapannya. Tidak boleh melompat-lompat selagi ada tetamu. Tidak boleh mengganggu, tidak boleh meletakkan kaki di atas kaki yang lain, tidak meletakkan telapak tangan di bawah dagu atau menyandarkan kepala di lengan tangan, kerana perbuatan ini menunjukkan sifat kemalasan. Anak-anak mestilah dilatih cara duduk yang baik dan tidak boleh terlalu banyak berbicara. Perbuatan seperti ini akan menunjukkan sifat tidak tahu malu.
10. Bermain
Sekembali dari sekolah, anak diberi kesempatan untuk bermain yang baik-baik. Kelonggaran ini akan memberikan rasa selesa dan keseronokkan agar dia dapat beristirehat setelah penat di sekolah. Jangan sesekali memaksa anak untuk terus menerus belajar. Perbuatan ini hanya akan mematikan hatinya, membekukan kecerdikkannya dan menjemukan hidupnya, sehingga dia akan mencari-cari alasan untuk keluar dari keadaannya ini.
11. Perintah agama
Apabila anak sudah mencapai usia baligh, maka dia tidak diberi kesempatan sedikitpun untuk meninggalkan bersuci dan solat, diperintahkan berpuasa pada bulan Ramadhan, diajari hukum-hukum syariat yang diperlukan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sering memperingatkan dalam kehidupan seharian. Sering memperingatkannya dari tindak pencurian, memakan yang haram, khianat, dusta dan perkataan keji.

     Kesimpulannya, jika sejak kecil para ibu bapa mendidik anak-anak mereka berdasarkan panduan ini sudah pasti mereka akan menjadi insan yang baik di dunia dan di akhirat kelak.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -