Isnin, 8 Julai 2013

Risiko Menjadi Seorang Lelaki

Bersama : Dr HM Tuah Iskandar al-Haj

Pertanyaan
Ada orang mengatakan wanita adalah peruntuh hidup lelaki. Lelaki sebenarnya sempurna, tapi apabila dia mula didatangi wanita, dia akan runtuh. Buktinya Nabi Adam a.s. Ketika baginda seorang diri di syurga semuanya baik, tapi sebaik sahaja baginda diberi teman iaitu Hawa, seorang wanita, maka berlakulah tipu daya syaitan. Akhirnya kedua-duanya terhalau dari syurga. Soalan saya, benarkah wanita membawa begitu banyak mudarat terhadap kehidupan lelaki?

Ingin Tahu,
Kepong.

Soalan anda agak sensitif untuk dijawab secara terus terang. Namun yang menjadi penawar biasanya pahit, yang manis selalunya membawa mudarat. Sekali imbas anggapan itu ada betulnya, berdasarkan contoh yang anda berikan iaitu Nabi Adam a.s. tercampak dari syurga setelah adanya Hawa. Namun, tanpa Hawa tentunya Nabi Adam a.s. akan terus kesunyian dan merasakan hidupnya tanpa erti. Tanpa Hawa, baginda tidak dapat membina sahsiah dirinya sebagaimana burung-burung yang dilihat olehnya berpasang-pasangan, terbang ke sana sini dengan gembiranya.
Berdasarkan ini, saya ingin mengatakan, wanita amat diperlukan oleh lelaki. Tanpa wanita siapalah lelaki, sebab selain Nabi Adam a.s. semua lelaki datangnya dari perut wanita. Itu bermakna tanpa wanita, dunia ini tidak akan penuh dengan manusia. Mungkin menjadi hutan rimba sahaja kerana haiwan tidak tahu membina tamadun untuk menjadikan bumi ini seperti yang dapat kita lihat hari ini.
Namun, kita juga tidak boleh nafikan sebahagian besar kerosakan yang berlaku di muka bumi, selain disebabkan nafsu serakah lelaki, juga dimainkan peranannya oleh wanita. Sejarah menceritakan peranan-peranan negatif wanita di sisi Firaun (kecuali Asiah), di sisi Hitler, di sisi Maharaja Shih Hwang Ti, dan lain-lain. Merekalah sebenarnya mastermind terhadap semua tindakan bodoh, zalim dan tidak berperikemanusiaan lelaki-lelaki berkuasa ini.
Namun, oleh sebab Islam tidak meletakkan sebarang diskriminasi terhadap sesiapa juga - yang diambil kira ialah faktor keimanan, kehidupan menjadi adil dengan sendirinya. Janji Allah, jika engkau beriman tak kira lelaki atau perempuan, engkau akan dibalas sesuai dengan apa yang engkau imani dan ingkari. Justeru, ini seolah-olah hendak memberitahu bukan soal perempuan atau lelaki atau siapa akan menyebabkan apa, tetapi lebih kepada apa yang engkau buat itulah yang engkau dapat, tanpa sebarang pilih kasih.
1. Lelaki Sebagai Pemimpin
Apabila Allah sendiri melebihkan kaum lelaki berbanding wanita dengan kuasa kepimpinan misalnya, saya melihat kaum lelaki telah dipikulkan satu tanggungjawab yang penuh berisiko. Seorang pegawai tentera bertanggungjawab penuh terhadap orang-orang bawahannya dalam dia membuat arahan, tindakan mahupun perintah. Jika mati kesemua askar-askarnya semata-mata kerana bodohnya dia dalam memberi perintah, kesalahan boleh diletakkan ke atas bahunya bulat-bulat.
Demikianlah lelaki sebagai pemimpin wanita dalam konteks agama. Dia bertanggungjawab penuh dan tanggungjawab ini bukan setakat berisiko di dunia malah berterusan ke akhirat.
2. Risiko Ayah
Risiko seorang yang bergelar ayah, jika tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia, dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya, dia membiarkan anak-anak perempuannya itu tidak menutup aurat, maka dia bersalah dengan menanggung semua dosa yang dilakukan oleh anak-anaknya itu dan dia bakal ditarik oleh anaknya di akhirat kelak daripada memasuki syurga.
3. Risiko Suami
Risiko seorang yang bergelar suami jika dia tidak mempedulikan tindak-tanduk isterinya hingga senang-senang bergaul bebas, memperhiaskan diri untuk kaum lelaki yang bukan mahram baginya, jika dia mendiamkan diri, walaupun dia seorang yang alim (solat tak tangguh, puasa tak tinggal) dia menanggung dosa-dosa isterinya itu dan bakal ditarik oleh isterinya daripada memasuki syurga di akhirat kelak.
4. Risiko Abang
Risiko seorang abang apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah adik-adiknya yang perempuan jatuh ke tangan mereka. Jikalau mereka hanya mementingkan diri sendiri atau keluarga sendiri, sebaliknya adik perempuan dibiarkan melencong daripada ajaran Islam, mendedah aurat dan sebagainya, tunggulah tarikan adiknya itu di akhirat.
5. Risiko Anak Lelaki
Risiko seorang anak lelaki jika tidak menasihati ibunya perihal kelakuan-kelakuan ibunya itu yang haram di sisi Islam, misalnya ibunya itu kaki mengumpat, ada skandal dengan suami orang dan sebagainya, maka dia akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Lihat, betapa berisikonya kehidupan seseorang lelaki. Selain terpaksa memikirkan nasib dirinya dia juga terpaksa bertanggungjawab terhadap semua orang yang dipertanggungjawabkan Allah terhadapnya. Maka, sudah tentulah adil Allah melebihkan lelaki dengan memberi mereka sedikit kelebihan dan kuasa kerana risiko yang terpaksa ditanggung oleh mereka amat besar sekali, bukan setakat di dunia malah melarat hingga ke akhirat.
Kalau berdasarkan ini memang benarlah wanita cukup banyak memudaratkan kaum lelaki. Namun, seperti yang saya katakan pada awal tadi, meskipun kehidupan lelaki berisiko tinggi, mereka tetap memerlukan wanita. Tanpa wanita kehidupan seseorang lelaki tiada bererti, malah seseorang lelaki, jika dia tidak berminat terhadap wanita, bolehlah dia dianggap kurang sempurna.

Sanggupkah Anda?
Jika wanita memahami keadaan ini, saya tidak fikir ada yang sanggup berlaku serong semata-mata untuk merisikokan kehidupan orang yang disayangi. Bayangkan saja, sanggupkah anda sebagai isteri melihat suami anda menanggung semua dosa anda dan diseksa di akhirat atas kesalahan yang anda lakukan.
Jika anda seorang anak gadis, sanggupkah anda melihat ayah anda menerima balasan atas keingkaran anda di dunia? Jika sanggup, anda bukanlah anak yang baik. Begitu juga apakah anda sanggup membiarkan anak lelaki atau abang anda menerima akibat perbuatan-perbuatan jahat anda. Maka, fahamilah lelaki dan ketahuilah mereka memang memikul banyak beban.
Biarkan begitu, banyak juga bukti dengan adanya wanita di sisi lelaki, semakin hebat dan cemerlanglah seseorang lelaki itu. Contoh terbaik tentulah Siti Khadijah di sisi Rasulullah s.a.w., Siti Aishah dan ramai lagi.
Wallahualam.


- Sumber dari NUR November 2002 -