1 Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu "لا الة الا اللة محمد الرسول اللة". Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah."
2 Apabila ditimpa sesuatu musibah, ucapkanlah "ان لللة وان لللة راجعون". Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati kesat. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang kesat." Hadis riwayat at-Tarmizi.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: " Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?" Kata sahabat,"Apakah kunci untuk pintu syurga itu?"
Jawab Rasulullah s.a.w. " Dengan sentiasa menyebut 'لا حولا ولا قوات الا باللة العلي العظيم'." Zikir ini bermaksud, 'Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah'. Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insya-Allah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredaan daripada Allah.
3 Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah "الحمد لله" sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang diberi oleh Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu 'ولا اله الا الله' ,'الحمد الله' ,'سبحان الله' dan 'الله اكبر' Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata 'الحمد الله' , maka ucapan 'الحمد الله' itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan 'الحمد الله' itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat".
4 Ucapkanlah 'بسم الله الرحمن الرحيم' ketika hendak memulai sesuatu pekerjaan. Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah.
5 Ucapkanlah 'استغفر الله العظيم و اتوب اليه' apabila terbuat dosa. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa dan ubatnya adalah istighfar" Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan salah dan dosa, maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, yang bermaksud, "Barangsiapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka." Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.
Mudah-mudahan panduan ini dapat diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredai oleh Allah dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
- Sumber dari NUR November 2002 -