Sabtu, 27 Julai 2013

Pengecualian Puasa Ramadhan

Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan setiap umatnya. Oleh kerana itu, Islam membolehkan umatnya untuk berbuka puasa pada siang hari bagi individu yang mempunyai kesusahan atau keuzuran seperti berikut:

Sakit
Sakit merupakan musibah yang menimpa manusia. Orang sakit yang khuatir sekiranya puasa akan menambahkan lagi kesakitan, lambat sembuh atau mendatangkan gangguan dan kemudaratan kepada dirinya, maka tidak wajib bagi mereka untuk berpuasa tetapi perlu menggantikannya apabila kembali sihat.
Sakit bukanlah dilihat daripada lemahnya seseorang untuk berpuasa, tetapi dilihat daripada kemudaratannya yang jelas untuk meneruskan berpuasa. Dibolehkan untuk tidak berniat puasa pada malam hari, tetapi jika pada sebelah siangnya dia mampu berpuasa, maka puasanya diterima.
Friman ALLAH SWT:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah berbuka, kemudian wajiblah berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain."
- Surah al-Baqarah: 184
Manakala orang yang sakit tetapi tidak mendatangkan kemudaratan yang jelas, maka tidak dibenarkannya berbuka. Tetapi jika pada sebelah pagi dia berpuasa kemudian jatuh sakit pada waktu tengah hari, maka dibolehkan baginya untuk berbuka. Begitu juga sekiranya pesakit yang berpuasa kemudian telah sembuh, maka dia tidak boleh berbuka kerana keringanan baginya telah hilang.
Orang yang sakit perlu menggantikan puasa yang telah ditinggalkan sebagaimana firman-NYA yang bermaksud:
فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَر
Maksudnya:
"Sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain."
- Surah al-Baqarah: 185

Musafir
Apabila seseorang bermusafir pada bulan Ramadhan dengan jarak perjalanan yang mencecah 85km dan lebih, maka dibolehkannya untuk berbuka tetapi wajib menggantikan puasa itu. Tetapi, disyaratkan perjalanan itu mestilah kepada perkara yang dibolehkan sahaja dan bukan bertujuan kemaksiatan atau kemungkaran. ALLAH SWT berfirman:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah berbuka, kemudian wajiblah berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain."
- Surah al-Baqarah: 184
Golongan musafir juga boleh meneruskan puasa sekiranya tidak meletihkan, membebankan atau mendatangkan kemudharatan kepada mereka. Sebagaimana yang diriwayatkan Aisyah r.a.:
أن حمزة بن عمرو الأسلمى قا ل: يا رسول الله, أصوم في السفر؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إن شئت فصم, وإن شئت فأفطر
Maksudnya:
'Bahawa Hamzah bin Amru al-Aslami berkata: "Ya Rasulullah, apakah ada puasa ketika bermusafir?" Rasulullah s.a.w. menjawab: " Jika engkau ingin berpuasa, puasalah. Jika engkau ingin berbuka, berbukalah." '
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Baihaqi
Anas r.a. pernah meriwayatkan bahawa beliau berkata kepada seorang musafir yang sedang berpuasa:
إن أفطرت فرخصة, وإن صمت فهو أفضل
Maksudnya:
"Jika engkau berbuka ia merupakan satu keringanan, jika engkau berpuasa maka ia lebih baik."
- Athar riwayat Baihaqi, Muslim dan Abu Daud
Apabila orang yang bermusafir berbuka dalam perjalanannya, lalu sampai ke destinasi, disunatkan baginya berpuasa bagi menghormati baki hari yang tertinggal. Ia tidaklah wajib kerana berbuka disebabkan keuzuran. Tetapi dia tidak digalakkan untuk makan di hadapan orang yang tidak tahu mengenai keuzurannya. Ini bukan sahaja untuk mengelakkan salah sangka atau fitnah, tetapi disebabkan keringanan berbuka puasa untuk yang bermusafir telah hilang.
Tidak sah puasa Ramadhan bagi orang yang bermusafir atau sakit untuk berpuasa ganti, nazar, membayar denda(fidyah) dan puasa sunat. Ini kerana, Ramadhan adalah waktu untuk menunaikan puasa wajib, bukan yang sebaliknya.

Orang Yang Tidak Mampu Berpuasa
Sekiranya seseorang itu tidak mampu berpuasa seperti terlalu tua yang boleh menyebabkan dirinya terlalu letih, seorang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anaknya, maka tidak wajib bagi mereka untuk berpuasa.
Firman ALLAH SWT:
وَ مَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى الدِّينَ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya:
"Dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama."
- Surah al-Hajj:78
Orang yang tidak mampu untuk berpuasa wajib membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Setiap hari dia mesti memberi kira-kira 600 gram makanan asasi negaranya. Sekiranya dia mampu untuk berpuasa, maka tiada fidyah yang patut dikenakan.

Firman ALLAH SWT:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ, فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya:
"Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin."
- Surah al-Baqarah:184

هو الشيخ الكبير, والمرأة الكبيرة, لا يستطيعان أن يصوما, فيطمعان كل يوم مسكينا
Maksudnya:
"Seorang lelaki dan perempuan tua, kedua-duanya tidak mampu untuk berpuasa, maka kedua-duanya perlu memberi makan orang miskin setiap hari."
- Hadis riwayat Bukhari

Apabila diwajibkan fidyah ke atas golongan ini, ia kelihatan seperti sesuatu yang berat. Fidyah itu adalah yang lebih utama kerana jika ia nampak ringan, maka ia tidaklah diwajibkan. Sekiranya golongan ini bernazar, maka puasa Ramadhan mereka tidak boleh digabungkan bersama nazar kerana mereka berada dalam keadaan yang tiada kemampuan.

Wanita Hamil Dan Ibu Yang Menyusukan Anak
Golongan ini diberi pengecualian untuk berbuka bagi meringankan beban yang ditanggung demi menjaga keselamatan kedua-duanya (anak dan ibu). Sekiranya wanita hamil berbuka puasa disebabkan bimbang dengan diri dan kandungannya atau ibu yang menyusukan anak berbuka disebabkan khuatir susunya berkurangan serta membahayakan anaknya, maka wajib bagi mereka menggantikan puasa itu pada hari-hari lain atau membayar fidyah.
Fidyah yang mesti dibayar cukuplah sekadar sekali fidyah untuk seorang anak. Jika mempunyai anak yang ramai, maka wajib dibayar dengan memberi makan orang miskin sebanyak 600gram makanan asasi negaranya bagi setiap hari yang ditinggalkan.

Diriwayatkan oleh Anas al-Ka'bi r.a. daripada Rasulullah s.a.w. bersabda:
إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم, وشطر الصلاة, وعن الحامل أو المرضع الصوم
Maksudnya:
"Sesungguhnya ALLAH SWT meringankan puasa daripada orang yang bermusafir dan memendekkan solat. Dan meringankan puasa daripada wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak."
- Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibnu Majah dan Ahmad

Ibnu Abbas r.a. menyatakan bahawa:
"Keringanan itu adalah untuk lelaki dan perempuan yang terlalu tua. Mereka tidak berdaya untuk berpuasa. Maka dibenarkan bagi mereka berbuka. Maka dibenarkan bagi mereka berbuka. Maka hendaklah mereka memberi makan orang miskin setiap hari. Manakala bagi wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak, sekiranya mereka bimbang kepada anak mereka, maka mereka boleh berbuka dan memberi makan."
- Athar riwayat Abi Daud

Seandainya wanita hamil atau ibu yang menyusukan anak bermusafir atau sakit, mereka dibenarkan berbuka dan wajib mengqada sahaja tanpa membayar fidyah.

- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -