Ahad, 28 Julai 2013

Kelebihan Bulan Ramadhan dan Orang Yang Berpuasa

ALLAH SWT telah mensyariatkan dan mewajibkan puasa kepada umat Islam kerana ia mengandungi pelbagai manfaat, keberkatan dan ganjaran. ALLAH SWT juga telah memuliakan bulan Ramadhan dengan menjadikan puasa sebagai satu ibadat dan Rukun Islam yang ketiga.
Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan kedatangannya amatlah dinanti-nantikan. Ini kerana umat Islam dapat menggandakan amal ibadat dan bertaqarrub kepada ALLAH SWT demi keredhaan serta ganjaran yang telah dijanjikan-NYA. Dengan ini, jelaslah bahawa puasa Ramadhan membuatkan seseorang hamba akan lebih mementingkan kehendak Penciptanya daripada kemewahan peribadi sendiri.
Di antara kelebihan lain ialah puasa juga amat hampir dengan akidah kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketaatan kepada-NYA. Ia juga dapat menguatkan serta mendekatkan lagi hubungan kita dengan Yang Maha Esa. Selain itu, kita juga dapat membuktikan kehambaan dan memenuhi tanggungjawab yang sempurna kepada ALLAH SWT melalui kepatuhan kita kepada suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA.
Di samping itu juga, puasa mampu mendidik jiwa, membelai perasaan serta memberikan nilai kesihatan pada badan secara amnya dan sistem pencernaan secara khasnya. Misalnya, puasa mengaplikasikan sistem gizi dengan pengambilan makanan yang baik mengikut waktu yang telah ditentukan, dapat merehatkan sistem pencernaan pada waktu-waktu tertentu dan mengurangkan tahap kolesterol yang boleh membahayakan tubuh badan.
Kelebihan puasa yang lain ialah dapat mewujudkan nilai kemasyarakatan atau sosial yang baik. Mereka yang lemah dan miskin dapat dibantu dengan diberikan atau disedekahkan makanan serta sumbangan daripada pihak yang berkemampuan. Ganjaran bersedekah pada bulan Ramadhan adalah berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.
Tambahan pula, seseorang yang kaya akan mengetahui nilai setiap kenikmatan dan kemewahan yang ALLAH SWT berikan. Dengan kekayaan yang dimiliki itu, ALLAH SWT telah memudahkan mereka untuk mendapatkan apa yang diingini seperti makanan yang enak, pakaian yang cantik dan apa saja yang dibolehkan oleh-NYA secara syarie. Maka dengan itu mereka patut bersyukur di atas segala kurniaan nikmat dan membantu golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
Orang yang berpuasa bererti diperintahkan kepadanya untuk bertakwa kepada ALLAH SWT, yakni dengan mengerjakan perintah dan menjauhi larangan-NYA serta ikhlas lillahi taala. Inilah tujuan sebenar pensyariatan puasa.
Friman ALLAH SWT yang bermaksud:
"Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kalian agar kalian bertakwa."
- Surah al-Baqarah:183
Berdasarkan ayat itu, hikmah diwajibkan puasa ialah supaya wujud sifat takwa dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Rasulullah s.a.w. bersabda:
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Maksudnya:
"Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka ALLAH tidak teragak-agak meninggalkan makanan dan minumannya."
- Hadis riwayat Bukhari
Berdasarkan dalil ini, maka diperintahkan dengan tegas terhadap setiap orang yang berpuasa untuk mengerjakan segala kewajipan dan menjauhi perkara yang dilarang. Misalnya mencela, menghina, berdusta, mengumpat, menjual barang dagangan yang haram, mendengar kata-kata atau hiburan yang melalaikan daripada mentaati ALLAH SWT.
Sekiranya umat Islam dapat mengerjakan semua amalan yang diperintahkan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada-NYA, itu akan memudahkannya kelak untuk beristiqamah meneruskan amalan-amalan tersebut pada bulan-bula lain pula. Tetapi, apa yang menyedihkan ialah terdapat segelintir individu yang berpuasa tidak dapat membezakan antara bulan puasa dengan hari biasa.
Mereka tetap menjalani kehidupan seharian tanpa meninggalkan perkara yang dilarang. Sikap ini menunjukkan mereka bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia. Sungguhpun perbuatan ini tidak mengurangi bahkan boleh menghilangkan pahala puasa.
Di antara hikmah puasa yang lain adalah melatih seseorang menguasai nafsu dan berdisiplin dalam mengatur jiwanya. Hal ini bertujuan agar mereka mampu memimpin jiwa demi meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat serta dapat menjauhi sifat-sifat yang keji.

- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -