Isnin, 25 Jun 2012

Suami dan Ibu Kongsi Kuasa Mutlak

Dalam Islam hanya ada dua orang yang mempunyai kuasa mutlak iaitu suami dan ibu. Kuasa suami ialah terhadap isterinya dan kuasa ibu pula terhadap anak kandungnya iaitu suami anda. Kuasa ini amat besar sekali sehingga dalam agama seseorang yang menyalahi atau mengingkari akan dimurkai oleh Allah dan boleh dianggap derhaka bagi anak terhadap ibunya ataupun nusyuz bagi isteri terhadap suaminya. Sekadar melukai atau menyakiti hati kedua-dua golongan ini, dia akan dimurkai Allah dan mendapat dosa yang hanya boleh diampuni oleh suami atau ibu itu tadi.

Misalnya, seorang isteri melukai hati suaminya walaupun sedikit akan dikira berdosa, begitu juga halnya anak-anak terhadap ibunya. Dan dosa ini akan berkekalan selagi tidak dibasuh dengan meminta ampun dan keampunan itu diberikan. Anda sebagai isteri, bayangkan sahaja dosa yang harus anda pikul jika setiap hari menyakiti hati suami dan tidak dibasuh dengan meminta ampun. Kadang-kadang anda melakukannya tanpa sedar dan dan selagi suami tidak mengampunkan, jika anda hamil bermakna anda hamil dalam keadaan tiada keredaan suami dan berdosa. Besar kemungkinan anak yang dikandung dijangkiti sifat-sifat tidak baik dan seterusnya lahir, membesar serta menjadi dewasa dengan sifat-sifat demikian.

Senang dapat dosa
Dalam keadaan begini, bagaimana doa-doa anda akan diterima oleh Allah? Tanpa doa yang diterima, apalagi daya kita untuk mendapat kebahagiaan? Demikian juga halnya antara anak dengan ibu kandungnya, cukup senang untuk mendapat dosa. Terguris sahaja hati ibu oleh kata-kata mahupun perbuatan, automatik akan mendapat dosa dan selagi dosa ini tidak dibasuh dengan keampunan, selama itulah dia dikira berdosa dan derhaka, bergantung pada berapa besar dan dalamnya gurisan yang berada di dalam hati ibu.

Sesuatu yang malang apabila si anak tidak sedar bahawa dia telah mengguris perasaan ibu dan ibu pula tidak pernah mahu melahirkannya kerana takut mengguris perasaan anak. Apakah kesannya bagi situasi-situasi begini? Doa anak tidak mendapat pahala, hidupnya tidak akan berkat dan di akhirat kelak tidak dapat mencium bau syurga. Selalunya anak-anak yang telah mengguris hati ibu tanpa keampunan ini telah mendapat bala sejak di dunia lagi. Ini terlihat daripada gaya hidupnya yang gelisah, tidak sudah-sudah ditimpa malang, susah memanjang, berkeluh-kesah dan sebagainya.

Jika rajin hadir majlis-majlis ilmu, kita tentu biasa ditakut-takutkan oleh para ustaz yang mengajar tentang kisah dua orang pemuda yang soleh mendapat seksaan Allah pada zaman Nabi s.a.w. Seorang tanpa sedar telah menyakiti ibunya apabila habuk yang disapu terkena ibunya tanpa disedari dan yang seorang lagi tanpa sedar telah menyakiti hati ibunya setelah berkahwin.

Melihat pada ketetapan serta akibat-akibat yang demikian sebenarnya mengandungi banyak lagi pengajaran tentang perhubungan antara ibu dengan anak, ibu dengan menantu dan suami dengan isteri.

Perlu persediaan
Dari satu segi nampaknya pihak kedua iaitu anak sentiasa dalam keadaan rugi dan demikian juga halnya isteri. Kedua-dua pihal ini sentiasa berada di hujung tanduk, sedikit sahaja tersilap boleh mendatangkan akibat yang amat besar di dunia hinggalah ke akhirat. Maka itulah, pada hemat saya setiap yang akan menempuh alam baru, umpamanya dari alam bujang kepada alam berumahtangga, dari alam berumahtangga kepada alam memperolehi anak, dari alam memperolehi anak kepada alam menerima menantu dan seterusnya mendapat cucu, perlukan satu anjakan pemikiran dan juga pengetahuan.

Maknanya, setiap yang akan beralih ke alam-alam demikian perlu memiliki persediaan serta pengetahuan yang mencukupi. Bukan anak sahaja perlu mengetahui hak-hak ibu yang perlu ditunaikannya, malah ibu itu juga perlu tahu akibat-akibat yang akan menimpa anak hasil daripada perbuatan tangannya sendiri. Misalnya, seorang ibu perlu tahu akibat yang menimpa si anak jika dia tidak mengampunkan semua kesalahan-kesalahan anak yang mengguris perasaannya itu.

Dia juga perlu memiliki ilmu pengetahuan berhubung soal menantu serta cucu-cucunya. Tersilap dia memberi pertimbangan, keluarga anaknya yang terdiri daripada menantu serta cucu-cucunya tadi akan berada dalam suasana kehidupan derhaka, tidak diredhai Allah dan berdosa gara-gara si ibu tidak boleh bertolak-ansur, cetek pengetahuan agama serta terlalu mengikut perasaan ataupun terlalu mementingkan perasaannya sendiri.

Dalam perkataan lain, saya ingin menegaskan, ibu kena tahu kuasa yang diberikan kepadanya oleh Allah dan tahu semua akibat yang boleh berpunca daripada dirinya terhadap anak, menantu dan cucu-cucunya jika dia salah menggunakan kuasa.

Beri keampunan
Ini bermakna si ibu juga perlu berilmu serta sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan agamanya. Tidak wajar sama sekali menyusahkan hidup anak bermula daripada kejahilan si ibu tentang hal-hal seperti ini. Oleh yang demikian sebaiknya, setiap ibu memberikan keampunan terhadap anak pada setiap malam sebelum tidur samada anak meminta atau tidak dan begitu jugalah suami mesti mengampunkan isterinya samada diminta oleh isteri ataupun tidak.

Malangnya suami yang jahil selalu membiarkan isterinya dalam keadaan berdosa kerana dia menyimpan semua kesalahan isterinya itu di hati. Tanpa dia sedar apabila isterinya itu digauli dan kemudian hamil dan akhirnya melahirkan anak, anak yang lahir itu datangnya daripada seorang ibu yang berdosa ataupun derhaka terhadap suaminya.

Oleh yang demikian saya suka menyeru setiap daripada kita mengambil kursus-kursus tertentu setiap kali hendak beralih ke alam-alam yang baru dan belum pernah ditempuh sebelum ini. InsyaAllah bermula dari satu keluarga yang mana suami memaafkan isteri dan ibu memaafkan anak, maka lahirlah satu masyarakat yang mendapat berkat daripada Allah, sentiasa di bawah lindungan-NYA dan menjadi umat Islam yang beruntung dalam semua segi.

Ingat ungkapan-ungkapan ini:
1. Seorang isteri (wanita) mesti taat kepada suaminya (lelaki)
2. Suami (lelaki) mesti taat kepada ibunya (wanita)

Isteri akan menjadi ibu yang akan melahirkan anak yang akan menjadi suami (jika anak lelaki) dan isteri (jika anak perempuan) dan seterusnya mereka akan melahirkan pula bakal-bakal suami dan isteri.
Jadi tidak ada yang ketinggalan. Semuanya akan merasa mempunyai kuasa mutlak sebagai suami atau sebagai ibu. Demikianlah saya melihat keadilan Islam serta logiknya dalam hal ini. Tetapi yang penting bukan mempunyai kuasa mutlak bahkan tahu bagaimana hendak menggunakannya pada tempat yang sebaik-baiknya dan pada keadaan yang sebaik-baiknya. Wallahua'lam.

- Sumber dari NUR Pengenalan -