Karya : Ummu Aiman
Heboh satu pejabat, Nadirah sudah memakai tudung! Aku cepat-cepat meluru ke bilik Nadirah. Gadis itu tersenyum melihat aku terpana di depan pintu biliknya.
"Eh, kau mimpi apa malam tadi, tiba-tiba dah pakai tudung ni?," aku separuh memekik melihat Nadirah. Wajahnya setenang air di muara. Bersih, tanpa mekap tebal, tanpa gincu bibir yang kadang-kadang merah, kadang-kadang coklat terpalit di bibirnya. Rambut kuning Nadirah pun sudah tidak kelihatan lagi, tersembunyi di sebalik balutan tudung ungu yang membalut seluruh kepalanya. Wajah Nadirah kelihatan kecil kerana sebahagian pipi kiri dan kanannya kini ditindih oleh tudung.
Aku tak puas hati. Aku datang hampir kepada Nadirah. Aku tenung mukanya yang masih selamba, memang benar, dia bukan Nadirah yang dulu! Nadirah sudah berubah.
"Engkau dah taubat nasuha ke?" aku menyoal lagi, separuh memerli. Seperti aku, seluruh pejabat tahu siapa Nadirah sebelum ini. Aku dengan Nadirah bukanlah tergolong dalam wanita solehah di pejabat. Kami memang nampak brutal, baik percakapan mahupun tindakan. Kalau fasal menjerit kepada staf berilah pada kami. Pasal tumbuk meja bertekak dengan ketua jabatan lain, kami jugalah orangnya. Orang menggelar kami dua ekor singa betina! Sampai begitu sekali mereka menilai kami sebelum ini. Tetapi mengapa Nadirah tiba-tiba berubah?
"Alhamdulillah, aku dah dapat hidayah!" keluar sebaris ayat yang cukup mengejutkan aku. Hidayah? Aku termangu seketika. Senyuman kecewa terukir di bibirku. "Nak jadi ustazah pulak ke?" aku memperli lagi. "Kalau boleh!' ujar Nadirah lemah. Memang aku hairan. Staf Nadirah di luar biliknya juga hairan. Bagaimana Nadirah yang lebih garang dari aku ini boleh berubah tiba-tiba?
"Bukan senang nak dapat hidayah Allah. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja mendapatnya!" ujar Nadirah lembut. Sah! Nadirah memang dah jadi ustazah. Dia mula nak tarbiah aku fasal hidayah. Siapa yang mendapatnya sangat beruntung. Nikmat hidayah tidak boleh dinilai dengan harta menggunung! Begitulah antara ceramah yang secara kebetulan sempat kudengar. Tetapi hatiku yang berkarat dengan dosa, tidak mahu terus mengikuti ceramah itu. Siaran televisyen ku tukar. Aku lebih suka mendengar gesekan viola Vanessa Mae dan tiupan saxophone Kenny G di rangkaian lain daripada mendengar ceramah Dr Mashitah dan Ustazah Salbiah dalam rancangan Forum Perdana tersebut. Dan kemudian aku tidak ambil tahu langsung fasal itu. Hinggalah Nadirah menyebutkannya sebentar tadi.
"Kau biar betul Ira. Kau pakai ni untuk hari Jumaat ni saja ke, atau untuk selama-lamanya?" aku menyoal lagi.
"Selama-lamanya. Perkara yang wajib tak boleh dibuat main. Yang wajib kita kena buat sungguh-sungguh... bukan sekerat-sekerat jalan," ujar Nadirah sambil menekan punat komputer. Aku bercekak pinggang menghadapnya. Semacam ada rasa tak puas hati dengan tindakan Nadirah. Mengapa dia mesti pakai tudung? Mengapa dia tak bagitau aku awal-awal.
"Hey, kau selesa ke pakai tudung macam ni?", aku menyoal lagi. "Lebih dari rasa selesa. Malah aku rasa selamat...," ujar Nadirah, tenang dan selamba. "Hmm...eloklah ustazah, dah pakai tudung tak bolehlah nak ajak ke disko lagi!" ujarku dengan perasaan sedikit marah. Ia, aku marah dengan tindakan Nadirah! Nadirah membuatkan aku berasa janggal untuk berdepan dengannya. "Engkaupun patut pakai tudung Mi, dah lama kita dedah aurat, eloklah kita berubah sebelum terlambat," ujar Nadirah memberi nasihat pula.
"Aku? Aku, kau suruh pakai tudung?" kataku seakan mengejek. "Ah, tak hendaklah aku. Macam makcik-makcik pulak!" jawabku. "Aku tak boleh paksa engkau. Aku cuma boleh berdoa semoga Allah bukakan pintu hati kau untuk bertudung," ujar Nadirah perlahan. Aku mencebik. Suara hatiku berbisik: hmm..aku nak tengok Nadirah, setakat mana kau tahan nak bertudung! entah-entah besok lusa dah bukak balik!
Petang itu aku tidak menunggu Nadirah untuk pulang bersama. hatiku jengkel. Nadirah sudah menjadi orang asing bagiku. Sekaligus aku kehilangan kawan baik yang sama-sama menangis dan ketawa. Dia pun mungkin sudah kehilangan aku. Kami sudah menjadi insan berbeza. Dia mungkin tidak mahu mendekatiku lagi. Aku masih dengan jean dan blouse, rokok dan rambut kekuningan. Kuku bercat dan tidak pernah dibasahi air sembahyang. Pasti dia akan menjauhkan diri dari aku. Biarlah! Kalau Nadirah tidak mahu berkawan denganku kerana perubahannya tu, aku tak kisah! Aku masih ada ramai kawan yang lain yang boleh kuajak ke mana sahaja untuk jammed-in!
"Kita ke Uncle Chili, dekat Bangsar..." Aku menelefon Fairuz malam itu. Fairuz tidak menolak. Dia berjanji akan mengambil aku di rumah sewa kami. Tepat jam tujuh malam dia sampai. Aku bersiap seadanya dengan jean dan blouse. Kadang-kadang aku memakai pakaian paling minima. Skirt pendek dan kemeja tali halus tak berlengan. Aku selesa begitu.
"Kau tak telefon Nadirah ke? Dia tak nak makan?," Fairuz menyoal sebaik sahaja aku masuk ke dalam keretanya. "Dia dah jadi ustazah!", kataku agak marah. "Dia dah pakai tudung! Mana bak kawan dengan orang jahat macam kita ni?" kataku dan membuatkan Fairuz termangu. "Nadirah pakai tudung? Kau jangan bergurau Mimi, aku tahu si Nadirah tu..dia takkan pakai tudung!" "Engkau tak percaya, kau telefon dan tanya dia. Kalau tak puas hati, pergi rumah dia, tengok sendiri!" kataku. Fairuz diam. Dia memandu keretanya keluar dari perkarangan rumahku. "Habislah Nadirah...macam mana dengan sales dia? Dia tu kan di bahagian sales, jumpa orang sana sini, dah pakai tudung macam tu, pendeklah langkah dia!" komen Fairuz pula. "Aku takut, lepas ni dia berhenti kerja langsung!" "Sayanglah..dia kan dah jadi penolong pengurus?!" "Aku rasa dia dah buang dunia. Ingat nak mati sahaja..ingat Akhirat...!" ujarku separuh cemburu dan marah. Fairuz ketawa.
Kami sampai di Uncle Chili tepat jam lapan setengah. Kami memilih satu sudut di sebelah restoran. Suasana samar, tetapi aku dapat melihat beberapa orang pelanggan sedang makan. Telefon bimbitku berdering sebaik sahaja kami duduk. Nombor telefon Nadirah! "Aku nak ajak kau keluar makan!" suara Nadirah di hujung telefon mengejutkanku. "Kau dah makan ke belum?" "Aku ada kat Bangsar dengan Fairuz. Nak makanlah ni!" "Kau tak ajak aku pun!" "Aku ingat kau nak duduk kat masjid je! Maklumlah, engkau nak berzikir, nak beratib, takkan kami nak ganggu pulak!" ujarku bersungguh-sungguh, tetapi Nadirah ketawa pula. Pelik pulak bunyi ketawa Nadirah. "Jangan cakap macam tu Mimi. Aku bertudung bukan sebab aku dah nak mati besok tau!", ujar Nadirah. Aku terkejut. "Kau kat mana, aku ke sana!" ujar Nadirah. Aku memberitahu Nadirah di mana kami berada. Setengah jam kemudian dia datang bersendirian. Aku jadi keliru. Nadirah sudah berubah dari segi penampilan, tetapi dia tidak pula berubah dari segi persahabatan.
"Kau tak malu keluar makan dengan kami? Kami ni bukan orang alim macam engkau Ira!", ujarku. Siapa cakap engkau berdua jahat?" ujar Nadirah merendah diri. "Aku bertudung sebab ia tuntutan agama...bukan sebab nak jauhkan diri dari kawan-kawan," ujarnya sambil memanggil pelayan untuk memesan makanan. Memang Nadirah tidak berubah. Tetapi, mengapa aku yang rasa terpinggir pula?
Keesokkan paginya, Nadirah masuk ke pejabat dalam keadaan tergesa-gesa. Dia masuk ke biliknya dan membuka laci. Nadirah membuka diari dan mencatatkan sesuatu di buku notanya. Dia keluar sambil membimbit briefcase dan menuju ke arahku. "Aku ada temujanji dengan orang EON. Kalau Encik Helmi cari, kau bagitau yang aku akan balik ke pejabat sebelum pukul sebelas", ujar Nadirah. Aku terpana lagi. Nadirah masih aktif dan lincah dengan tugasnya. Langkahnya tidak tersekat seperti yang kujangka.
"Oh ya Mimi, nanti kau bagitau setiausaha aku, yang mesyuarat dengan kakitangan akan tetap dijalankan petang ini. Minta tolong ya?", ujar Nadirah penuh semangat. Aku mengangguk. Aku memerhatikan langkahnya. Nadirah sebenarnya tidak berubah! Dia masih Nadirah yang dulu. Cuma kini sudah bertudung dan menutup aurat di samping hidayah yang diterimanya. Nadirah masih lincah bertemu janji dengan pelanggan. Dia masih tegas memberi arahan kepada orang bawahan. Silap tekaanku tentang perubahan Nadirah. Tetapi mengapa dia tidak mengajakku untuk bertemu orang di EON itu? Pasti! Pasti dia malu untuk mempelawaku. Lebih-lebih lagi, hari ini aku memakai kain belah tepi hingga ke pangkal peha dan baju 'baby-doll' dari fabric georgette yang agak nipis. Dia tentu malu hendak membawa kawan yang tidak menutup aurat sepertinya.
"Kau tau Mimi, aku sekarang berasa lebih selamat lepas pakai tudung. Aku tak risau kalau ada orang nak ambik kesempatan atas aku. Dulu, kau tau ajelah! Ada klien tu sampai nak raba paha aku masa aku buat 'presentation'. Tapi sekarang ni dia orang macam hormat pulak dekat aku." Nadirah bercerita kepadaku beberapa hari kemudian. Aku mendengar dengan rasa agak terkejut. "Kau pun tau kan, selama ini aku bercinta tak pernah kekal. Aku buat kesimpulan, kekasih-kekasih aku cuma cintakan kecantikan tubuh badan aku, tapi dia orang tak nampak kecantikan hati aku. Aku harap, lepas ni, kalau dapat boyfriend biarlah yang dapat melihat kecantikan hati aku...ha, kelaskan?" Nadirah cuba bergurau. Sangat menyentuh hatiku. Gurauannya bukan biasa-biasa. Aku mula terasa dia sedang menyampaikan mesej kepadaku. Aku mula berfikir. Selama ini aku dan Nadirah sama-sama tampil dengan imej seksi dan menggoda. Mesej Nadirah sudah jelas. Tetapi mengapa aku tidak melenting untuk menafikan kata-katanya?
"Sudahlah Mi, aku nak 'brief' anak-anak buah aku fasal proposal aku yang dah lulus tu. Lambat-lambat nanti, tak dapat pulak capai target tahun ni. Tinggal setengah tahun sahaja ni...harap-harap jabatan kami boleh capai target yang Encik Helmi hendak tu." ujar Nadirah dengan optimis. Perubahan Nadirah amat menarik untuk dianalisa dan dikaji.
"Islam ni sebenarnya mudah. Adil dan memberikan wanita hak yang sama dengan lelaki. Malah wanita amat istimewa dalam Islam. Baca surah An Nisa, segala keistimewaan wanita ada disebutkan di dalamnya," suatu malam aku ke rumah Nadirah. Dia sedang membaca buku WANITA SOLEHAH karangan Habsah Mohd Nor. Aku tertarik untuk membaca buku tersebut. Tetapi egoku membunuh hasrat itu. "Kau nak baca buku ni, nah ambiklah..baca!" ujar Nadirah menyerahkan buku tersebut. Aku mencapai buku tersebut, langsung membeleknya. "Bacalah sampai habis. Aku dah habis baca buku ni...banyak panduan kalau kau hendak." ujar Nadirah. Aku tergamam. Tetapi aku dapat merasakan Nadirah memang bersungguh meminta aku membaca buku tersebut. Beberapa minit kemudian Nadirah masuk ke biliknya. Kemudian keluar semula membawa beberapa buah buku yang lain. Banyaknya koleksi buku agama Nadirah. Tak mungkin dia telah menghabiskan membaca buku-buku tersebut.
"Aku dah habis baca semua buku-buku ni!" "Kau dah baca? Bila masa kau baca?" "Dah lama dah! Tahun lepas lagi...!" "Hai, aku tak tahu pulak kau mula minat baca buku agama sejak tahun lepas?!" "Entah mengapa, hati aku tiba-tiba sahaja nak membaca buku-buku agama macam ni. Aku cuba faham apa yang aku baca. Lama-lama hati aku tergerak memikirkan untuk mula bersembahyang, kemudian memakai tudung pulak. Aku dah dapat apa sebenarnya yang setiap wanita Islam dapat Mimi." ujar Nadirah. "Agaknya inilah hidayah Allah untuk aku. Aku takkan sia-siakan nikmat iman yang Allah berikan ini Mimi. Nikmat paling besar pernah aku kecapi selama hidup di bumi Allah ini. Aku tak terkilan kalau Allah tak beri yang lain-lain selepas aku dapat nikmat iman ini." ujar Nadirah bersungguh.
Hari-hari berikutnya aku melihat seorang Nadirah lebih ceria dan optimis dalam hidupnya. "Aku datang dari Dia. Dan akan kembali kepada Dia. Jadi aku tak perlu bimbang apa-apa. Hanya Dia tempat aku memohon pertolongan. Aku yakin Dia akan memberi pertolongan kepadaku." jawapan Nadirah semakin menyentuh hatiku. Malam itu aku memikirkan sedalam-dalamnya tentang perubahan dan penampilan baru Nadirah. Tentang kata-kata dan ketenangan wajahnya. Tentang segala-galanya. Dan aku melihat diriku sendiri. Bolehkah aku menjadi seperti Nadirah suatu hari nanti? Bolehkah aku melalui hidup dengan tenang, dengan pakaian yang sopan, dengan fikiran terbuka dan optimis?
Sebenarnya engkau boleh Mimi, hatiku tiba-tiba berbisik. Semua nikmat yang Nadirah dapat engkau boleh memperolehinya. Bagaimana? Hatiku turut bertanya. Mudah Mimi! Mudah? Ia, ia memang mudah! Tapi aku bukan Nadirah! Engkau boleh jadi Nadirah! Bagaimana? Kembalilah kepada-Nya!
Aku termangu dan terharu. Dialog hatiku sudah memberitahu. Sesungguhnya Ya Allah, aku harus kembali kepada-MU! (TAMAT)
- Sumber dari NUR Pengenalan -