Rabu, 18 Disember 2013

Tip Keluarga Bahagia

Oleh : Kapten (B) Mohd Najmuddin Elias al-Hafiz

Untuk membina sebuah keluarga bahagia, perlu ada persefahaman dia antara suami dan isteri. Rumahtangga yang dibina akan diberkati Allah swt sekiranya amalan-amalan berikut tidak dilupakan :

1. Sebagai suami, berilah nafkah zahir (makanan, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan) dan batin (kepuasan spiritual dan fizikal) kepada isteri dan anak-anak mengikut kemampuan dan berlandaskan lunas-lunas Islam.

2. Suami mesti beragama dan faham segala peraturan Islam dengan baik serta dapat membimbing isteri dan anak-anak

3. Mendampingi ibu bapa dan keluarga isteri dengan pergaulan yang baik. Begitu juga bagi para isteri, mendampingi ibu bapa dan keluarga sebelah suami dengan pergaulan yang baik dan penuh rasa hormat.

4. Memperbaiki hubungan baik dengan jiran-jiran dan masyarakat setempat

5. Berkebajikan dan berlaku adil kepada isteri serta anak-anak.

6. Bersabar dengan kekurangan isteri dan bertolak-ansur begitu juga dengan si isteri.

7. Suami perlu bertindak sebagai ketua keluarga, mengawal keselamatan dan menjadi tempat bergantung isteri dan anak-anak.

8. Rajin bekerja untuk memastikan rezeki Allah sentiasa bertambah untuk keluarga.

9. Menjauhi sikap suka membuang masa dan melalaikan tanggungjawab.

10. Selalu ceria sesama ahli keluarga.

11. Sebagai seorang isteri, pelihara segala harta benda rumahtangga dan anak-anak dengan penuh amanah.

12. Isteri juga perlu mendidik anak-anak supaya kuat beragama dan mendorong suami ke arah terbinanya sebuah keluarga Islam yang mantap.

13. Seorang isteri juga cuba elakkan melakukan perkara-perkara sunat tanpa izin suami seperti berpuasa atau bersedekah dengan harta suami (kecuali dengan harta sendiri).

14. Seorang isteri juga jangan mengubah rupa atau kebiasaan diri sendiri dengan izin suami seperti memotong rambut dan sebagainya.

15. Kedua-dua suami dan isteri janganlah mengungkit-ngungkit pemberian yang telah diberi atau pertolongan yang pernah dihulurkan.

Selasa, 17 Disember 2013

Kesakitan Waktu Melahirkan

14 Safar 1435

Apabila tiba hari untuk melahirkan, ramai ibu yang bimbang akan merasa sakit yang teramat sangat. Justeru, pelbagai petua diamalkan untuk mengurangkan rasa sakit ini dan memudahkan proses kelahiran.
     Selama si ibu mengandung, otot rahim seringkali berkontraksi disertai dengan rahim yang mengeras. Kejadian ini tidak begitu terasa sehingga adakalanya tidak disedari, kontraksi semakin kerap dan kuat sehingga si ibu mulai terasa sakit. Gejala ini disebut 'persalinan samar' dan biasanya terjadi pada mereka yang mengandung anak kedua dan seterusnya.
     Saat kelahiran sebenarnya bermula pada saat kontraksi semakin kerap dan berlaku secara teratur. Semakin dekat proses kelahiran semakin kerap terjadinya kontraksi iaitu setiap tiga hingga lima minit sekali serta berlangsung lebih lama, sekitar 30-90 saat. Tanda lain ialah keluarnya lendir bercampur darah melalui vagina. Lendir ini mulanya menyumbat leher rahim dan terdorong keluar oleh kontraksi yang membuka pintu rahim. Setelah itu kontraksi yang membuka pintu rahim. Setelah itu kontraksi semakin kerap terjadi dan selaput ketuban akan pecah di mana air ketuban akan keluar dalam jumlah yang banyak.
     Pada masa kini, apabila kita mengambil keputusan untuk melahirkan di hospital, berbagai cara dan ubatan boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit bersalin. Sokongan moral suami, ibu atau saudara juga sangat penting. Sebagai seorang Muslim, amalan doa dan zikir, kawalan pernafasan, berjalan-jalan, membaca, menonton televisyen di peringkat awal boleh membantu.

Ubat Penahan Sakit
Terdapat beberapa jenis ubat yang diberikan oleh doktor kepada ibu yang merasakan kesakitan yang amat sangat sewaktu melahirkan. Ubat-ubat ini diberi sama ada secara suntikan, ubat gas yang disedut ataupun bius saraf 'Epidural'.
     Ubat penawar secara suntikan boleh menahan sakit sehingga empat jam. Tetapi kadangkala ia kurang berkesan. Ubat gas sedut sesuai untuk digunakan apabila masa hendak bersalin sudah terlalu hampir manakala bius saraf epidural biasanya menghilangkan kesakitan dan kuncupan rahim tidak dapat dirasai langsung. Mungkin kaedah ini terus menghapuskan satu nikmat Allah iaitu 'sakit bersalin'. Bagaimanapun ia amat berguna bagi kehamilan sulong dan bagi mereka yang tidak tahan sakit. Kebanyakan dari mereka ini memerlukan kelahiran forsep atau sedutan vakum.

Proses Kelahiran
Apabila pintu rahim terbuka sepenuhnya (fully dialted), ibu akan merasa seolah-olah hendak buang air besar dan secara otomatik ia akan meneran seperti kena sembelit. Ini disebabkan kepala bayi telah menekan pada usus besar dan dubur.
     Ketika ini si ibu memerlukan tenaga yang kuat untuk menolak keluar kepala bayi. Apabila sakit kuncupan rahim mula dirasai, sedut nafas berpanjangan, tahan dan teran sekuat-kuatnya untuk menolak bayi keluar. Baca 'Subhanallah' sebanyak yang boleh. Di dalam hati tetapkan iman dan berserahkan kepada kekuasaan Allah. Doktor atau bidan akan menyambut kelahiran.
     Ketika proses kelahiran ini, biasanya doktor akan melakukan 'Episiotomy' atau gunting pintu faraj. Ini bertujuan mengelakkan rahim daripada terkoyak yang mungkin sukar untuk dijahit. Sesetengah bidan amat mahir  menyambut kelahiran bayi tanpa berlakunya koyakkan pada faraj.

PERINGKAT MENYAMBUT KELAHIRAN
1. Belakang faraj dipertahan untuk mencegah koyak ketika kepala bayi hendak keluar.
2. Dengan tangan kanan menjaga belakang faraj, tangan kiri bidan mengawal kepala bayi keluar.
3. Segala lendir dan cecair perlu dikeluarkan dari mulut bayi yang baru lahir untuk mencecah ia daripada masuk ke paru-paru.
4. Uri ditarik keluar, manakala tangan kiri bidan mengawal rahim pada bawah perut.
5. Uri diperiksa, lengkap atau tidak. Kemudian dibersihkan, dibungkus kain putih dan seterusnya ditanam.
6. Azankan telinga kanan dan aqamah pada telinga kiri. Bacakan mana-mana surah al-Quran yang dihafal bapanya.

AMALAN MEMASUKI BULAN KELAHIRAN
Apabila tiba bulan untuk melahirkan, sepatutnyalah para ibu mengikuti nasihat-nasihat seperti berikut, iaitu ketika menuju ke hospital maka hendaklah anda mengikuti petunjuk di bawah ini.
1. Bertawakallah kepada Allah s.w.t.
2. Berkomunikasilah dengan Allah s.w.t. dengan perantaraan doa serta bermohonlah kepada-Nya agar (dimudahkan ketika melahirkan). Tentulah Allah swt mengabulkan permohonan hamba-Nya, sebagaimana tersebut dalam firman-Nya yang berbunyi;
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah :186)
3. Sebutlah nama Allah sebanyak mungkin dan jangan lupa membaca doa keluar rumah, iaitu:
"Dengan nama Allah aku berserah diri kepada Allah yang maha kuasa dan tidak daya upaya kecuali atas pertolongan Allah."
4. Perbanyaklah istighfar
5. Setelah selesai melahirkan, sangat ditekankan sekali membaca doa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari seperti berikut :
"Aku berlindung dengan kalimah Allah yang amat sempurna dari segala gangguan syaitan dan juga dari segala haiwan yang berbisa, dan juga dari pandangan mata yang jahat."
6. Namun apabila ditakdirkan bayi yang dilahirkan meninggal dunia, maka hendaklah bersabar dan tidak melunturkan keikhlasan atas ketetapan Allah yang berlaku. Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, dari Ummu Salamah, agar sebaiknya keluarga yang terkena musibah mengucapkan doa tawakal dan penuh harapan;
"Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya Kami akan kembali kepada-Nya, Ya...Allah, berilah kami ganjaran dalam musibah ini, lalu berilah aku gantinya dengan yang lebih baik lagi."
7. Lakukanlah semua itu dengan lapang dada dan ingatlah sesungguhnya Allah telah menjadikanmu seorang wanita yang tetap dalam garis fitrahnya, dengan meringankan apa-apa yang tidak dibebankan keadaanmu apa-apa yang telah diamanatkan kepada laki-laki.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -

Isnin, 16 Disember 2013

10 Panduan Mendidik Anak

13 Safar 1435

Dari Abu Hurairah r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Setiap anak dilahirkan berdasarkan fitrah, lalu kedua orang tuanyalah yang membuatnya memeluk agama Yahudi, Nasrani atau Majusi, sebagaimana haiwan yang juga melahirkan haiwan, semuanya. Apakah kalian boleh merasakan di antara haiwan itu ada yang buruk makanannya?"
     Anak adalah amanat dari Allah swt. Pembentukan sahsiah anak bergantung pada cara didikan yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaganya. Pada waktu-waktu awal daripada kehidupannya, anak akan menerima pengarahan atau ajaran dari kedua orang tuanya. Maka tanggungjawab untuk mendidik anak ke arah kebaikan berada di atas bahu orang tuanya.
     Masa kini dunia semakin maju. Ramai di kalangan ibu bapa yang mempunyai masa yang begitu terhad untuk bersama anak-anak. Tuntutan hidup memaksa ibu bapa moden masa kini keluar bekerja. Justeru cara dalam membimbing dan mendidik anak merupakan masalah yang sangat penting dan menonjol.
     Anak-anak sejak dari kecil perlu dibiasakan dan diajar hal-hal yang baik agar ia akan membesar dan menjadi insan yang bahagia di dunia dan akhirat. Jika dia dibiasakan dan diajar hal-hal yang buruk dan diabaikan seumpama binatang, tentu dia akan menderita dan rosak. Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk membentuk anak-anak ini, mereka akan turut berdosa kerana membiarkan anak-anak hidup tanpa pegangan dan haluan yang betul. Allah berfirman; "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka," (At-Tahrim : 6).
     Sekalipun ibu bapanya memeliharanya dari api neraka dunia, tapi memeliharanya dari api neraka jauh lebih baik. Bapa juga berkewajipan memeliharanya dengan mendidik, membimbing, mengajarnya akhlak yang baik dan menjauhkannya dari teman-teman yang buruk.
     Islam menganjurkan beberapa garis panduan yang berguna dan baik bagi ibu bapa membentuk dan mendidik anak-anak mereka selari dengan tuntutan agama yang suci ini.
1. Hidup Mewah
Tidak boleh membiasakannya hidup mewah, tidak boleh membuatkannya menyenangi hiasan dan kesenangan sehingga si anak akan menghabiskan usianya untuk mendapatkan kesenangan dan kemewahan tersebut setelah besar nanti yang akhirnya akan menyeretnya kepada kehancuran.
2. Awasi sepanjang masa
Sebagai ibu bapa kita perlu mengawasi anak kita sepanjang masa. Tidak boleh mengambil pembantu sepanjang masa. Tidak boleh mengambil pembantu atau orang yang menyusui kecuali wanita solehah, berpegang kepada agama dan hanya memakan yang halal-halal.
3. Anak yang pemalu
Pengawasan terhadap anak juga harus dilakukan dengan anak-anak yang baik. Jika anak merasa malu dan tidak mahu melakukan sebahagian perbuatan, maka hal itu tidak dilakukan kecuali kerana kemuliaan akalnya. Anak pemalu juga tidak boleh diremehkan, tetapi dia harus dididik sesuai dengan keadaannya yang pemalu.
4. Bersopan ketika makan
Jika ada sifat anak yang menjurus kepada keburukan tatkala makan, maka ibu bapa harus segera menegurnya, seperti nasihat supaya makan dengan menggunakan tangan kanan, membaca bismillah sebelum makan, mengambil makanan yang dekat dengan tempatnya terlebih dahulu. Tidak boleh meninggalkan tempat makan lebih awal dari yang lain, tidak boleh memandang dengan pandangan yang tajam kepada orang lain yang makan dengannya, tidak terlalu cepat ketika mengunyah, tidak boleh bercakap-cakap ketika mulut penuh dengan makanan atau ketika mengunyah, tidak menyuap secara terus menerus tanpa ada jaraknya, tidak boleh mengotori bajunya, sesekali mengajarnya agar memakan roti tawar bagi menginsafi dan bersyukur dengan apa yang ada dan melarangnya makan dengan terlalu banyak.
5. Pakaian
Membiasakan mengenakan pakaian tidak berwarna-warni dan sutera atau yang mahal-mahal. Jangan biasakan anak berpakaian untuk menunjuk-nunjuk dengan orang lain atau untuk bermegah-megah. Kebiasaan hidup mewah dan bersenang-senang akan mendatangkan bahaya yang sangat menakutkan pada diri anak di kemudian hari. Setelah dewasa, dia akan cenderung enggan bekerja, malas dan takut bekerja keras sehingga dia menjadi beban orang lain. Rasulullah saw melarang hidup bersenang-senang dalam sabdanya; " Jauhilah hidup bersenang-senang, kerana hamba-hamba Allah itu bukanlah orang yang hidup bersenang-senang" - (Diriwayatkan Ahmad)
6. Beri perhatian
Anak yang tidak mendapat perhatian dan diabaikan pada awal masa pertumbuhannya, majoriti akhlaknya buruk, pendusta, pendengki, suka mengadu, suka mencuri, memaksa, berbual kosong dan bercanda ria. Semua kelakuan ini boleh dihindarkan dengan bimbingan dan ajaran. Banyakkan aktiviti anak-anak dengan mempelajari al-Quran, hadis, kisah para pejuang Islam dan keadaan mereka serta kisah-kisah dan tauladan yang berguna agar di dalam jiwanya tertanam kecintaan kepada orang-orang soleh dan menebal kekuatan imannya.
7. Menegur
Jika anak memperlihatkan akhlak yang baik, maka mereka perlu mendapat pujian atau hadiah yang menyenangkan hatinya atau dipuji di hadapan orang lain. Jika sesekali dia melakukan yang buruk, maka keburukannya tidak perlu diungkap secara langsung. apabila jika dia sendiri berusaha untuk menutupi dan menampakkannya. Kecuali, jika perbuatannya ini akan menjurus kepada kebiasaan. Sebab, jika sekali dia tidak ditegur kerana melakukan keburukan pada masa lain dikhuatiri dia akan mengulangi lagi. Dalam keadaan seperti ini dia akan mengulanginya lagi. Dalam keadaan seperti ini dia boleh diperingatkan secara halus, "Janganlah kamu mengulangi lagi. Jika tidak semua orang akan tahu apa yang kamu lakukan."
     Anak tidak boleh terlalu sering diherdik dan dicela. Perbuatan ini lama kelamaan akan menjadikan dia kebal dan lali dengan celaan dan herdikan serta tidak ada yang membekas di dalam hatinya. Sebagai ibu bapa kita harus  mempertimbangkan apa yang akan diucapkan di hadapan anak-anak kita.
8. Tawaduk
Ajar anak agar tidak membanggakan diri di hadapan teman-temannya. Tetapi dia harus dibiasakan tawadhu' dan menghormati setiap orang yang bergaul dengannya serta berkata secara lemah lembut dan penuh hikmah. Cuba jangan biasakan anak mengambil apa juga benda yang ada di hadapannya, sebaliknya latihlah anak bersedekah dan menghulurkannya bantuan, samada bentuk kebendaan dan pertolongan kepada orang lain.
9. Bersopan dengan tetamu
Biasakan anak agar tidak meludah di tempat duduknya dan membuang hingus di hadapan tetamu atau sesiapa sahaja yang berada di hadapannya. Tidak boleh melompat-lompat selagi ada tetamu. Tidak boleh mengganggu, tidak boleh meletakkan kaki di atas kaki yang lain, tidak meletakkan telapak tangan di bawah dagu atau menyandarkan kepala di lengan tangan, kerana perbuatan ini menunjukkan sifat kemalasan. Anak-anak mestilah dilatih cara duduk yang baik dan tidak boleh terlalu banyak berbicara. Perbuatan seperti ini akan menunjukkan sifat tidak tahu malu.
10. Bermain
Sekembali dari sekolah, anak diberi kesempatan untuk bermain yang baik-baik. Kelonggaran ini akan memberikan rasa selesa dan keseronokkan agar dia dapat beristirehat setelah penat di sekolah. Jangan sesekali memaksa anak untuk terus menerus belajar. Perbuatan ini hanya akan mematikan hatinya, membekukan kecerdikkannya dan menjemukan hidupnya, sehingga dia akan mencari-cari alasan untuk keluar dari keadaannya ini.
11. Perintah agama
Apabila anak sudah mencapai usia baligh, maka dia tidak diberi kesempatan sedikitpun untuk meninggalkan bersuci dan solat, diperintahkan berpuasa pada bulan Ramadhan, diajari hukum-hukum syariat yang diperlukan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sering memperingatkan dalam kehidupan seharian. Sering memperingatkannya dari tindak pencurian, memakan yang haram, khianat, dusta dan perkataan keji.

     Kesimpulannya, jika sejak kecil para ibu bapa mendidik anak-anak mereka berdasarkan panduan ini sudah pasti mereka akan menjadi insan yang baik di dunia dan di akhirat kelak.




- Sumber dari NUR Januari 2003 -