Dua minggu selepas Abdullah-Aminah berkahwin, Abdul Mutalib mengarahkan anaknya mengikut rombongan perniagaan ke Syria. Mendengarnya Aminah sangat sedih kerana terpaksa berpisah sedangkan mereka masih bergelar pengantin baru. Setiap hari Barakah memujuk puannya yang tidak mahu bercakap dan enggan bertemu sesiapapun kecuali bapa mertuanya.
Dua bulan selepas pemergian Abdullah, suatu pagi Aminah memberitahu Barakah dengan wajah riang. "Saya mengalami mimpi aneh. Saya nampak cahaya datang dari perut saya, menyinari gunung, bukit dan seluruh Mekah." "Barangkali puan hamil,"balas Barakah. "Ya, tetapi saya tidak terasa apa-apa seperti yang dirasakan wanita hamil lain," kata Aminah. "Puan akan melahirkan seorang bayi istimewa," kata Barakah lagi.
Tidak lama kemudian sampai berita bahawa pemerintah Yaman, Abrahah akan menyerang Kaabah. Aminah tertekan apabila diperintahkan Abdul Mutalib berpindah ke kawasan pergunungan untuk mengelak serangan itu. Aminah enggan. Dia yakin Abrahah tidak akan menyerang Kaabah kerana tempat tersebut akan dilindungi Tuhan. Keyakinannya menjadi nyata apabila tentera bergajah Abrahah gagal menawan Mekah sebaliknya hancur dengan serangan burung Ababil seperti yang dikisahkan dalam surah al-Fiil 1-5.
Aminah kerap memanggil-manggil suaminya dalam tidur. Dan Barakah pasti akan bangun mententeramkannya. Kepulangan rombongan perniagaan dari Syria disambut meriah oleh orang Mekah. Barakah senyap-senyap ke rumah Abdul Mutalib untuk mengintai kelibat Abdullah tetapi hampa. Sehingga datang berita dari Yathrib mengkhabarkan Abdullah telah meninggal dunia.
Abdullah meninggal dunia
Aminah pengsan mendengarnya. Barakah setia menemani puannya, merawat dan mententeramkan Aminah sehingga wanita itu selamat melahirkan bayinya, Muhammad. Barakah orang pertama yang memeluk bayi mulia itu. Kemudian datuknya datang mengambil bayi tersebut, membawa ke Kaabah dan meraikan bersama orang Mekah. Sepanjang lima tahun, Muhammad dihantar ke luar bandar untuk dipelihara oleh Halimah. Barakah tinggal bersama Aminah. Muhammad kemudiannya dipulangkan dan Barakah orang paling gembira menyambutnya. Ketika Muhammad 6 tahun, Aminah berhasrat menziarahi pusara suaminya di Yathrib. Mereka bertiga berangkat bersama tetapi Aminah tidak memberitahu Muhammad tujuan keberangkatan mereka. Selepas merentasi perjalanan selama 10 hari, mereka sampai di Yathrib. Muhammad ditinggalkan di kediaman bapa saudara sebelah ibunya di perkampungan Banu Najjar sementara Aminah melawat pusara suaminya. Setiap hari selama beberapa minggu dia akan berada di pusara tersebut dan melayan kesedihannya.
Aminah Jatuh Sakit
Dalam perjalanan pulang, Aminah jatuh sakit. Di al-Abwa' iaitu pertengahan jalan antara Yathrib dan Mekah, mereka berhenti rehat. Demam Aminah semakin teruk dan dia memanggil Barakah. Dia merasakan ajalnya semakin hampir. Kepada Barakah, dia berpesan supaya menjaga Muhammad, jadikan dia sebagai anak dan jangan abaikannya yang telah kehilangan kasih ibu bapa.
Aminah meninggal di sana. Dengan tangannya sendiri, Barakah menguburkan Aminah. Kemudian dia membawa Muhammad kembali ke Mekah dan menempatkan kanak-kanak itu di bawah jagaan datuknya. Selepas Abdul Mutalib meninggal dunia dua tahun kemudian, Muhammad dipelihara bapa saudaranya Abu Talib dan Barakah tetap menjaga kebajikan Muhammad sehinggalah dewasa.
Muhammad memanggil Barakah sebagai ibu. Sehingga saat perkahwinannya dengan Khadijah, Muhammad memanggil Barakah. "Ibu, sekarang saya sudah berkahwin tetapi ibu masih belum berkahwin. Apa pendapat ibu sekiranya ada lelaki yang mengajak ibu berkahwin?" Barakah memandang Muhammad. "Ibu tidak akan meninggalkan kamu. Adakah seorang ibu yang mengabaikan anaknya?" Muhammad tersenyum dan mengucup dahinya. Dia memandang isterinya.
"Ini Barakah. Dia ibu saya selepas ibu kandung saya. Dia keluarga saya." Khadijah berkata,"Ibu telah mengorbankan usia remaja ibu untuk Muhammad. Sekarang dia mahu membayar pengorbanan ibu. Demi kami berdua, berkahwinlah sebelum usia tua mengambil ibu."
"Siapa yang akan mengahwini saya, puan?" tanya Barakah. "Seorang lelaki bani Khazraj Yathrib datang bertemu kami untuk melamar ibu. Demi saya, terimalah dia," kata Khadijah.
Berkahwin dengan Zayd
Barakah bersetuju. Dia mengahwini Ubayd ibnu Zayd dan tinggal di Yathrib. Hasil perkahwinannya, mereka beroleh anak lelaki, Ayman dan sejak itu ia dikenali sebagai Ummu Ayman yang bermaksud ibu kepada Ayman. Selepas suaminya meninggal dunia, dia kembali ke rumah Muhammad dan Khadijah. Tinggal bersama mereka ialah Ali ibn Abi Talib, Hind (anak perempuan Khadijah dengan suami pertama) dan Zayd ibn Harithah.
Zayd merupakan lelaki Arab dari bani Kalb yang diculik semasa kecil dan dijual sebagai hamba. Ia dihadiahkan oleh anak saudara Khadijah dan sangat akrab dengan Muhammad. Malah semasa bapa Zayd datang ke Mekah mencarinya, dia diberi pilihan untuk kembali kepada bapanya atau tinggal bersama Muhammad. Zayd membuat pilihan untuk tinggal bersama Muhammad dan kemudian dia dibebaskan. Barakah dan Zayd antara orang pertama yang menerima syahadah selepas Muhammad diangkat sebagai Rasulullah s.a.w. Suatu malam, kaum musyrikin menghalang laluan ke rumah Al-Arqam yang menjadi tempat Rasulullah menyampaikan kuliah agamanya. Barakah membawa pesanan Khadijah untuk disampaikan kepada Muhammad. Dia mempertaruhkan nyawanya untuk sampai ke rumah Al-Arqam. Selepas mendapat pesanan tersebut, Rasulullah mengumumkan kepada para sahabat. "Jika ada antara kamu yang ingin mengahwini wanita dari syurga, maka kahwinilah Ummu Ayman (Barakah)." Semua sahabat terdiam. Barakah bukan wanita yang cantik dan menawan. Usia sudah 50 tahun dan dia sudah tua. Berkata Zayd kepada Rasulullah, "Saya akan mengahwini Ummu Ayman. Demi Allah, dia lebih baik daripada wanita yang cantik." Mereka berkahwin dan dikurniakan anak lelaki, Usamah. Rasulullah sangat menyayangi Usamah bagai anaknya sendiri.
Merentasi padang pasir
Apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, Barakah ditinggalkan di Mekah untuk tujuan tertentu. Wanita itu kemudian berpindah sendirian ke Madinah merentasi padang pasir dalam panas terik dan ribut pasir. Kakinya pecah-pecah dan luka-luka dengan muka penuh berdebu. Rasulullah menyambut dan menyapu mukanya sambil mengurut kaki Barakah dengan penuh kasih sayang. Barakah melakukan peranan besar di Madinah. Dalam perang Uhud, dia bertugas memberi minuman kepada tentera yang cedera. Dia menemani Rasulullah dalam ekspedisi Khaibar dan Hunayn. Anaknya, Ayman mati shahid dalam perang Hunayn. Suaminya, Zayd terkorban dalam perang Mut'ah di Syria. Barakah dianggap unik kerana dia satu-satunya yang paling rapat dengan Rasulullah. Dia meninggal semasa zaman khalifah Uthman. Asal-usulnya tidak diketahui tetapi kesudahannya sudah pasti berada di syurga.
- Sumber dari NUR November 2002 -