Kemuncak kulit berminyak biasanya menyerang pada usia remaja dan adakalanya pada anda yang berusia awal 20an hingga ke 30an. Banyak cara menjaga kulit ini agar kelihatan segar, bermaya dan bersih tanpa kesan kilat yang memalukan.
1) Gunakan astrigen harian untuk menyingkirkan minyak berlebihan. Jangan sekali-kali gunakan alkohol kerana ia akan menghilangkan kesan kelembapan di permukaan kulit seterusnya menggalakkan lagi pengeluaran minyak.
2) Bersihkan muka sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan pencuci muka yang lembut bagi mengelakkan liang roma tersumbat. Tetapi jangan pula anda menggosok atau menyental permukaan muka dengan kuat atau membersihkannya secara berlebihan.
3) Pelembab bukanlah sesuatu yang mesti dipakai setiap hari. Bagaimanapun jika wajah berasa tegang atau kering selepas membersihnya, maka perlulah anda menggunakan sedikit pelembab dengan menggunakan pelembab bebas minyak. Elakkan produk yang mempunyai minyak galian atau koko.
4) Apabila memilih alat solek, terutamanya alas bedak (foundation) pastikan ia bebas minyak. Kosmetik berasaskan air tidak akan menyumbatkan liang roma. Ada juga kosmetik yang mampu menyerap minyak membantu muka daripada berkilat kesan daripada minyak yang dikeluarkan oleh kulit.
5) Sapuan gel penahan cahaya matahari (sunscreen) bukan berasaskan minyak adalah digalakkan daripada penggunaan krim. Pastikan anda menggunakan gel paling minimum SPF15.
Rawatan Topeng Kulit Berminyak
Sebenarnya menyediakan sendiri topeng muka (mask) untuk kulit berminyak lebih mudah dan murah selain ia menyeronokkan. Walaupun sibuk dengan urusan kerja pejabat, kecantikan paras rupa jangan dilupa. Bergantung kepada alat solek semata-mata tidak mencukupi, oleh itu sediakan sendiri adunan topeng untuk rawatan kulit berminyak ini.
Bahan-bahan :
6 auns yogurt kosong
2 titis minyak thyme
2 titis minyak daun pudina
Perahan daripada sebiji limau nipis atau lemon
1/2 paket yis
2 camca teh isi ubi kentang (rendamkan dahulu kentang untuk beberapa jam)
2 camca teh teh air susu
Penyediaan:
Campurkan semua bahan dan kisar hingga halus. Keluarkan. Sapu dan ratakan pada seluruh wajah termasuk jerawat dan jeragat. Biarkan ia selama 10 hingga 12 minit kemudian bersihkan dengan air suam kuku.
Khasiat Bahan-bahan:
1) Minyak Thyme - Berfungsi sebagai antiseptik dan astringen
2) Minyak Pudina - Memberi kesan sejuk dan segar. Turut berfungsi sebagai astringen dan larutan pembersih
3) Jus Lemon - Sebagai antiseptik dan astringen.
4) Yis - Bertindak sebagai antiseptik dan menyelaraskan pengeluaran hormon dari kelenjar sebaceous.
5) Kanji daripada ubi kentang - Mempunyai kuasa penyerapan tinggi dan kesan sejukan.
- Sumber dari NUR November 2002 -