Selasa, 30 Julai 2013

Pengisian Bulan Ramadhan : Adab-adab Berpuasa

1. Wajib bagi seorang muslim untuk berpuasa dengan penuh keimanan dan pengabdian hanya kerana ALLAH SWT semata-mata, bukan kerana riyak atau budaya ikut-ikutan (taqlid). Demikian juga solat sunat pada bulan Ramadhan seperti solat tarawih, witir dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh keimanan dan kekhusyukan. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
من صام رمضان إيمانا و احتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya:
"Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan penuh keinsafan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu."
- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

2. Adab terpenting dalam berpuasa adalah membiasakan diri bertakwa kepada ALLAH SWT dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-NYA. Sesuai dengan firman ALLAH SWT:
يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya:
"Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
- Surah al-Baqarah:183

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka ALLAH tidak teragak-agak untuk mengabaikan makanan dan minumannya."
- Hadis riwayat Bukhari

3. Menjauhi apa yang diharamkan ALLAH SWT seperti bercakap bohong, mencela, mencaci, menipu, khianat, melihat sesuatu yang haram, mendengar umpatan dan lain-lain perbuatan haram yang harus dijauhi oleh orang yang berpuasa.

4. Memperbanyakkan sedekah, amal jariah dan berbuat baik kepada orang lain. Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling dermawan. Baginda menjadi lebih dermawan pada bulan Ramadhan tatkala Jibril menemuinya untuk bertadarus al-Quran.

5. Sahur
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan."
- Hadis riwayat Bukhari

6. Berbuka dengan buah kurma
Disunatkan untuk berbuka dengan buah kurma. Sekiranya tiada, bolehlah digantikan dengan air.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas r.a.:
"Nabi s.a.w. akan berbuka dengan buah kurma basah (ruthob) sebelum menunaikan sembahyang, sekiranya tiada, baginya menggantikannya dengan kurma kering (tamar), sekiranya tiada, baginda akan merasai sedikit air."
- Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Darugutni



- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -