Bersama : Qistina
Definisi mudah bagi data recovery ini adalah kemampuan sesebuah organisasi dalam menyediakan satu sistem back-up terhadap sistem maklumat yang boleh dipercayai dapat memainkan peranan sekiranya sistem sedia ada mengalami masalah tanpa menyebabkan kelewatan atau gangguan perhubungan terutama antara organisasi dan pelanggan.
Kadangkala situasi ini berlaku tanpa dapat dijangka. Sistem tidak dapat beroperasi akibat kerosakan data dan perlu diformat semula bagi membolehkan komputer kembali berfungsi. Data yang ada di dalamnya tidak boleh diselamatkan lagi. Kadangkala ada cara bagi mengembalikan semula data tersebut, tetapi kos yang diperlukan bagi menyediakan perisian untuk tujuan itu adalah tinggi.
Salah satu sistem 'recovery' yang sangat popular dalam kitaran luas recovery adalah data back-up. Data back-up ini sebenarnya hanya merupakan sebahagian kecil dari kitaran recovery, yang melibatkan duplikasi sistem secara keseluruhan bagi memastikan sesebuah sistem komputer dapat mengambil mengambil alih sistem tergendala disebabkan oleh apa jua bencana dan kemalangan.
Sekali dalam sebulan
Data back-up boleh dilakukan dengan menggunakan beberapa kaedah seperti menyimpan data di dalam peranti berbeza, menyalin data ke dalam pita magnetik atau mana-mana jenis storan sekunder, atau menyalin data-data penting ke dalam mesin berbeza yang diletakkan di dua tempat yang berbeza.
Bagaimanapun kesedaran terhadap menyediakan data back-up ini masih terlalu rendah dalam masyarakat kita. Masing-masing menganggap mudah perkara ini yang sebenarnya boleh mendatangkan kesan yang amat besar dalam dunia bisnes. Anda dinasihatkan supaya menyediakan data back-up sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan sebagai persediaan sekiranya terjadi sebarang kemungkinan di luar jangkaan. Sebenarnya kekerapan melakukan back-up ini adalah bergantung kepada kekerapan sesuatu data dikemaskini, semakin kerap back-up perlu dilakukan bagi memastikan data anda adalah data yang terkini.
Bagi pengguna komputer peribadi, terdapat beberapa cara yang boleh digunakan bagi menyediakan back-up terhadap data-data di dalam cakera keras anda. Salah satunya adalah dengan menyediakan salinan data daripada cakera keras ke dalam storan kedua seperti disket, CD-R, Zip Drive dan beberapa jenis storan sekunder yang lain. Disket adalah merupakan peranti yang paling mudah dan paling biasa digunakan oleh pengguna komputer peribadi.
Saiz fail di dalam cakera keras anda akan menentukan masa yang akan diambil bagi menyediakan back-up tersebut dan bilangan kapasiti storan sekunder yang diperlukan bagi menyediakan back-up. Lebih besar saiz storan hard drive anda, lebih lama masa yang akan diambil dan lebih besar saiz storan sekunder yang diperlukan bagi menyediakan salinan back-up. Pertimbangkan hanya untuk menyediakan salinan terhadap fail-fail penting sahaja, bagi menjimatkan bilangan disket atau peranti yang digunakan. Anda tidak perlu menyediakan salinan terhadap seluruh kandungan cakera keras anda, kandungan cakera keras dalam termasuk fail sistem komputer.
Pita magnetik pula sering digunakan bagi menyediakan back-up bagi sesebuah organisasi yang besar. Data yang disimpan di dalam 'server' atau rangkaian 'workstation' akan disalin ke dalam pita magnetik mengikut kitaran back-up yang telah dirancang. Kebanyakan organisasi juga menggunakan sistem penyimpanan data menggunakan teknologi NAS (Network Area Storage) atau SAN (Storage Area Network) bagi memaksimumkan penyimpanan data, bersama kaedah back-up yang lebih efisyen.
- Sumber dari NUR Disember 2002 -