Selasa, 8 Oktober 2013

10 Faktor Kejayaan Perniagaan Dari Rumah

Berniaga tidak bermakna anda perlu keluar rumah seperti mereka yang perlu keluar bekerja ke pejabat. Perniagaan dari rumah adalah satu usaha terbaik terutama bagi muslimah yang sudah berumahtangga tetapi mahu melakukan sesuatu untuk memenuhi masa yang terluang.
     Sesungguhnya mereka ini tahu bagaimana cara untuk menambahkan pendapatan keluarga dan tidak membuang masa demi kebaikan. Sebagaimana firman Allah :
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal solih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran" (Surah al-Asr:1-3)
"Tuhanlah yang menjadikan bumi itu mudah bagimu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu akan dibangkitkan." (Surah al-Mulk:16)
     Kedua-dua ayat ini menggalakkan umat Islam untuk melakukan sesuatu yang berfaedah dan berniaga adalah satu cara terbaik. Dengan perkembangan informasi teknologi seperti internet, perniagaan seumpamanya lebih mudah dijalankan. Terdapat beberapa faktor utama mendorong kejayaan perniagaan dari rumah. Perhatikan faktor-faktor berikut:

1. Latar syarikat
Cuba layari internet dan lihat mana-mana syarikat yang terlibat dalam perniagaan dari rumah. Kebiasaannya, pengunjung akan ditanya tentang penilaian mereka mengenai sesuatu perniagaan sama ada dari segi barang, kualiti, kepelbagaian pilihan, harga dan perkhidmatan. Melalui maklumat tersebut, anda dapat menilai sendiri jenid perniagaan dan cara mengatasi masalah yang biasa dihadapi oleh syarikat-syarikat ini. Secara tidak langsung, anda dapat membayangkan keadaan sebenar apabila anda memulakan perniagaan pilihan anda sendiri.
2. Produk yang unik
Adakah produk tersebut eksklusif, iaitu sukar didapati di mana-mana? Adakah produk tersebut berkualiti tinggi, dihasilkan dari penyelidikan yang sah dan dipatenkan dan bernilai untuk digunakan? Jika produk mengambil jangka masa panjang untuk digunakan, bilakah jangkaan masa produk akan menerima pesanan berikutnya? Anda perlu mengkaji setiap perkara berkenaan produk kerana ia akan menentukan peluang anda memajukan perniagaan berdasarkan tempahan.
3. Produk sendiri
Apa yang perlu anda lakukan sendiri untuk perniagaan tersebut? Adakah anda juga perlu menguruskan segala-galanya dari urusan memikirkan tempahan senarai barang-barang, penghantaran dan kutipan wang? Perlu diingat bahawa anda perlu meminimumkan penggunaan masa dari perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh orang lain. Jika tidak, anda akan kesuntukan masa memikirkan sesuatu untuk memaju dan mengembangkan perniagaan.
4. Kekuatan pengurusan
Siapakah barisan pengurus utama? Apakah rekod mereka serta bagaimana pengalaman mereka menguruskan perniagaan? Adakah mereka dapat bekerjasama dengan baik? Apakah kekuatan dan kelemahan mereka?
5. Harga kompetetif
Jika pelanggan dapat membeli produk yang sama pada harga yang lebih murah daripada syarikat lain anda seharusnya lebih bertindak segera. Anda mesti prihatin terhadap perkembangan ini. Cuba sedaya upaya untuk menandingi tawaran harga yang dibuat agar pelanggan lebih tertarik dengan produk anda. Jika sukar untuk dilakukan, pastikan anda memberi perhatian terhadap faktor-faktor lain seperti khdimat nasihat dan penghantaran segera.
6. Pesanan semula
Anda perlu melihat dan memahami pada permintaan atau pesanan pelanggan. Berapakah pukul rata jumlah pesanan serta peratusan pelanggan yang tidak memesan semula produk yang ditawarkan? Dengan ini, anda dapat mengetahui potensi produk yang dipasarkan, seterusnya menunjukkan kestabilan syarikat dan sejauh mana anda perlu berusaha memajukan perniagaan dari rumah. ini.
7. Pelaburan
Berapakah jumlah modal permulaan yang diperlukan? Adakah anda membuat senarai terperinci mengenai produk jualan dan apakah kuota jualan bulanan? Semua persoalan ini berkait rapat dengan jumlah wang pelaburan yang perlu anda keluarkan agar ia tidak melebihi peruntukan dan kemampuan anda.
8. Masa
Penting sekali anda mempertimbangkan kesesuaian masa atau sesuatu musim untuk menjual produk tertentu. Anda juga perlu bertindak segera apabila mendapati pilihan produk yang dijual adalah eksklusif. Pelanggan akan tertarik dengan tawaran yang dibuat kerana anda menjual tepat pada masanya.
9. Keuntungan dan pemasaran
Setiap perniagaan dimulakan untuk memperolehi keuntungan. Tanya pada diri sendiri berapa lamakah keuntungan dapat diperolehi? Adakah selepas sebulan, enam bulan atau setahun? Berapakah anggaran pulangan yang dapat anda perolehi selepas beberapa usaha dilakukan? Berapa lama ia memakan masa dan apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai sasaran yang telah anda gariskan?
10. Risiko
Apakah polisi pulangan barangan syarikat anda? Adakah anda akan mengenakan syarat-syarat tertentu atau tiada sebarang pertanyaan tentangnya? Secara dasarnya anda perlu tahu bahawa setiap wang yang anda laburkan mempunyai risiko tersendiri. Jika anda hanya mahu berniaga untuk jangka masa singkat sahaja lebih baik anda berfikir dua kali untuk memulakannya kerana hanya syarikat yang kuat, kukuh dan stabil sanggup menghadapi  risiko dan cabaran berniaga. Jangan disangka berniaga dari rumah semudah ABC.

Bingung Memilih Perniagaan?

Memang ramai di antara kita yang bercita-cita untuk memulakan perniagaan dari rumah. Namun sebelum memulakan langkah ada beberapa perkara yang perlu anda teliti sebelum anda bertindak lebih jauh. Perhatian persoalan-persoalan berikut:
1 Apakah jenis perniagaan atau perkhidmatan yang anda berminat untuk melaksanakannya?
2 Apakah perkara yang anda gemar lakukan dan adakah anda mempunyai jiwa niaga bagi membolehkan perniagaan tersebut dapat diperkembangkan?
3 Adakah anda menawarkan produk atau perkhidmatan untuk pengguna tempatan atau antarabangsa?
4 Apakah anda menjalankan perniagaan untuk sepenuh atau separuh masa?
5 Adakah perniagaan ini hanya memberi pendapatan tambahan atau pendapatan utama?

Soalan-soalan ini akan membantu anda memahami lebih mendalam bagi membantu anda membuat pilihan jenis perniagaan yang akan anda mulakan. Bagaimanapun, ini hanya tip permulaan bagi memahami situasi. Untuk mengetahui lebih lanjut, dapatkan buku-buku rujukan Perniagaan Dari Rumah di kedai-kedai buku utama. Mencari maklumat awal tentang perniagaan ini lebih baik bagi memberi gambaran jelas kepada anda agar perniagaan yang akan anda jalankan nanti berjalan lancar dan mendapat sambutan.

- Sumber dari NUR Disember 2002 -