Isnin, 7 Oktober 2013

Panduan Elak Sakit Belakang

Kelolaan : Laila Halilah Nasir
Bahagian Pertama

Kebanyakan daripada kita sering 'mendera' bahagian tulang belakang kita tanpa disedari. Setiap hari, setiap masa kita membeban dan menggunakan sepenuhnya tulang utama sokongan badan dengan tidak memberi perhatian atau memberi peluang ia berehat dengan betul.
     Cara kita duduk, berdiri, mengangkat barang, memandu atau menjalankan tugas harian memberi kesan kepada bentuk tubuh terutamanya kesihatan tulang belakang dalam jangka panjang. Dan kebiasaannya apabila kita berasa lenguh atau sakit pada bahagian belakang badan, kita akan mencari tukang urut untuk memulihkannya. Tidak kurang juga yang menemui doktor untuk mendapatkan ubat bagi mengurangkan sakit tersebut. Tetapi jangan terkejut sekiranya masalah yang sama akan berulang dan terus berulang.
     Tulang belakang terdiri daripada 24 ruas tulang atau vertebra yang tersusun rapi. Di antara setiap tulang ini terdapat ceper daripada tisu lembut yang bertindak sebagai penyerap hentak dan tekanan.
     Manakala di setiap tulang belakang ini mempunyai rongga atau ruang di tengah-tengah. Di dalam rongga inilah letaknya saraf tunjang. Saraf tunjang belakang bersambung pada saraf tunjang dan terletak di antara vertebra dan saraf inilah yang kemudiannya menjalar ke seluruh tubuh. Tekanan yang berlebihan pada tulang belakang akan memberi kesan berpanjangan. Cara kita berdiri, duduk, berjalan atau melakukan sebarang kerja sebenarnya memberikan tekanan kuat kepada sendi dan saraf tulang belakang.
     Di antara tulang-tulang belakang ini terdapat ceper yang terdiri daripada tisu dan fiber lembut yang memastikan kedudukan tulang berada di tempat sepatutnya. Setiap kali kita membongkok, bahagian ceper inilah yang menerima tekanan dan jika tekanan ini berterusan dalam jangka masa yang panjang ia akan menekan saraf pada tunjang dan saraf ini pula akan menghantarkan mesej memberitahu bahawa bahagian tersebut bermasalah apabila timbul rasa sakit atau kurang selesa.
     Samada saraf pada tengkuk atau tulang belakang, kesan yang akan dihadapi disebarkan pada seluruh tubuh dari kepala hingga ke kaki. Mungkin kita tidak sedar bahawa kesakitan yang kita alami pada sendi tangan atau kaki itu berpunca daripada saraf pada bahagian tengkuk dan tulang belakang.
     Tulang belakang merupakan tunjang pembentukan tubuh. Masalah pada tulang belakang akan menjejaskan kesihatan kesihatan anda selagi anda tidak mengambil langkah segera memulihkan. Mungkin panduan mudah ini dapat membantu anda memulihkan postur badan dan menghindari masalah berkaitan tulang belakang.

BERDIRI
1. Pastikan cara berdiri yang betul. Untuk memastikannya, berdiri dengan menyandarkan kepala, tengah belakang, punggung dan tumit rapat pada dinding. Anda sepatutnya boleh memasukkan tangan di antara bahagian bawah tulang belakang (lumbar) dengan dinding jika anda sedang berdiri dalam posisi yang betul. Satu lagi cara ialah dengan memastikan telinga, bahu dan paha anda berada dalam garisan lurus.
2. Elakkan daripada berdiri dalam posisi yang sama dalam jangka masa yang lama. Bebankan berat badan anda berselang seli pada kaki kanan dan kiri.
3. Pastikan aras tempat anda melakukan tugas adalah selesa, barang keperluan mudah dicapai, jadi anda tidak perlu membongkok untuk mengambil barang.

DUDUK
1. Kedudukan lutut dan paha perlu selesa.
2. Duduk hampir dengan meja tempat anda melakukan tugas
3. Elakkan duduk dalam jangka masa lama. Sesekali bangun untuk melonggarkan otot-otot yang mungkin tegang
4. Sekiranya anda duduk di kerusi yang boleh dilaraskan, paras meja sepatutnya tinggi sedikit daripada pinggang anda ketika duduk.
5. Jika boleh gunakan kerusi yang mempunyai tempat letak tangan untuk membantu menyokong berat badan anda
6. Anda juga boleh menggunakan penyokong bahagian lumbar (tulang belakang yang melengkung) bagi memberikan keselesaan ketika duduk
7. Berdiri setiap kali anda telah duduk selama 10 atau 15 minit. Ini bertujuan memberi peluang kepada sendi-sendi penyambung tulang belakang berehat sementara. Jika duduk terlalu lama, sendi pada tulang belakang di bahagian bawah akan tertekan dan lama kelamaan akan mengakibatkan radang pada sendi dan kita akan rasa sakit dan lenguh.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -