Jumaat, 4 Oktober 2013

Bila anda diumpat rakan sekerja....

"Ala..aku bukannya nak mengumpat dia, tetapi dia tu macam tu suka bodek bos!". Tentu kita selalu dengar rakan kita atau kita sendiri berkata begitu dengan rakan-rakan di tempat kerja. Kita selalu berhadapan dengannya tanpa menyedari betapa besar kesilapan yang telah kita lakukan.
     Seringkali kita bercerita dengan kawan, jiran, saudara-mara malah ketua kita sendiri dengan begitu ghairah mengenai orang lain tanpa rasa berdosa sedikit pun. Dan lebih malangnya ramai di antara kita yang menafikan perbuatan sebegitu adalah perbuatan mengumpat atau 'Ghibah'.
     Susah hendak dinafikan dakwaan bahawa wanita suka mengumpat. Di tempat kerja aktiviti mengumpat ini memang berlaku setiap hari. Sebagai wanita kerjaya kita memang banyak menghabiskan masa di pejabat. Bermula dari jam 8 atau 9 pagi hingga ke jam 5 atau 6 petang, masa kita dihabiskan bersama rakan-rakan sepejabat.
     Masa kita bersama mereka sering dihabiskan dengan berbual tentang banyak perkara. Dalam banyak-banyak benda yang dibualkan itu, pasti terselit juga aktiviti mengumpat. Waktu minum pagi, makan tengahari, minum petang atau waktu balik, fenomena ini memang biasa berlaku dan ia terus berlaku.
     Isu siapa yang paling hebat mengumpat tidak perlu dipertikaikan di sini. Tapi satu hal yang mesti disedari oleh umat Islam bahawa mengumpat adalah kerja dosa yang sukar diampunkan oleh Allah. Bukankah jelas dalam peringatan-Nya, 'Selagi orang yang kena umpat itu tidak memaafkannya maka selagi itulah Allah tidak menerima taubatnya.'
     Betapa beratnya dosa orang yang mengumpat ini boleh kita lihat dari ayat Al-Quran di mana Allah telah berfirman maksudnya: "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekelian benci memakannya," (Al-Hujurat:12).
     Cuba kita bayangkan betapa jijiknya memakan daging saudara kita yang kita umpat itu. Yang paling menyedihkan ramai di antara kita yang tidak berasa berdosa malah seronok dan tertunggu-tunggu bila agaknya ada cerita 'panas' atau cerita 'baru' mengenai si polan.
     Sebagai individu tentunya kita akan berasa sedih dan kecewa apabila kita mendapat tahu diri kita menjadi bahan umpatan rakan yang lain. Mungkin sampai satu tahap kita merasa tidak selesa hingga setiap gerak geri kita diekori dengan mata oleh rakan kerja yang lain. Lebih buruk lagi jika kita tidak tahu apa sebenarnya kesalahan kita dan umpatan itu lebih berupa fitnah semata-mata!
     Orang memang suka mendengar perkara yang tidak elok daripada perkara yang elok. Jika kita dapat mengatasi mungkin kita dapat membetulkan keadaan sekaligus mengembalikan semula maruah yang hilang. Tetapi bagaimana jika kita tidak mampu berbuat apa-apa dan terus-terusan menjadi mangsa? Jangan sampai kita menarik diri menjadi 'kera sumbang'. Itu bukan jalan penyelesaian yang baik. Lantas bagaimana?
     Sebagai muslim kita perlu banyak bersabar. Berhadapan dengan kerenah di tempat kerja memang bukan mudah tetapi dalam isu mengumpat atau kita dijadikan bahan umpatan, mungkin panduan berikut dapat membantu melegakan sedikit perasaan anda.

5 Tip Untuk Mengelakkan Dari Mengumpat

1. Ketahuilah bahawa mengumpat mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah. Kita mestilah sedar yang mengumpat itu melanggar perintah larangan Allah. Yakinlah pada ayat Al-Quran dan hadis yang menegah kita dari mengumpat. Maka peliharalah lidah sebaik-baiknya dari perbuatan ini.
2. Orang yang kena umpatan orang janganlah bertindak marah. Sebaliknya buat perubahan dan bertaubat. Jika sememangnya orang yang kena umpat itu bersalah, maka langkah baiknya kalau mereka bertaubat dan membetulkan kesilapan yang lalu. Dengan sikap ini anda beroleh kemenangan.
3. Orang yang mengumpat itu sebenarnya memberi pahala percuma kepadanya secara tidak langsung. Jadi sewajarnya orang yang menjadi mangsa umpatan mengucapkan terima kasih kepada si pengumpat itu.
4. Orang yang mengumpat pula sepatutnya kena ingat, bagaimana kalau dia yang berada di tempat orang yang kena umpat itu. Kalau dia rasa menderita tentulah dia tidak sanggup mengumpat lagi.
5. Orang yang duduk bersama dengan orang yang mengumpat dikira sama seperti orang mengumpat. Walaupun ia tidak menambah kepada umpatan itu tetapi dengan kata-kata seperti 'tak sangka dia berkelakuan begitu' ataupun 'moga-moga Allah memelihara kita dari jadi seperti itu', seolah-olah membenarkan kata-kata orang yang mengumpat itu. Sedangkan orang yang 'berdiam diri' juga tanpa membuat apa-apa bantahan turut bersubahat dengan orang yang mengumpat itu!

Mengapa orang mengumpat?

1. Untuk melepaskan kemarahannya terhadap sesuatu pihak. Ia akan rasa puas apabila menyebut-nyebut keburukan orang yang dimarahinya.
2. Terikut-ikut akan orang lain. Mungkin ia merasakan jika dia tidak turut serta mengumpat ia akan dipencilkan oleh kawan-kawannya.
3. Dengan memperkecilkan orang lain, dia menganggap dirinya lebih baik daripada orang yang diumpatnya itu.
4. Rasa dengki atau iri hati terhadap sesuatu pihak dan dengan mengumpat ia mengharapkan dapat melenyapkan kenikmatan yang ada pada orang itu.
5. Sengaja menghadirkan diri dalam majlis yang dia tahu akan cenderung menjadi majlis kata mengata bila mana disebut pelbagai keburukan dan keaiban orang lain yang akan disambut dengan gelak ketawa.
6. Merasa dirinya takbur. Dengan mengejek dan menghina orang lain dia akan memandang orang lain semuanya rendah, hina, bodoh dan jahil.

Ganjaran Jika Diumpat

Untuk membendung gejala keaiban ini semua umat Islam terutamanya orang yang kena umpat, mestilah tingkatkan kesabaran kerana orang yang sabar dilindungi Allah. Di dunia mereka diberi ganjaran dan di akhirat dia dimasukkan ke dalam syurga tanpa perhitungan.
Ganjaran di dunia untuk orang yang sabar itu mengikut tahap kesabarannya:
1. Sabar melaksanakan perintah Allah diberi ganjaran 300 mata. Ini ganjaran untuk sesiapa yang boleh melaksanakan perintah Allah walaupun ada tekanan yang cuba menghalang. Mata ganjarannya sedikit kerana perintah Allah dilaksanakan tanpa bertolak ansur.
2. Sabar meninggalkan larangan Allah diberi ganjaran 600 mata. Ganjaran ini agak besar kerana hendak meninggalkan larangan Allah agak payah dan perlukan perngorbanan. Tanpa pengorbanan tentu mereka tidak boleh berbuat begitu.
3. Sabar menerima musibah dari Allah diberi ganjaran 900 mata. Ganjaran ini lebih tinggi kerana tekanan musibah ini amat berat. Jadi mereka yang boleh abaikan tekanan itu tentulah tinggi kewibawaannya. Wajarlah ganjarannya besar.
     Jadi bagaimana? Bayangkanlah kalau orang yang kena umpat itu boleh berdiam diri dan melakukan perubahan jika benar dia bersalah. Dia sabar menghadapinya tanpa bertindak balas. Tentulah mata ganjarannya besar. Tawaran ini elok direbut.

Umpat yang dibolehkan

Walaupun mengumpat itu berdosa namun ada juga keadaan di mana dibolehkan mengumpat. Contohnya bila orang yang dizalimi oleh sesuatu pihak mengadu akan kezaliman yang dilakukan terhadapnya kepada pihak-pihak tertentu  agar keadilan dapat dilakukan. Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya orang yang mempunyai hak itu, boleh mengucapkan alasan."

Antara sebab membolehkan seseeorang itu mengumpat :

1. Bila dia meminta bantuan orang lain untuk mengubah sesuatu kemungkaran atau mengembalikan seorang yang derhaka kepada Allah ke jalan kebaikan.
2. Meminta fatwa atau penerangan sesuatu hukuman dalam agama. Misalnya apabila dia memberitahu seorang ustaz atau ustazah, "rakan sekerja saya telah menganiaya saya" atau sebagainya. Dia dibolehkan berkata begitu jika orang yang ditanya itu tidak faham jika anda mengatakan secara berlapik atau berkias.
3. Mengumpat dibolehkan untuk mengingatkan seseorang muslim kepada sesuatu kejahatan, misalnya jika anda mengingatkan orang lain supaya menjauhkan diri daripada orang itu. Atau orang yang cuba membuktikan dirinya benar di dalam satu pertikaian, lalu dia menuduh saksi sebagai orang yang tidak benar. Atau orang yang meminta pandangannya sebelum dia membuat keputusan yang penting seperti mengambil individu berkenaan bekerja atau sebagainya.
4. Menceritakan hal seseorang dengan tujuan untuk memberi nasihat. Bukan untuk memburuk-buruk atau menjatuhkan namanya di hadapan orang lain.
5. Bila seseorang itu memang sengaja terang-terangan membuat kefasikan atau kejahatan dan bermegah-megahan dengan perbuatannya itu, maka tidak salah mengumpatnya disebabkan kelakuan yang menentang hukum Allah itu.

     Jika kita pernah mengumpat rakan sekerja kita atau sesiapa sahaja sebelum ini, eloklah kita menyesal dan segera bertaubat atas kesilapan itu. Sesudah itu hendaklah kita meminta maaf daripada orang yang kita umpat supaya kita terlepas dari dosa mengumpatnya. Jika dia tidak dapat memaafkan, cukuplah si pemgumpat itu beristighfar atau meminta ampun kepada Allah SWT. Semoga segala dosa-dosa kita diampunkan Allah.
     Bagi anda yang pernah menjadi mangsa umpatan, bersabarlah dan maafkan kesalahan mereka yang pernah mengumpat anda. Insafilah diri agar anda tidak terjebak ke dalam gejala mengumpat . Sesungguhnya keaiban orang terutamanya rakan yang sama-sama bekerja dengan kita mesti dipelihara dan dilindungi.




- Sumber dari NUR Disember 2002 -