Khamis, 3 Oktober 2013

Lama berehat, produktiviti tetap meningkat

Bercuti lama sewaktu menyambut hari raya Aidilfitri adakalanya menyebabkan semangat bekerja pada hari pertama tidak serancak sebelum bercuti. Bukan sahaja semangat bekerja berkurangan, produktiviti juga terjejas jika terlalu diikutkan perasaan. Ini adalah fenomena biasa tetapi tidak wajar keadaan ini berterusan. Ikuti panduan daripada Konsultan di Perbadanan Produktiviti Negara (NPC), Nor Aishah Hassan, bagaimana untuk anda terus bersemangat di tempat kerja seterusnya meningkatkan produktiviti.
1. Rujuk Perancangan Kerja
Pastinya anda biasa mendengar dan mempraktikkan senarai kerja menurut keperluan. Jika sebelum bercuti, anda ada menyenaraikan segala bentuk kerja atau temu janji yang perlu dibuat, lihat semula senarai tersebut. Melaluinya, anda dapat menyusun semula jadual kerja mengikut kepentingan. Kaedah sistematik seumpama ini dapat membantu melancarkan perjalanan kerja hari pertama anda di pejabat. Anda tidak akan berasa tertekan malah akan lebih bersemangat untuk bekerja semula kerana segalanyatelah dirancang baik sebelum ini.
2. Betulkan Tekad Anda
Satu hakikat yang anda perlu terima ialah anda perlu bekerja semula setelah puas bercuti panjang. Tidak bersemangat bukan alasan untuk tidak pergi bekerja. Lazimnya menjelang tahun baru, anda mempunyai keazaman untuk mempertingkatkan produktiviti. Senario yang sama turut berlaku jika anda pulang bercuti. Tanamkan azam dan semangat baru di hati (affection), tindakan (behaviour/action) dan minda (cognitive) bahawa anda kini akan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik dan berdedikasi daripada sebelum ini. Keghairahan untuk melakukan pembaharuan membantu menaikkan semangat anda untuk bekerja.
3. Tetapkan Matlamat
Tanggungjawab lebih besar terpaksa anda pikul apabila memegang jawatan sebagai ketua dalam organisasi atau jabatan tertentu. Anda bukan sahaja perlu memotivasikan diri tetapi juga bertanggungjawab memberi semangat kepada pekerja lain. Perlu dan amat penting bagi anda mensasarkan matlamat jangka pendek (hasil yang boleh dicapai) dan disampaikan kepada semua. Beri galakan dan semangat untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti (P&Q) syarikat.
      Sekiranya anda seorang pekerja bawahan, anda juga perlu menetapkan sasaran atau matlamat jangka pendek atau kecemerlangan diri sendiri. Setiap yang anda lakukan adalah demi kebaikan. Syarikat akan hargai usaha anda dan anggaplah ia sebagai kejayaan peribadi apabila berjaya mencapai sasaran. Contoh: Anda akan berusaha untuk mendapatkan kontrak atau 'tender' yang anda uruskan sebelum bercuti baru-baru ini untuk syarikat anda. Dengan itu, anda akan sentiasa fokus dan bersemangat melakukannya.
4. Eratkan Hubungan
Sudah menjadi adat warga kota, rumah terbuka masih diadakan walaupun bulan Syawal sudah sampai ke penghujungnya. Memenuhi  jemputan ke rumah terbuka rakan-rakan sepejabat pada hujung minggu atau di waktu makan tengahari merupakan amalan yang baik. Ia dapat menyambung dan memperkukuhkan silatulrahim serta memberi peluang kepada anda mengenali lebih rapat dengan rakan sepejabat yang berlainan jabatan. Apabila telah saling mengenali, urusan pejabat dapat dijalankan dengan lebih mudah dan secara tidak langsung membantu anda memenuhi matlamat.
5. Tingkatkan Pengetahuan dan Kemahiran
Perasaan bosan dan malas adalah fenomena sementara dan ia biasa melanda tatkala anda baru pulang bercuti. Demam cuti raya masih terasa. Bagi mengelakkan kebosanan, pastikan anda mengikuti beberapa bengkel, kursus atau seminar jangka pendek yang diadakan oleh jabatan, menghadiri pameran atau konvensyen bagi menambahkan pengetahuan dan kemahiran. Anda pasti pulang dari program-program itu kerana banyak perkara baru yang dipelajari dan ingin dipraktikkan.
- Sumber dari NUR Disember 2002 -