Khamis, 3 Oktober 2013

TIP KASUT TAHAN LAMA

Penulis : Emma Masri

Kasut merupakan aksesori keperluan asas untuk muslimah berkerjaya. Penjagaan khusus perlu bagi memastikan kasut anda berada dalam keadaan baik untuk tempoh yang lama. Tidak kira apa jenis dan harga kasut sekalipun, anda perlu memahami panduan berikut:
1. Pakai bergilir
- Anda perlu ada sekurang-kurangnya dua pasang kasut untuk ke pejabat. Pakai kasut-kasut ini secara bergilir bagi membolehkannya 'bernafas' selain menghilangkan kesan lembab dan bau dari proses perpeluhan.
2. Shoe trees
- Setiap kali kasut tidak digunakan, pastikan anda menyelipkan alat pengekal bentuk kasut (shoe trees) yang diperbuat daripada kayu atau plastik. Teknik ini sedikit sebanyak membantu mengekalkan bentuk kasut. Bagi anda yang mempunyai peruntukkan lebih, 'shoe trees' yang diperbuat daripada kayu cedar lebih baik lagi kerana kemampuannya menyerap lembapan dan meninggalkan haruman kayu semulajadi. Jika tidak pun anda boleh meletakkan gumpalan kertas kering ke dalam kasut.
3. Sapu debu kotoran
- Setelah sampai di rumah, pastikan anda membersihkan permukaan luar kasut dengan span atau kain bertekstur lembut bagi membuang kesan kotoran yang melekat.
4. Menggilap
- Bagi kasut kulit, anda perlu rajin menggilapnya dengan bahan penggilap kasut khas secara berkala agar keadaan kasut kekal cantik seperti baru selain memanjangkan 'usia' kasut itu.
5. Rak kasut
- Sediakan rak kasut terbuka atau berangin untuk meletakkan kasut-kasut anda. Pastikan kedudukannya jauh daripada tempat lembab seperti berhampiran dapur atau bilik air. Bagaimanapun jauhkan rak kasut daripada tempat yang terkena pancaran cahaya matahari bagi mengelakkan warna kasut pudar.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -