Selasa, 1 Oktober 2013

Kahwin Lewat. Benarkah ia pilihan wanita kerjaya? - Bukan Bermakna Tidak Laku.

Penulis : Salina Ibrahim

Jika dulu wanita yang lewat berkahwin dilabelkan sebagai 'tidak laku' tetapi tanggapan itu sudah berubah. Kini, ramai wanita yang memilih berkahwin lewat, malah fenomena ini juga melibatkan muslimah moden atas faktor-faktor luaran dan dalaman.
      Menurut Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, faktor berkahwin lewat itu lebih didorong oleh motif kewangan yang memberikan wanita kebebasan untuk menyara diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Oleh itu katanya, isu 'tidak laku' tidak sesuai lagi kerana wanita yang bekerja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada orang lain, malah boleh menyara diri sendiri dan keluarga juga.
      "Jika dulu, wanita yang tidak berkahwin dipanggil 'tidak laku' seolah-olah mereka ini untuk jualan. Mereka dianggap rendah dalam masyarakat tetapi sekarang saya tidak setuju jika tanggapan itu masih sama. Mereka bukan tidak laku tetapi mereka memilih untuk berkahwin lewat atau tidak berkahwin langsung," katanya.
      Katanya, suatu ketika dulu, perkahwinan dianggap seperti satu kerjaya kepada wanita. Ini kerana dari segi kewangan, ibu bapa boleh berlepas tangan atau kurang satu mulut untuk disuap apabila anak gadisnya berkahwin. Tetapi dengan adanya pendidikan dan wanita bekerja, mereka jadi berdikari dari segi kewangan dan tidak memerlukan suami untuk menyara kehidupan mereka.
      Tambahnya, fenomena terkini di institusi pengajian tinggi awam atau swasta pula menunjukkan pelajar wanita lebih ramai daripada lelaki. Secara tidak langsung, ia memberikan peluang yang lebih rendah kepada wanita untuk mencari jodoh yang sesuai.
      Secara kelazimannya, apabila seorang wanita memiliki ijazah pertama, calon suaminya juga mestilah sekurang-kurangnya memiliki kedudukan yang serupa.

Perkahwinan sebagai kerjaya
Beliau menambah, dahulu wanita yang tamat sekolah dan pandai selok-belok rumahtangga akan mudah dipinang, seolah-olah itu sebahagian kehidupan anak perempuan. Disebabkan itu, perkahwinan dianggap sebagai satu kerjaya, walaupun bukan dalam bentuk yang sebenar. Apatah lagi jika suami memberikan wang saku kepadanya, maka ia boleh dianggap  pekerjaan kerana terdapat nilai ekonomi dalam pekerjaannya.
      "Bagaimanapun apabila wanita menjadi surirumah (bekerja di rumah), nilai ekonominya tidak dikira sebagai 'input' kepada pembangunan keluarga dan rumahtangga, walaupun sebenarnya ia juga merupakan satu sumbangan," katanya.
      Dr Noran berkata, wanita yang memilih untuk berkahwin lewat biasanya berpendidikan tinggi dan menjawat jawatan selesa. Ini kerana mereka ingin memberikan perhatian kepada kerjaya dan menangguhkan perkahwinan.
      "Umpamanya, lulus universiti umur 23 tahun, rancangan lima tahunnya untuk bekerja terlebih dahulu dan naik pangkat. Jika ada teman lelaki, dia akan menunggu. Jika tiada, maka dia beri tumpuan kepada kerjayanya dulu. Soal jodoh sudah menjadi isu sampingan," jelasnya.
      " Katanya lagi, gaya kehidupan kini semakin berubah apabila ibu bapa kurang berminat untuk mencarikan calon suami untuk anak gadis mereka. Apatah lagi sekiranya anak gadis itu bekerja dan menyumbang kepada ibu bapanya setiap bulan. Berbanding dahulu ibu bapa akan menggunakan orang tengah untuk mencarikan jodoh anak tetapi sekarang mereka membiarkan anak membuat pilihan sendiri.

Faktor tempat tinggal
Berdasarkan teori psikologi yang dibuat di Barat, kata Dr Noran, kebanyakan pasangan yang bertemu jodoh tinggal dalam kawasan tempat tinggal yang sama. Disebabkan itu, jika pasangan itu berada dalam lokasi berjauhan atau cinta jarak jauh, lebih banyak yang kurang berjaya mengekalkan perhubungan. Kerana itu katanya, faktor lain ialah melibatkan jenis pekerjaan yang dijawat wanita, yang tidak mengizinkan dia berjumpa calon sesuai. Umpamanya, guru wanita berijazah yang dihantar bertugas di luar bandar, mempunyai peluang yang rendah untuk berjumpa calon yang sesuai di tempatnya bertugas.
     Beliau tidak menafikan, terdapat faktor dalaman yang menyebabkan wanita melewatkan perkahwinannya. Umpamanya, wanita yang pernah putus cinta berkemungkinan tidak berminat untuk memikirkan mengenai perkahwinan.
      "Bagaimanapun sejauh mana kita akan mengakui kepada orang lain? Ia tidak dapat dipastikan kerana ini rahsia peribadi," katanya.
      Tambahnya, konsep perkahwinan ada kena-mengena dengan konsep komitmen. Lazimnya, orang tidak berkahwin kerana dia tidak bersedia untuk mewujudkan perhubungan intim. Ini kerana apabila berkahwin, lelaki dan perempuan akan berkongsi ruang. Memang tedapat orang yang tidak selesa untuk memberikan ruangnya atau berkompromi dengan orang lain. Kerana itu tidak hairanlah, konflik dalam perkahwinan berlaku kerana dua pihak enggan berkompromi.
      Bagaimanapun katanya, tidak banyak faktor dalaman yang boleh dipastikan kerana ia bersifat peribadi. Tetapi beliau percaya, ia mempunyai kaitan dengan ketidaksediaan untuk menjalinkan hubungan intim, cara wanita tersebut dibesarkan atau peluang berinteraksi dengan orang lain.

Faktor zuriat
Katanya, tiada kajian untuk memastikan era wanita berkahwin lewat bermula. Namun beliau percaya, ia ada kena-mengena dengan faktor wanita berjaya melanjutkan pelajaran tinggi yang memberikan kesan kepada perubahan sosial masyarakat. Selain itu, katanya, faktor zuriat bukan lagi keutamaan orang berkahwin kerana mereka boleh mengambil anak angkat. Malah kini, bukan sahaja wanita bujang yang mengambil anak angkat tetapi juga lelaki bujang.
     "Untuk berkongsi kasih sayang, nampaknya bukan lagi melalui institusi perkahwinan. Paradigma sudah berubah. Saya rasa nilai masyarakat juga tidak sama dengan tahun 60-an dulu," katanya. Bagaimanapun katanya, wanita yang lambat berkahwin atau tidak berkahwin ini mempunyai kelebihannya tersendiri iaitu mempunyai komitmen yang sangat baik dalam kerjaya.
     "Orang yang tidak kahwin sebenarnya menguntungkan organisasi. Dia mampu bekerja sampai malam, tidak mengambil cuti bersalin dua bulan atau banyak cuti sakit. Jadi yang mana kita mahu, untuk mengimbangkan produktiviti negara atau perspektif organisasi atau sebaliknya?" katanya.
     Katanya, isu berkahwin lewat tidak boleh dikatakan sebagai fenomena yang tidak sihat. Perkahwinan juga belum tentu menjamin seseorang hidup dalam suasana yang baik. Ini kerana tambahnya, selepas berkahwin, mereka akan melalui satu lagi era kehidupan.
     "Frasa dalam kisah dongeng they lived happily ever and after, adalah kehidupan bahagian pertama. Tetapi selepas berkahwin, mereka harus menempuh bahagian kedua kehidupan. Bahagian kedua ini tidak akan dialami sekiranya anda memilih untuk tidak berkahwin," katanya.

Tip Dr Noran
1. Wanita yang berkahwin lewat tidak seharusnya berasa rendah diri kerana mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara.
2. Bagaimanapun mereka tidak harus berasa tinggi diri dengan meletakkan diri serba betul dan tidak memerlukan orang lain, atau ingin menang sahaja.
3. Lakukan kegiatan yang bermanfaat untuk menghabiskan masa lapang dan mengelak asyik memikirkan soal perkahwinan.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -