Selasa, 1 Oktober 2013

Kahwin Lewat. Benarkah ia pilihan wanita kerjaya? : Islam ada jalan keluar....

Sejarah Islam menceritakan bahawa Aisyah Abu Bakar berkahwin dengan Rasulullah ketika berumur 6 tahun dan mereka tinggal bersama ketika usianya mencecah 9 tahun. Kisah secara tidak langsung menunjukkan tradisi perkahwinan dalam Islam adalah ketika usia yang muda.
     Malah Rasulullah pernah bersabda, " Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka berkahwinlah. Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Sesiapa yang belum sanggup, hendaklah berpuasa kerana itu akan menundukkan nafsu." (Riwayat Muslim).
     Disebabkan itu, jika dibuat perbandingan, menurut Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan seharusnya berlangsung dalam usia yang muda. Malah jika ditinjau pada tahun 50-an lalu, jarang ada wanita yang sudah berumur 25 tahun yang belum kahwin. Bagaimanapun katanya, apabila dunia semakin sibuk, fenomena kahwin lewat terutama di kalangan wanita bekerjaya mula berlaku. Secara tidak langsung jelasnya, ini merupakan fenomena baru yang melanda masyarakat Islam sekarang.
     "Bagaimanapun disebabkan ada hadis menyebut hal tersebut, maka secara tradisinya kita mengatakan bahawa orang Islam memang digalakkan berkahwin awal. Perkahwinan itu separuh agama," katanya.
     Dr Mahmood bagaimanapun tidak menolak keadaan sesetengah wanita terpaksa melewatkan perkahwinan atas alasan yang wajar. Bagaimanapun sekiranya kelewatan itu disengajakan tanpa alasan wajar, seseorang itu boleh dianggap berdosa. Ini kerana Rasulullah pernah bersabda, " Perkahwinan itu adalah sunahku. Sesiapa yang tidak mahu berkahwin, bukan dari umatku." Keadaan ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu tidak komited dengan Islam.
     Menyentuh fenomena wanita bekerjaya berkahwin lewat, beliau berpendapat hal tersebut banyak didorong oleh faktor keadaan. Antaranya kerana kesibukan kerja, apatah lagi kerjaya yang memerlukan seseorang wanita bersendirian dalam jangka masa yang panjang. Kesibukan bekerja pada peringkat awal juga boleh menyebabkan sesetengah wanita tidak sempat untuk memikirkan perkahwinan.
     Selain itu katanya, faktor demografi di bandar menunjukkan jumlah wanita lebih ramai, yang menambahkan lagi jumlah wanita dalam pasaran kerjaya. Malah wanita yang berpangkat tinggi juga semakin ramai sehingga tidak menyediakan calon suami yang sesuai untuk mereka.

Perigi cari timba
Sehubungan itu katanya, tidak salah sekiranya wanita bersikap positif dengan mengetepikan peribahasa 'perigi mencari timba' yang merujuk kepada wanita mencari lelaki. Katanya, jika hari ini wanita berlumba-lumba mencari peluang menduduki kedudukan tertinggi termasuklah menjadi menteri, maka tidak salah sekiranya wanita yang memulakan langkah pertama.
     "Adat Melayu yang mengatakan 'perigi mencari timba' sudah lapuk. Banyak nilai dalam masyarakat kita yang patut dirombak dan ditukar", katanya.
     Beliau juga mempersoalkan mengenai beberapa nilai masyarakat yang pada hematnya tidak sesuai lagi diamalkan kini. Antaranya mengapa wanita harus rasa rendah diri apabila bersuamikan lelaki yang lebih rendah kelayakan akademik atau lebih muda daripadanya? Sedangkan mengapa mereka tidak berasa rendah diri apabila berkahwin dengan lelaki yang lebih berkedudukan daripada mereka?
     Menyentuh konsep kufu, Dr Mahmood berkata, konsep tersebut boleh diubah. Walaupun Rasulullah pernah menyebut perlunya kufu dalam perkahwinan tetapi ukuran kufu sebenarnya banyak ditentukan dalam sistem nilai masyarakat. Umpamanya beliau berkata, jika masyarakat menganggap tidak salah wanita berkahwin dengan lelaki yang lebih muda atau lebih rendah kelayakannya, maka ia tidak menjadikan hal itu satu kesalahan atau sesuatu yang mengaibkan.
     Tambahnya, Khadijah sendiri pernah memulakan langkah pertama dalam perkahwinannya dengan Rasulullah. Saidina Umar al-Khattab juga pernah menawarkan anak perempuannya, Hafsah untuk dijadikan ister kepada para sahabat seperti Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan. Akhirnya Hafsah berkahwin dengan Rasulullah.
     Beliau berkata, sekiranya kita boleh menerima kenyataan mengenai banyak jawatan penting yang disandang wanita, mengapa kita tidak boleh terima kenyataan wanita lebih berperanan dalam keluarga? Beliau tidak menafikan, lelaki adalah ketua keluarga. Bagaimanapun wanita boleh bersuamikan lelaki yang dipercayai untuk memimpinnya dan tanggungjawab memberi nafkah masih terletak pada lelaki.
     "Tapi apabila lelaki tak mampu, sesetengah mazhab mengharuskan wanita (isteri) yang mampu untuk berbelanja dan suami dianggap berhutang dengannya. Ini persoalan lain. Sebenarnya dalam segala hal, Islam menyediakan jalan keluar," tegasnya.

Prejudis poligami
Katanya, implikasi berkahwin lewat dibimbangi akan menambahkan unsur kejahatan. Selain itu katanya, ini juga boleh menyebabkan perkembangan masyarakat menjadi lambat kerana terjejasnya pertambahan zuriat. Dalam pada itu, beliau tidak menafikan bagi perempuan yang agak lanjut usia, zuriat yang bakal dilahirkan dibimbangi kurang bermutu.
     Antara jalan penyelesaian kepada masalah ini, beliau mengesyorkan agar masyarakat memandangan baik kepada amalan berpoligami. Dalam masyarakat moden katanya, memang poligami dipandang prejudis. tetapi Islam sedar dan menyediakan penyelesaiannya tersendiri. Umpamanya ketika perang yang menyebabkan ramai lelaki terkorban, poligami diharuskan untuk meneruskan kesinambungan masyarakat.
     "Ertinya, dalam keadaan krisis, amalan poligami diperluaskan. Jika bimbang berlaku ketidakadilan, ambil langkah tertentu. Terutamanya bagi wanita bekerjaya, kewangan bukanlah masalah utama. Kalau dia setuju, nafkahnya boleh dikurangkan. Perjanjian boleh dibuat bahawa perkahwinan tidak melibatkan banyak nafkah daripada suami," katanya.
     Selain itu katanya, masyarakat harus menerima perbezaan umur suami isteri dan tidak memandang janggal apabila isteri jauh lebih berusia daripada suami. Secara ideal katanya, poligami patut dibenarkan supaya lelaki dapat menyumbang kepada wanita yang memerlukan. Apabila seorang lelaki muda berkahwin dengan wanita lewat usia, akan sampai satu peringkat dia boleh mengahwini seorang wanita yang lebih muda. Kepada wanita yang lebih muda pula, apabila suaminya meninggal dunia, ini memberi peluang kepadanya untuk berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Ini akan membentuk satu putaran yang saling bantu-membantu sekiranya diterima dalam masyarakat.

Jangan jadi korban pandangan masyarakat
Ketika ditanya, ada wanita yang enggan berkahwin kerana bimbang tidak bahagia atau anak tidak menjadi, beliau berkata, alasan tersebut adalah escapisme. Katanya, tiada sesiapa yang boleh menjamin anak itu baik atau tidak. Tambahnya, banyak keluarga yang berpendapatan rendah, anak ramai tetapi masih bahagia dan gembira. Ada yang bersuami buta tetapi mereka kelihatan bahagia.
     " Bahagia boleh diusahakan jika kita mahu dan individu cukup terbuka serta positif dalam hidup. Tetapi sebab kita selalu berfikiran negatif, kta sukar menemui kebahagiaan,"jelasnya.
     Kepada wanita yang serik berkahwin kerana dihantui kisah silam seperti pernah gagal bercinta, nasihatnya, mulakan hidup baru. Ini kerana kehidupan mempunyai banyak episod dan tidak semua episod akan diharungi dengan jaya. "Janganlah kehidupan dalam episod yang gagal itu mempengaruhi episod hidup yang lain. Saya berharap wanita kita lebih positif dalam segala hal, menerima apa yang dianggap kurang oleh masyarakat. Jangan jadi korban kepada pandangan masyarakat kerana mereka tidak memikul apa yang kita tanggung," katanya ketika mengakhiri perbualan.

Tip Dr Mahmood
1. Bersikap positif dalam kehidupan kerana dengan sendiri kita akan beroleh bahagia.
2. Banyak nilai lama dalam masyarakat yang perlu diubah untuk membawa kehidupan ke arah yang lebih baik.
3. Lupakan kegagalan lama, sebaliknya baiki diri sendiri untuk kehidupan masa depan.



- Sumber dari NUR Disember 2002 -