Antara kesilapan yang sering berlaku ketika berpuasa ialah:
1. Solat witir selepas tarawih
Sabda baginda s.a.w. yang bermaksud:
"Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam."
Tidak salah melakukan solat sunat witir selepas solat tarawih. Cuma, jika seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka lebih afdal melewatkan witirnya pada akhir malam.
2. Bersahur
Ada di kalangan individu yang bersahur pada waktu tengah malam sebelum tidur kerana malas bangun pada akhir malam. Orang yang melakukan amalan ini terhalang daripada mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi s.a.w. dan pastinya bertentangan dengan sunah baginda.
3. Tidak produktif
Ada juga segelintir individu yang bermalas-malasan dan tidak produktif dalam melakukan kerja-kerja pada siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan kerja yang dilakukan dengan niat ibadat pasti akan menambahkan pahala pada bulan yang mulia ini.
4. Tidak ikhlas dalam beribadat
Setiap kali kedatangan Ramadhan, ramai jemaaah yang hadir ke masjid atau surau untuk memakmurkannya. Ada yang datang kerana kemeriahannya dan mengharapkan 'moreh'nya sahaja. Maka, amat malanglah bagi mereka yang hadir ke masjid bukan di atas dasar keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala ALLAH SWT. Ingatlah bahawa setiap amalan kita dikira dengan niat.
Semoga salah faham tentang amalan-amalan yan dinyatakan dapat diperbetulkan dan kita dapat mempertingkatkan lagi tingkat ibadat sesempurna mungkin. Mudah-mudahan ALLAH permudahkan segala urusan demi kebaikan bersama.
- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf -