Jumaat, 2 Ogos 2013

Rancang pejabat mini di kediaman?

Sebahagian daripada kita diberi kelonggaran oleh majikan untuk melakukan kerja dari rumah atau ada juga yang suka membawa pulang kerja pejabat ke rumah untuk disiapkan. Apa sahaja alasannya, bagi anda yang masih kurang pasti di ruang mana ianya sesuai diwujudkan, kaji satu persatu ruang yang ada. Keselesaan dan praktikaliti ruang pilihan perlu diambil perhatian.

1. Bilik tidur tambahan
Bilik tidur adalah ruang paling mudah untuk diubah suai menjadi sebuah pejabat mini. kelebihannya ialah ia terletak berasingan daripada ruang-ruang aktiviti keluarga lain. Ruang yang mencukupi memberi kepuasan maksima kepada anda untuk menyusun atur kelengkapan pejabat yang diingini. Kehadiran kabinet pakaian binaan dalam yang sedia ada meminimumkan penggunaan ruang. Namun tidak semua orang memiliki bilik tidur tambahan yang tidak digunakan seperti ini.

2. Bilik tidur utama
Pilihan ruang yang lebih 'privacy' dan tenang. Tetapi ia bukanlah satu pilihan yang terbaik. Penggunaan cahaya lampu meja sekalipun akan mengganggu pasangan anda yang sedang nyenyak tidur, jauh sekali jika anda terfikir menggunakan lilin! Gunakan lampu meja yang boleh dikawal kecerahannya agar aktiviti kerja tidak terganggu.

3. Loteng
Tidak banyak kediaman mempunyai loteng, kecuali jika pemilik melakukan pengubaisuaian terhadap kediaman dengan menambah satu ruang kecil di tingkat teratas. Bagaimanapun ini hanya dapat dilakukan jika kediaman mempunyai ketinggian yang mencukupi. Kos mewujudkan loteng juga agak mahal kerana memerlukan satu sistem pengudaraan yang baik agar ruang tidak terlalu panas atau sejuk.

4. Ruang makan
Mewujudkan ruang pejabat mini di sini perlukan perhitungan yang panjang. Mungkin sebahagian kita tidak akan berasa terganggu apabila ruang makan terpaksa berkongsi dengan pejabat mini. Namun mampukah anda sendiri bekerja dan memberi perhatian penuh pada kertas kerja dalam ruang yang riuh dengan bunyi garpu, sudu, pinggan dan gelas? Suasana sekeliling tidak sesuai lebih-lebih lagi jika anda mempunyai keluarga besar.

5. Ruang keluarga
Ruang ini biasanya digunakan sebagai tempat seisi keluarga berehat sambil menonton televisyen atau melakukan aktiviti sampingan dalam rumah. Jika masih ada ruang untuk meletak kabinet fail dan meja bekerja, tiada salahnya anda memilih ruang ini. Cuma anda perlu bersabar kerana mungkin sedikit gangguan sampingan terpaksa ditempuhi seperti suasana bising dengan gelak-ketawa atau perbualan ahli keluarga lain.

6. Dapur
Untuk apartmen mungkin ruang ini tidak sesuai langsung kerana kebanyakannya mempunyai ruang yang agak terhad. Keadaan trafik yang cukup sibuk dengan bau makanan yang sedang dimasak jelas menggangu konsentrasi anda. Kurang praktikal tetapi mungkin boleh dilakukan bagi mereka yang masih bujang dan jarang menggunakan dapur. Cari sudut yang agak jauh daripada dapur dan agak terpencil.

- Sumber dari NUR November 2002 -