*Pembayaran Gaji
Cara pembayaran gaji yang dibenarkan di bawah Akta Pekerjaan 1955 adalah seperti berikut : Seksyen 25.
a. Pembayaran secara tunai ; atau (Seksyen 25(1)).
b. Dengan persetujuan bertulis pekerja,
- Pembayaran boleh dikreditkan ke dalam akaun bank atau syarikat kewangan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Kewangan 1969 di mana-mana bahagian Malaysia dan akaun di atas nama pekerja tersebut yang dikendalikan bersama dengan seorang lain atau lebih; atau
- Pembayaran melalui cek yang dibuat di atas nama pekerja (Seksyen 25 A(1)).
Bagaimanapun persetujuan bertulis sedemikian boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan memberi notis bertulis selama empat minggu terlebih dahulu (Seksyen 25A (2)).
*Penyata Gaji
Sebagai pekerja anda mestilah menerima penyata gaji yang menunjukkan butir-butir gaji yang patut diterima, potongan-potongan dan lain-lain yang dibuat dalam tempoh penggajian tersebut. (Peraturan Pekerja 1957).
* Tarikh Pembayaran Gaji
Mengikut Akta Pekerjaan 1955, tarikh akhir pembayaran gaji mesti dibuat ialah tidak lewat daripada 7 haribulan selepas tamat tempoh penggajian (Seksyen 19). Mana-mana majikan yang ingin melanjutkan tempoh berkenaan perlulah memohon kepada Ketua Pengarah Buruh.
* Berhenti Tanpa Notis
Seorang pekerja yang menamatkan kontraknya tanpa notis, gajinya (ditolak sebarang potongan sah disisi undang-undang) harus dibayar dalam tempoh tiga hari daripada penamatan itu. (Seksyen 21 (2)).
* Berhenti Dengan Notis
Dalam keadaan penamatan kontrak dengan notis oleh salah satu pihak, gaji (ditolak sebarang potongan yang sah disisi undang-undang) harus dibuat pada hujung tempoh notis tersebut. (Seksyen 20).
- Sumber dari NUR November 2002 -
