Ia wujud hampir di semua pejabat. Si pengacau pejabat menganggap dirinya seperti penolong bos walaupun ada orang lain yang yang melakukan kerja lebih baik daripadanya. Dia tidak pernah mempunyai idea sendiri, hobinya ialah mencuri idea anda. Kemudian anda pula akan ditohmah hingga menyebabkan anda terpaksa memencilkan diri.
Mungkin sebelum ini anda pernah berhadapan dengan masalah ini. Tetapi anda tidak tahu istilah yang tepat untuk menggelarkan mereka. Pengacau pejabat perlu dijauhi sekiranya nasihat yang anda berikan kepadanya tidak diterima pakai. Namun bagi anda yang belum tahu atau masih tertanya-tanya apakah dia si Pengacau Pejabat, cuba perhatikan beberapa jenis Pengacau Pejabat yang biasa berkeliaran di tempat kerja anda.
1. Si Peniru
Meniru barangkali kelihatan remeh saja bagi sesetengah pihak. Ia tidak ubah seperti perangai budak-budak sekolah! Tetapi mungkin anda masih tidak sedar, apabila perbuatan meniru ini berlaku di pejabat ia mungkin menyebabkan prestasi kerja anda yang baik terjejas. Sebagai contoh, Hanim yang bertugas sebagai arkitek, menghabiskan hujung minggunya dengan mengumpulkan idea-idea untuk dikemukakan pada mesyuarat pengurusan pada hari Isnin akan datang.
"Apabila mesyuarat diadakan, saya terdengar idea saya pada minggu sebelumnya disebutkan oleh seorang rakan sekerja saya dengan beberapa pengubahsuaian. Dia boleh memperkatanya dengan begitu baik, sehingga nampak bukan lagi idea saya. Lebih menyedihkan, dialah yang menerima pujian," begitulah luah Hanim yang terpaksa berhadapan dengan pengacau pejabat ini.
Seperti contoh kes Hanim, dia tidak sepatutnya terus melatah dan menuduh rakannya itu mencuri ideanya. Sebaliknya dia boleh menyebutkannya di hadapan semua orang (juga dengan sopan) rasa penghargaannya terhadap rakan sekerja yang sudah dapat meluaskan lagi skop ideanya. "Ya, anda betul, itulah yang saya perlukan untuk rekaan saya, terima kasih". Dengan cara ini ada kemungkinan rakan kerjanya itu tidak akan mengulangi perbuatannya pada masa akan datang.
Helen Wintrab, seorang ahli psikologi yang beribu pejabat di Brooklyn menawarkan panduan berikut bagi membantu anda menghindari si peniru ini. "Berwaspada dengan setiap rakan kerja yang sering datang meminta pertolongan. Jangan terlalu lurus. Lindungi diri anda. Jangan berkongsi sebagai idea. Wanita pada kebiasaannya terlalu mudah percaya kepada orang lain dan suka menolong. Biarkan mereka mencari jalan sendiri.
2. Si pengacau yang cekap
Apa juga yang anda lakukan, dia akan melakukan yang lebih baik. Anda tidak berjaya mencuri perhatian bos, kerana dia memastikan segala tumpuan diberikan kepadanya. Anda bekerja sehingga lewat malam untuk menghabiskan projek tepat pada masanya, namun dia dengan pantas memberitahu bos akan kesediaannya mengorbankan cuti tahunan untuk menghabiskan projek yang diarahkan. Anda tidak menganggap kerja yang dilakukan sebagai satu pertandingan kerana masing-masing sudah diberi tugas, namun dia bersikap seolah-olah hadiah pingat emas sedang menanti apabila kerja selesai. Berita sedih bagi anda. Dia memperolehi kenaikan pangkat. Walaupun si pengacau yang cekap tidak menyusahkan anda, mereka boleh menjadi suatu ancaman kepada anda. Hakikatnya ialah, dia berusaha sedaya upaya agar kelihatan lebih baik daripada anda. Namun dia tidak akan tahu sejauh mana dia boleh melakukannya jika anda tidak memberi sebarang petunjuk. Justeru jangan beritahunya kerja tambahan yang anda lakukan dan kata Brown, wujudkan hubungan yang lebih dengan bos anda dan mereka yang berjawatan dalam pejabat. Ingatlah kerja yang baik dan dilakukan secara jujur akan tetap menerima penghargaan.
3. Si kaki gosip
Mereka bagaikan minyak yang menunggu untuk dicurahkan di atas bara api. Anda boleh mendengar bisikan dan umpatan, nun di sana anda melihat si kaki gosip bersama rakan-rakannya. Anda mungkin ingin turut sama mendengarnya tetapi awas, jangan terperangkap. Seberapa boleh elakkan diri anda daripada terbabit. Tidak ada pembunuh kerjaya paling cepat selain mendapati diri anda dikaitkan dengan gosip pejabat dan di setiap memang ada sekurang-kurangnya seorang yang mempunyai tabiat begini. Ruang makan di pejabat sering kali menjadi tempat tumpuannya. Kalau tidak pun di bilik air. Malah lebih menyedihkan lagi ada yang menjadikan surau sebagai markas. Jadi apabila tiba waktu makan, elakkan menggunakan ruang makan dan jangan berlama-lama di dalam bilik air atau di dalam surau. Namun bagaimana jika dia masih terus mendesak untuk bercakap dengan anda?
Nasihat Wintrob ialah anda perlu mengawal tajuk perbualan. Berbincanglah mengenai soal kerja. Sebutkan dengan kuat sekira-kira boleh didengar oleh rakan lain. Nak jumpa dia selepas kerja? Lebih baik anda habiskan masa dengan mambaca buku atau beramal ibadah. Walaupun perbincangan tidak berkaitan dengan gosip, anda mungkin ditohmah ketika dilihat bersama dengannya.
4. Si manja bos
Dia sentiasa ingin tahu sama ada anda dapat menyiapkan laporan tepat pada waktunya atau sebaliknya. Dia akan bertanya kenapa anda pulang awal baru-baru ini. Dia juga meminta anda agar memberitahunya jika berhasrat berbuat begitu pada masa akan datang. Siapakah si Pengacau ini? Tidak lain dan tidak bukan dialah kesayangan bos. "Ingat si manja bos ini tidak bertindak atas kehendaknya sendiri. Dia menganggap dirinya mempunyai kelayakan itu kerana dia sudah mewujudkan satu bentuk hubungan tersendiri dengan bos. Jadi jangan tengking atau berkasar dengannya kerana jika dia mengadu kepada bos mengenai anda, maka anda akan menghadapi masalah besar. Cara mempertahankan diri yang terbaik ialah dengan bertolak ansur dengannya dan terus bertahan," kata Wintrob. Ikut segala rentaknya dan layan dia lebih kurang sama dengan cara anda melayan bos. Tanya sama ada dia hendak baca lebih dahulu laporan yang dikehendaki sebelum diserahkan kepada bos. Dia pasti tidak ingin kerja lambat. Lambat-laun dia akan biarkan anda sendirian.
- Sumber dari majalah NUR -