Isnin, 4 Jun 2012

Bersediakah Anda Memulakan Perniagaan Baru

Penyusun : Emma Masri

Persediaan sebelum memulakan perniagaan.

1. Jenis Perniagaan
Anda mempunyai dua pilihan samada mendaftar sebagai syarikat persendirian atau Sendirian Berhad. Pendaftaran hendaklah dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Setiap jenis perniagaan tertakluk dalam undang-undang berasingan.

2. Tujuan perniagaan
Anda perlu memastikan produk jualan atau perkhidmatan yang mempunyai belian daripada pasaran.

3. Analisa kemampuan menampung perbelanjaan
a) Berapa jumlah perbelanjaan atau modal yang diperlukan bagi membiayai perniagaan baru ini? Berapa banyak daripada jumlah tersebut anda terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri?
b) Adakah anda mampu untuk bertahan jika perniagaan baru itu tidak membawa sebarang keuntungan dalam masa 6 bulan atau setahun?
c) Adakah anda mempunyai sebarang sumber kewangan sokongan atau tambahan selain daripada wang anda sendiri? Jika tiada, adakah anda mempunyai aset atau harta yang boleh dicagarkan kepada pihak bank?
d) Sejauh manakah nilai penjualan dapat mengatasi modal pengeluaran dan adakah ini akan tercapai dan dalam jangka masa berapa lama?
e) Adakah anda yakin pengalaman bekerja selama ini memberi pendedahan yang cukup untuk anda menguruskan syarikat perniagaan sendiri?
f) Siapakah pelanggan semasa dan berpotensi yang dapat dikenalpasti? Adakah mereka sanggup memberikan sokongan dan adakah bilangan mereka ini akan bertambah?
g) Siapakah pesaing anda yang terdekat dan berpotensi? Adakah mereka juga akan bertindakbalas terhadap setiap langkah-langkah anda?

Memastikan Perkembangan Perniagaan

1. Pusatkan tumpuan
Tumpukan sepenuh perhatian terhadap matlamat anda sahaja. Rancang bagaimana anda boleh mendapat keuntungan maksima dengan modal yang terhad. Bayangkan sesuatu yang hebat tetapi dimulakan daripada bawah.

2. Kawal kewangan syarikat
Kebanyakan perniagaan jatuh bankrup bukan kerana kurangnya keuntungan tetapi kegagalan menguruskan pengeluaran wang. Antara punca ini berlaku ialah apabila :
a) Menambah cawangan atau anak syarikat tanpa memiliki sebarang bentuk sokongan kewangan tambahan.
b) Menjual jumlah kredit yang banyak kepada pelanggan dan tidak mengutip semula hutang.
c) Membeli saham yang tidak boleh dijual dalam masa dua atau tiga bulan dalam jumlah besar.
d) Pembekal hanya menerima bayaran tunai dalm urusan jual beli.
e) Membeli aset kurang produktif seperti kenderaan atau peralatan yang tidak diperlukan.
f) Tiada keseimbangan dalam waktu pembayaran dan penjualan.

3) Hargai pelanggan anda
Kekalkan hubungan baik antara syarikat dan pelanggan kerana mereka adalah aset utama syarikat. Syarikat berkembang dengan sokongan mereka, jika tidak perniagaan anda akan menghadapi masalah. Adalah benar bahawa lebih mudah mempengaruhi pelanggan yang sedia ada berbanding menarik perhatian pelanggan baru. Dengan itu pastikan anda menjaga kepentingan mereka.

4) Rangkaian hubungan perniagaan
Sertai organisasi berkaitan agar anda dapat manjalin hubungan dengan pihak-pihak tertentu. Mereka dapat memberi idea-idea baru, maklumat, rujukan dan lain-lain dalam mengurus dan memasarkan produk syarikat. Perniagaan jualan langsung memerlukan kaedah ini untuk berjaya.

5) Ada keinginan tinggi untuk berjaya
Kekalkan semangat dan yakin dengan perniagaan anda. Jika tiada segalanya akan hilang sedikit demi sedikit. Anda akan mengharungi banyak cabaran dan jangan terkejut jika ada ketikanya, keluarga dan kenalan rapat kurang memberi sokongan apabila melihat usaha yang dilakukan kurang menampakkan hasil. Hanya kesungguhan dan kecekalan dapat memberi semangat kepada anda. Buktikan anda mampu melakukannya kerana ia adalah milik anda.

Sumber dari NUR Pengenalan