22 Muharram 1435
Pada tahun baru biasanya kita menanam azam baru untuk mencapai matlamat dalam kehidupan. Kini pelbagai bidang pekerjaan dan perniagaan diceburi oleh wanita. Melangkah terus menaikkan diri dalam dunia perniagaan kerana pendapatan dari usaha ini lebih berlipat kali ganda berbanding bekerja makan gaji.
Salah satu perniagaan yang dikenal pasti mampu dijayakan oleh muslimah ialah perniagaan runcit. Kerajaan memandang serius tentang usaha ini dan hasil dari buah fikiran YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri, lahirlah Prosper iaitu Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan. Bagi anda yang berminat untuk melibatkan diri dalam peruncitan runcit, ikuti penerangan dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), sekretariat yang menyelaraskan skim ini bersama Pasukan Petugas khas.
FUNGSI & OBJEKTIFKehadiran Prosper hakikatnya banyak membantu bumiputera mengorak langkah dalam dunia perniagaan. Fungsinya adalah untuk menyelaraskan dan menyatukan persoalan perniagaan untuk melancar dan memudahkan penglibatan anda dalam perniagaan runcit yang sesuai dan berdaya maju. Matlamat utama adalah bagi meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan dalam sektor ini. Selain itu, Prosper juga berhasrat menerapkan budaya keusahawanan agar penglibatan anda dapat bertahan untuk jangka masa lama dengan cara menerap dan menerangkan ilmu dan pengalaman perniagaan.
Adakah anda layak menyertai skim?
Beberapa syarat telah ditetapkan oleh jawatankuasa Prosper. Antaranya ialah :
1. Anda berumur sekurang-kurangnya 18 tahun
2. Memiliki ciri-ciri keusahawanan seperti keyakinan diri tinggi, berdaya tahan dan saing, berani mengambil risiko, berfikiran positif, kreatif dan berdisiplin.
3. Bersedia mengikuti kursus-kursus atau seminar berkaitan dengan kemajuan atau menguruskan perniagaan.
4. Mempunyai rekod yang baik dengan institusi-institusi kewangan. Contohnya, anda tidak menghadapi masalah untuk membayar pinjaman perumahan. Kemampuan membayar semula pinjaman perniagaan akan dinilai dari sini.
5. Bekerja keras tidak mengira masa.
6. Anda mempunyai kemampuan kewangan membiayai 10 peratus daripada kos perniagaan.
7. Syarikat mestilah milik penuh dan diurus oleh anda sebagai bumiputera.
8. Memikirkan satu bentuk perniagaan berdaya maju.
9. Syarikat anda tidak seharusnya mempunyai bantuan kewangan dari institusi kewangan yang mengambil cagaran ke atas sebahagian aset syarikat.
10. Penting juga anda mengenalpasti lokasi perniagaan yang strategik.
Pakej lengkap & bersepadu
Beberapa faktor teknikal turut dijelaskan melalui pakej bersepadu antaranya ialah pembiayaan modal ekuiti, khidmat nasihat premis perniagaan, kemudahan pinjaman, kemahiran keusahawanan dan sistem perakaunan serta pengurusan aliran tunai.
1 PEMBIAYAAN MODAL EKUITI
Sebanyak 30 peratus modal dari kos projek akan dibiayai oleh PUNB berdasarkan konsep pembayaran semula Islam iaitu Musyarakah Mutanaqisah (perkongsian mengurangkan pemilikan). Kos pembiayaan perniagaan runcit yang disediakan tidak melebihi RM1 juta. Selebihnya iaitu 60 peratus adalah melalui pinjaman kewangan dari institusi kewangan.
2 KHIDMAT NASIHAT PREMIS PERNIAGAAN
Sebuah syarikat kelolaan Bank Negara Malaysia iaitu TPPT Sdn Bhd akan mengenal pasti lokasi premis perniagaan dan sekiranya ia sesuai dengan jenis perniagaan, TPPT akan membeli dahulu dan menyewakannya kepada anda dengan kadar separuh (1/2) dari kadar sewa semasa untuk tempoh tiga tahun pertama. Apabila syarikat anda maju dan kukuh, anda boleh membeli premis tersebut.
3 KEMUDAHAN PINJAMAN
Kadar pinjaman kos perniagaan sebanyak 60 peratus yang dipohon akan disediakn oleh pihak bank dan dijamin sepenuhnya oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)
4 KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN
Menjamin mutu kerja yang baik untuk mengurus perniagaan, PUNB akan mengadakan kursus kemahiran keusahawanan, pembangunan pengurusan dan kemahiran memantau operasi. Rangka kursus adalah sesuatu yang perlu dipraktikkan agar perniagaan akan terus maju dan berdaya saing.
5 SISTEM PERAKAUNAN DAN PENGURUSAN ALIRAN TUNAI
Menguruskan akaun syarikat adalah antara faktor utama memastikan perjalanan keluar dan masuk modal. Jika salah pengurusan, ia akan mengakibatkan keruntuhan perniagaan. Mengelakkan ia dari berlaku, PUNB menyediakan perkhidmatan pengurusan perakaunan dan aliran tunai melalui panel-panel akauntan bumiputera bertauliah. Bagaimanapun perkhidmatan ini hanya untuk satu jangkamasa tertentu. Anda akan menguruskannya sendiri apabila telah bersedia.
ANDA AKAN DINILAI
Proses pembiayaan dan penilaian Prosper melalui satu prosedur biasa. Aturan aliran berikut adalah ringkasan untuk difahami.
1) Anda perlu mendaftarkan diri
2) Anda perlu menghadiri sesi kesesuaian keusahawanan dan bengkel pra-perniagaan (sukarela).
3) Anda perlu menyerahkan rancangan perniagaan
4) Sekretariat Prosper menilai rancangan perniagaan anda
5) Anda akan membentang rancangan perniagaan kepada Sekretariat Prosper
6) Jawatankuasa pelaburan Prosper membuat keputusan
Apakah perniagaan pilihan anda?
Sebelum membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan, fikirkan beberapa jenis perniagaan yang mampu anda jalankan. Antara perniagaan runcit yang boleh dipertimbangkan ialah perniagaan buku dan alat tulis, elektronik, farmasi, dobi, kedai gambar, cenderamata, bunga, kedai runcit, mini market, optometri, kedai jam dan sebagainya. Selain itu anda juga boleh membuat pilihan seperti menjadi pembekal bahan dan perkhidmatan binaan, bengkel baikpulih kenderaan, makanan seperti roti dan biskut, peralatan sukan, perabot dan perhiasan rumah, stesen minyak, tekstil dan pakaian, barang kemas, aksesori wanita, telekomunikasi dan IT.
Jadi sekarang bagaimana? Adakah anda bersemangat untuk mengorak langkah menjadi seorang usahawanita yang berjaya? Cuba masukkan permohonan anda tetapi pastikan segalanya mengikut syarat yang digariskan. Semoga berjaya.
- Sumber dari NUR Januari 2003 -