Rabu, 27 November 2013

Usah Bertengkar Soal Duit

23 Muharran 1435

Meneliti perbelanjaan harian seringkali memeningkan kepala. Jadual perbelanjaan telah tersedia, buku catitan juga telah dibuat dan anda telah mengikut landasan berbelanja mengikut pendapatan. Tetapi hairan, anda masih juga dibelenggu dengan masalah kewangan yang semakin meruncing. Puas mencari penyelesaian akhirnya anda menemui jalan buntu, Lebih buruk lagi pertengkaran antara suami atau isteri terjadi. Lantas bagaimana?
     Jika keadaan kewangan anda berada di tahap yang kritikal, cuba semak jadual perbelanjaan yang anda praktikkan selama ini. Anda mungkin lupa corak perbelanjaan harian akan berubah dengan pantas dari semasa ke semasa. Penambahan ahli keluarga, kenaikan harga barangan, peningkatan tahap ekonomi, perubahan polisi pemerintah dan perbelanjaan yang tidak dikawal sebenarnya menyumbang kepada masalah kewangan yang anda alami ini.
     Oleh itu cuba anda perhati dan cuba ingatkan semula, bila jadual perbelanjaan anda itu dibuat. Mungkin tahun lalu atau mungkin juga enam bulan yang lalu. Sekarang sudah masuk tahun baru dan banyak barangan yang sering anda beli sudah tidak sama harganya. Mungkin juga ada pertambahan dalam jumlah ahli keluarga anda.
     Jadual perbelanjaan anda seharusnya diubah mengikut kadar waktu tertentu dan dari semasa ke semasa dan apabila berlaku sebarang perubahan dalam keluarga anda, jadual perbelanjaan anda juga perlu diselaraskan. Jika anda masih keliru dengan perkara-perkara yang boleh mendorong kepada perubahan jadual perbelanjaan ini, cuba semak perkara berikut:
1 Pertumbuhan ekonomi negara
Peningkatan ekonomi negara turut melibatkan peningkatan ekonomi anda dan keluarga. Taraf hidup semakin tinggi dan perbelanjaan keluarga anda juga akan meningkat. Ini perlu disedari sejak awal. Langkah berjimat cermat perlu diambil segera. Jangan merungut jika anda terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan barangan yang sama.
2 Kenaikan harga barangan
Ini merupakan elemen penting untuk diberi perhatian. Jika ia melibatkan barang utama, anda mesti mengurangkan penggunaan wang kepada barang-barang sampingan. Jika barangan sampingan itu dirasakan tidak perlu, keluarkan terus dari senarai barangan harian anda.
3 Pertambahan bilangan ahli keluarga
Kelahiran anak baru juga akan mengubah corak perbelanjaan. Penggunaan susu tepung setiap bulan akan melibatkan perbelanjaan yang besar. Begitu juga dengan kos perubatan. Namun jika anda telah membuat pengurangan pada keperluan yang kurang perlu dan persediaan sebelum kelahiran, ini tidak menjadi masalah. Atau jika mahu lebih jimat dan menyenangkan beri sahaja anak anda susu badan.
4 Perbelanjaan persekolahan
Jika anda mempunyai anak yang sedang bersekolah dan juga akan bersekolah, ini akan mengubah jadual perbelanjaan harian dan bulanan anda. Perbezaan ketara akan berlaku kerana anda kini mempunyai tanggungjawab menyediakan perbelanjaan yuran, buku, peralatan sekolah, tambang bas dan duit saku setiap hari ke sekolah.
5 Mendirikan rumahtangga
Perubahan jadual perbelanjaan akan lebih ketara jika anda baru mendirikan rumahtangga. Penggunaan wang ketika masih hidup sendiri mempunyai jurang yang besar apabila anda telah berkeluarga. Anda perlu memasukkan banyak perkara dalam jadual baru ini dengan merujuk jadual yang ada sekarang.
6 Peningkatan kos keperluan asas
Dulu mungkin anda menyewa rumah yang sederhana dan sewanya juga tidak mahal. Begitu juga dengan kenderaan. Mungkin anda sudah bertukar kenderaan yang lebih baik dan terpaksa membayar lebih. Begitu juga dengan lain-lain bil yang terpaksa anda bayar. Tentunya ia membabitkan jumlah kewangan yang besar juga. Di sini anda perlu bijak mengagih-agihkan wang anda agar tidak berlaku sebarang kesulitan.



SELAMATKAN KEWANGAN ANDA

1 Sikap dan semangat
Inilah perkara utama yang perlu anda ubah. Jika sikap anda terhadap wang masih seperti biasa iaitu pantang ada duit, kewangan anda perlu terus terjejas. Begitu juga sikap berbelanja boros. Malah beberapa faktor dalaman yang mendorong anda boros patut dielakkan. Contohnya berbelanja besar apabila anda rasa marah pada suami, atau akibat tekanan kerja dan sebagainya. Jika anda fikir dengan berbelanja dapat menenangkan fikiran, anda telah melakukan kesilapan besar.

2 Mengurangkan perbelanjaan barang makanan
Kenaikan harga ikan, daging, ayam dan sayur-sayuran atau barangan utama perlu anda beri perhatian. Ini adalah barangan utama yang diperlukan oleh anda dan keluarga. Mahu atau tidak anda perlu membelinya. Kenaikan harga akan menarik lebih wang daripada keperluan lain untuk dibelanjakan pada barangan ini. Jika anda telah mempunyai jadual sendiri, cuba lihat barangan apa yang perlu diketepikan dan yang perlu dihentikan terus pembeliannya.
     Contoh senarai barangan makanan di bawah ini, mungkin antara barang yang sering anda beli dan ia patut dihentikan jika berlaku ketidakseimbangan perbelanjaan keluarga anda.
* Mi segera
* Bijiran sarapan
* Makanan ringan
* Jus beraneka rasa (memadai satu perisa sahaja)
* Sos pelbagai rasa
* Biskut pelbagai jenis
* Makanan ringan untuk anak-anak yang kurang berkhasiat
Jika setiap barangan ini memakan belanja RM10 hingga RM50 setiap bulan, bermakna anda berjaya menutup perbelanjaan yang tidak penting dan alihkan kepada kegunaan lain yang lebih penting.

3 Mengurangkan perbelanjaan pengangkutan
Kegemaran menggunakan khidmat teksi tanpa mengira kepentingan perjalanan ternyata merugikan dan boleh merugikan dan boleh menggugat jadual perbelanjaan yang telah anda buat. Ini juga akan menarik dengan banyaknya kos perbelanjaan bulanan anda. Bandingkan kadar tambang bas dan teksi yang ternyata jauh bezanya.

4 Mengurangkan guna tenaga seperti elektrik, telefon, air dan gas
Cuba perhatikan jumlah bil anda setiap bulan. Kenaikan yang mendadak atau kenaikan yang berterusan. Jika ia agak keterlaluan, cuba kurangkan penggunaannya.

5 Mengurangkan perbelanjaan rekreasi
Jika sebelum mempunyai anak atau sebelum anak-anak bersekolah anda kerap bercuti ke pusat peranginan dan berreaksi, cuba kurangkan aktiviti ini. Anda mesti mengutamakan perbelanjaan persekolahan dan keperluan anak-anak anda. Pengurangan aktiviti ini pasti melibatkan sebahagian jadual perbelanjaan anda.

6 Hutang ansuran
Adakah anda masih membeli barangan yang mampu dibeli tunai secara berhutang? Ubahlah sikap ini kerana ia akan terus memerangkap anda.

     Selain perkara-perkara yang telah dinyatakan, eloklah anda mengadakan perbincangan secara serius dengan suami atau isteri dan anak-anak. Katakan kepada mereka secara terus-terang keadaan kewangan anda dan minta pendapat mereka bagaimana yang harus dilakukan untuk menyelamatkan keadaan kewangan keluarga anda. Libatkan semua ahli keluarga agar mereka juga bertanggungjawab bagi memastikan semuanya pulih dan berjalan lancar.